Setahun Berlalu
Dulu, aku tidak pernah langsung mengimpikan bahawa satu hari nanti aku akan merantau jauh ke negara orang demi mengejar impian. Bahkan, ia diumpamakan satu mimpi. Namun, sudah tertulis bahawa aku diberi peluang untuk menghirup udara di sudut bumi yang lain. Setiap nafas selalu memberi isyarat untuk terus bersyukur atas nikmat yang diberikan.
Benar kata orang, barangkali bintang kehidupan yang telah dianugerahkan kepada aku agak cerah. Tidak sesekali aku lupakan, suatu ketika dulu aku melalui keadaan yang begitu sukar hingga membuatkan aku nekad untuk mengejar impian biarpun sukar sekalipun. Oleh yang demikian, setiap sesuatu yang pernah hadir di dalam hidup aku, meninggalkan kesan yang cukup mendalam. Membuatkan aku jadi seorang yang cukup menghargai.
Biarpun fizikal aku tidak gagah, hati aku kadangkala agak keras. Menginginkan sesuatu hingga dibawa ke dalam mimpi. Ada juga impian yang terbang dan terlepas dari genggaman tangan. Tapi aku percaya, ada hikmah mengapa sesuatu itu terjadi. Demi kehidupan, aku teruskan dan akhirnya berada pada landasan yang aku lalui sekarang.
Masa berlalu begitu pantas. Adakah dunia zaman sekarang memang bergerak pantas, atau aku yang ketinggalan dengan masa? Seakan terasa aku baru saja menjejakkan kaki di bumi Glasgow. Masih banyak tempat yang begitu asing di mata aku. Ternyata sekali, satu tahun itu adalah jangka masa yang begitu singkat untuk menikmati setiap detik berlalu. Barangkali kerana kesibukan yang dilalui membuatkan aku tidak menyedari hitungan masa.
Pada mulanya, tempat ini bukanlah pilihan utama aku. Bahkan, tidak tersenarai dalam pilihan langsung. Pencarian tempat dan penyelia mengambil masa yang agak lama. Universiti pilihan aku pada waktu itu mengirimkan balasan duka. Permohonan aku ditolak tanpa sebarang sebab. Seperti terasa itulah kali pertama aku ditolak sedemikian rupa hingga menerbitkan rasa kecewa. Ternyata, Tuhan telah mengatur rancangan yang lebih baik kepada aku, apabila ditawarkan tempat di salah sebuah universiti di Scotland ini.
Beberapa bulan sebelum berangkat, pelbagai urusan terpaksa disegerakan. Pening juga dibuatnya. Kepenatan mental dan fizikal benar-benar teruji. Namun, yang paling menguji adalah untuk meninggalkan Najla dan ibunya dalam jangka masa sebulan. Berpisah seminggu sudah bisa membuatkan kami tidak keruan. Apatah lagi sebulan dan jauh terpisah antara benua. Sudah tentu rasa rindu berderu-deru selalu.
Bak kata Hang Tuah di dalam layar filem Puteri Gunung Ledang, “yang tinggal hati tak elok, yang pergi hati tak senang”
Masih aku ingat, kali pertama berada di bumi orang, seribu satu rasa singgah ke lubuk hati. Apatah lagi, keputusan yang aku ambil membuatkan aku terpaksa berjauhan dengan orang-orang yang aku sayangi. Lebih-lebih lagi dengan mak dan bapak yang semakin meningkat usianya. Ditambah pula satu demi satu masalah yang begitu menghiris jiwa dan hati kami sekeluarga. Bukan bermakna, terbang jauh ke negara orang menandakan aku melarikan diri dari semua ini. Tapi, masa juga telah menetapkan bahawa sudah tiba masanya untuk aku memulakan perjuangan. Menafikan seketika segala kekusutan yang melanda.
Saat mata melihat bumi Scotland dari pandangan atas di sisi tingkap kapalterbang, terbit rasa gembira. Namun, ianya dirasakan untuk seketika. Entah kenapa, muncul pula rasa kekosongan yang teramat. Rasa gembira dan keterujaan itu mati apabila diri tidak bersama dengan orang yang dikasihi. Najla dan ibunya tidak dapat terbang bersama kerana terpaksa menguruskan hal lain. Oleh yang demikian, aku datang sebulan awal. Dalam masa yang sama, moga dapat menyesuaikan diri dan mendapatkan rumah sewa sebelum mereka tiba di sini.
Rasa terima kasih dan seribu penghargaan kepada mereka yang banyak membantu di awal kehadiran aku di tanah asing ini. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang sudi memberikan tempat tumpangan untuk aku buat sementara. Juga kepada seorang teman yang bersusah-payah mengambil aku di hari ketibaan. Bermula dari saat itu, cabaran demi cabaran menyusul. Bagai menguji ketabahan dan kekuatan diri seorang pendatang di rantau orang. Segala-galanya menjadi perkara yang baru. Dan aku cuba setia untuk memahami dan mengenali.
Sebulan, aku menjadi seperti insan yang kesepian biarpun dikelilingi dengan keriuhan manusia dan kesibukan kota Glasgow. Barangkali kerana rasa asing yang bertandang. Namun, sebab yang utama adalah hati aku yang terasa kosong tanpa Najla dan ibunya. Justeru itu, saat kehadiran mereka, aku menjadi manusia yang cukup gembira pada waktu itu. Satu pertemuan yang cukup bermakna. Sukar untuk dizahirkan dengan perkataan apa itu rindu. Rasa syahdu dan sebak memenuhi segenap ruang saat kami melunaskan rasa rindu itu. **
Kini, sudah kami lalui empat musim yang berbeza di bumi Scotland. Dari musim panas, melewati musim luruh dengan gugurnya daun-daun berwarna emas keperangan. Seterusnya, saat kedinginan mengigit kulit hingga ke tulang di musim sejuk. Kini, Glasgow cuba mengusik jiwa dengan cuaca indah dan pemandangan menawan di musim bunga. Selama empat musim inilah, kami sekeluarga melalui kehidupan sebagai perantau dengan ketabahan, kecekalan dan kesabaran. Di celahan musim yang berlalu, terselit seribu satu rasa dan pengalaman yang menjadi pedoman serta cebisan kehidupan yang cukup berharga.
Usah ditanya sejauh mana rindu yang telah kami simpan. Di kejauhan ini, setahun berlalu sudah bisa mentakrifkan setiap rasa yang berkumpul. Kini, sudah tiba detiknya untuk kami menikmati pada setiap cebisan peristiwa kerana satu hari nanti, tempat ini pula bakal dirindui. Dan pastinya, perjuangan kami masih belum berakhir.
Foto: Bunga di atas adalah bunga pasu yang dibeli di awal kehadiran kami di sini. Kini, ianya sudah menerbitkan kudup bunga yang baru, menandakan bermulanya musim yang baru.

zulfadli says:
aduhh.. syahdunyaaa..
bila balik mesia ek?
13-05-08 at 1:44 pm
izanazrin says:
consider urself lucky to have love ones during ur stay in far far land. i was all alone for 5 years in an alien land. bachelor, naive, struggling to survive without guidance. nasib baik tak tersasar berkat doa ibu ayah dan sedikit bekal agama. so if u ever bumped into budak melayu yg tgh study degree kat sana, cuba2 lah get close with him or her so that they’re not feeling so alone and alienated. they r all hunger for help and guidance, and love…. ada yg tak balik sampai 3,4 tahun sebab tak cukup duit, ada yg tersasar dgn lifestyle mat saleh, etc etc. bantulah mereka, sesungguhnya mereka sangat naif dan sunyi… ada yg sampai fail sebab jiwa terlalu mentah dan hanyut dlm dunia sendiri…
13-05-08 at 6:21 pm
asuhara says:
rasanya jarak waktu perantauan kita hampir sama, cumanaya saya hanya merantau di negara sendiri, sedangkan fajar nun disana… namun setiap kali berpisah dgn family perasaan “yang tinggal hati tak elok, yang pergi hati tak senang” tetap ada walau setiap bulan bersua mata apatah lagi anda di sana…
Bertahan dan hidup dengan bahagia ye, pengalaman anda disana akan jadi rujukan yang lain nanti!
14-05-08 at 4:06 am
blackpurple @jowopinter says:
Salam.
Ada kesyahduan dan rasa rindu membaca tulisan kamu ini.
14-05-08 at 8:48 am
napang says:
fajar, i agree with izanazrin. Hope u can share the happiness and familyhood with them. (U know a one old frenz had totally lost in the abroad). I think that kind a good effort to close with them.
14-05-08 at 4:25 pm
zahila says:
cantik gambar bunga yg berkudup tu..
14-05-08 at 6:54 pm
Khairyn says:
Hidup di perantauan ni mengajar aku bukan saja menyesuaikan diri dengan cuaca dan cara hidup yang berbeza tapi juga berdikari dari setiap segi
14-05-08 at 7:15 pm
fajr' says:
zulfadli: lambat lagi la zul. doakan agar semuanya berjalan lancar. barulah dpt pulang dengan rasa puas dan gembira.
izanazrin: terima kasih kerana berkongsi cerita. tidak dinafikan, rasa sunyi itu memang ada, apatah lagi keberadaan jauh di tempat orang. dan kesepian itu bisa membunuh jiwa! Insya Allah, tidak mungkin saya lupakan atau mengendahkan wajah Melayu di sini. bahkan, jumlah rakyat Malaysia yang ramai di sini menjadikan kami tidak sesekali terpinggir.
asuhara: berpisah dan bertemu itu adalah adat kehidupan. moga setiap pertemuan dan perpisahan itu mendapat rahmat dari-Nya kerana dengan itu hati kita akan menjadi lapang dan tenang. Insya Allah, moga perkongsian pengalaman dari kaca mata saya di sini dapat dimanfaatkan.
blackpurple @ jowopinter: terima kasih. rasa rindu itu sentiasa bersama. selalu.
napang: Insya Allah. kebiasaanya, bila berjauhan begini, lebih banyak tali persaudaraan cuba dijalinkan.
zahila: bunga berkenaan sudah pun berkembang dan layu. mungkin nak kena beli bunga baru kot?
Khairyn: betul tu. hidup di rantauan banyak mengajar erti ketabahan dan kesabaran. bahkan membuatkan kita lebih menghargai apa yang pernah kita lalui. setiap sesuatu menjadi pengalaman kehidupan yang cukup bermakna!
14-05-08 at 8:12 pm
Abu Bazli says:
kalau nak try pakai kilt, sila pakai spender sekali ehhh…
17-05-08 at 7:36 am
rudy says:
apa yg napang n izan sebut itu benar. sama dgn diri aku yg tercampak di universiti yg bilangan melayu dan lelaki melayu islamnya boleh dikira. tidak sampai sepuluh orang. lagi2 pd usia yg sgt muda dan mentah ketika itu tidak cecahpun 20 thn. beruntunglah bagi mereka yang pergi slps kematangan wujud dlm diri.
moga2 thn yg kedua ini lebih menyemarakkan daya juangmu, especially dgn kehadiran bakal ahli kuarga baru. ingat Allah selalu.
17-05-08 at 3:09 pm
naj says:
hr ini pertama kali saya mbaca blog ini..mata terus dan terus mbaca segala yg dicatat di sini..
pengalaman di rantau orang, New South Wales Sydney walau hanya setahun banyak mengajar saya erti sebenar hidup. Perasaan ketika pertama kali keluar dari msia dan sampai di bumi asing seorang diri sama spt fajr..spt tidak sabar tetapi takut utk kembali ke bumi asing utk meneruskan perjuangan spt fajr..moga fajr berjaya di sana dan kembali ke bumi msia utk mdidik anak bangsa kita…Insyaallah..
21-05-08 at 2:00 pm