Hadiah Coklat Telur
Rakan makmal aku berasal dari Pakistan. Orangnya sangat baik dan bersopan santun. Kali pertama mengenali dan memandang wajahnya, dapat aku kategorikan dia di kalangan lelaki yang ada rupa. Dengan dagu yang terbelah di tengah dan hidung mancung yang diwarisi melalui darah Pakistan. Bayangkan saja pelakon-pelakon lelaki Hindustan yang kacak. Barangkali, jangan masukkan sekali dengan pelakon yang bernama Govinda itu. Tapi ini bukanlah satu rumusan bahawa orang-orang dari wilayah sana kacak belaka.
Satu perkara yang membuatkan aku senang dengannya adalah dia begitu baik dan rajin. Harus aku cari bagaimana dia mampu melakukan kerjanya dengan begitu tekun tanpa sebarang gangguan. Nampak sungguh bergaya apabila dia membuat kerja pada iMacnya. Aku lihat, dia begitu lancar membuat pembacaan atau melakukan simulasi. Aku? Hanya mampu fokus beberapa jam dan kemudian mula melakukan perkara lain. Sekejap melihat emel. Sekejap membaca berita. Sekejap membalas pesanan. Tapi rakan aku ini begitu fokus.
Cemburu benar aku dibuatnya. Oh ya, dia juga agak mahir dalam mengaturcara bahasa C. Tercabar juga aku dibuatnya. Tapi, dia tidak pernah segan silu bertanya jika tidak fahamkan tentang sesuatu. Andai aku ada jawapannya, terus sahaja aku berikan. Pernah juga aku ditanya tentang algoritma yang aku lihat seperti belitan benang yang mengusutkan. Dia juga tidak pernah lokek berkongsi apa yang dia tahu sekiranya aku bertanya mengenainya.
Satu hari, dia memberikan aku sesuatu. Sebungkus coklat berbentuk telur. Katanya, anak-anaknya tidak suka dengan rasa coklat itu. Dark chocolate - rasanya agak pahit dari biasa. Oleh kerana dia selalu melihat aku memakan coklat di dalam makmal maka adalah baik sekiranya coklat berkenaan diberikan kepada aku. Boleh juga dihabiskan daripada dibuang.
Coklat ini agak besar juga saiznya. Inilah coklat yang menjadi pilihan orang-orang di sini semasa meraikan Easter. Daripada saiz yang kecil hinggalah sebesar satu pelukan aku. Memandangkan bentuk yang agak menarik aku pernah membelikannya untuk Najla. Najla panggilnya sebagai telur dinasour. Disebabkan itu, dia langsung tidak mahu memakannya. Lihat saja pada gambar di bawah. Sudah menutup hampir separuh papan kunci komputer aku. Ini adalah saiz yang normal untuk coklat telur berkenaan.
Apabila aku kupas balutan pada telur berkenaan, maka terlihatlah kandungan di dalamnya. Wah, coklat Green & Black Organic. Coklat ini bukanlah dari jenis yang murah. Walaupun coklat ini besar, ini bukanlah bermakna kandungan coklatnya adalah sepadu saiznya. Bahkan isinya kosong!
Keras juga coklat ini hingga aku terpaksa mengetuk permukaan coklat dengan pen untuk meretakkannya.
Akhirnya, rasa coklat yang pahit dan manis ini mencair di dalam mulut. Kawan aku di sebelah tidak menjeling langsung terhadap aku yang sedang mengecapi nikmat coklat ini. Bahkan masih terus khusyuk melakukan kerjanya. Namun kepahitan coklat ini menyebabkan separuh lagi bahagian telur terpaksa aku simpan di dalam laci hingga ke saat ini.
Mungkin apabila kepala aku pening-pening sedikit dengan kerja di dalam makmal ini, maka akan aku keluarkan semula coklat ini untuk dinikmati. Coklat ada tarikh luput ke?


indera says:
Telur Dinasour..?? Ya, mungkin itu perumpamaan terbaik bagi menggambarkan saiznya yang besar. (Eh.. jaga-jaga. Ada anak T-Rex atau Velociraptor di dalamnya!!! :P)
Coklat ada tarikh luput tau!! ada baiknya Fajar habiskan segera..!!
24-04-08 at 4:14 am
Has Cardiff says:
A’aa.. mmg ada tarikh luput. Biasanya coklat easter lagi cepat tarikh luputnya. Dalam hujung tahun yg sama.
Pernah bawa balik telur tu, dulu.. Ingat nak tunjuk kat emak, telur besar. Tapi tak sampai umah, cair. Huhu! Takde rezeki.
24-04-08 at 6:38 am
megat says:
nampak begitu lazat! terasa kecur pula.
24-04-08 at 9:04 am
rudy says:
nakkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkk
24-04-08 at 10:31 am
deej says:
fajarrrrr…..
sedapnya coklat tuh….
nak sket…….
24-04-08 at 11:26 am
aliff says:
nak juga!
24-04-08 at 11:57 am
fajr' says:
ada pun, coklat berkenaan hanya tersimpan di dalam laci. malas sungguh mahu dihabiskan. ada sesiapa nak?
25-04-08 at 12:53 pm