23-05-08

Lagu Di Hati Kita

Posted in minat, rasa by fajaril

Akhirnya, setelah sekian lama barulah aku berpeluang menghabiskan menonton filem ini, Music of The Heart, lakonan mantap dari Meryl Streep. Itu pun sebaik sahaja aku menerima dvd yang dipesan secara online. Apapun, harus aku berterima kasih dari seorang rakan yang begitu bersusah payah melaksanakan projeknya lalu menghantarkan kiriman filem-filem yang berkualiti kepada aku. Terima kasih Jimi! Jika bukan kerana dorongan dan ulasan darinya, barangkali aku tidak mengetahui langsung tentang filem-filem yang baik. Ada banyak filem yang dikirimkan dan kebanyakannya menjentik sesuatu ke dalam diri aku - semangat!

Pada waktu-waktu begini, aku cuba menghindari filem atau cerita yang depressed kerana aku tidak mahu dibayangi keadaan sebegitu. (Aduh, sensitif sungguh!). Mujur juga hampir semua filem yang dikirimkan mempunyai nada inspirasi di dalamnya. Sebenarnya, filem ini ditonton hanya separuh jalan sahaja pada mulanya memandangkan terdapat sedikit masalah teknikal dengan kiriman cd yang dihantar. Tertekan juga dibuatnya kerana melihat cerita menarik, tetapi tergantung. Demi mahu mendapatkan keseluruhan cerita, maka aku terpaksa mencari dvd ini. Cara paling mudah, membeli secara online. Malang sekali, dvd ini kehabisan stok. Maka, berminggu juga aku harus menanti hinggalah semalam dvd ini sampai ke tangan aku.

Terus terang aku katakan, untuk mengulas filem atau muzik, bukanlah di dalam bidang aku. Memandangkan, mahu mengotakan janji kepada Jimi, maka aku berikan sedikit pandangan berhubung dengan filem ini. Barangkali untuk berkongsi sedikit warna dan rasa yang aku lihat atau dengar kepada orang lain.

Kadangkala, kita merasakan hilang semangat dalam kehidupan. Seolah-olah sesuatu telah dicuri dari hidup kita. Lalu filem berkenaan menzahirkan bagaimana Roberta (lakonan Meryl Streep) yang cuba memulakan hidup selepas kemusnahan rumahtangganya dengan menjadi guru muzik di sebuah sekolah. Murid-murid yang datang dari persekitaran yang sederhana. Lama kelamaan Roberta mampu menjalin emosi melalui muzik yang dialunkan lalu diajar kepada murid-muridnya. Akhirnya, muzik itu berjaya menyatukan hati mereka dengan cara yang tersendiri. Tentu saja tugas sebagai guru itu bukanlah satu perkara yang mudah seperti yang disangka oleh semua orang. Kita mungkin boleh menjadi guru yang mengajar sesuatu, tetapi guru yang terbaik adalah mereka yang mampu memberikan inspirasi. Bukan saja di dalam kelas, bahkan di dalam kehidupan.

Saat menonton filem Music of The Heart ini, tiba-tiba saja aku terkenang tentang dunia muzik aku suatu ketika dulu. Masakan boleh aku lupakan kali pertama bermain alatan muzik di sekolah rendah. Kelas muzik yang aku ikuti dan ingati hanyalah sekadar baris-baris kod, nada dan juga lagu-lagu yang telah dicatatkan di dalam buku teks. Tapi, itu adalah kelas yang cukup melegakan bagi aku. Aku dapat lari seketika dari kelas Matematik yang memeningkan. Atau kelas bahasa Inggeris yang mengelirukan. Tidak dapat aku lupakan betapa seronoknya diberi peluang menyentuh dan bermain dengan alatan muzik mengikut kod dan tempo di dalam buku teks. Sambil diajar oleh cikgu kelas Muzik.

Hati jadi terhibur buat seketika. Tambahan pula, kelas ini tidak ada peperiksaan. Meskipun hanya sekali saja dalam seminggu, ianya agak menarik. Barangkali, ia akan bertambah menarik jika diterajui oleh mereka yang betul-betul tahu dan mampu membawa pelajarnya menyelami dunia muzik. Dan yang menyedihkan, peralatan muzik pada ketika itu tidak mencukupi.

Tidak dinafikan, tidak semua orang meminati muzik. Namun begitu, setiap bunyi yang melatari kehidupan kita bagaikan lagu yang tidak terhenti. Barangkali, minat dan kecenderungan aku menyebabkan muzik agak melekat di dalam jiwa aku. Lantaran itu, menonton filem berkenaan seakan mengimbau kenangan kali pertama merasai dunia muzik sewaktu di bangku sekolah. Bezanya, pada waktu itu biola pun tidak aku kenal. Yang paling diingati adalah rekorder.

Melihatkan murid-murid yang begitu muda usianya bermain alat muzik biola, membuatkan aku begitu sekali mempelajari dan bermain dengannya. Sebenarnya, kalau diberi kesempatan, aku mahu mempelajari dua alat muzik yang agak menarik, iaitu biola dan piano. Aku sukakan alunan biola yang menyentuh jiwa seperti muzik dari Secret Garden. Minat terhadap piano pula bermula ketika aku masuk ke MRSM. Rasa kagum terhadap rakan-rakan yang mempunyai bakat bermain piano di dewan besar hinggakan aku dan kawan aku sanggup menghabiskan masa di situ mendengar mereka bermain. Ataupun, jika berpeluang kami sendiri memetik piano tanpa sebarang buku muzik. Sekadar hafalan baris mana yang harus ditekan! Antara lagu yang selalu dimainkan adalah Nostalgy (Richard Clyderman) dan juga Where Do I Begin. Sekarang? Aku lupa semuanya. Hanya nada-nadanya saja bermain di benak kepala.

Dunia muzik telah lama aku tinggalkan. Jauh bersama kenangan di zaman persekolahan. Minat untuk mempelajari muzik secara khusus tinggal angan-angan. Apa yang ada, hanyalah sekadar untuk hiburan atau tempelan mengisi ruang kesunyian. Itupun hanya pada pilihan muzik yang tertentu sahaja.

Namun, tidak dapat aku nafikan, kadang-kadang ada lagu yang membuai perasaan di jiwa. Saat gembira. Saat duka. Saat jatuh. Saat bangun. Saat sepi. Saat sendiri. Saat bersama. Saat rajuk. Saat pedih. Saat sakit. Saat cinta. Saat rindu.

Kini, lagu rindu selalu saja berkumandang. Rindu yang dekat. Rindu yang jauh.

* Photo credits:
Violin, © William Whitehurst/Corbis
Piano, © Brooke Fasani/Corbis

You can leave a comment, or trackback from your own site. RSS 2.0

10 comments

  1. rudy says:

    …ni musti tgh bsedih lagik ni… aku tgh baca smpi lapis makna ke7 ni….

    24-05-08 at 5:14 am

  2. JIMI says:

    Gembira Fajar suka dengan seleksi filem-filem yang aku kirimkan tu.

    Music of The Heart, cerita kisah benar Roberta Guaspari, yang menjadi guru muzik di daerah yang jauh dari kemajuan.

    Semoga bisa membakar semangat Fajar.

    Bagaimana dengan filem-filem yang lain tu, agak depresi ke? hope not.

    24-05-08 at 1:39 pm

  3. asuhara says:

    ni sedang rindu-rinduan ni bunyik entri nih….

    p/s: sedang berusaha keras nak belajar petik gitar, boleh layan perasaan- nak nyanyi suara x sedap!

    25-05-08 at 6:36 am

  4. jidah says:

    salam..

    bila balik malaysia?
    kalau balik cuti ke apa ke..

    saya boleh bawa dtg ke ASWARA. kat sini macam-macam muzik boleh dengar selain daripada teater, tarian, tayangan filem, dan koleksi buku-buku sastera yang banyak. :-)

    p/s: saya nak ucapkan jutaan terima kasih kat abg fajar sbb mencetus semangat saya utk belajar dulu, dan sekarang saya di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan(ASWARA) dalam jurusan Penulisan Kreatif yang sangat saya minati.

    saya doakan abg bahagia dan berjaya dalam apa jua bidang. insyaAllah, amin.

    najla tu kiut sangat-sangatlah. =)

    25-05-08 at 8:26 am

  5. aliff says:

    dulu masa sedih selalu alif tiup seruling buluh.lagunya pun sedihlah.namun satu hari ditegur orang, kenapa perlu sedih berlarutan? cukuplah sedih seketika!

    26-05-08 at 1:52 am

  6. fajr' says:

    rudy: ha’ah, sedih la jugak sebab David Archuleta kalah. cis cis! hahaha

    jimi: again, thank you, thank you, thank you very much!

    asuhara: rindu kat kampung. ;)

    jidah: salam. ya, masih ingat lagi! wah, sudah ke ASWARA ya. tahniah. moga dapat mengecapi segala impian. didoakan agar berjaya dlm bidang yg diceburi. Insya Allah

    aliff: betul kata-kata itu. jgn terlalu mengikut kata hati yang sedih. hidup harus positif!

    28-05-08 at 1:21 pm

  7. nana says:

    kadang2 mcm x pecaya, ape yg berlaku dlm diri kita,apa yg kite gemari….turut berlaku pada seseorang yg memang kita x kenal….. pertemuannya secara tiba2..tidak ditentukan…

    20-08-08 at 12:50 pm

  8. nkab says:

    sori menumpg lalu, act sy sedang mencari someone yg boleh tlg bagtau not c,a, b or else di papan keyboard. juga nak minta satu dua chord lagu. just want 2 try bcoz ada keyboard di rumah tp x tua main. tq u for ur help

    17-10-08 at 7:56 am

  9. Ydiana says:

    Haa..saya kesini secara kebetulan. Google daun kesum, sebab nak belajar gardening, tak jumpa pulak disini. Tapi ternampak minat saudara untuk bermain piano. Saya juga seperti itu, tapi sekarang kerana minat, saya pelajari basic playing by ear. Jika impian ini masih terpahat, carilah pemukul pahat itu.

    31-10-08 at 6:34 am

  10. Ydiana says:

    Sori..salah link. http://pianobyear.blogspot.com

    31-10-08 at 6:37 am

Leave a comment