Kini Tujuh
Nampaknya sudah tujuh tahun aku menulis di ruang maya ini. Kalau dibandingkan dengan umur manusia, nampaknya sudah sepatutnya dia masuk ke sekolah ke darjah satu. Tapi, ada orang berkata, angka ini hanyalah sekadar tanda. Namun begitu, tujuh tahun bukanlah satu waktu yang singkat. Betapa masa juga membawa kita meninggalkan begitu banyak kenangan sepanjang laluan hidup kita.
Mengimbau semula kisah blog ini atau dulu lebih dikenali sebagai online journal, laman web ini mula dibina pada April 2001. Pada mulanya ia dibina atas dasar suka-suka dan kerana terpengaruh dengan beberapa kenalan di alam siber. Salah seorang daripadanya adalah Pikor, yang merupakan kawan yang dikenali sewaktu belajar di salah sebuah universiti tempatan. Melalui laman web peribadinya, ia seakan menyuntik satu ketagihan yang luar biasa kerana hampir setiap hari aku akan berkunjung ke laman webnya untuk membaca diari hariannya. Di situ juga, aku mula berkenalan dengan rakan blog yang lain seperti Rudy, Meer, Nett, Kak Aquil, Ijah, Mie dan lain-lain lagi.
Aku mula terpanggil untuk membentuk laman web sendiri apabila melihat gaya dan paparan laman web yang dibentuk oleh beberapa penulis blog pada waktu itu seperti Saharil dan Anas. Ya, Saharil merupakan salah seorang penulis blog yang lebih berpengalaman dan agak besar pengaruhnya pada waktu itu. Di awal penulisan, blog ini lebih berkisar tentang kisah harian peribadi. Pada mereka yang mula membaca sejak awal dulu, sudah pasti dapat mendalami segala cerita yang bukan-bukan.
Sebenarnya, blog ini ditulis pada mulanya sebagai satu escapism terhadap tekanan menghadapi dunia master yang dilalui pada waktu itu. Hampir setiap masa bersendiri di dalam makmal menyiapkan tugasan dan jarang berkomunikasi dengan orang membuatkan diri ingin lari dari itu. Dalam masa yang sama, melalui blog ini, aku dapat bertemu semula dengan kenalan lama.
Di akhir tahun 2001, barulah gaya penulisan aku sedikit berubah. Ramai yang memberi komen bahawa tulisan aku penuh dengan makna yang berlapis-lapis. Ada maksud tersurat dan tersirat pada setiap patah yang aku gunakan. Selalunya disengajakan. Secara tidak langsung, aku sudah mula menutup ruang peribadi sedikit demi sedikit. Aku lebih suka menulis tentang refleksi kehidupan dari pandangan dan pengalaman aku.
Antara entri yang cukup istimewa pada waktu itu dan hingga kini adalah entri Nostalgia, di mana ia lebih mengimbau kenangan zaman kanak-kanak aku bersama abang dan adik aku. Proses penulisan yang mengambil sedikit masa kerana cuba menyelongkar semula peristiwa manis yang pernah terjadi suatu ketika dulu. Membacanya semula seakan mendekatkan diri dengan asal usul sendiri dan yang pastinya melonjakkan rasa rindu ke tahap yang maksima.
Pada 2002, laman web ini mencipta kenangan yang istimewa apabila dipilih untuk salah satu anugerah oleh komuniti Geng Jurnal. Secara peribadi, aku merasakan bahawa blog ini tidaklah sebagus mana jika dibandingkan dengan blog lain yang ada pada masa itu. Namun penghargaan yang diberikan sudah cukup bermakna. Tahun berikutnya pula, salah satu entri blog ini mendapat perhatian juri melalui entri Sup Kaki Ayam. Terus terang aku katakan, entri itu adalah amat peribadi. Pada saat entri itu ditulis, aku diselubungi rasa bersalah dan menahankan air mata daripada mengalir. Dan tidak sangka, rupanya ia turut mencuit hati orang lain juga.
Mungkin benar, jika ada yang mengatakan blog ini agak melankolik. Memetik kata-kata Mat Jan tentang perbezaan gaya penulisan antara beberapa penulis blog pada waktu itu, “…Saya menulis dengan gaya humor dan bahasa santai, yang dua lagi menulis dengan gaya sentimental-melankolik-romantika d’amor dan bahasa sastera berbunga-bunga. Rudy kurang sikit unsur jiwangnya. Fajar ….”. (Terpaksa dipotong!)
Antara perkara yang istimewa sepanjang blog ini diwujudkan adalah kemunculan penulis fantasi Ahmad Patria yang sememangnya dicari-cari sebelum ini. Kegilaan aku terhadap dunia fantasi adalah satu perkara yang tidak dapat dinafikan. Maka perkongsian itu telah menemukan aku kepada kumpulan peminat cereka Saga Artakusiad hinggalah terwujudnya komuniti artakus.net. Satu hadiah kepada Abang Pat daripada kami, peminat-peminatnya yang tidak pernah hilang. Melalui blog ini, dapat juga aku menarik dua pembaca setia blog ini untuk menghasilkan blog mereka sendiri iaitu, Kak Elaira dan Effa. Kedua-duanya mempunyai gaya yang istimewa dan tersendiri.
Blog ini menjadi seperti ‘biskut’ apabila aku sudah mula melalui hidup berkarier. Ianya melalui zaman melahu apabila aku mula memegang jawatan yang tidak pernah aku impikan. Kesibukan tugas memaksa aku untuk melupakan seketika blog ini. Dalam masa yang sama, otak aku seakan beku mencari idea atau bahan cerita untuk dikongsi bersama pembaca yang lain.
Sejarah hidup baru bermula apabila aku mendirikan rumah tangga dengan seseorang yang cukup istimewa. Kegembiraan hari istimewa itu turut dikongsikan bersama pembaca blog di sini melalui laman web walimah yang khusus dibina bersama seorang kenalan. Dan setahun selepas itu, kehadiran sang puteri mewarnai hidup kami berdua.
Ternyata, blog ini menjadi satu medan yang menzahirkan sejarah hidup aku. Bermula dari seorang yang bujang - mencari kehidupan yang tersendiri, hinggalah menjadi diri aku pada masa kini. Pencarian mengejar impian itu tidak berakhir kerana pada masa ini, banyak lagi impian yang cuba dikecapi. Dari bumi Malaysia, hingga jauh ke Glasgow.
Dan terima kasih kepada kalian yang cukup setia membaca dan berkongsi cerita. Aku sendiri tidak pasti, hingga bila blog ini akan terus berkongsi cerita. Satu hari nanti, ia mungkin hilang bersama masa.

Jimi says:
Saya pun bermula pada tahun 2001, saat itu terpengaruh dengan blog Fajar, Rudy, Nett, dan banyak lagi. Tetapi terhenti seketika. Barulah bersambung semula.
Sebenarnya, kalianlah yang memberi inspirasi kepada saya untuk menulis.
Teruskan menulis, ya Fajar.
15-04-08 at 10:47 pm
asuhara sue says:
salam ulang tahun!
semoga bahagia dan terus menulis ya!
16-04-08 at 1:46 am
aliff says:
selamat ulang tahun blog, terus berusaha ke puncak jaya!
16-04-08 at 2:42 am
Unsunghero says:
Salam Fajar di bumi Scotland…tahniah kerana masih bertahan. bukan mudah.
16-04-08 at 5:16 am
AKHI MASRAWI says:
Assalamualaikum,Fajar masih ingat kepada saya. terima kasih sebab sudi berkunjung ke laman saya yang sudah lama tak update. ni baru nak update balik. masih ingat pelawaan Fajar kpd saya, musim mangga nak ajak saya ke melaka. hehehe
16-04-08 at 5:29 am
AKHI MASRAWI says:
oh ya… salam ulang tahun blog. 7 tahun lama tu. saya bulan 6 ni masuk tahun ke 5
16-04-08 at 5:29 am
indera says:
Tujuh tahun itu bukanlah satu tempoh waktu yang singkat. Sudah lama rupanya Fajar berkarya. Sudah boleh dikelaskan sebagai blogger terulung!!
Ya, sememangnya entri Sup Kaki Ayam itu bisa sahaja meruntum jiwa dan perasaan pembaca. Saya kira penulisan tersebut telah menyerap segala saripati perasaan Fajar ketika itu justeru diangkat menjadi karya yang berkualiti.
Teruskan berkarya, Fajar. Biar menjadi 7, 14, 21 tahun lagi…
16-04-08 at 6:28 am
Epong says:
Fajar,
sori lama tak melawat bro..
how are you and the family with life in the UK now?
hopefully you’ll get all the hard parts sorted out and live your life to the fullest with the fun part..
come on.. it’s UK bro!
17-04-08 at 2:03 am
nett says:
tahniah pajar… yang ke-7 tahun…
terus-teruslah menulis. jangan jadi mcm aku. dah pencen. hahahh
17-04-08 at 6:55 am
blackpurple says:
Tahniah!
Teruskan menulis…
Saya akan terus setia membacanya.
17-04-08 at 10:04 am
elaira says:
Selamat Ulang Tahun yang ke-7 buat Seluas Angkasa… Oktober 08 nanti MitH pula 7 tahun…
Dan… kerana Seluas Angkasalah terbinanya Istana di Hujung Rimba. Dan rupanya sekarang aku telah menjadi blogger tegar… huhu. Walau tak update hari-hari, tapi tidak berhenti. Terima kasih kat Fajar yang selalu ‘gegarkan’ minda yg beku dan jemari yg malas utk update… heh heh…
Thanks for things that you’ve shared. Seluas Angkasa adalah pembacaan yang indah!
Teruskan menulis dan menjadi inspirasi.
17-04-08 at 10:58 am
fajr' says:
Jimi: thanks jimi.and teruskan menulis seperti apa yang ada sekarang!
asuhara sue: terima kasih.
aliff: terima kasih juga!
unsunghero: oh, tidak sangka, sudah begitu lama menjadi penulis tegar. tapi, kadang-kadang, terasa ‘beku’ juga.
akhimasrawi: Wa’alaikumsalam. entah ada lg atau tidak mangga di kg tu. lama sudah tak berbuah. tak tau la skrg.
indera: tak layak rasanya menerima gelaran terulung. saya bukan penulis yang hebat. pengalaman menulis saya pula hanya di sempadan ini sahaja. sekadar berkongsi cetusan di kepala, minda, hati dan jiw. selagi diizinkan-Nya, selagi itu saya akan terus menulis
17-04-08 at 11:58 am
fajr' says:
Epong: salam bro! hey, lama x dgr cerita. blk nanti, bole belajar main gitar secara personal.
After a year, i never been to England! could u believe it??
nett: terima kasih nett. jgn malas2 update gak! u got something too.
bp: ‘matur kesuwon’. teruskan juga menulis dan berkongsi pengalaman yang begitu berharga.
elaira: terima kasih kak. terima kasih juga kerana selalu berkongsi segala yang ‘indah’ dengan saya.
17-04-08 at 12:00 pm
rudy says:
otanjyoubi omedetou kepada seluas angkasa! Angka tujuh bukan sedikit fajar! aku sendri banyak terpengaruh dgn tulisan kau. Hahaha tapi taklah seMELANKOLIK D’AMOR mcm ko bak kata matjan!
InsyaAllah 1 November 2008, bluehikari pula menyusul angka 8 tahun! Dah darjah 2 bluehikari tahun ni! Lamanyaaa aku menuliss! tak sedar apapun!
17-04-08 at 3:48 pm
AuRuM says:
saya mula baca blog Fajar… awal 2002… masa tgh tggu result SPM. ini blog pertama yg saya baca…
hihih…. sy kemudiannya… mula berblog pd January 2003, bertapakkan danchan
wah.. kenangan semua tu….
keep writing Fajar seluas angkasa!!
18-04-08 at 10:40 am
kak sue says:
7 tahun?
hehehe..sama dgn umur keta kak sue.
my kancil dh bole masuk sekolah darjah satu tau, kalau dia diberanakan larr.
19-04-08 at 3:23 am
ayobkelubi says:
wahhhh, 7 tahun ek bang?..dasat,dasat….blog aku baru masuk ampat tahun lah!…keep on writing bro!…lena rindu banget sama kamu!. hehehehe…
21-04-08 at 4:47 am
fajr' says:
rudy: kau kan salah satu ikon penulis blog kat Malaysia. ahaks! famous gitu.
aurum: terima kasih kerana masih setia membaca! kenangan sungguh bukan?
kak sue: tu la, lama sungguh. tak sangka la pulak.
ayobkelubi: selagi terdaya menulis yob. eh, kirim salam sama lena gak.
21-04-08 at 1:23 pm