07-06-08

Merai Dari Kejauhan

Posted in bicara, peristiwa by fajr'

Saat ini, dapat aku membayangkan suasana di kampung. Pasti laman rumah penuh dengan tetamu yang bertandang. Orang kampung sudah tentu bergotong royong atau dalam bahasa rasmi kami, ‘rewang’ untuk majlis perkahwinan ini. Dan yang paling penting, majlis berkenaan diadakan di rumah mak dan bapak untuk perkahwinan adik lelaki aku. Sudah tentu aku begitu terasa. Menjadi orang yang tidak dapat bersama keluarga di saat mereka mengadakan majlis besar sebegitu. Sedikit rasa terkilan. Nampaknya, bukan rezeki kami di sini, untuk pulang ke kampung dan meraikan majlis itu bersama mereka.

Di benak kepala, terbayang lapisan peristiwa. Suasana perkahwinan di rumah. Adakah sama sepertimana waktu majlis perkahwinan aku beberapa tahun sudah? Atau majlis perkahwinan abang-abang aku yang lain. Agaknya golongan perempuan sibuk memasak hidangan di belakang rumah berdekatan dengan pokok pisang. Masihkah ada pokok pisang yang terletak di tempayan besar itu? Pasti segar bugar pokok bunga kesum yang ditanam di tepi longkang berdekatan dengan tempayan warisan dari nenek. Pasti riuh dengan gelak tawa mereka sambil bercerita dan bekerja. Ada yang menggoreng, ada yang memotong, ada yang menyusun dan ada yang memotong kuih. Sudah tentu ada yang bertanya anak dan menantu mak yang jauh ini pulang atau tidak? Diharap hati mak tidak runtun.

Pasti mak menjadi orang yang sibuk beberapa hari sebelum majlis bermula. Barangkali, beberapa minggu sebelum itu. Masakan mak tidak membuat kuih seperti selalu. Kek lapis, kek bahulu, kek buah dan beberapa biskut kuih tradisional. Itu belum lagi dengan kerepek. (Mak, rindunya dengan kerepek pisang dan kerepek ubi mak. Bagai tergambar jelas rasa itu. Juga kerepek tempe mak). Tapi, tidak tahulah pula, kalau mak tidak sediakan banyak seperti selalu. Mak kata, mahu buat secara kecil-kecilan. Mungkin juga tidak banyak. Lagipun, mak kata duit tidak banyak mana. Aku faham. Harga barang banyak yang sudah naik.

Sewaktu majlis perkahwinan anak-anak mak sebelum ini, mak akan berusaha menyiapkan barangan hantaran. Sudah pasti, kali ini hasil tangan dari mak tetap ada. Bekas telur yang diperbuat dari riben membentuk buah durian. Masih ingat lagi, waktu perkahwinan aku dulu sengaja aku minta bekas telur itu dibuat dari warna biru. Meskipun mak berkata, mana ada durian warnanya biru?. Tentu mak banyak menghabiskan masa menganyam riben dan membentuk buah durian berwarna hijau dan kuning keemasan.

Dan paling tidak, tentu ada gubahan hiasan bunga ros dari kain kasa yang mak buat sendiri. Warna merah, putih, kuning, merah jambu dan oren. Mak buat lagi semua itu? Terfikir juga, kalau betul mak ada buat, siapa pulalah yang membantu mak. Siapa yang tahu sangat membuat bunga-bunga berkenaan. Rumit. Dari kain kasa warna putih, dimasak bersama kanji dan pewarna. Kemudian dikeringkan di tengah panas. Sesudah kering, barulah dipotong berbentuk segitiga mengikut saiz bunga. Satu bahagian akan digulung untuk dibentukkan kelopak bunga ros lalu diikat dengan dawai sebelum dililit dengan pelilit berwarna hijau.

Satu hari nanti, mahu saja aku simpan satu gubahan bunga dari mak sebagai koleksi. Simpan di dalam bekas kaca. Orang sekarang lebih sukakan bunga plastik yang boleh dibeli dari kedai. Moga-moga ada cucu mak yang membantu mak menyiapkan bunga-bunga berkenaan. Barangkali Hana, Zahra, Naurah atau Durra dikerah memasukkan manik-manik kecil untuk hiasan bunga. Kalau Najla ada, tentu saja dia suka membantu. Kalau mak nak tahu, cucu mak yang seorang itu cukup suka kerja-kerja begitu. Apatah lagi bersama-sama sepupunya yang lain.

Pasti khemah untuk menampung tetamu dan hidangan gagah berdiri di halaman rumah. Adakah bapak yang sibuk membuat pelantar di tepi rumah untuk orang menghidang? Dulu, masa majlis anak-anak yang lain, bapak sibuk mencari kayu terpakai untuk dijadikan tiang dan meja. Gigih bekerja walau panas membakar. Barangkali, dalam usia sekarang bapak tidak buat itu semua. Masakan terdaya untuk mengangkat kayu-kayu begitu. Harapnya, bapak biarkan saja semua itu. Serahkan kepada tenaga muda di kampung.

Terbayang pula, orang-orang lelaki berumur di satu sudut membersihkan pinggan mangkuk sewaktu majlis berlangsung. Yang muda pula, sibuk menyusunkan lauk-pauk untuk tetamu di khemah berasingan, sebelum di susun ke dalam dulang dan dihantar ke halaman depan. Siapa pula yang memasak nasi kawah? Adakah Lek Samuri (jiran di sebelah rumah)? Atau Abang Kamal? Entah apa pula lauk yang dihidangkan. Adakah ayam goreng masak merah? Atau daging lembu masak kari? Yang pasti, sudah tentu ada masakan masyhur orang Jawa di kampung aku, iaitu ‘jangan lombok‘. Hidangan tradisional yang dipenuhi dengan cili (dipanggil ‘lombok’ oleh orang Jawa), tempe, tauhu dan sayur-sayuran lain. Aduh, terasa kecur pula dibuatnya. Sudah begitu lama aku tidak menikmati juadah masakan kenduri orang Jawa. Rindu rasanya.

Alangkah bertuahnya kalau kita semua dapat bersama. Berada dalam kesibukan. Sama-sama bertungkus lumus. Melayan tetamu, menyediakan hidangan, membersihkan periuk belanga dan merasa penat lelah.

Sudah tentu majlis itu disambut dengan meriah. Biarpun kata bapak, terasa kurang meriahnya tanpa aku sekeluarga. Bahkan, menambah rasa kesayuan di hati mak dan bapak kerana adik bongsu aku turut tidak dapat bersama mereka. Rasa itu sudah jelas dizahirkan oleh mak melalui panggilan telefon sebelum mereka bertandang ke rumah pengantin perempuan di Perak pada hujung minggu lalu. Entah berapa minit berlalu tanpa kata-kata mak di hujung talian. Yang ada hanyalah sekadar esakan dan sendu darinya. Barangkali rasa kehilangan atau kerinduan.

Bapak pula yang menangis di hujung talian. Berdoa dan berharap agar segalanya dipermudahkan. Aku sekadar menahan rasa.

Bukan tidak mahu, tetapi tidak mampu. Kalau boleh, mahu saja aku terbang pulang ke sana. Saat ini juga. Sama-sama meraikan majlis bersejarah itu. Namun, apakan daya. Banyak perkara yang tidak mampu kami elakkan. Mahu pulang sudah tentu memerlukan perancangan masa, tenaga dan wang. Tambahan pula, isteri aku sedang sarat menanti masa untuk melahirkan kandungannya. Oleh yang demikian, hasrat yang ada dipendamkan saja.

Moga-moga, satu hari nanti, kita semua akan bersatu semula. Sabarlah menanti kepulangan kami. Mohon maaf kerana tidak dapat bersama. Dan terima kasih kerana begitu memahami keadaan kami di sini. Meskipun jauh, kami tetap meraikan majlis itu. Mendoakan agar ianya diberkati oleh-Nya.

You can leave a comment, or trackback from your own site. RSS 2.0

4 comments

  1. rudy says:

    tiba2 teringat lagi majlis kahwen ko beberapa thn lepas. meriah giler dgn tradisi jawa yg masih kuat. makan berhidang lagiks tuhhh.

    09-06-08 at 2:17 am

  2. Amyz says:

    Mesti meriah kan? Seronok sangat bila kenduri kahwin ni masih kekalkan tradisi lama.

    Tapi lepas kenduri tu. Penat tak ingat. Hihi

    Tapi puas~ :)

    09-06-08 at 4:18 am

  3. zahila says:

    kasihannya….
    tak dapat balik…..
    takpelah.. doakan sahaja dari kejauhan..
    moga-moga majlis diberkati
    :D

    09-06-08 at 6:53 am

  4. hazimin says:

    yooo..samat pengantin baru

    09-06-08 at 4:53 pm

Leave a comment