22-06-08

Dari Sinar Cahaya Mata Itu

Posted in peristiwa, rasa by fajr'

Kini, usianya sudah pun meningkat kepada angka 3. Sekejap pula dirasakan masa berlalu. Tanpa disedari, Najla semakin dewasa. Dan semakin lama, mata kecil itu menzahirkan erti ‘najla’ itu sendiri - ‘mata yang indah’. Mata yang menyimpul rajuk, tangis, gembira dan manja dalam sayang. Mata itu tidak pernah menipu. Mata kecil itu suci dan jujur. Pada setiap lafaz, perbuatan dan hatinya.

Dan mata itu jugalah yang selalu membuat ayah atau ibu jadi rindu selalu. Bila-bila kami berjauhan darinya. Meski hanya seketika cuma waktunya.

Pernah juga ayah bertanya, Najla mewarisi wajah siapa? Barangkali rambut itu jelas dari ayah. Halus. Dan ibu berkata, mulut Najla begitu hampir seperti ayah. Terutama sewaktu kita tidur! Barangkali, raut wajah dan mata yang cantik itu adalah dari kombinasi ayah dan ibu. Terlarik dari sisi yang indah-indah. Atau dari moyang Najla yang ada berdarah Inggeris-Scottish, Cina, Kelantan dan juga Jawa. Entah yang mana agaknya memberi pengaruh genetik yang besar.

Rajuk Najla seperti ayah. Mudah sekali terasa. Namun, begitu mudah sekali memujuk. Seperti ibu. Bijak sekali mengambil hati. Kadangkala keras. Kadangkala lembut menyentuh. Moga nanti, apabila dewasa kelak, Najla bijak memilih dan mengawal rasa itu.

Najla kini bukan lagi seperti yang dulu. Banyak sekali yang dipelajari sejak berada di rantauan ini. Setahun yang lalu, hari ini kita sambut dalam kedinginan malam. Waktu itu, kita agak baru di daerah asing ini. Sekeping kek coklat kecil terhidang. Lalu kita meraikan hari itu dengan lagu hari lahir. Tiada sebarang hadiah. Tiada undangan tetamu. Sekadar kita bertiga.

Kini, hari itu kembali. Bezanya kali ini, Najla bakal bergelar kakak. Ayah ibu percaya, Najla akan menjadi kakak yang baik. Dan malam itu, kita semua berpelukan. Sambil mengucapkan, ‘Happy birthday Najla!’. Barangkali Najla belum mengerti apa itu hari lahir. Yang dia tahu, adanya kek, hadiah dan lagu hari jadi. Namun itu sudah cukup untuk membuatkan dia tersenyum dan ketawa.

Suatu hari nanti, apabila Najla dewasa, ingatilah semua ini. Di benak ayah, masih lagi tergambar jelas peristiwa pada malam itu. Najla mahu keluar awal dua hari dari tarikh yang dijangka. Sambil menahan rasa kantuk, ayah menemani ibu di bilik bersalin. Betapa ayah menyedari betapa besarnya pengorbanan seorang ibu semasa melahirkan seorang anak. Menahan rasa sakit yang datang pada setiap masa. Barulah ayah mengerti mengapa seorang ibu perlu dilebihkan dari ayah. Ibulah yang paling banyak bersusah payah.

Namun begitu, saat yang masih tidak dapat ayah lupakan adalah sewaktu Najla muncul di depan ayah. Sukar sekali menggambarkan seribu rasa yang bertandang. Seakan satu keajaiban hinggap ke setiap deria apabila melihat zuriat ayah di depan mata. Hadirnya Najla terus mengikat kita semua. Sebagai satu keluarga yang saling melengkapi.

Masa yang berlalu bagaikan seimbas cuma. Ayah terpaksa mengakui anak ayah semakin dewasa. Semakin matang. Nanti, dari seorang kanak-kanak kecil bakal menjadi seorang gadis. Seorang wanita. Seorang muslimah. Cuma ayah tidak mampu memberi kepastian adakah ayah dapat melihat segala transisi itu. Bahkan, di luar kemampuan kita manusia biasa.

Apa yang mampu ayah harapkan agar setiap detik yang dilalui bersama menjadi sesuatu yang terindah buat kita. Setiap tawa. Setiap tangis. Setiap rajuk. Setiap pujuk. Setiap kata yang terucap. Setiap sentuhan. Setiap pelukan.

Suatu hari nanti, itulah yang akan dirindu. Jangan sesekali membiarkan ayah dan ibu terlupa setiap rasa itu.

Selamat hari jadi sayang. Moga rahmat Tuhan akan selalu melimpah buat dirimu. Dipohonkan juga agar hidupmu nanti akan selalu dipermudahkan dan diberkati. Dan usah sekali ‘cahaya mata yang indah’ ini melukai hati ayah ibu. Doakanlah kebahagiaan kita bersama. Dunia akhirat.

Jadilah penawar mata, hati dan jiwa ayah ibu ini. Selalu. Ya sayang, selalu.

You can leave a comment, or trackback from your own site. RSS 2.0

11 comments

  1. megat says:

    ya tiada lain yang dapat diharapkan kecuali meninggalkan kenangan terindah bersama.

    hanya senario spt itu yang dpt memulihkan keakraban kekeluargaan.

    23-06-08 at 5:00 pm

  2. fajr' says:

    wah megat. lajunya. :)
    satu masa, kita mengharap diletakkan pada satu peristiwa yang membuatkan hati dan jiwa jadi bahagia.

    23-06-08 at 5:03 pm

  3. rose says:

    Salam,

    Selamat hari jadi Najla…semoga menjadi anak yg bijak pandai dan solehah dan dapat membantu ayah ibu di kemudian hari….

    Besday najla sama dgn Cik Rose la…22 june kan….cuma lain hari :)

    Jgn nakal2 ya najla..:)

    23-06-08 at 5:04 pm

  4. Epong says:

    Ehem..

    Najla.. bila nak jumpa lagi abg Ayman???

    heheheheh!

    Bile ek Fajar?

    24-06-08 at 6:11 am

  5. asuhara says:

    otanjobi omedetou najla-chan!( hp bday, najla)

    moga jadi anak yg ayah & ibu najla harapkan. Insya Allah!

    24-06-08 at 6:28 am

  6. aliff says:

    najla…selamat hari lahir buatnya. berlinang air mata saya bang fajar baca catatan ini.

    24-06-08 at 6:40 am

  7. dasarhati says:

    Allah selamatkan kamu…
    Allah selamatkan kamu…
    Allah selamatkan Kak Long Najla…
    Allah selamatkan kamu…
    :D

    24-06-08 at 2:24 pm

  8. napang says:

    tanjoubi omedetou najla!!

    ii ko ni naru you ni.. Amin.

    24-06-08 at 3:30 pm

  9. applephye says:

    selamat hari lahir najla. semoga membesar menjadi srikandi yang baik untuk kalian berdua :)

    26-06-08 at 6:21 am

  10. tata says:

    Selamat Hari Jadi Najla… Semoga manjadi anak yg solehah… Amin

    26-06-08 at 10:21 am

  11. che su says:

    salam..sayang….sorry lah che su bru tauu ayah ade blog hhehhehe…..nyway che su rindu sgat2 dgn buhati chesu niii….rindu yg amat…tokmi tokbah pun same even dpt tgk gmbar dgr suara pun cukuplah..tp chesu rindu dgn gelagat najla…rindu ng semua2 niii….syg jdi lah ank yg baik k syg…che syg najla….

    20-07-08 at 3:37 pm

Leave a comment