28-04-08

Satu Berganti Tujuh Ratus

Posted in bicara by fajaril

blossom.jpg

Bayangkan kalau kita membuat satu pelaburan yang menjanjikan pulangan begitu besar. Sangat besar. Katakan, pelaburan sebanyak RM1 itu nanti akan bercambah menjadi RM700. Sudah tentu menarik bukan? Bahkan, nilaian satu kepada tujuh ratus itu adalah nilai yang sudah pasti. Ianya boleh bertambah bila-bila masa sahaja. Barangkali dapat meningkat berkali-kali gandanya. Tempohnya? Hanya akan dinikmati bila tiba masanya.

Sebenarnya, apa yang ingin aku cuba sampaikan di sini adalah satu peluang yang pernah kita dengar, tapi jarang kita ambil kisah. Kita sangka, perkara ini adalah satu yang cukup biasa hinggakan kita selalu terlupa atau tidak ambil peduli. Sesuatu yang telah dicatatkan dalam Al-Quran berhubung dengan kelebihan sedekah. Itulah yang aku katakan sebagai satu pelaburan yang cukup besar. Ini bukan satu skim yang penuh muslihat. Ini satu janji dan kenyataan yang pasti dari-Nya.

Aku cukup terkesan sewaktu melalui kelas agama yang dianjurkan oleh komuniti yang berdekatan dengan tempat tinggal aku. Kelas ini dianjurkan oleh kalangan komuniti Melayu di sini, iaitu kelas Tajwid dan Al-Quran. Kehadiran seorang Ustaz yang baru saja menetap di Glasgow memberikan satu kelebihan di dalam kelas ini, iaitu tafsiran Al-Quran secara terus bersama dengan penjelasan. Semalam, kami baru saja menghabiskan Surah Al-Baqarah. Pengakhiran surah tersebut banyak menekankan tentang sedekah, riba’ dan hutang.

Di dalam kehidupan manusia, harta merupakan satu perkara yang penting di dalam kehidupan. Bahkan aku sendiri mengakui bahawa harta yang dicari titik peluh sendiri adalah sesuatu yang amat aku hargai. Baik dalam bentuk material, mahupun dalam bentuk kasih sayang. Namun, aku harus mengingatkan bahawa sejauh mana sayang yang diberikan kepada harta dunia ini, ianya tidak akan berkekalan. Beribu-ribu wang yang akan kita simpan dan pelbagai barangan indah yang kita beli, tidak satu pun akan menjadi hak milik kita yang kekal. Harta yang kita sayang itu nanti hanya akan diwarisi oleh keluarga. Bagaikan menanam pokok durian yang mengambil masa bertahun untuk berbuah. Hasilnya itu nanti akan dinikmati oleh anak cucu.

Hakikatnya, harta yang kekal kepada kita nanti adalah harta yang telah kita sedekahkan. Itulah harta yang paling bernilai, walaupun sekecil mana kita berikan. Yang penting, memberi dengan penuh keikhlasan dan tidak mengharapkan sebarang balasan. Insya Allah, balasan yang akan diberikan berkali-kali ganda.

Semoga kalian yang membaca turut mendapat sedikit manfaat dari ilmu yang sudah sedia dimaklumi. Aku juga insan yang penuh kealpaan. Moga rezeki yang dikurniakan kepada kita akan terus melimpah ruah berkat sedekah yang kita berikan.

Satu berganti tujuh ratus. Itu janji-Nya!

* Photo: Blossom (Diambil semalam, sewaktu bumi Glasgow dilimpahi cahaya matahari. Hari yang indah)

You can leave a comment, or trackback from your own site. RSS 2.0

7 comments

  1. rudy says:

    jum sedekah banyak2…

    29-04-08 at 3:02 am

  2. SangPelangi says:

    Wah.. Ku sangkakan pelaburan skim cepat kaya itu. Hehe..

    29-04-08 at 3:19 am

  3. indera says:

    Perumpamaan yang diberikan oleh Allah tentang kebaikan yang dilakukan laksana sebiji benih yang menerbitkan 7 tangkai. Setiap tangkai mempunyai 100 biji…

    29-04-08 at 6:56 am

  4. megat says:

    subhanallah. begitu tinggi nilai sebuah keihlasan bersedekah!

    insyaallah. terima kasih kerana memberi peringatan yang penuh makna ini.

    p/s : link exchange!

    29-04-08 at 9:41 am

  5. asuhara says:

    bila sedekah menjadi rutin, hidup pun lebih releks… itu yang saya rasakan. Alhamdulillah….

    29-04-08 at 9:58 am

  6. fajr' says:

    rudy: sama-samalah kita melaksanakannya dalam ‘rahsia’

    SangPelangi: skim cepat kaya tu? haha, pernah terjebak. ;)

    indera: terima kasih indera. dari ayat itu sebenarnya pun. nampaknya, indera begitu cepat mencari ya.

    megat: sama-sama kita saling mengingati. and, thanks for the link exchange!

    asuhara: hati yang tenang adalah kunci kebahagiaan. moga kita tidak lekang dari rahmat Tuhan

    29-04-08 at 4:08 pm

  7. Abu Bazli says:

    jangan berkira dan jangan bertangguh

    30-04-08 at 10:28 am

Leave a comment