Archive for April, 2008

23-04-08

Hadiah Coklat Telur

Posted in bicara by fajr'

Rakan makmal aku berasal dari Pakistan. Orangnya sangat baik dan bersopan santun. Kali pertama mengenali dan memandang wajahnya, dapat aku kategorikan dia di kalangan lelaki yang ada rupa. Dengan dagu yang terbelah di tengah dan hidung mancung yang diwarisi melalui darah Pakistan. Bayangkan saja pelakon-pelakon lelaki Hindustan yang kacak. Barangkali, jangan masukkan sekali dengan pelakon yang bernama Govinda itu. Tapi ini bukanlah satu rumusan bahawa orang-orang dari wilayah sana kacak belaka.

Satu perkara yang membuatkan aku senang dengannya adalah dia begitu baik dan rajin. Harus aku cari bagaimana dia mampu melakukan kerjanya dengan begitu tekun tanpa sebarang gangguan. Nampak sungguh bergaya apabila dia membuat kerja pada iMacnya. Aku lihat, dia begitu lancar membuat pembacaan atau melakukan simulasi. Aku? Hanya mampu fokus beberapa jam dan kemudian mula melakukan perkara lain. Sekejap melihat emel. Sekejap membaca berita. Sekejap membalas pesanan. Tapi rakan aku ini begitu fokus.

Cemburu benar aku dibuatnya. Oh ya, dia juga agak mahir dalam mengaturcara bahasa C. Tercabar juga aku dibuatnya. Tapi, dia tidak pernah segan silu bertanya jika tidak fahamkan tentang sesuatu. Andai aku ada jawapannya, terus sahaja aku berikan. Pernah juga aku ditanya tentang algoritma yang aku lihat seperti belitan benang yang mengusutkan. Dia juga tidak pernah lokek berkongsi apa yang dia tahu sekiranya aku bertanya mengenainya.

Satu hari, dia memberikan aku sesuatu. Sebungkus coklat berbentuk telur. Katanya, anak-anaknya tidak suka dengan rasa coklat itu. Dark chocolate - rasanya agak pahit dari biasa. Oleh kerana dia selalu melihat aku memakan coklat di dalam makmal maka adalah baik sekiranya coklat berkenaan diberikan kepada aku. Boleh juga dihabiskan daripada dibuang.

Coklat ini agak besar juga saiznya. Inilah coklat yang menjadi pilihan orang-orang di sini semasa meraikan Easter. Daripada saiz yang kecil hinggalah sebesar satu pelukan aku. Memandangkan bentuk yang agak menarik aku pernah membelikannya untuk Najla. Najla panggilnya sebagai telur dinasour. Disebabkan itu, dia langsung tidak mahu memakannya. Lihat saja pada gambar di bawah. Sudah menutup hampir separuh papan kunci komputer aku. Ini adalah saiz yang normal untuk coklat telur berkenaan.

egg1.jpg

Apabila aku kupas balutan pada telur berkenaan, maka terlihatlah kandungan di dalamnya. Wah, coklat Green & Black Organic. Coklat ini bukanlah dari jenis yang murah. Walaupun coklat ini besar, ini bukanlah bermakna kandungan coklatnya adalah sepadu saiznya. Bahkan isinya kosong!

Keras juga coklat ini hingga aku terpaksa mengetuk permukaan coklat dengan pen untuk meretakkannya.

egg2.jpg

Akhirnya, rasa coklat yang pahit dan manis ini mencair di dalam mulut. Kawan aku di sebelah tidak menjeling langsung terhadap aku yang sedang mengecapi nikmat coklat ini. Bahkan masih terus khusyuk melakukan kerjanya. Namun kepahitan coklat ini menyebabkan separuh lagi bahagian telur terpaksa aku simpan di dalam laci hingga ke saat ini.

Mungkin apabila kepala aku pening-pening sedikit dengan kerja di dalam makmal ini, maka akan aku keluarkan semula coklat ini untuk dinikmati. Coklat ada tarikh luput ke?

22-04-08

Impian Anak Jalanan

Posted in puisi by fajr'

Kau mampu patahkan sayapku
Kau mampu tambatkan kedua kakiku
Tapi kau tak akan dapat
Mematahkan semangatku untuk hidup

Lampu neon di gedung indah
Hanya pemikat mata yang tergoda
Tapi aku kan tetap berjalan
Menuju tujuanku di sana

Berdendang anak jalanan
Berdendang dengan rentak kehidupan
Ku mohon perlindunganMu yang Esa

Aku dan mereka sama
Punya hati dan punya cita-cita
Kota ini tempat ku belajar erti hidup

Ku tinggalkan kampung halaman
Ku tinggalkan semua yang ku sayang
Demi masa depan yang cemerlang
Semoga ku diberi pedoman

Kembara

* Kredit untuk Asuhara Sue atas kiriman lirik ini.

21-04-08

Yang Tertanggal

Posted in bicara by fajr'

Jam sudah menghampiri angka 6 petang. Siaran televisyen saluran Cbeebies sudah pun menayangkan lagu ‘Good Night’, sebagai tanda bahawa siaran saluran itu sudah pun tamat untuk hari ini. Seharian sudah saluran itu dipasang untuk tontonan Najla. Tidak dapat dinafikan, bahawa siaran di Cbeebies banyak memberikan pendedahan dan informasi yang berguna kepada kanak-kanak yang sebaya dengan Najla. Banyak juga perkataan yang dipelajari oleh Najla melaluinya. Ada Mr Tumble, pekan berwarna warni di Ballamory, aksi di Lazytown, menari sambil bersenam, belajar memasak dan yang paling menarik perhatian Najla, adanya lagu-lagu Nursery Rhyme. Sebelum ini, siaran di BabyTV menjadi pilihan kerana lebih memberikan input yang lebih menarik. Memandangkan kotak decoder TV bermasalah, maka hanya siaran percuma sahaja dapat diterima.

Sebaik saja siaran di Cbeebies tamat, maka aku segera menukar siaran di saluran lain. Selalunya aku akan memilih saluran di Five, ITV2 atau BBC. Bergantung kepada saluran yang memberikan cerita yang menarik. Walau bagaimanapun, sebaik saja menukar siaran di saluran ini, aku harus berhati-hati dengan apa yang disediakan. Kebiasaannya, dari cerita hinggalah kepada iklan memaparkan aksi yang hanya sesuai ditonton oleh golongan dewasa sahaja.

Dari cerita yang murni hinggalah kepada paparan yang agak kontroversi. Segalanya ada dihidangkan melalui siaran di sini. Yang penting, bagaimana mahu menapisnya. Iklan-iklan yang menunjukkan perempuan atau lelaki separuh berpakaian adalah dianggap normal. Mungkin untuk sesetengah orang, ia adalah satu perkara yang menyeronokkan. Seperti yang pernah diceritakan sebelum ini, paparan yang berbaur seks dan menampakkan tubuh badan adalah satu perkara yang biasa. Bagi mereka yang mempunyai anak kecil seperti aku, sudah tentu bersiap sedia untuk mengawal paparan yang bakal ditayangkan. Menutup tv terus mungkin satu jalan yang mudah, tetapi itu bagaikan mengisyaratkan mata untuk tidur. Rugi juga tidak menonton atau mengambil tahu apa yang berlaku menerusi televisyen.

Ada juga paparan yang menarik perhatian aku, seperti bagaimana isu pembedahan plastik menjadi pilihan ramai orang untuk menjadi lebih baik dan cantik. Maka, ada siri yang menonjolkan bahagian-bahagian tubuh manusia itu diubah. Dari yang gemuk kepada kurus. Dari yang kecil menjadi besar. Itu belum lagi dengan satu siri yang menunjukkan bagaimana pembedahan alat kelamin manusia untuk menukar jantina. Perkara yang selalu sekadar dibaca atau didengar, kini dipaparkan secara langsung.

Dalam siri How To Look Good Naked yang dikendalikan oleh Gok Wan, habis semua wanita yang dipilih untuk paparan siri itu dibogelkan demi memanifestasikan bahawa tubuh badan yang sedia ada patut dihargai tanpa perlu diubah atau dibedah. Maka, ramai juga perempuan yang sebelum ini tidak berkeyakinan dengan tubuh badan mereka ditelanjangkan oleh Gok Wan bagi memberikan persepi baru kepada diri mereka terutamanya dari segi berpakaian. Keberanian mereka mungkin boleh dipuji kerana sanggup menunjukkan hampir 80% inci tubuh mereka dipertontonkan oleh mereka yang menyaksikannya di saluran tv mereka.

Lebih merungsingkan jika terdapat cerita di tv yang menunjukkan aksi ciuman atau ranjang. Harus segera ditukar ke siaran lain. Aku difahamkan terdapatnya satu siri dokumentasi yang memaparkan adegan seks secara terbuka atas dasar pendidikan. Menontonnya saja sama seperti melihat kisah ‘biru’. Tidakkah benda itu terlalu keterlaluan?

Maka setiap kali paparan yang menunjukkan aksi wanita atau lelaki hanya berpakaian dalam, segera aku dan ibu Najla menjerit kepadanya, “Najla, tutup mata!”

Atau tangan aku segera menutup matanya sambil berkata, “No, don’t look. It’s not good! Shy“.

Apabila munculnya paparan sebegitu lagi, Najla sendiri berkata, “Eei, not good kan ayah? Shy“. Sambil tangan kecilnya diletakkan di matanya bagi menghalang pandangan ke skrin televisyen.

Pernah juga Najla menangis kerana agak ‘terkejut’ dengan teriakan aku. Kasihan sungguh kerana dia tidak bersalah langsung. Tapi selalunya itu adalah tanda dia menangis manja. Lain sedikit gayanya.

Satu hari, sewaktu berjalan bersama Najla ke pasaraya Somerfields, tiba-tiba saja Najla bersuara, “Ayah, not good. Shy“.

Lalu mata aku tertumpu pada arah tangan yang ditunjukkan Najla. Satu poster yang tertampal di dinding pasaraya berkenaan. Gambar artis Bollywood, Shilpa Shetty yang berpakaian sari moden yang seksi dengan menampakkan pusat. Mujur juga Najla sudah memahami batas-batas aurat sedikit demi sedikit. Mudah-mudahan dia akan terus dilindungi dan dirahmati-Nya dari dicemari dengan budaya yang tidak baik. Apatah lagi dalam arus dunia moden yang semakin lama semakin mencabar.

17-04-08

Mencari Rezeki

Posted in bicara by fajr'

toilet2.jpg

Satu baldi berwarna merah diisikan dengan air. Kemudian dua setengah pam bahan kimia bernama Cascade dicampurkan dengannya. Sarung tangan getah berwarna merah menyaluti kulit tangan. Lap berwarna merah diambil untuk kegunaan mengelap. Jangan lupa pula mop berwarna merah untuk mencuci lantai. Kod warna merah untuk tandas. Demikianlah satu contoh tugas yang menjadi rutin sampingan aku di sini pada setiap pagi, kecuali di hujung minggu.

Nampaknya, sudah masuk minggu kedua aku mula bekerja sambilan di tempat yang baru. Minggu sebelumnya, aku mengikuti latihan bagaimana membersih dengan cara yang baik dan betul. Bayangkan, kerja sebagai tukang cuci saja sudah ada latihan selama seminggu (3 jam sehari). Sewaktu kursus berkenaan hanya ada 5 orang saja yang menghadirinya, iaitu mereka yang bakal memulakan kerja di tempat berkenaan. Ternyata, mereka di sini begitu mengamalkan tahap piawai yang agak tinggi. Barangkali, ada yang ketawa jika diberitahu bahawa kami akan diuji dan dinilai melalui latihan ini.

Latihan ini bukan sekadar memberi maklumat saja. Malahan, setiap daripada kami akan diuji dan diberikan maklumbalas, samada lulus atau gagal pada setiap tugasan yang diberikan. Bermula dari membersihkan lantai, mengemop, mengelap, membersihkan tandas dan bilik mandi, mengilatkan lantai dan lain-lain lagi. Setiap tugasan mempunyai prosedur yang harus diikuti termasuklah kod keselamatan. Jangan sangka kerja sebagai cleaner adalah satu kerja yang remeh!

Pelbagai aspek pembersihan diperkenalkan bermula dengan cara membancuh bahan kimia bersama air hingga teknik mengendalikan mesin-mesin yang digunakan untuk mencuci. Harus pula diingat bahan kimia yang digunakan. Yang mana untuk kegunaan umum, yang mana untuk tandas. Begitu juga dengan jumlah bancuhan. Warna baldi dan kain yang digunakan haruslah mengikuti kod warna yang ditetapkan. Mujur juga pengalaman bekerja sebelum ini membuatkan aku lebih berkeyakinan dan tidak teragak-agak setiap kali diuji.

Sejujurnya, aku merasakan bahawa pengalaman sebagai tukang cuci sambilan di sini adalah amat berharga. Selain tugas hakiki di dalam dunia akademik, tugas aku sebagai pencuci sambilan ini memberikan satu persepi berbeza tentang kehidupan. Seringkali juga kita meletakkan bahawa kerja pencuci ini berada di kelas yang terbawah. Kadangkala, dilupakan langsung. Bayangkan kalau kita hidup tanpa tukang cuci. Adakah staf di pejabat sanggup angkat lengan baju untuk mencuci tandas?

Di tempat kerja aku sebelum ini, kebanyakan staf di tempat berkenaan bagaikan tidak pernah mengakui kewujudan ‘kami’ sebagai tukang cuci di situ. Kadangkala, kami diibaratkan seperti makhluk yang harus dijauhi. Jarang sekali mereka mahu menyapa. Cuma, ada juga yang memahami dan tidak menafikan kehadiran kami di situ.

Tetapi, di tempat baru ini, terasa kerja tukang cuci ini sekurang-kurangnya lebih dihormati. Bahkan suasana kerja yang tenang dan tidak menekan. Apabila kita berada di tempat yang dikatakan ‘kelas bawahan’ ini, barulah kita akan lebih menghargai tentang apa yang pernah dilaksanakan oleh orang lain. Di mana-mana organisasi sekalipun, setiap entiti mempunyai sumbangan yang tersendiri.

Berada jauh di bumi orang membuatkan jiwa ini jadi lebih kental. Biarpun di dalam iklim yang jauh berbeza dari kampung halaman, namun ia tidak pernah mematahkan semangat untuk mencapai impian. Dalam yang sama pula, peluang untuk mencari rezeki terbuka jika ada kemahuan. Selagi ada kudrat. Pengalaman mencari rezeki di bumi orang membuatkan aku lebih insaf. Bahkan lebih menghargai setiap titik peluh dan keringat yang mengalir.

Photo by: © Anousch K./Corbis

15-04-08

Kini Tujuh

Posted in peristiwa by fajr'

blog.jpg

Nampaknya sudah tujuh tahun aku menulis di ruang maya ini. Kalau dibandingkan dengan umur manusia, nampaknya sudah sepatutnya dia masuk ke sekolah ke darjah satu. Tapi, ada orang berkata, angka ini hanyalah sekadar tanda. Namun begitu, tujuh tahun bukanlah satu waktu yang singkat. Betapa masa juga membawa kita meninggalkan begitu banyak kenangan sepanjang laluan hidup kita.

Mengimbau semula kisah blog ini atau dulu lebih dikenali sebagai online journal, laman web ini mula dibina pada April 2001. Pada mulanya ia dibina atas dasar suka-suka dan kerana terpengaruh dengan beberapa kenalan di alam siber. Salah seorang daripadanya adalah Pikor, yang merupakan kawan yang dikenali sewaktu belajar di salah sebuah universiti tempatan. Melalui laman web peribadinya, ia seakan menyuntik satu ketagihan yang luar biasa kerana hampir setiap hari aku akan berkunjung ke laman webnya untuk membaca diari hariannya. Di situ juga, aku mula berkenalan dengan rakan blog yang lain seperti Rudy, Meer, Nett, Kak Aquil, Ijah, Mie dan lain-lain lagi.

Aku mula terpanggil untuk membentuk laman web sendiri apabila melihat gaya dan paparan laman web yang dibentuk oleh beberapa penulis blog pada waktu itu seperti Saharil dan Anas. Ya, Saharil merupakan salah seorang penulis blog yang lebih berpengalaman dan agak besar pengaruhnya pada waktu itu. Di awal penulisan, blog ini lebih berkisar tentang kisah harian peribadi. Pada mereka yang mula membaca sejak awal dulu, sudah pasti dapat mendalami segala cerita yang bukan-bukan.

Sebenarnya, blog ini ditulis pada mulanya sebagai satu escapism terhadap tekanan menghadapi dunia master yang dilalui pada waktu itu. Hampir setiap masa bersendiri di dalam makmal menyiapkan tugasan dan jarang berkomunikasi dengan orang membuatkan diri ingin lari dari itu. Dalam masa yang sama, melalui blog ini, aku dapat bertemu semula dengan kenalan lama.

Di akhir tahun 2001, barulah gaya penulisan aku sedikit berubah. Ramai yang memberi komen bahawa tulisan aku penuh dengan makna yang berlapis-lapis. Ada maksud tersurat dan tersirat pada setiap patah yang aku gunakan. Selalunya disengajakan. Secara tidak langsung, aku sudah mula menutup ruang peribadi sedikit demi sedikit. Aku lebih suka menulis tentang refleksi kehidupan dari pandangan dan pengalaman aku.

Antara entri yang cukup istimewa pada waktu itu dan hingga kini adalah entri Nostalgia, di mana ia lebih mengimbau kenangan zaman kanak-kanak aku bersama abang dan adik aku. Proses penulisan yang mengambil sedikit masa kerana cuba menyelongkar semula peristiwa manis yang pernah terjadi suatu ketika dulu. Membacanya semula seakan mendekatkan diri dengan asal usul sendiri dan yang pastinya melonjakkan rasa rindu ke tahap yang maksima.

Pada 2002, laman web ini mencipta kenangan yang istimewa apabila dipilih untuk salah satu anugerah oleh komuniti Geng Jurnal. Secara peribadi, aku merasakan bahawa blog ini tidaklah sebagus mana jika dibandingkan dengan blog lain yang ada pada masa itu. Namun penghargaan yang diberikan sudah cukup bermakna. Tahun berikutnya pula, salah satu entri blog ini mendapat perhatian juri melalui entri Sup Kaki Ayam. Terus terang aku katakan, entri itu adalah amat peribadi. Pada saat entri itu ditulis, aku diselubungi rasa bersalah dan menahankan air mata daripada mengalir. Dan tidak sangka, rupanya ia turut mencuit hati orang lain juga.

Mungkin benar, jika ada yang mengatakan blog ini agak melankolik. Memetik kata-kata Mat Jan tentang perbezaan gaya penulisan antara beberapa penulis blog pada waktu itu, “…Saya menulis dengan gaya humor dan bahasa santai, yang dua lagi menulis dengan gaya sentimental-melankolik-romantika d’amor dan bahasa sastera berbunga-bunga. Rudy kurang sikit unsur jiwangnya. Fajar ….”. (Terpaksa dipotong!)

Antara perkara yang istimewa sepanjang blog ini diwujudkan adalah kemunculan penulis fantasi Ahmad Patria yang sememangnya dicari-cari sebelum ini. Kegilaan aku terhadap dunia fantasi adalah satu perkara yang tidak dapat dinafikan. Maka perkongsian itu telah menemukan aku kepada kumpulan peminat cereka Saga Artakusiad hinggalah terwujudnya komuniti artakus.net. Satu hadiah kepada Abang Pat daripada kami, peminat-peminatnya yang tidak pernah hilang. Melalui blog ini, dapat juga aku menarik dua pembaca setia blog ini untuk menghasilkan blog mereka sendiri iaitu, Kak Elaira dan Effa. Kedua-duanya mempunyai gaya yang istimewa dan tersendiri.

Blog ini menjadi seperti ‘biskut’ apabila aku sudah mula melalui hidup berkarier. Ianya melalui zaman melahu apabila aku mula memegang jawatan yang tidak pernah aku impikan. Kesibukan tugas memaksa aku untuk melupakan seketika blog ini. Dalam masa yang sama, otak aku seakan beku mencari idea atau bahan cerita untuk dikongsi bersama pembaca yang lain.

Sejarah hidup baru bermula apabila aku mendirikan rumah tangga dengan seseorang yang cukup istimewa. Kegembiraan hari istimewa itu turut dikongsikan bersama pembaca blog di sini melalui laman web walimah yang khusus dibina bersama seorang kenalan. Dan setahun selepas itu, kehadiran sang puteri mewarnai hidup kami berdua.

Ternyata, blog ini menjadi satu medan yang menzahirkan sejarah hidup aku. Bermula dari seorang yang bujang - mencari kehidupan yang tersendiri, hinggalah menjadi diri aku pada masa kini. Pencarian mengejar impian itu tidak berakhir kerana pada masa ini, banyak lagi impian yang cuba dikecapi. Dari bumi Malaysia, hingga jauh ke Glasgow.

Dan terima kasih kepada kalian yang cukup setia membaca dan berkongsi cerita. Aku sendiri tidak pasti, hingga bila blog ini akan terus berkongsi cerita. Satu hari nanti, ia mungkin hilang bersama masa.