09-04-08
Posted
in
rasa by
fajaril
Sejak minggu lepas, aku bertungkus lumus menyiapkan laporan tahun pertama yang bakal dihantar pada minggu depan. Hari minggu yang lalu, satu ayat pun tidak dapat aku karangkan. Ilham untuk menulis begitu payah sekali untuk dicari. Syukur juga kepada-Nya kerana minggu ini bagai dipinjamkan seketika suluhan cahaya untuk aku menulis. Nampaknya tinggal beberapa bahagian sahaja yang perlu disiapkan dan kemudian aku boleh menghantar kepada John untuk semakan.
Begitu khusyuk sekali menyiapkan kerja hinggakan kadangkala waktu rehat untuk diri sendiri pun aku biarkan begitu sahaja. Seperti selalu, masa yang ada digunakan untuk bersolat dan mengisi perut yang kosong. Jika ada keperluan, barulah aku akan keluar di sekitar bandar. Itupun jarang-jarang kerana aku begitu malas untuk menempuh rasa sejuk yang bertebaran di bumi Glasgow ini.
Jam sudah menunjukkan 3 lebih. Dalam keadaan begini, terasa masa itu seakan berlalu begitu pantas. Hingga tidak tersedar perut menangis mohon diisi. Tiba-tiba saja terasa begitu lapar.
Lalu, aku keluarkan bekalan yang dibawa dari rumah. Bekas plastik berisi makanan yang disiapkan oleh isteri aku pada setiap pagi sebelum kami menuju ke tempat kerja dan universiti. Di dalamnya terisi nasi putih yang sejuk dan sekeping telur yang bahagian kuningnya sedikit cair. Tidak ketinggalan, sesudu sambal kering hasil tangan emak yang dikirimkan kepada kami di rantauan.
Demikianlah lauk yang menjadi rutin harian aku sewaktu berada di makmal. Aku tidak pernah sesekali mengeluh dengan lauk yang begitu ringkas ini. Ternyata, menu ini lebih mengenyangkan dan sedap dari makanan yang penuh dengan pelbagai isi. Sebelum ini, isteri aku selalu membekalkan lauk yang terisi dengan kuah, daging, ayam dan sebagainya. Cuma kadangkala aku begitu malas untuk menghabiskan masa untuk makan sebegitu. Tambahan pula kalau lauk yang berkuah. Jika diikutkan, aku boleh sahaja memanaskan bekalan yang dibawa menggunakan microwave yang terletak di pantri. Tapi mengenangkan rasa malas kerana terpaksa berjalan jauh ke sana, maka aku lebih rela menikmati makanan yang sejuk sahaja. Untuk itu, menu yang sesuai adalah menu yang ringkas dan mengenyangkan. Serta menepati selera aku.
Oleh yang demikian, aku sendiri memintanya untuk mempermudahkan bekalan dengan 3 isi tadi, iaitu nasi putih, telur dan sambal emak. Biarpun ditelan sejuk-sejuk, namun sudah cukup menggalas perut dan menghilangkan rasa lapar yang bertandang. Sekeping telur goreng oleh isteri aku adalah satu tanda bahawa dia cukup memahami selera aku. Bahagian kuning yang tidak dibiarkan keras sewaktu digoreng. Tanda pengertian yang diterjemah dalam cara yang tersendiri. Kadangkala, jika dia berkesempatan, maka menu bekalan berubah menjadi yang lain tanpa dipinta.
Menikmati lauk begini membuatkan aku tidak pernah rasa jauh dari mak. Sambal kering yang mak kirimkan adalah satu-satunya sambal yang tersedap di dunia! Sekurang-kurangnya sambal yang pernah aku rasa. Kesedapan sambal mak diakui oleh orang-orang yang pernah menikmatinya, melainkan jika orang berkenaan tidak menyukai benda-benda pedas. Istimewanya tentang sambal itu adalah ianya tahan lama dan resepinya adalah ciptaan mak sendiri. Apabila jauh begini, sedikit sebanyak dapat mengubat kerinduan yang selalu benar aku pendamkan. Setiap kali menikmatinya, dapat aku bayangkan betapa susahnya mak menyiapkan sambal berkenaan. Tergambar wajahnya yang tekun menggoreng sambal dan ikan bilis. Terlihat kelibatnya menumbuk ramuan sambal tadi dengan lesung batu. Agar sambal jadi halus dan dapat memberikan rasa yang tidak dapat dinikmati jika menggunakan mesin pengisar. Teringat kata-kata mak setiap kali memberi sambal itu, sambalnya itu tidak sedap. Atau mungkin terlalu pedas. Namun tidak sedikit pun membuatkan aku rasa bosan dengan sambal ini.
Sebekas nasi yang sejuk tetap memberi rasa hangat ke dalam diri. Sekeping telur goreng menzahirkan rasa kasih dan setia. Sesudu sambal kering itu menawarkan rasa rindu yang begitu menusuk ke sanubari.
05-04-08
Kalau ada sesuatu yang mengganggu, secara automatik, aku akan cuba mencari jalan penyelesaian. Kadang-kadang orang berkata aku terlalu berfikir tentang sesuatu. Terlalu serius.
Itu tidak dapat aku nafikan. Kadangkala, aku berfikir hingga tidak mampu tidur. Hingga pening. Hingga aku terasa kepala ini bagaikan berpusing-pusing.
03-04-08
Posted
in
rasa by
fajaril
Suasana menjadi begitu sepi sekali malam ini. Najla dan ibunya sudah lena dibuai mimpi. Apatah lagi di dalam selimut tebal yang mengumpulkan kehangatan. Sudah pasti memberikan keselesaan hingga ke pagi.
Sedangkan aku masih berada di depan komputer. Cuba untuk menulis dan memerah otak bagi menyempurnakan laporan yang perlu disiapkan secepat mungkin. Hanya satu lampu meja menerangi. Dan meja ini pula berada di tepi tingkap. Bagaikan terbayang-bayang makhluk yang bernama sejuk dan dingin di luar sana yang cuba mencari jalan untuk masuk ke dalam rumah. Bahkan hadirnya dapat dirasakan hingga aku tidak mampu membiarkan diri ini tidak dibaluti. Kalau boleh, mahu saja seluruh ruang kulit ini ditutupi.
Sistem pemanas sengaja ditutup pada malam-malam begini. Sekurang-kurangnya bil gas bulan ini dapat dikurangkan. Tambahan pula, musim panas sudah mula menampakkan bahangnya. Namun, kepanasannya tidaklah sama seperti di Malaysia. Oleh kerana kesejukan inilah, maka aku menjadi malas dan berfikir beberapa kali untuk mandi.
Selalunya, pada malam-malam begini aku sudah lama dibuai mimpi. Tenggelam dalam ruang khayalan yang terpadam saat aku mula terjaga. Namun, malam ini aku gagahkan diri untuk berjaga. Barangkali rasa kantuk itu hilang kerana aku sudah melunaskannya di siang hari. Apatah lagi, hari ini aku tidak dapat hadir ke makmal seperti biasa kerana sibuk dengan urusan di lapangan terbang Glasgow. Moga-moga John tidak mencari aku.
Nampaknya sudah beberapa hari berlalu tanpa memerlukan kudrat aku bangan seawal pagi dan untuk meneruskan tugas sebagai tukang cuci sambilan di gedung membeli belah itu. Aku sudah memohon cuti seminggu sejak beberapa minggu lalu dengan alasan untuk berehat. Kebetulan pula, tawaran bekerja di tempat baru akan bermula pada minggu depan. Elok benar. Begitu sempurna sekali rancangan dari-Nya.
Malam ini dengan rasa sepi dan sunyi, begitu banyak perkara yang singgah di kepala. Aku terkenang kepada mereka yang begitu baik baik dan mesra pada suatu ketika dulu yang kini sudah menjadi asing. Barangkali, aku hanya terlalu berfikir dan mengambil berat. Sedangkan hakikatnya, tiada isyarat pun yang mengatakan mereka peduli. Aku lepaskan rasa itu pergi. Mungkin ini satu laluan dan pengalaman yang biasa di dalam hidup. Malam ini aku banyak terkenang. Tapi, dengan kesibukan yang ada membuatkan segala rasa diketepikan untuk seketika.
Di saat begini, aku merasakan aku ini bagaikan baru keluar dari satu lekuk masa. Entah bagaimana, tiba-tiba saja aku merasakan aku dicampakkan pada masa sekarang. Sedar-sedar saja, sudah hampir setahun aku berada di Glasgow. Adakah aku saja yang merasakan masa cepat berlalu? Begitu banyak peristiwa berlalu di dalam hidup ini. Namun, ianya bagaikan satu putaran filem yang begitu pantas.
Dalam keadaan fast-forward. Laju.
Tahu-tahu saja, aku sudah tercungap-cungap mengutip setiap peristiwa yang ada. Adakah kesibukan membuatkan aku hilang dalam dunia aku sendiri?
Sayang sekali, kadang-kadang aku merasakan tidak dapat menikmati pada setiap saat yang berlalu.
Nanti aku perlu cari tanda untuk berehat. Dan mengecapi segala yang mendatang.
02-04-08
Posted
in
rasa by
fajaril
Kadangkala, aku bertanya juga kepada diri sendiri. Adakah cerita tentang aku dan keluarga aku di sini sering diungkitkan kerana rasa cemburu atau tidak puas hati?
Apa salah aku? Apa salah kami?
01-04-08
Sejak minggu lepas lagi, aku dilanda dengan ribut kecelaruan. Sibuk benar hingga menyentak segala ruang rehat yang ada. Meskipun dalam kesibukan begitu, aku masih cuba untuk berpura-pura bahawa semua ini akan berlalu dengan baik. Tetapi dalam masa yang sama, Tuhan sahaja yang tahu betapa bergeloranya jiwa aku ini. Mana mungkin aku boleh begitu tenang sedangkan laporan tahun pertama aku harus disiapkan secepat mungkin. Tidak dapat aku sentuh satu pun. Fikiran aku jadi beku. Barangkali aku mengalami writer’s block.
Dalam masa yang sama, John begitu beria-ria meminta aku mendapatkan maklumat berhubung dengan dokumen peralatan makmal yang akhirnya akan digunakan oleh aku sendiri. Banyak perkara yang harus disempurnakan dalam masa yang singkat!
Waktu-waktu begini, alangkah bagusnya kalau aku mampu mengasingkan diri kepada beberapa bahagian dan membuat kerja yang berbeza dan waktu yang sama - simultaneous.
Lantas aku terus teringat kepada kata-kata yang diucapkan oleh seorang ustaz semasa kedatangannya ke Glasgow dalam satu majlis Sirah Rasullah. Niat utama belajar itu haruslah betul, barulah segala apa yang dikerjakan akan mendapat rahmat dan petunjuknya. Mungkin selama ini aku terleka dan terlupa. Maka, ingin aku ingatkan kepada diri sendiri akan tujuan utama mencari ilmu ini adalah semata-mata kerana-Nya.