Archive for
July, 2008
31-07-08

Semalam awan mendung berarak di dada langit. Seakan hujan mahu turun. Namun begitu, seperti yang selalu diperkatakan, mendung tidak bererti hujan. Dua hari sebelumnya, cuaca di Glasgow agak suram. Rintik hujan membasahi bumi setelah beberapa hari panas matahari menghangatkan persekitaran. Kesuraman ini bagai melukiskan rasa di hati ayah dan ibu yang penuh dengan harapan dan ketidakpastian.
Dua hari itu Amir Yusuf dijadualkan untuk menjalani pembedahannya yang pertama. Hari yang kami lalui dengan penuh harapan dan debar. Terkejar-kejar ayah dan ibu untuk dua hari itu. Menanti dari pagi hingga ke petang, begitu menguji fizikal dan mental. Kami akur akan keputusan doktor untuk mengenepikan kes Amir Yusuf demi memberi laluan kepada kes kecemasan yang lain. Dua hari itu juga, slot yang ditetapkan diserahkan kepada kanak-kanak lain yang memerlukan. Tidak dinafikan, ada rasa kecewa singgah di hati ini. Tapi, kami faham keputusan yang telah mereka ambil. Hanya kesabaran saja mampu menenangkan jiwa yang bergelora.
Kasihan Amir Yusuf, kecil-kecil lagi sudah belajar untuk berkorban. Wajahnya tidak menunjukkan rasa kecewa seperti yang terlihat di wajah kami. Wajah itu tetap tenang dan melalui hari-hari tanpa mengenal erti kepayahan atau kesakitan. Dia tetap berjuang tanpa secebis kekesalan. Seolah-olah, dia mahu berkata kepada kami,
‘Usah risau dan khuatir ayah dan ibu. Segalanya adalah ketentuan-Nya’
Amir Yusuf selalu begitu. Memberi kejutan satu demi satu.
Hari-hari berlalu tanpa kami menyedari bahawa sudah sebulan lebih Amir Yusuf ditempatkan di hospital. Berpindah dari satu wad ke wad yang lain. Mujur juga setelah tiga minggu berada di wad, kami sudah berpeluang untuk memeluk dirinya. Haruman seorang bayi masih begitu melekat kepada Amir Yusuf. Selalunya, Amir Yusuf seakan mengetahui kehadiran kami di situ. Matanya akan terbuka dan bagaikan mencari-cari kami. Dia mahu dibelai dan tidur dalam dakapan ibu. Sebaik saja berada di dalam pelukan ibu, Amir Yusuf menjadi tenang. Bagaikan melepaskan segala rindu di antara kami.
Kami dijanjikan bahawa pembedahan Amir Yusuf akan dijalankan pada hari berikutnya. Namun, kami tidak meletakkan harapan yang tinggi seperti sebelum ini. Empat kali sudah tertangguh. Kemungkinan kali ini akan tertangguh juga. Terasa seperti anak ayah yang memberi isyarat bilakah waktunya dia ingin dibedah.
Akhirnya, semalam dimaklumkan Amir Yusuf akan menjalani pembedahan. Tengahari itu, ayah dan ibu datang ke hospital. Waktu sebegini, keadaan jalan tidak lancar seperti waktu pagi dan petang. Meskipun cuaca agak suram, bahang panas tetap dirasa. Sepanjang perjalanan, terselit satu harapan agar perancangan kali ini tidak tergendala.
Seperti yang dijangka, hampir setiap kawasan tempat meletakkan kenderaan penuh. Kami tiba di dalam wad lebih kurang jam 2 petang. Ibu telah dimaklumkan oleh seorang jururawat yang bertugas bahawa Amir Yusuf telah pun dibawa ke bilik pembedahan pada jam 1 petang tadi. Amir Yusuf pergi sendiri tanpa menunggu kami. Tanpa disedari, air mata ibu tumpah kerana tidak berkesempatan menemui Amir Yusuf.
Kali ini, kami menunggu lagi. Dalam doa dan harapan. Biarpun rasa letih, tidak sekali pun mematahkan semangat yang ada di jiwa. Sewaktu penantian itu, ayah baru tersedar bahawa hari ini adalah hari Isra’ Mikraj. Hari yang terakam peristiwa Nabi Muhammad di’bedah’ oleh malaikat sebelum mengikuti perjalanan melalui lapisan langit. Perjalanan yang penuh dengan hikmah dan menunjukkan kebesaran-Nya. Tidak sekali ayah menyangka bahawa Dia juga telah menetapkan hari ini turut menjadi pilihan untuk Amir Yusuf dibedah. Barangkali telah ditangguhkan pembedahan tersebut ke hari ini yang penuh dengan berkat dan rahmat.
Lewat petang itu, Amir Yusuf kembali semula ke pangkuan kami. Syukur, keadaannya agak baik dan stabil meskipun harus bergantung kepada beberapa mesin yang terletak di sekitar katilnya. Kami lihat wajahnya yang begitu damai dalam lena. Entah apa yang dimimpikannya. Adakah dia bermimpi melalui ‘perjalanan’ bersama malaikat?
Ketenangan wajahnya memberi kelegaan buat hati seorang ayah dan ibu. Satu langkah telah dilalui. Kami sedar selepas ini Amir Yusuf akan melalui rawatan yang seterusnya bagi merawati komplikasi yang lain. Namun, sekurang-kurangnya pembedahan ini memberikan sinar harapan untuk melalui hari-hari mendatang.
Ayah memandang keluar tingkap wad. Di dada langit, kepul-kepul awan hitam bergelumang ditiup angin. Laju bergerak ke satu arah. Sedikit demi sedikit, langit biru lazuardi kelihatan dari celahan awan. Sinar matahari petang memancar terang hingga masuk ke dalam bilik wad Amir Yusuf. Buat seketika, suasana di bilik itu menjadi indah dalam limpahan cahaya mentari. Seakan sinar harapan dan cahaya kehidupan menerangi kami yang berada di dalam kepul-kepulan awan kesuraman dan kegelisahan. Meskipun tidak ternampak garis pelangi, terasa sesuatu yang lebih indah menanti kami.
29-07-08
Aku rasa sangat penat. Penantian yang begitu meletihkan. Penantian yang menghampakan. Dua hari berturut-turut. Seakan semangat dan tenaga aku disedut keluar. Hilang entah ke mana. Betapa kesabaran itu teruji.
Empat kali. Bayangkan, empat kali pembedahan Amir Yusuf ditangguhkan.
Semalam, kepenatan itu menarik bersama semangat di dalam diri aku. Hari ini, begitu juga. Pertama kalinya aku rasa tidak begitu bersungguh mendengar kata-kata dari doktor itu. Kalau benar mahu ditangguhkan pembedahan pada hari ini, kenapa maklumkan setelah kami berada di hospital selama 10 jam?
Sabar. Berulangkali.
Sabar. Lagi dan lagi.
27-07-08
Seperti selalu, kami datang ke hospital pada setiap hari. Tanpa jemu. Tanpa mengenal erti penat. Berulang alik dari rumah ke hospital. Demi melihat dan mengetahui perkembangan Amir Yusuf.
Satu hari, sewaktu dalam perjalanan rumah, isteri aku bersuara,
“Tidak semestinya berkorban itu hanya sekali saja. Atau dalam satu masa. Kadang-kadang, kita kena berkorban pada setiap masa. Sampai bila-bila”
Kata-kata itu terus melekat ke dalam benak aku. Ada kebenaran pada kata-katanya itu. Cuma, aku berharap dan berdoa agar kami terus kuat dan tabah untuk itu.
22-07-08

Pagi itu, aku gagahkan diri untuk bangkit dari tidur yang lena. Usai solat Subuh, aku kembali ke bilik tidur. Masih ada beberapa jam lagi sebelum mentari menebarkan cahayanya ke muka bumi Glasgow ini. Di atas katil, Najla dan ibunya masih lena beradu. Rasa kasih terus mengalir melihat wajah-wajah ini. Begitu tenang dalam tidur mereka. Aku tahu, ada rawan yang sering menggasak hati isteriku ini. Raut wajahnya selalu menyembunyikan kesedihan. Biarpun sewaktu dugaan yang begitu menguji kami.
Malam itu, wajah itu seakan terganggu. Hatinya terusik. Dalam kesamaran malam sebelum tidur, terdengar esakannya. Sedunya cuba ditahan. Apabila ditanya, katanya tiada apa. Hidung tersumbat kerana selsema. Perlahan-lahan aku menyentuh pipinya. Basah dengan air mata. Barangkali itu air mata kerinduan. Juga penuh dengan harapan. Aku cuba memujuk. Walaupun aku tahu, kata-kata aku bagai sudah kehilangan saktinya. Lama-lama, isteri aku tertidur dalam tangisan.
Pagi itu, aku lihat mereka berdua. Seorang isteri yang begitu teguh dan cekal melalui dugaan hidup. Seorang anak kecil yang masih pucuk untuk memahami erti kehidupan yang meminta pengertian. Namun, bersama mereka membuatkan aku jadi tabah. Betapa aku menyedari, mereka memerlukan aku untuk terus kuat dan tegar, sepertimana aku memerlukan mereka.
Sewaktu mata ini hampir terpejam, tiba-tiba saja ayat ini menerjah benak fikiran.
‘Hadirlah keajaiban, terangilah kehidupan’
Dalam beberapa minggu yang berlalu ini, terlalu banyak yang telah aku selami. Tentang diri. Tentang kehidupan. Tentang harapan. Betapa manusia ini terlalu kerdil di sisi Penciptanya.
Setiap hari berulang alik ke hospital bagaikan sudah menjadi satu rutin kami. Sewaktu kali pertama dulu, hati kami begitu gusar melihat bekas kecil yang terisi bayi kecil penuh dengan tiub dan wayar. Di sisinya pula terdapat bermacam jenis mesin elektronik. Kini, pemandangan di dalam wad itu sudah tidak asing lagi di mata kami.
Melihatkan Amir Yusuf yang begitu tenang di dalam tempatnya sudah cukup memberi penawar ke dalam jiwa kami. Hati ibu ayah mana yang tidak terusik melihat anak mereka sedemikian rupa. Namun, mengenangkan Amir berada dalam jagaan rapi di hospital berkenaan, melegakan sedikit hati kami. Masakan tidak, setiap saat yang berlalu, fikiran kami selalu terbayangkan dirinya. Pada matanya yang sayu, pada bibirnya yang kadangkala kering dan pada wajahnya yang tulus. Juga gerakan tubuh badannya yang sesekali memberi reaksi.
Hari-hari yang berlalu memberikan kekuatan dan ketabahan buat kami. Benarlah kata orang, melihat dan mendengar sesuatu dugaan adalah sama sekali tidak sama dengan merasanya sendiri. Apabila melalui ujian sebegini, hati dan jiwa kami melihat kehidupan dari sudut yang berbeza. Tidak semua orang berada dalam keadaan begini. Sudah tentu ada sesuatu yang Allah mahu berikan kepada hamba-Nya.
Hingga ke hari ini, kami difahamkan Amir Yusuf mengalami 3 komplikasi berasingan di dalam tubuhnya. Segala maklumat kami catatkan di dalam jurnal khusus untuk Amir. Kami berusaha mempelajari semula anatomi manusia yang ditinggalkan di bangku sekolah. Keadaan Amir menjadikan kami lebih prihatin dengan sistem yang ada di dalam tubuh manusia. Di tangan kami, tiada kuasa untuk merawati segala yang luar biasa. Sekadar doa dan harapan kepada-Nya.
Tidak dinafikan, hati kami selalu dalam kegusaran dan kesedihan. Namun begitu, selalu kami mengingatkan diri bahawa ada orang lain yang lebih susah dan sukar daripada kami. Bahkan, di dalam wad yang menempatkan Amir saja sudah cukup menzahirkan kesulitan yang dialami oleh orang lain. Melihatkan kekuatan bayi-bayi kecil itu membuatkan kami kagum. Melihatkan kesabaran dan ketabahan ibu bapa mereka itu sendiri bagai menghimpunkan kekuatan ke dalam jiwa kami.
Melalui saat-saat begini, terasa kami tidak bersendiri. Bahkan ada yang lebih melalui saat yang getir dan pahit dari kami. Namun masih lagi gagah mengharungi hari-hari yang berlalu. Tanpa berputus asa, setiap masa memohon doa dan harapan, agar Tuhan memperkenankan permintaan hamba-Nya.
Kepada Kak Pnut & Mamalisa, semoga terus tabah dan kuat dalam mengharungi dugaan dari-Nya. Insya Allah, moga anak-anak kita akan selalu berada dalam rahmat Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui. Akan tiba masanya kemanisan kebahagiaan itu kita nikmati apabila tiba masanya. Begitu juga dengan kenalan seperti Kak Raden Galoh yang melalui saat-saat getir. Diberikan ujian buat kita agar kita selalu sedar dan merasa betapa kasihnya Dia kepada kita.
Lalu, kata-kata ini terus bertalun-talun di telinga,
‘Hadirlah keajaiban, terangilah kehidupan’.
20-07-08
Pagi itu kami datang awal ke hospital. Dalam debar dan penuh harapan. Amir Yusuf telah pun dipindahkan ke wad yang berlainan sejak petang semalam. Dr Judith datang menemui kami untuk memaklumkan perancangan mereka seterusnya.
Nampaknya pembedahan Amir Yusuf yang dijadualkan pada pagi itu terpaksa ditangguhkan. Darah Amir dijangkiti kuman. Mereka terpaksa meletakkan antibiotik ke dalam tubuhnya. Apabila mereka sudah memastikan bahawa Amir cukup stabil dan baik, barulah pembedahan akan dijalankan pada waktu yang akan dimaklumkan kelak. Barangkali esok lusa. Berdasarkan kepada keadaan Amir sendiri.
Ini merupakan kali kedua pembedahan Amir tertangguh. Kali pertama ia melibatkan darah Amir yang lambat membeku. Namun begitu, penangguhan yang pertama itu memberi peluang untuk doktor melakukan ujian dengan lebih rapi. Melalui imbasan x-ray dan sebagainya, mereka mula mengenalpasti ada masalah yang lain yang ada di dalam tubuh Amir Yusuf. Perancangan mereka pun berubah.
Setelah beberapa minggu, barulah mereka memutuskan untuk meneruskan pembedahan yang tertangguh. Daripada apa yang dimaklumkan, ini hanyalah peringkat permulaan. Rawatan susulan mungkin akan melibatkan pembedahan lain. Semuanya bergantung kepada keadaan.
Seperti kata doktor, mereka sudah pun merancang dengan sebaiknya. Namun, kita hanyalah sekadar manusia. Segala ketentuan adalah diputuskan oleh-Nya. Sudah pasti ada hikmah di atas apa yang berlaku. Dan kami, tidak pernah berputus asa, bahkan semakin kuat mengharungi hari-hari yang berlalu.
Syukur, Amir Yusuf tetap kuat. Dan tanpa kami sedari semangatnya mengalir ke dalam diri kami.
[+]
Terima kasih atas doa dan kata-kata semangat dari kalian. Moga rahmat Allah akan selalu melimpah buat kita semua.