08-05-08

Bernafas Lega

Posted in kerja i, peristiwa by fajr'

Hari ini, genap sudah setahun aku mendaftar sebagai pelajar di bumi Scotland. Cepat betul masa berlalu. Terasa seakan baru saja menjejakkan kaki di sini. Dan semalam, berlalu sudah satu peristiwa penting dalam perjalanan hidup akademik aku di sini. Ianya bukanlah satu titik noktah, bahkan sebagai satu batu loncatan untuk ke fasa yang seterusnya.

Beberapa hari sebelum pembentangan, aku bertungkus lumus menyusun segala maklumat yang berkenaan sebagai persediaan. Kepingan pembentangan yang pada asalnya berjumlah 30 lebih dipendekkan menjadi belasan sahaja untuk memastikan sekadar cukup dengan masa yang telah ditetapkan. Aku rangka skrip yang bersesuaian agar pembentangan aku nanti berlangsung dengan lancar.

Malam sebelum pembentangan, aku sibuk berlatih sehingga letih. Hingga ibu Najla berkata,

“Nanti, ada yang mimpi present masa tidur malam ini.”

Pagi itu, aku keluar rumah awal seperti biasa menuju ke tempat kerja. Melangsaikan kerja part time. Sebaik tamat segala tugas rutin, aku menyelit di tepi almari yang menempatkan peralatan mencuci. Aku buka kertas pembentangan dan membuat ulangkaji di situ. Jika ada orang datang, aku segera berpura-pura sibuk mengemas. Habis waktu kerja, aku terus beransur ke rumah untuk mempersiapkan diri.

Aku datang semula ke universiti dengan kemeja putih berjalur dan seluar berwarna coklat. Disepadankan pula dengan kasut berwarna putih. Memang sangat luar biasa. Sengaja aku berpakaian jauh dari kelaziman.

Sesi pembentangan bermula tepat pada jam 2.15 petang. Beberapa minit sebelum itu, aku usai solat Zohor di surau universiti. Mengharap agar penilaian yang bakal berlangsung berlalu dengan baik. Tiga orang panel berada di hadapan. Pembentang lain diasingkan pada bilik yang lain. Semasa pembentangan berlangsung, aku cuba melakukan yang terbaik. Meskipun diakui, banyak kali juga aku tersasul menyebut beberapa patah perkataan. Setiap soalan yang diberikan, cuba dijawab dengan sebaiknya. Tetapi terdapat satu soalan yang tidak dapat aku berikan sebarang jawapan kerana secara jujurnya aku tidak lagi mendapatkan maklumat berkenaan dengannya.

Bilik berkenaan aku rasakan panas. Adakah kerana panas dari sistem pemanas atau kerana rasa debar dari diri aku sendiri? Terasa peluh membasahi lapisan baju. Sebaik tamat pembentangan dan sesi soal jawab, aku diminta menanti keputusan penilaian di bilik sebelah. Aku hanya mampu bernafas lega. Setidak-tidaknya, sesi berkenaan telah pun aku lalui dengan kemampuan yang ada. Selebihnya, aku hanya bertawakal.

Tidak lama kemudian, aku dipanggil semula untuk mendapatkan keputusan penilaian. Syukur, aku telah diluluskan untuk penilaian tahun pertama. Terasa lapang untuk seketika. Terbang sudah penat lelah beberapa minggu. Aku harus mengingatkan diri, ini bukanlah penamatnya. Ini adalah satu langkah awal sebelum menuju ke jalan yang lebih mencabar.

Lewat petang, aku melangkah keluar dari makmal untuk pulang ke rumah. Terserempak dengan John yang turut menjadi salah seorang panel penilai pada sesi pembentangan tadi.

Hi John. So, how is it?“, sapa aku sambil menuju ke arahnya.

Dua perkataan yang dapat aku tangkap dari mulutnya membuatkan aku rasa cukup gembira.

Excellent. And confident!

Kata-kata itu sudah cukup memberikan semangat untuk aku terus berjuang dan memberikan yang terbaik pada masa akan datang. Dan sewaktu pulang ke rumah, bibir aku terus menguntum senyuman. Nafas dihela dengan rasa lega dan syukur. Dan hari itu, Glasgow terus ceria dengan limpahan cahaya matahari. Seolah meraikan kemenangan kecil ini.

You can leave a comment, or trackback from your own site. RSS 2.0

15 comments

  1. JIMI says:

    Tahniah ya Fajar.Lepas tahun pertama ya. Seperti semalam baca entri rindu fajar pada isteri dan anak yang jauh ditinggalkan di tanah air. Dan kini, lihatlah sudah setahun.Dan sudah bersama satu keluarga.

    Teruskan perjuangan ya.

    08-05-08 at 2:34 pm

  2. fajr' says:

    Terima kasih Jimi. Terimbau pula kenangan pertemuan dengan mereka. Rasanya, itu adalah saat yang cukup menggamit rasa. Masih banyak lagi laluan yang perlu dilalui. Moga diri ini tabah menghadapinya.

    Jimi, I’m waiting for the DVD that I ordered through HMV to arrive. Tak sabar sungguh nak habiskan filem Music of The Heart.

    08-05-08 at 2:40 pm

  3. napang says:

    Omedetou Fajar!!! Let they know wut malaysian can do. hehehe

    09-05-08 at 2:22 am

  4. kak sue says:

    Alhamdulillah…
    and tahniah Fajar.
    Semoga lbh cemerlang pd masa akan dtg.

    09-05-08 at 4:02 am

  5. simply sweet says:

    tahniah fajar..teruskan perjuangan dan terus berjuang.. :)

    09-05-08 at 4:20 am

  6. aminbakish says:

    tahniah. berbaloi dengan usaha yang dibuat. Semoga berjaya seterusnya :)

    09-05-08 at 6:48 am

  7. mar says:

    Senang atau susah, jalan mesti terus. Hari ini explore entry En Fajar yg lepas2. Conclusion? BEST! Tahniah

    09-05-08 at 7:57 am

  8. Abu Bazli says:

    *standing ovation*

    09-05-08 at 12:13 pm

  9. rudy says:

    alhamdulillah. omedetou! setahun sekelip mata jerk kan. ok..1thn dah lepas dgn jayanya meski ada perit di tengah2nya.

    moga berjaya di tahun kedua pula. aminnn!

    10-05-08 at 12:34 pm

  10. giant says:

    assalamualaikum abg paja,
    cuma mau ngasi tau..
    laskar pelangi tu ‘indah’ sekali!!!
    baca yek..

    12-05-08 at 4:34 am

  11. Unsunghero says:

    Tahniah Fajar. Moga ‘Fajar’ terus bersinar indah di bumi Scotland. :)

    12-05-08 at 7:02 am

  12. aliff says:

    bravo!bravo! standing ovation!

    12-05-08 at 12:02 pm

  13. zahila says:

    wah wah wah
    fajar!tahniah yer..
    Alhamdulillahh.. berbayar jugak penat lelah ko mengkaji dan berfikir..
    aku doakan ko terus success..
    :D

    13-05-08 at 5:24 am

  14. asuhara says:

    teruskan cahaya mentari glasgow ceria dengan keindahan hidup kamu di sana yer! omedeto!

    13-05-08 at 7:05 am

  15. fajr' says:

    napang: terima kasih!

    kak sue: terima kasih. doakan agar kejayaan tetap mengiringi hidup kita. dunia akhirat.

    simply sweet: terima kasih.

    aminbakish: terima kasaih. moga akan terus berjuang!

    mar: tetap akan diteruskan. terima kasih mar kerana sudi singgah dan baca blog ini. best ke? terima kasih.

    abu bazli: *tunduk dan syukur*

    rudy: thanks rudy. masih byk lg yg bakal dilalui. moga Allah mempermudahkan segalanya.

    giant: wa’alaikumsalam. apa lagi, kirimkanlah buku tu ke sini.

    Unsunghero: terima kasih bang. Moga fajar itu akan terus bersinar dan memberi kekuatan pada setiap masa dan ketika. hingga ke akhirnya.

    aliff: terima kasih banyak2.

    zahila: terima kasih. syukur. moga2 dipermudahkan Allah sentiasa. dan moga2 Allah memberi kejayaan buat kita dunia akhirat.

    asuhara: insya Allah. moga-moga mentari akan terus bersinar.

    13-05-08 at 1:24 pm

Leave a comment