Archive for
June, 2008
16-06-08
Tidak dinafikan, menjadi seorang ayah bukanlah satu perkara yang mudah. Segala rasa manis dan pahit akan bersatu. Dalam mendidik anak, kesabaran diibaratkan bagai sepohon kayu. Adakalanya, redup melindungi. Tapi ada masanya, berderu-deru ditiup angin. Bagaikan mahu menerbangkan segala daun yang ada.
Sejak kebelakangan ini, Najla begitu rapat dengan ayah. Mungkin ada sesuatu yang ingin dikongsikan. Mungkin juga mahukan ayah selalu berada di sisi setiap masa. Mungkin juga takut kalau nanti kasih ayah berubah apabila adik Najla muncul tidak lama lagi. Aduhai, anakku sayang. Kasih ini tidak akan berubah!
Setiap malam, dia ingin tidur bersebelahan dengan ayah. Tangan kecilnya akan menarik tangan ayah. Agar ayah dapat memeluk tubuhnya yang kecil itu. Tambahan pula di kedinginan malam bumi Glasgow.
Setiap kali ayah berada di rumah, Najla akan menjadi anak yang begitu manja. Selalu mengharapkan perhatian. Ada saja yang cuba dikongsikan bersama ayah. Dalam penat-penat, ayah cuba juga melayan. Tapi, tidak juga dinafikan adakalanya usikan Najla sedikit menganggu tugas ayah. Harus juga menjadi seorang ayah yang sabar dalam menerangkan mana yang boleh, mana yang tidak.
Satu hari, sedang ayah sibuk membuat kerja, Najla datang mengusik meskipun sudah berulangkali diingatkan. Oleh kerana geram, ayah menepuk perlahan pada bahagian kaki Najla. Pukulan yang sekadar untuk mengingatkan.
Sejurus kemudian, Najla berkata dengan nada yang lembut,
“Ayah, janganlah pukul Najla. Kesian Najla”
Kata-kata itu cukup memukul dan menusuk. Terkesima ayah seketika. Rayuannya begitu tulus. Nada suara yang lembut seakan memujuk. Hati mana yang tidak terusik?
Keikhlasan suara kecilnya bagaikan memadam segala rasa geram dan marah yang bermukim di hati. Terus saja ayah dihambat rasa bersalah!
“Sorry sayang!”
Barangkali ayah terlupa bahawa anak ayah ini sudah besar. Sudah semakin bijak menyusun kata. Bicara yang cukup menusuk jiwa ayah dan ibu.
10-06-08
Jam sudah menghampiri angka 7. Aku bergegas keluar dari bangunan Royal College. Musim panas sebegini, persekitaran masih lagi cerah. Namun, hari itu agak suram seperti selalu. Rintik hujan membasahi bumi Glasgow. Hujan di musim panas.
Aku berjalan mengikuti lorong-lorong menuju ke perhentian bas yang terletak di Glassford Street. Seperti biasa, aku mengambil jalan pintas ke sana. Macam hari-hari sebelum ini. Aku malas berjalan jauh melintasi George Square. Lalu, segera aku melalui John Street yang betul-betul terletak di antara dua bangunan Glasgow City Council.
Uniknya jalan ini terdapatnya dua pintu gerbang yang agak cantik. Orang di sini begitu menghargai bangunan lama. Entah berapa sudah usianya. Sewaktu musim sejuk, pada waktu begini, pintu gerbang itu sudah disimbahi dengan lampu neon. Jalan ini ditutup untuk laluan kenderaan, kecuali untuk meletakkan kenderaan bagi pihak tertentu sahaja. Maka, ia menjadi laluan pejalan kaki tanpa sebarang gangguan.
Namun begitu, pada hari itu ketenangan itu seakan terkocak. Sewaktu melangkah kaki di jalan berkenaan, aku seakan tersedar bahawa aku keseorangan. Bunyi kenderaan bagaikan terasing di sini.
Sebaik melalui pintu pejabat bernombor 40, mata aku terlihat kepada sekumpulan budak-budak muda yang sedang kemabukan barangkali. Namun, aku sengaja buat tidak ambil peduli. Pandangan aku terus tertumpu pada kaki aku yang sedang melangkah. Di tepi jalan di depan mereka, terdapat sebotol kaca minuman alkohol yang sudah pun pecah. Serpihan kaca hijau bersepahan di tepi tong sampah. Aku melangkah berhati-hati mengelakkan dari terpijak kaca yang tampak mengilukan. Dalam masa yang sama, terdengar mereka berbicara. Entah apa butirnya.
Kaki ini terus dihayunkan. Dari perlahan menjadi laju. Entah mengapa, hati aku menjadi tidak enak. Seakan ada sesuatu di belakang.
Dari kerlingan mata, dapat aku melihat ada orang mengekori aku dari belakang. Terasa begitu dekat. Hayunan langkah semakin laju.
Tinggal beberapa meter saja sebelum aku melintasi jalan di hadapan yang sesak dengan kenderaan. Masih dapat aku dengar geseran tapak kasut yang mengekori di belakang. Mereka memanggil aku. Atau akukah yang berkhayal? Tapi, aku mengabaikannya. Kaki terus aku hayunkan. Hujan renyai-renyai membasahi. Sebaik saja tiba di penghujung jalan, aku mencari ruang selamat untuk melintas.
Di seberang jalan, aku tolehkan kepala untuk melihat siapa yang mengekori aku dari belakang. Ternyata, dua orang dari kumpulan budak muda tadi. Kedua mereka memandang tepat kepada aku. Sambil salah seorang darinya menarik penutup kepala. Lantas mereka bertukar bicara. Entah apa yang diceritakan. Namun mata mereka tidak lepas dari memandang aku. Dan aku merasa cukup aneh. Seakan terlepas dari ancaman.
Sungguh, aku rasa agak berdebar. Di benak fikiran, terbayang seribu satu kemungkinan. Tidak pula mampu aku membayangkan sekiranya aku ditarik oleh mereka berdua. Apatah lagi, sejak kebelakangan ini, banyak saja berita yang memaparkan kes tikam dan bunuh. Gerun pula jika dibayangkan tentang pisau yang menusuk daging dan memutuskan saluran darah. Mengalirkan darah laju dan laju.
Saat begini, segera aku teringat pesan seseorang untuk memperkasakan diri dalam 3 perkara. Iman, ilmu dan fizikal. Dua perkara itu, masih lagi aku perbaiki. Manakala kekuatan fizikal itu, memang begitu kecil buat aku.
Petang itu, adalah kemujuran dan peringatan buat aku. Syukur, Tuhan masih melindungi hamba-Nya yang lemah.
09-06-08
Entah mengapa, tiba-tiba saja seorang teman ini berkongsi cebisan hatinya kepada aku.
“Kau tahu, aku selalu teringatkan kepada dia. Setiap masa dan ketika. Ingatan aku tidak pernah lekang mengingatinya”, luahnya.
Aku tersenyum dan berkata, “Begitulah rindu.”
“Tapi, itu dulu.”
Dahi aku berkerut. “Dulu?”
“Ya, dulu aku selalu merinduinya. Ada saja dia di benak dan jiwa ini. Tapi kini, rindu itu seakan sudah berakhir.”
“Mengapa pula?”, desak aku.
“Aku berhenti rindu kepadanya sejak aku tersedar bahawa hanya aku saja yang merindui dirinya. Jelas sudah rindunya tidak ada untuk aku.”
Aku terdiam. Mencari jawapan untuk memujuk. Dia terdiam. Memendam rasa yang sudah lama. Aneh sekali membongkar rahsia di hatinya. Barangkali ada rajuk yang tidak terpujuk.
Ah, mungkin benar juga dikatakan bahawa kenangan itu bagaikan satu sumpahan. Tidak mampu dipadamkan walau sedikit pun.
07-06-08

Saat ini, dapat aku membayangkan suasana di kampung. Pasti laman rumah penuh dengan tetamu yang bertandang. Orang kampung sudah tentu bergotong royong atau dalam bahasa rasmi kami, ‘rewang’ untuk majlis perkahwinan ini. Dan yang paling penting, majlis berkenaan diadakan di rumah mak dan bapak untuk perkahwinan adik lelaki aku. Sudah tentu aku begitu terasa. Menjadi orang yang tidak dapat bersama keluarga di saat mereka mengadakan majlis besar sebegitu. Sedikit rasa terkilan. Nampaknya, bukan rezeki kami di sini, untuk pulang ke kampung dan meraikan majlis itu bersama mereka.
Di benak kepala, terbayang lapisan peristiwa. Suasana perkahwinan di rumah. Adakah sama sepertimana waktu majlis perkahwinan aku beberapa tahun sudah? Atau majlis perkahwinan abang-abang aku yang lain. Agaknya golongan perempuan sibuk memasak hidangan di belakang rumah berdekatan dengan pokok pisang. Masihkah ada pokok pisang yang terletak di tempayan besar itu? Pasti segar bugar pokok bunga kesum yang ditanam di tepi longkang berdekatan dengan tempayan warisan dari nenek. Pasti riuh dengan gelak tawa mereka sambil bercerita dan bekerja. Ada yang menggoreng, ada yang memotong, ada yang menyusun dan ada yang memotong kuih. Sudah tentu ada yang bertanya anak dan menantu mak yang jauh ini pulang atau tidak? Diharap hati mak tidak runtun.
Pasti mak menjadi orang yang sibuk beberapa hari sebelum majlis bermula. Barangkali, beberapa minggu sebelum itu. Masakan mak tidak membuat kuih seperti selalu. Kek lapis, kek bahulu, kek buah dan beberapa biskut kuih tradisional. Itu belum lagi dengan kerepek. (Mak, rindunya dengan kerepek pisang dan kerepek ubi mak. Bagai tergambar jelas rasa itu. Juga kerepek tempe mak). Tapi, tidak tahulah pula, kalau mak tidak sediakan banyak seperti selalu. Mak kata, mahu buat secara kecil-kecilan. Mungkin juga tidak banyak. Lagipun, mak kata duit tidak banyak mana. Aku faham. Harga barang banyak yang sudah naik.
Sewaktu majlis perkahwinan anak-anak mak sebelum ini, mak akan berusaha menyiapkan barangan hantaran. Sudah pasti, kali ini hasil tangan dari mak tetap ada. Bekas telur yang diperbuat dari riben membentuk buah durian. Masih ingat lagi, waktu perkahwinan aku dulu sengaja aku minta bekas telur itu dibuat dari warna biru. Meskipun mak berkata, mana ada durian warnanya biru?. Tentu mak banyak menghabiskan masa menganyam riben dan membentuk buah durian berwarna hijau dan kuning keemasan.
Dan paling tidak, tentu ada gubahan hiasan bunga ros dari kain kasa yang mak buat sendiri. Warna merah, putih, kuning, merah jambu dan oren. Mak buat lagi semua itu? Terfikir juga, kalau betul mak ada buat, siapa pulalah yang membantu mak. Siapa yang tahu sangat membuat bunga-bunga berkenaan. Rumit. Dari kain kasa warna putih, dimasak bersama kanji dan pewarna. Kemudian dikeringkan di tengah panas. Sesudah kering, barulah dipotong berbentuk segitiga mengikut saiz bunga. Satu bahagian akan digulung untuk dibentukkan kelopak bunga ros lalu diikat dengan dawai sebelum dililit dengan pelilit berwarna hijau.
Satu hari nanti, mahu saja aku simpan satu gubahan bunga dari mak sebagai koleksi. Simpan di dalam bekas kaca. Orang sekarang lebih sukakan bunga plastik yang boleh dibeli dari kedai. Moga-moga ada cucu mak yang membantu mak menyiapkan bunga-bunga berkenaan. Barangkali Hana, Zahra, Naurah atau Durra dikerah memasukkan manik-manik kecil untuk hiasan bunga. Kalau Najla ada, tentu saja dia suka membantu. Kalau mak nak tahu, cucu mak yang seorang itu cukup suka kerja-kerja begitu. Apatah lagi bersama-sama sepupunya yang lain.
Pasti khemah untuk menampung tetamu dan hidangan gagah berdiri di halaman rumah. Adakah bapak yang sibuk membuat pelantar di tepi rumah untuk orang menghidang? Dulu, masa majlis anak-anak yang lain, bapak sibuk mencari kayu terpakai untuk dijadikan tiang dan meja. Gigih bekerja walau panas membakar. Barangkali, dalam usia sekarang bapak tidak buat itu semua. Masakan terdaya untuk mengangkat kayu-kayu begitu. Harapnya, bapak biarkan saja semua itu. Serahkan kepada tenaga muda di kampung.
Terbayang pula, orang-orang lelaki berumur di satu sudut membersihkan pinggan mangkuk sewaktu majlis berlangsung. Yang muda pula, sibuk menyusunkan lauk-pauk untuk tetamu di khemah berasingan, sebelum di susun ke dalam dulang dan dihantar ke halaman depan. Siapa pula yang memasak nasi kawah? Adakah Lek Samuri (jiran di sebelah rumah)? Atau Abang Kamal? Entah apa pula lauk yang dihidangkan. Adakah ayam goreng masak merah? Atau daging lembu masak kari? Yang pasti, sudah tentu ada masakan masyhur orang Jawa di kampung aku, iaitu ‘jangan lombok‘. Hidangan tradisional yang dipenuhi dengan cili (dipanggil ‘lombok’ oleh orang Jawa), tempe, tauhu dan sayur-sayuran lain. Aduh, terasa kecur pula dibuatnya. Sudah begitu lama aku tidak menikmati juadah masakan kenduri orang Jawa. Rindu rasanya.

Alangkah bertuahnya kalau kita semua dapat bersama. Berada dalam kesibukan. Sama-sama bertungkus lumus. Melayan tetamu, menyediakan hidangan, membersihkan periuk belanga dan merasa penat lelah.
Sudah tentu majlis itu disambut dengan meriah. Biarpun kata bapak, terasa kurang meriahnya tanpa aku sekeluarga. Bahkan, menambah rasa kesayuan di hati mak dan bapak kerana adik bongsu aku turut tidak dapat bersama mereka. Rasa itu sudah jelas dizahirkan oleh mak melalui panggilan telefon sebelum mereka bertandang ke rumah pengantin perempuan di Perak pada hujung minggu lalu. Entah berapa minit berlalu tanpa kata-kata mak di hujung talian. Yang ada hanyalah sekadar esakan dan sendu darinya. Barangkali rasa kehilangan atau kerinduan.
Bapak pula yang menangis di hujung talian. Berdoa dan berharap agar segalanya dipermudahkan. Aku sekadar menahan rasa.
Bukan tidak mahu, tetapi tidak mampu. Kalau boleh, mahu saja aku terbang pulang ke sana. Saat ini juga. Sama-sama meraikan majlis bersejarah itu. Namun, apakan daya. Banyak perkara yang tidak mampu kami elakkan. Mahu pulang sudah tentu memerlukan perancangan masa, tenaga dan wang. Tambahan pula, isteri aku sedang sarat menanti masa untuk melahirkan kandungannya. Oleh yang demikian, hasrat yang ada dipendamkan saja.
Moga-moga, satu hari nanti, kita semua akan bersatu semula. Sabarlah menanti kepulangan kami. Mohon maaf kerana tidak dapat bersama. Dan terima kasih kerana begitu memahami keadaan kami di sini. Meskipun jauh, kami tetap meraikan majlis itu. Mendoakan agar ianya diberkati oleh-Nya.
06-06-08
Seakan dapat aku dengar,
dari kejauhan,
suara mereka merintih,
melaung marah,
membaling rasa kecewa.
Nilai emas hitam likat meningkat,
menjerat dan menyekat,
rongga poket lemas dibuatnya!
Aduhai,
bagaimanakah nasib warga marhaen?
adakah kau terus menangis?
Barangkali segala harapan sudah berterbangan,
atau sudah mencair dan mengalir,
bersama kepingan-kepingan ringgit,
yang semakin lama tiada erti.
[+]
Risau pula dibuatnya dengan kesan kenaikan minyak. Domino effect!