15-05-08

Saat pertama melihatmu,
hati diterpa seribu rasa,
ini hadiah,
ini anugerah,
buat kami dari Yang Esa.
Hadirmu,
membawa khabar gembira,
menghembus semangat,
pada diri yang sedang berjuang.
Lambaianmu penuh mesra,
mengusik sanubari,
buat kami yang sabar menanti.
Sayang,
sepenuh hati,
kamu dinantikan!
Glasgow,
14-05-08.
[+]
Kini, dapat kami lihat bentuk tubuh kecilmu. Selama ini, hanya tersembunyi di balik lapisan kulit dan rahim ibu. Adakah kaki dan tangan itu yang selalu bergerak-gerak di malam hari? Adakah siku itu yang bergesel setiap kali ibu sedang berehat? Adakah kaki itu yang bertindak balas apabila ayah mengusapmu dari perut ibu? Adakah tangan itu juga yang bergerak-gerak setiap kali ibu bersolat dan membaca kalam-Nya?
“Dapatkah kau dengar bicara kami, duhai anakku?
Dapatkah kau dengar pesan dan panggilan dari kami?
Dapatkah kau dengar gurau senda dari kakakmu?
Bisakah kau dengar rajuk seorang kakak menanti kehadiranmu?
Kami di luar ini, selalu menghimpun doa buatmu,
hingga tiba detiknya kau bersedia bernafas sendiri,
di bumi Tuhan yang luas ini.”
Sukar sekali untuk diterjemahkan apa yang bertandang di hati kami. Tiada baris mahupun kata mampu menzahirkan segenap rasa itu. Apatah lagi pada saat melihatkan imbasan gambar tubuh kecilnya itu. Rasa keharuan dan kesyukuran menyelubungi jiwa.
13-05-08

Dulu, aku tidak pernah langsung mengimpikan bahawa satu hari nanti aku akan merantau jauh ke negara orang demi mengejar impian. Bahkan, ia diumpamakan satu mimpi. Namun, sudah tertulis bahawa aku diberi peluang untuk menghirup udara di sudut bumi yang lain. Setiap nafas selalu memberi isyarat untuk terus bersyukur atas nikmat yang diberikan.
Benar kata orang, barangkali bintang kehidupan yang telah dianugerahkan kepada aku agak cerah. Tidak sesekali aku lupakan, suatu ketika dulu aku melalui keadaan yang begitu sukar hingga membuatkan aku nekad untuk mengejar impian biarpun sukar sekalipun. Oleh yang demikian, setiap sesuatu yang pernah hadir di dalam hidup aku, meninggalkan kesan yang cukup mendalam. Membuatkan aku jadi seorang yang cukup menghargai.
Biarpun fizikal aku tidak gagah, hati aku kadangkala agak keras. Menginginkan sesuatu hingga dibawa ke dalam mimpi. Ada juga impian yang terbang dan terlepas dari genggaman tangan. Tapi aku percaya, ada hikmah mengapa sesuatu itu terjadi. Demi kehidupan, aku teruskan dan akhirnya berada pada landasan yang aku lalui sekarang.
Masa berlalu begitu pantas. Adakah dunia zaman sekarang memang bergerak pantas, atau aku yang ketinggalan dengan masa? Seakan terasa aku baru saja menjejakkan kaki di bumi Glasgow. Masih banyak tempat yang begitu asing di mata aku. Ternyata sekali, satu tahun itu adalah jangka masa yang begitu singkat untuk menikmati setiap detik berlalu. Barangkali kerana kesibukan yang dilalui membuatkan aku tidak menyedari hitungan masa.
Pada mulanya, tempat ini bukanlah pilihan utama aku. Bahkan, tidak tersenarai dalam pilihan langsung. Pencarian tempat dan penyelia mengambil masa yang agak lama. Universiti pilihan aku pada waktu itu mengirimkan balasan duka. Permohonan aku ditolak tanpa sebarang sebab. Seperti terasa itulah kali pertama aku ditolak sedemikian rupa hingga menerbitkan rasa kecewa. Ternyata, Tuhan telah mengatur rancangan yang lebih baik kepada aku, apabila ditawarkan tempat di salah sebuah universiti di Scotland ini.
Beberapa bulan sebelum berangkat, pelbagai urusan terpaksa disegerakan. Pening juga dibuatnya. Kepenatan mental dan fizikal benar-benar teruji. Namun, yang paling menguji adalah untuk meninggalkan Najla dan ibunya dalam jangka masa sebulan. Berpisah seminggu sudah bisa membuatkan kami tidak keruan. Apatah lagi sebulan dan jauh terpisah antara benua. Sudah tentu rasa rindu berderu-deru selalu.
Bak kata Hang Tuah di dalam layar filem Puteri Gunung Ledang, “yang tinggal hati tak elok, yang pergi hati tak senang”
Masih aku ingat, kali pertama berada di bumi orang, seribu satu rasa singgah ke lubuk hati. Apatah lagi, keputusan yang aku ambil membuatkan aku terpaksa berjauhan dengan orang-orang yang aku sayangi. Lebih-lebih lagi dengan mak dan bapak yang semakin meningkat usianya. Ditambah pula satu demi satu masalah yang begitu menghiris jiwa dan hati kami sekeluarga. Bukan bermakna, terbang jauh ke negara orang menandakan aku melarikan diri dari semua ini. Tapi, masa juga telah menetapkan bahawa sudah tiba masanya untuk aku memulakan perjuangan. Menafikan seketika segala kekusutan yang melanda.
Saat mata melihat bumi Scotland dari pandangan atas di sisi tingkap kapalterbang, terbit rasa gembira. Namun, ianya dirasakan untuk seketika. Entah kenapa, muncul pula rasa kekosongan yang teramat. Rasa gembira dan keterujaan itu mati apabila diri tidak bersama dengan orang yang dikasihi. Najla dan ibunya tidak dapat terbang bersama kerana terpaksa menguruskan hal lain. Oleh yang demikian, aku datang sebulan awal. Dalam masa yang sama, moga dapat menyesuaikan diri dan mendapatkan rumah sewa sebelum mereka tiba di sini.
Rasa terima kasih dan seribu penghargaan kepada mereka yang banyak membantu di awal kehadiran aku di tanah asing ini. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang sudi memberikan tempat tumpangan untuk aku buat sementara. Juga kepada seorang teman yang bersusah-payah mengambil aku di hari ketibaan. Bermula dari saat itu, cabaran demi cabaran menyusul. Bagai menguji ketabahan dan kekuatan diri seorang pendatang di rantau orang. Segala-galanya menjadi perkara yang baru. Dan aku cuba setia untuk memahami dan mengenali.
Sebulan, aku menjadi seperti insan yang kesepian biarpun dikelilingi dengan keriuhan manusia dan kesibukan kota Glasgow. Barangkali kerana rasa asing yang bertandang. Namun, sebab yang utama adalah hati aku yang terasa kosong tanpa Najla dan ibunya. Justeru itu, saat kehadiran mereka, aku menjadi manusia yang cukup gembira pada waktu itu. Satu pertemuan yang cukup bermakna. Sukar untuk dizahirkan dengan perkataan apa itu rindu. Rasa syahdu dan sebak memenuhi segenap ruang saat kami melunaskan rasa rindu itu. **
Kini, sudah kami lalui empat musim yang berbeza di bumi Scotland. Dari musim panas, melewati musim luruh dengan gugurnya daun-daun berwarna emas keperangan. Seterusnya, saat kedinginan mengigit kulit hingga ke tulang di musim sejuk. Kini, Glasgow cuba mengusik jiwa dengan cuaca indah dan pemandangan menawan di musim bunga. Selama empat musim inilah, kami sekeluarga melalui kehidupan sebagai perantau dengan ketabahan, kecekalan dan kesabaran. Di celahan musim yang berlalu, terselit seribu satu rasa dan pengalaman yang menjadi pedoman serta cebisan kehidupan yang cukup berharga.
Usah ditanya sejauh mana rindu yang telah kami simpan. Di kejauhan ini, setahun berlalu sudah bisa mentakrifkan setiap rasa yang berkumpul. Kini, sudah tiba detiknya untuk kami menikmati pada setiap cebisan peristiwa kerana satu hari nanti, tempat ini pula bakal dirindui. Dan pastinya, perjuangan kami masih belum berakhir.
Foto: Bunga di atas adalah bunga pasu yang dibeli di awal kehadiran kami di sini. Kini, ianya sudah menerbitkan kudup bunga yang baru, menandakan bermulanya musim yang baru.
08-05-08
Hari ini, genap sudah setahun aku mendaftar sebagai pelajar di bumi Scotland. Cepat betul masa berlalu. Terasa seakan baru saja menjejakkan kaki di sini. Dan semalam, berlalu sudah satu peristiwa penting dalam perjalanan hidup akademik aku di sini. Ianya bukanlah satu titik noktah, bahkan sebagai satu batu loncatan untuk ke fasa yang seterusnya.
Beberapa hari sebelum pembentangan, aku bertungkus lumus menyusun segala maklumat yang berkenaan sebagai persediaan. Kepingan pembentangan yang pada asalnya berjumlah 30 lebih dipendekkan menjadi belasan sahaja untuk memastikan sekadar cukup dengan masa yang telah ditetapkan. Aku rangka skrip yang bersesuaian agar pembentangan aku nanti berlangsung dengan lancar.
Malam sebelum pembentangan, aku sibuk berlatih sehingga letih. Hingga ibu Najla berkata,
“Nanti, ada yang mimpi present masa tidur malam ini.”
Pagi itu, aku keluar rumah awal seperti biasa menuju ke tempat kerja. Melangsaikan kerja part time. Sebaik tamat segala tugas rutin, aku menyelit di tepi almari yang menempatkan peralatan mencuci. Aku buka kertas pembentangan dan membuat ulangkaji di situ. Jika ada orang datang, aku segera berpura-pura sibuk mengemas. Habis waktu kerja, aku terus beransur ke rumah untuk mempersiapkan diri.
Aku datang semula ke universiti dengan kemeja putih berjalur dan seluar berwarna coklat. Disepadankan pula dengan kasut berwarna putih. Memang sangat luar biasa. Sengaja aku berpakaian jauh dari kelaziman.
Sesi pembentangan bermula tepat pada jam 2.15 petang. Beberapa minit sebelum itu, aku usai solat Zohor di surau universiti. Mengharap agar penilaian yang bakal berlangsung berlalu dengan baik. Tiga orang panel berada di hadapan. Pembentang lain diasingkan pada bilik yang lain. Semasa pembentangan berlangsung, aku cuba melakukan yang terbaik. Meskipun diakui, banyak kali juga aku tersasul menyebut beberapa patah perkataan. Setiap soalan yang diberikan, cuba dijawab dengan sebaiknya. Tetapi terdapat satu soalan yang tidak dapat aku berikan sebarang jawapan kerana secara jujurnya aku tidak lagi mendapatkan maklumat berkenaan dengannya.
Bilik berkenaan aku rasakan panas. Adakah kerana panas dari sistem pemanas atau kerana rasa debar dari diri aku sendiri? Terasa peluh membasahi lapisan baju. Sebaik tamat pembentangan dan sesi soal jawab, aku diminta menanti keputusan penilaian di bilik sebelah. Aku hanya mampu bernafas lega. Setidak-tidaknya, sesi berkenaan telah pun aku lalui dengan kemampuan yang ada. Selebihnya, aku hanya bertawakal.
Tidak lama kemudian, aku dipanggil semula untuk mendapatkan keputusan penilaian. Syukur, aku telah diluluskan untuk penilaian tahun pertama. Terasa lapang untuk seketika. Terbang sudah penat lelah beberapa minggu. Aku harus mengingatkan diri, ini bukanlah penamatnya. Ini adalah satu langkah awal sebelum menuju ke jalan yang lebih mencabar.
Lewat petang, aku melangkah keluar dari makmal untuk pulang ke rumah. Terserempak dengan John yang turut menjadi salah seorang panel penilai pada sesi pembentangan tadi.
“Hi John. So, how is it?“, sapa aku sambil menuju ke arahnya.
Dua perkataan yang dapat aku tangkap dari mulutnya membuatkan aku rasa cukup gembira.
“Excellent. And confident!”
Kata-kata itu sudah cukup memberikan semangat untuk aku terus berjuang dan memberikan yang terbaik pada masa akan datang. Dan sewaktu pulang ke rumah, bibir aku terus menguntum senyuman. Nafas dihela dengan rasa lega dan syukur. Dan hari itu, Glasgow terus ceria dengan limpahan cahaya matahari. Seolah meraikan kemenangan kecil ini.
07-05-08
Sebentar nanti, aku akan menuju ke bilik 2.05 untuk menjalankan pembentangan tahun pertama. Sudah beberapa hari (atau berminggu barangkali), mempersiapkan diri untuk hari ini. Bermula dari laporan tahun pertama hingga ke slide pembentangan.
Semalam, aku boleh saja tenang. Hari ini, tiba-tiba saja rasa berdebar-debar.
Peti emel aku menerima pesanan daripada John, supervisor aku.
“All the best this afternoon. Remember to speak clearly and get good eye contact with the listeners and do keep to 10 minutes.”
Saat begini, aku berdoa kepada-Nya agar dipermudahkan dan dikurniakan ilham serta bantuan dalam melalui penilaian ini.
02-05-08

“Hold it tight, man.
Hold it very tight.
One day, we will have to let it go.
Until the time comes,
where her shadow would be as big as yours,
Hold her tight,
give her light,
so the smile would stay bright,
day and night,
day and night…”
- Abu Bazli, dari entri ‘Pimpinlah Tanganku’
[+]
Seribu rasa menusuk di kalbu.