Hope
Hope…
lies in the darkest places.
Demi anak, ayah dan ibu sanggup berkorban apa saja. Biarpun berganti nyawa. Rasa kasih yang mengalir tidak pernah kering dari sanubari yang penuh dengan sayang. Lalu, apabila anak yang masih kecil ditimpa dugaan, sudah pasti menguji ketabahan hati buat mereka yang bernama ayah dan ibu. Maka, sama-samalah kita meringankan beban buat mereka, demi anak mereka, Sufi.
Maklumat lanjut, di bluehikari.
Setiap pagi, ayah pasti rasa bersalah. Juga kasihan. Begitu juga ibu. Rasa sebak. Rasa sayu. Hati mana yang tidak dihambat rasa begitu. Apatah lagi meninggalkan Najla yang masih lagi lena beradu.
Ayah tahu, Najla sudah pandai berkompromi meskipun usiamu masih kecil sayang. Ayah ibu begitu mengerti dan menghargai pengorbanan yang Najla tanggung. Kecil begini, Najla sudah terpaksa bersabar menahan rindu. Melepaskan ayah ibu keluar awal dari rumah.
Setiap pagi, ayah akan mengelus rambut yang menutupi mukamu. Lalu kami kucup pipimu. Kemudian, ayah capai Che’ Mek, patung kucing kesayangan Najla. Juga selimut berwarna merah jambu yang ibu belikan. Ayah letakkan di dalam pelukan Najla. Ayah dakap tubuh Najla yang kecil lalu angkat dari katil. Tempat tidur kita bersama.
Ayah dukung Najla ke bilik sebelah. Ayah peluk erat. Semakin hari ayah merasakan berat Najla semakin bertambah. Anak ayah semakin membesar. Nanti-nanti, ayah mungkin tidak mampu mendukung Najla lagi. Ibu sempat mencium pipi Najla. Membisikkan kata sayang dan rindu.
Di bilik sebelah, ruang tamu yang dijadikan bilik. Ayah letakkan Najla di atas duvet berwarna krim. Bersebelahan dengan Bibik Zira, makcik Najla. Datang selama 6 bulan untuk menjaga Najla. Kalau dulu, tidur di sebelah Kakak Fiza, yang kini sudah pun pulang ke tanahair. Ayah selimutkan Najla dari kesejukan pagi. Sejuk yang luar biasa buat kita.
“Tidur sayang. Nanti, ayah ibu balik. Bye sayang”
Dalam tidur yang terganggu itu, Najla masih lagi mampu membalas perlahan, “…bye”.
Lalu cuba meneruskan tidur dengan memeluk Che’ Mek berwarna hitam.
Ayah rasa sebak. Ayah rasa terharu. Tapi, ayah ibu terpaksa keluar awal untuk mencari rezeki sebelum ke universiti. Rezeki yang kita perolehi nanti boleh digunakan untuk menampung kos pengasuh Najla yang bersilih ganti. Setidak-tidaknya, ada orang yang menjaga Najla sewaktu ayah dan ibu kesibukan di makmal. Juga untuk keperluan kita sekeluarga, sayang. Ayah harap, Najla mengerti juga pengorbanan kami. Mungkin Najla akan memahami semua ini satu hari nanti.
Sungguh, ayah dan ibu memaklumi bahawa Najla paling banyak berkorban. Membiarkan hati dan diri jadi rindu kepada kami. Dan selalu ternanti-nanti kami pulang. Alangkah seronoknya pada wajah itu saat melihat ayah atau ibu tiba di muka pintu rumah. Lalu terus bercerita, apa yang telah Najla lakukan pada hari itu. Berbaris-baris cerita mahu dikongsi. Meski ayah dan ibu tidak hilang lelah dan penat.
Maafkan ayah dan ibu, sayang. Selalu saja ayah dan ibu tidak mampu menunaikan permintaan itu.
Apabila ayah katakan, “Tomorrow ayah go to work and school. Najla stay at home ok? Be a good girl.”
“No. Please ayah. Don’t go. I want ayah ibu…”
“Tak boleh sayang. Ayah ibu kena pergi school. One day Najla go to school, okay?”
“Ayah. Please, stay home…”
Kata-kata itu. Permintaan dan rayuan itu. Please, stay home.
Kalau boleh, mahu saja ayah ibu selalu di sampingmu. Setiap masa dan ketika. Tentu sekali. Sabarlah dulu sayang.
Percayalah, rasa rindu itu selalu ada. Buat kamu.
Akhirnya, setelah sekian lama barulah aku berpeluang menghabiskan menonton filem ini, Music of The Heart, lakonan mantap dari Meryl Streep. Itu pun sebaik sahaja aku menerima dvd yang dipesan secara online. Apapun, harus aku berterima kasih dari seorang rakan yang begitu bersusah payah melaksanakan projeknya lalu menghantarkan kiriman filem-filem yang berkualiti kepada aku. Terima kasih Jimi! Jika bukan kerana dorongan dan ulasan darinya, barangkali aku tidak mengetahui langsung tentang filem-filem yang baik. Ada banyak filem yang dikirimkan dan kebanyakannya menjentik sesuatu ke dalam diri aku - semangat!
Pada waktu-waktu begini, aku cuba menghindari filem atau cerita yang depressed kerana aku tidak mahu dibayangi keadaan sebegitu. (Aduh, sensitif sungguh!). Mujur juga hampir semua filem yang dikirimkan mempunyai nada inspirasi di dalamnya. Sebenarnya, filem ini ditonton hanya separuh jalan sahaja pada mulanya memandangkan terdapat sedikit masalah teknikal dengan kiriman cd yang dihantar. Tertekan juga dibuatnya kerana melihat cerita menarik, tetapi tergantung. Demi mahu mendapatkan keseluruhan cerita, maka aku terpaksa mencari dvd ini. Cara paling mudah, membeli secara online. Malang sekali, dvd ini kehabisan stok. Maka, berminggu juga aku harus menanti hinggalah semalam dvd ini sampai ke tangan aku.
Terus terang aku katakan, untuk mengulas filem atau muzik, bukanlah di dalam bidang aku. Memandangkan, mahu mengotakan janji kepada Jimi, maka aku berikan sedikit pandangan berhubung dengan filem ini. Barangkali untuk berkongsi sedikit warna dan rasa yang aku lihat atau dengar kepada orang lain.
Kadangkala, kita merasakan hilang semangat dalam kehidupan. Seolah-olah sesuatu telah dicuri dari hidup kita. Lalu filem berkenaan menzahirkan bagaimana Roberta (lakonan Meryl Streep) yang cuba memulakan hidup selepas kemusnahan rumahtangganya dengan menjadi guru muzik di sebuah sekolah. Murid-murid yang datang dari persekitaran yang sederhana. Lama kelamaan Roberta mampu menjalin emosi melalui muzik yang dialunkan lalu diajar kepada murid-muridnya. Akhirnya, muzik itu berjaya menyatukan hati mereka dengan cara yang tersendiri. Tentu saja tugas sebagai guru itu bukanlah satu perkara yang mudah seperti yang disangka oleh semua orang. Kita mungkin boleh menjadi guru yang mengajar sesuatu, tetapi guru yang terbaik adalah mereka yang mampu memberikan inspirasi. Bukan saja di dalam kelas, bahkan di dalam kehidupan.
Saat menonton filem Music of The Heart ini, tiba-tiba saja aku terkenang tentang dunia muzik aku suatu ketika dulu. Masakan boleh aku lupakan kali pertama bermain alatan muzik di sekolah rendah. Kelas muzik yang aku ikuti dan ingati hanyalah sekadar baris-baris kod, nada dan juga lagu-lagu yang telah dicatatkan di dalam buku teks. Tapi, itu adalah kelas yang cukup melegakan bagi aku. Aku dapat lari seketika dari kelas Matematik yang memeningkan. Atau kelas bahasa Inggeris yang mengelirukan. Tidak dapat aku lupakan betapa seronoknya diberi peluang menyentuh dan bermain dengan alatan muzik mengikut kod dan tempo di dalam buku teks. Sambil diajar oleh cikgu kelas Muzik.
Hati jadi terhibur buat seketika. Tambahan pula, kelas ini tidak ada peperiksaan. Meskipun hanya sekali saja dalam seminggu, ianya agak menarik. Barangkali, ia akan bertambah menarik jika diterajui oleh mereka yang betul-betul tahu dan mampu membawa pelajarnya menyelami dunia muzik. Dan yang menyedihkan, peralatan muzik pada ketika itu tidak mencukupi.
Tidak dinafikan, tidak semua orang meminati muzik. Namun begitu, setiap bunyi yang melatari kehidupan kita bagaikan lagu yang tidak terhenti. Barangkali, minat dan kecenderungan aku menyebabkan muzik agak melekat di dalam jiwa aku. Lantaran itu, menonton filem berkenaan seakan mengimbau kenangan kali pertama merasai dunia muzik sewaktu di bangku sekolah. Bezanya, pada waktu itu biola pun tidak aku kenal. Yang paling diingati adalah rekorder.
Melihatkan murid-murid yang begitu muda usianya bermain alat muzik biola, membuatkan aku begitu sekali mempelajari dan bermain dengannya. Sebenarnya, kalau diberi kesempatan, aku mahu mempelajari dua alat muzik yang agak menarik, iaitu biola dan piano. Aku sukakan alunan biola yang menyentuh jiwa seperti muzik dari Secret Garden. Minat terhadap piano pula bermula ketika aku masuk ke MRSM. Rasa kagum terhadap rakan-rakan yang mempunyai bakat bermain piano di dewan besar hinggakan aku dan kawan aku sanggup menghabiskan masa di situ mendengar mereka bermain. Ataupun, jika berpeluang kami sendiri memetik piano tanpa sebarang buku muzik. Sekadar hafalan baris mana yang harus ditekan! Antara lagu yang selalu dimainkan adalah Nostalgy (Richard Clyderman) dan juga Where Do I Begin. Sekarang? Aku lupa semuanya. Hanya nada-nadanya saja bermain di benak kepala.
Dunia muzik telah lama aku tinggalkan. Jauh bersama kenangan di zaman persekolahan. Minat untuk mempelajari muzik secara khusus tinggal angan-angan. Apa yang ada, hanyalah sekadar untuk hiburan atau tempelan mengisi ruang kesunyian. Itupun hanya pada pilihan muzik yang tertentu sahaja.
Namun, tidak dapat aku nafikan, kadang-kadang ada lagu yang membuai perasaan di jiwa. Saat gembira. Saat duka. Saat jatuh. Saat bangun. Saat sepi. Saat sendiri. Saat bersama. Saat rajuk. Saat pedih. Saat sakit. Saat cinta. Saat rindu.
Kini, lagu rindu selalu saja berkumandang. Rindu yang dekat. Rindu yang jauh.
* Photo credits:
Violin, © William Whitehurst/Corbis
Piano, © Brooke Fasani/Corbis
Terlebih dahulu, terima kasih semua di atas ucapan, doa dan nasihat yang diberikan. Insya Allah, moga Allah akan mempermudahkan jalan yang kami lalui di sini. Tidak dinafikan, kadangkala terasa gementar mengenangkan menerima kehadiran orang baru tanpa orang tua di sisi. Apa yang bakal kami lalui nanti hanya berdasarkan pengalaman yang pernah dilalui sebelum ini. Meskipun begitu, ia seakan pertama kali melaluinya. Lebih-lebih lagi di tempat orang yang berbeza sedikit layanannya jika dibandingkan di Malaysia.
Sebenarnya, berita gembira ini sudah ada dicatatkan di dalam blog ini. Namun begitu, ianya disampaikan dengan maksud yang tersirat. Lebih-lebih lagi, perkara itu agak baru. Lalu, ianya menjadi satu harapan kepada kami berdua. Tidak lama selepas itu, terdapat beberapa peristiwa yang membuatkan kami rasa berdebar, khuatir jika benih yang masih baru tidak mampu bertahan. Apatah lagi isteri menyatakan terdapat lendiran darah yang begitu kerap. Hingga tertulisnya entri ini. Walau bagaimanapun, sudah tentunya kuasa-Nya mengatasi segala. Syukur, kerana dia masih lagi bertahan hingga ke saat ini.
Kami sememangnya sudah bersedia menerima orang baru. Mungkin ada yang merasakan mendapat anak di saat kesibukan mengejar dunia akademik yang sudah sedia mencabar, bakal menambah beban. Tapi kami cukup yakin dengan kuasa dan rahmat Tuhan. Kami tidak mahu menjadikan hadirnya anak-anak memberikan tekanan kepada kami. Bahkan, mereka menjadi pendorong yang amat luar biasa. Meskipun nanti bakal tertambah tanggungjawab, mereka datang bersama rezeki yang melimpah ruah. Bahkan, di saat ini, kami sudah mula merasakan nikmat-Nya sedikit demi sedikit. Dari rasa sempit menjadi lapang.
Banyak juga perkara yang dilalui membuatkan kami rasa sedikit berbeza berbanding waktu ibu mengandungkan Najla dulu. Sebelum ini, aku tidak pernah merasa pening atau mabuk. Kali ini, aku kerap pening dan muntah. Setidak-tidaknya, rasa begitu tidak dilalui oleh isteri. Mungkin aku dijadikan sebagai ganti.
Entah mengapa aku merasakan bayi yang masih lagi di dalam kandungan itu terasa begitu kuat, tabah, cekal dan cukup berdikari. Barangkali kerana ibunya begitu kuat mengharungi hari-hari dengan ketabahan. Meskipun sudah berbadan dua, masih lagi tegar untuk bersama-sama bekerja sambilan sebelum masuk ke universiti. Setiap pagi keluar rumah mengharungi kedinginan pagi dan pulang lewat petang dengan kepenatan. Bahkan, aku turut mengagumi kecekalan dan ketabahan untuk melalui kehidupan seperti biasa biarpun rasa letih. Itu belum lagi cabaran yang terpaksa ditempuh di dalam dunia akademik yang sudah sedia memerlukan ruang otak dan minda bergerak pantas pada setiap masa.
Moga nanti, lahirnya dia memberi kekuatan kepada kami. Menjadi pengikat kasih sayang yang berterusan dan juga menjadi rantaian kasih hingga ke syurga. Bahkan, menjadi anak dan manusia yang menenangkan mata, hati dan jiwa. Harapannya agar dia muncul sebagai manusia yang sentiasa berfikir tentang kehidupan dan berpegang teguh pada tali Allah. Sentiasa berada dalam rahmat dan kasih-Nya. Cekal dan kental pada setiap masa. Insya Allah!