Menanti
Lima belas hari sudah berlalu sejak putera ayah ini dilahirkan. Namun terasa seakan baru saja semalam peristiwa itu berlangsung. Begitu kuat ia melekat di fikiran ini. Selalu terbayang-bayang. Mana mungkin ayah melupakan detik itu. Saat yang seharusnya membuatkan ayah jadi gembira, tetapi menerimanya dengan seribu rasa. Sejak itu, banyak kejutan untuk ayah dan ibu. Kejutan yang kami sambut dengan air mata.
Masih di jelas di ingatan ayah ini, sewaktu pertama kali kami menerima berita itu dari Dr Barbara. Lembut dan perlahan bicaranya. Seolah-olah tidak sampai hati menyampaikan perkara yang sebenar. Sepatah demi sepatah kata yang terungkap terbenam di kepala ayah. Begitu payah untuk mencernakan semuanya. Dada ayah bergetar. Fikiran ayah menolak. Jiwa jadi kecamuk. Ibu yang baru saja beberapa jam bersalin hanya diam di atas katil. Sekadar mendengar segala apa yang diperkatakan. Ayah tahu, ibu masih lagi penat dan sakit. Menerima berita sebegini sudah tentu menambah gelora di jiwanya. Tiada sebarang kata. Bahkan tiada air mata. Kaku menerima.
Ayah seakan tidak tahu bertanya apa. Sekadar memohon kepastian. Kenapa dan mengapa? Tertahan segala rasa. Seakan dunia terhenti masanya untuk seketika. Sebaik saja doktor melangkah keluar dari bilik, ayah tidak mampu menahan rasa. Entah mengapa rasa sebak itu terus menyentap jiwa. Puas sudah dipertahankan kesedihan itu, namun air mata itu terus membasahi pipi. Bahu ayah tersengguk menahan sendu. Ayah tidak tahu bagaimana mahu memujuk ibu sedangkan ayah sendiri dalam perang emosi yang sungguh hebat. Seorang wanita berusia yang menjadi pembantu wad di situ menghulur rasa simpati. Turut merasa kesedihan yang melanda. Lantas dielus-elus belakang ayah agar bersabar. Makin deras hujan di hati ini.
Ayah kalah menawan rasa sedih itu. Bahkan ia terus bersambung keesokan paginya, sewaktu kami datang melawat dirimu sayang. Saat itu, tiba-tiba saja emosi ibu terus berubah. Kekuatan yang disimpan sejak malam tadi terus runtuh. Berhamburan bagaikan hujan lebat. Ayah berusaha untuk kuat agar mampu memujuk ibu. Sedangkan dalam masa yang sama, hati ayah turut menangis. Berkali-kali ayah memohon kepada-Nya agar diberi kekuatan dan ketabahan kepada kami.
Rasa gembira yang harus ayah terima agak gerhana dengan rasa sedih yang menyelubungi. Betapa ayah berusaha untuk menarik rasa gembira itu. Seringkali juga ayah mengingatkan, ini satu anugerah yang terindah. Telah Allah pilih kami untuk memikul tanggungjawab ini. Bukankah itu sesuatu yang cukup istimewa?
Hari-hari yang berlalu bagaikan mengajar ayah dan ibu erti kesabaran, ketabahan dan kecekalan. Air mata yang tumpah tidak mungkin dapat mengubah segalanya. Kami redha pada ketentuan-Nya. Semangat yang berterbangan kembali sedikit demi sedikit.
Namun anakku sayang, mana mungkin hati ayah dan ibu ini tidak terusik melihatkan dirimu itu. Tubuh kecil yang diletakkan dalam bekas khas setiap masa. Jiwa mana yang tidak terasa melihat tubuhmu yang sarat dengan tiub dan wayar pelbagai warna. Ada tiga mesin elektronik khas menempatkan picagari yang mengandungi nutrisi dan ubat berwarna kuning, putih dan tanpa warna. Cecair itu dimasukkan ke dalam tubuh kecilmu itu melalui tangan dan kaki. Hari ini saja, sudah bertambah satu lagi tiub. Tidak sanggup rasanya melihatkan proses mereka memasukkan tiub kecil itu ke dalam tubuhmu. Kain hijau yang ditutup basah dengan darah. Terasa ngilu melihatkan. Tangisanmu bagai menzahirkan rasa sakit itu. Sabarlah sayang.
Tangan dan kaki pula berbalut dengan wayar. Ditambah pula dengan wayar-wayar putih yang melekap di dada dan perut. Semua itu memberi isyarat pada monitor yang memaparkan beberapa graf yang menunjukkan denyutan jantung dan pernafasan. Ada gelombang naik dan turun. Setiap puncak dan lurah itu ayah perhati dengan rasa ingin tahu. Sesekali ia menunjukkan graf yang agak luar biasa. Adakah semuanya baik?
Hidung anak ayah yang comel itu pula tertutup dengan sarung yang membekalkan oksigen. Dan yang paling ayah kasihankan, satu tiub dimasukkan dari mulut hingga ke dalam perut. Apa yang berkumpul di dalam perut akan dikeluarkan semula melalui tiub kecil itu. Tentu anak ayah tidak selesa begitu. Oleh kerana keadaan anak ayah ini, maka tiada sebarang makanan dapat dimasukkan ke dalam mulut, termasuklah susu.
Lima belas hari juga semenjak kelahiranmu itu, belum setitik pun susu ibu yang dapat anak ayah nikmati! Namun, ibu tidak pernah jemu memerah dan menyimpan susu sebagai bekalan. Banyak juga susu yang disejukbekukan di hospital. Bagaikan tidak sabar menanti detik untuk dikecapi olehmu.
Sehingga kini, hanya dua kali saja kami dapat memeluk dirimu sayang. Bukan kerana tidak mahu, tapi keadaan tidak mengizinkan kami berbuat demikian. Dapat memelukmu selama 15 minit saja sudah cukup bermakna. Apa yang dapat kami lakukan setiap kali melawat dirimu adalah sekadar menyentuh setiap inci tubuhmu. Pada tangan, kaki, dada dan perut. Juga mengusap rambutmu yang halus. Mengecap kehangatan tubuhmu itu. Sesekali hati terusik melihat dirimu memberi reaksi. Dapatkah kamu dengar setiap kali kami memanggil dirimu sayang?
“Sayang, ayah ibu datang”
“Sayang, bukalah mata”
“Sayang, janganlah menangis”
“Sayang, sabarlah sayang. Anak ayah kuat’kan?”
Ayah tahu, anak ayah ini kuat. Kental. Namun, kadangkala hati ayah tidak setegar itu. Hati ayah mudah saja runtun melihat dirimu begitu. Segala kekuatan ayah cari. Semua kesabaran cuba ayah pertahankan. Namun, mata ini selalu saja mengundang butir-butir air mata. Maafkan ayah sayang, jika ayah tidak mampu menahan air mata dari jatuh berguguran. Bahkan menitik di atas selimut yang membaluti tubuhmu sewaktu ayah dapat memeluk tubuhmu. Maafkan juga ibumu yang seakan tidak bermaya memegang tubuhmu. Bukan kerana takut, tetapi tidak sampai hati melihat putera kesayangan kami dalam keadaan begitu. Rasa kasihan menyelinap ke pelusuk hati. Andai sakit itu boleh bertukar ganti, biarlah ayah sendiri yang menggantikannya.
Tujuh hari berada di wad hospital, barulah ibu pulang ke rumah. Namun, gelang plastik penanda masih lagi setia di tangan ibu. Penanda yang diletakkan sewaktu ibu dimasukkan ke dalam wad. Ibu tidak mahu menanggalkannya. Ibu kata, ibu mahu jadikan ia sebagai kenangan. Bagai mengikat ibu terus dengan Amir Yusuf. Agar tidak berjauhan. Apabila putera ayah ini sudah pulang ke rumah, barulah ibu akan menanggalkannya. Setiap detik berlalu, ingatan kami selalu kepadamu.
Katil anak ayah di rumah masih lagi tidak terpasang. Tilam dan cadar sudah lama kami beli. Warna lembut yang mendamaikan. Sengaja dibiarkan begitu kerana ayah ibu tidak pasti bilakah waktunya anak ayah ini akan pulang. Kami terasa begitu kehilangan. Seakan kekurangan. Melihat katil yang kosong tanpa dirimu pasti lebih menyeksakan.
Hingga kini, kakak Najla belum lagi berpeluang melihat wajahmu. Ayah dan ibu belum bersedia menemukan kamu berdua. Ayah tidak mahu kakak Najla terkejut melihat adiknya dalam keadaan penuh dengan wayar dan tiub. Cuma selalu ayah mengingatkan dirimu kepadanya. Betapa sayangnya kamu kepada dirinya. Sengaja ayah mereka cerita agar tumbuh rasa kasih di antara kamu berdua, meskipun tidak pernah sekali melihat dirimu. Kakak Najla sekadar mendengar cerita ayah dan ibu, siapa itu Amir Yusuf. Seorang putera. Seorang adik. Seorang perwira kecil ayah dan ibu.
Setiap hari kami akan selalu mengunjungimu. Melihat keadaanmu. Melihat wajah yang kami rindui. Rasa penat bagai tidak terkira. Hingga kadangkala ayah seakan terlupa keperluan ayah sebagai manusia biasa juga.
Ayah semakin mengerti apa itu kesabaran. Apa itu ketabahan. Meskipun ia bermula dengan air mata. Entah berapa banyak air mata yang telah kami tumpahkan. Kesedihan ini dipujuk sendiri. Sudah pasti ada hikmah yang tersembunyi. Jauh dari jangkaan dan jangkauan fikiran kita yang begitu kerdil. Jelas sekali, Dialah Yang Maha Mengetahui.
Oleh itu, ayah dan ibu akan sabar dan setia menanti. Insya Allah, keajaiban itu mungkin datang pada saat yang tidak terduga. Satu hari nanti, kita akan bersama. Saat ayah, ibu dan kakak Najla akan memeluk dan mengucupmu selalu.
Kita bersama. Dalam rasa bahagia yang terindah.

SHIMI says:
Sedih dan meruntun jiwa. Tidak semua insan yang mampu melaluinya dengan cukup ketabahan. Sabar, kerana Allah itu Maha Besar. Tidak Dia menciptakan sesuatu itu dengan sia-sia. Dan tidak Dia memberi satu dugaan itu tanpa sesuatu hikmah yang tidak tercapai oleh akal manusia akan maksudnya.
12-07-08 at 6:02 pm
megat says:
perlahan-lahan aku menghabiskan setiap luahan penulisan beserta linangan air mata.
apa yang mampu aku lakukan selain memberi kata-kata pujuk dan berdoa!?
fajar, sabarlah. aku seolah-olah dapat meresapi apa yang kau rasa. insya allah semuanya akan berjalan dengan lancar diiringi doa dari rakan-rakan kau dan aku.
12-07-08 at 7:05 pm
zulfadli says:
ya Allah.. berikanlah kekuatan pada diriku ini.. seperti mana engkau berikan kekuatan itu pada mereka..
12-07-08 at 8:10 pm
suara says:
Salam.
Allah menduga kita kerana Dia mahu kita ingat bahawa Dia sentiasa ada untuk membantu..
Bahu yang disandar untuk meringankan beban, kekuatan yang dimiliki jika mampu dipinjamkan, pasti ramai yang mahu menghulurkan. Tapi kita semua insan yang penuh dgn kekurangan dan kelemahan. Hanya Allah yang memiliki kekuatan, lalu memintalah padaNya.
Sekadar berkongsi apa yang pernah dipelajari… Amalkan asma Allah Ya Aziiz Ya Jabbar sebagai zikir dan dalam masa yg sama, berdoa di dalam hati agar diberikan kekuatan pada diri dan keluarga, kuat utk Amir dan juga semua insan yang menyayanginya…
Bacalah Ya Allah Ya Mujiib setiap kali slps solat dan berdoalah krn Allah itu Maha Mengabulkan setiap permintaan hambaNya.
InsyaAllah, doa saya juga ada untuk kalian…
13-07-08 at 8:59 am
zahila says:
andai keajaiban itu tiba-tiba menjelma….
panjatkanlah kesyukuran yang tiada putus hingga akhirnya…
doalah meminta pada-Nya dgn hati yg yakin.
nextweek insyaallah aku ke tanah haram… ada doa special, email aku fajar.
aku doakan amir yusoff kembali sihat dan menjadi manusia yg hebat sehebat namanya
13-07-08 at 11:30 am
rudy says:
Wahai bayu sang makhluk Tuhan, sampaikan salam kekebalan semangatku kepada sahabatku Fajar sekeluarga.
Wahai Tuhan, kasihani hambamu itu. Berikan mereka sebesar-besar kesabaran Bilal bin Rabah dan Ketabahan Muhammad SAW.
13-07-08 at 12:53 pm
aliff says:
Alif baca entri ini dengan linangan airmata. Aliff pernah kehilangan anak saudara yang disahkan down sindrom 26 hari selepas dilahirkan. Sesungguhnya Aliff dapat rasa apa yang abang Fajar rasakan!
Semoga Allah swt berikan abang Fajar kekuatan dan ketabahan.Amin!
13-07-08 at 1:18 pm
ernie says:
salam,
Fajar dan keluarga, sabar…ada hikmah diatas semua yang dilalui ini…yakinlah dengan janji Allah…
Semoga Allah swt berikan abang sekeluarga kesabaran Bilal bin Rabah…Insya-Allah..
13-07-08 at 2:15 pm
Indera says:
Fajar,
Entah kenapa, untuk beberapa ketika tatkala menziarahimu di laman ini, saya sering terkelu. Gagal untuk memberi barang kata semangat dan perangsang buatmu yang sangat memerlukan.
Di kala membaca coretan ini, tekak berdehem beberapa kali. Cuba menahan hati yang tersentuh, cuba mengempang airmata dari tidak keluar. Cuba berlaku selamba. Namun naluri kemanusiaan itu tetap gagal ditahan-tahan. Penderitaan tubuh zahirmu dan juga batin lantaran kesakitan yang dialami oleh puteramu itu.
Doaku tidak putus bersamamu Fajar.
Jika Amir Yusuf berjaya mengharungi 15 hari yang getir dengan tabah, itu tandanya dia dilindungi oleh Rahmat dan kasih sayang Allah. Dia tabah. Ibu dan Ayahnya juga harus tabah sepertinya.
14-07-08 at 2:39 am
ayobkelubi says:
beb, aku baru tahu…maafkan aku. aku doakan amir yusuf jadi sekuat ayahnya…
semoga amir yusuf akan terus kuat dan kuat lagi..
14-07-08 at 4:37 am
asuhara says:
fajar, moga tiap titis air dari kelopak yang jatuh ini sebagai imejan doa dari kami yang mahu kau sekeluarga kuat menghadapi segalanya.
ayah amir yusuf, kuat ya!
14-07-08 at 5:52 am
fiza says:
Salam Fajar n Anis,
May Allah s.w.t grant both of you strength and patience to endure this hard time..
Kami semua mendoakan segala yang terbaik buat kalian,aminn..disebalik kesusahan itu pasti ada kesenangan,InsyAllah..
14-07-08 at 6:08 am
Adzimi says:
Sebak hati apabila membaca posting di atas. Tak terbayang kesedihan dan kerunsingan yg sedang diharungi Fajar and wife. Diharap Fajar, family and Amir Yusuf terus tabah menghadapi dugaan Allah ini. Amin..
14-07-08 at 6:23 am
meero says:
semoga ko sentiasa beroleh kesabaran, ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi saat-saat getir ini… aku dan teman2mu yang lain senantiasa mendoakan yang terbaek dan terindah untuk kau sekeluarga….. entry kali ini tanpa sedar membuat aku hanyut dalam kesedihan…. tabahlah teman
14-07-08 at 7:22 am
basri says:
Aku baru tahu dari blog Rudy.
Semoga semuanya akan selamat, insyaAllah.
Bro, aku kirimkan doa sebagai pengganti diri.
14-07-08 at 9:48 am
JIMI says:
Jimi sentiasa berdoa di sini.
14-07-08 at 11:33 am
niefeng says:
Salam Fajar, InsyaAllah, Allah akan bersama2 org yg sabar. Semoga tabah menghadapi ujian Allah. Aku doakan agar putera kamu cepat sembuh, Amin
14-07-08 at 1:43 pm
azah says:
Selalu terasa ingin menelefonmu, tapi gusar kau masih dalam kesedihan..Sabarlah Fajar dan Anis, InsyaAllah segala kekusutan dibalas olehNya dengan seribu kemanisan. Masih ada sinar bahagia menantimu sekeluarga..Sabarlah..Tabahlah…Redhalah…Kuatlah…
14-07-08 at 7:06 pm
mawar says:
fajar, apalagi perkataan yg boleh diucapkan..sabarlah.Saya dan suami pernah melalui saat-saat seperti itu disaat kelahiran alisa 2 tahun lalu..kelahiran yg penuh airmata dan kesayuan namun semuanya kebesaran dari Allah yamg maha mengetahui yg baik dan buruk utk Kita.Kini, kami juga diuji lagi dengan kesihatan Alisa,saban hari berulang alik ke hospital dgn keadaan dia yg x menentu, apatah lagi dgn mama alisa yg sedang berbadan dua sekrg..begitu kuat Ujian Allah utk kami dan hrp fajar & family juga tabah..u are not alone
15-07-08 at 3:31 am
kopisuam says:
salam fajar akak doakan fajar dan isteri sentiasa tabah..berat hati kami membaca luahan ini kami tahu berat lagi fajar sekeluarga yang mengharunginya. Apa-apa pun tabahkan hati kuatkan semangat cekalkan diri…dan sentiasa memohon kepada ALLAH ok..
Semoga Amir Yusuf tabah setabah ujian dan dapat membesar dengan sempurna seperti kanak2 lain…amin
kak zira
15-07-08 at 4:42 am
walkthrulife says:
Fajar…
sebak hati membaca entri ini..wtl doakan moga keadaan amir yusuf akan bertambah baik dan dpt bersama keluarganya.
Buat Fajar & isteri, berdoalah di bulan yg mulia ini. Banyakkan bersabar okay. Doa kami mengiringi kalian sekeluarga..
15-07-08 at 6:47 am
elaira says:
dari rasa
air mata ini mengalir
deras
sepertilah alirannya itu bisa menghapus
duka.
tiada jemu
kuntum-kuntum doa
kuhulurkan ke langit
moga Tuhan sudi menyambut
memperkenankan
segugus harapan
kesihatan dan kesejahteraan
amir yusuf.
dari jiwa yang kerdil ini
kutatang mengharap
agar ketabahan
hadir dalam diri
adikku suami isteri di perantauan
kalian, cekallah.
kasih sayang buat kalian,
elaira.
15-07-08 at 12:33 pm
Abu Bazli says:
fajar, wak suhaizah kirim salam. dia kirimkan juga doa semoga segalanya menjadi lebih baik dari semalm.
16-07-08 at 8:01 am
che su says:
abg fajar dan kak anis….adik dpt rase yg abg dan kakak rase…adik pun trut rase sedih sgt2…tp pe yg pentg mami abah akn sentiasa ada bsama walau kt jauhhh beribu2 batu….kami tetap berSAMAmu….
20-07-08 at 3:50 pm
Halim UTeM(FKEKK) says:
Assalamualaikum..
Kami menerima berita yg amat menyentuh hati hanya yg maha esa yg mengetahui apa sebenarnya perasaan seorg ibu dan ayah terhadap anaknya. Kami dr jauh hanya mendoakan utknya supaya putera yg disayangi cepat sembuh dan juga utk ayah dan ibu tabah menghadapi segala dugaan yg mendatang. Tiada lain hanya berdoa dan berusaha padanya kita berserah.halim n family
23-07-08 at 11:56 am
Doa, Demi Kesejahteraan Dan Kesihatan Amir Yusof | MEGAT says:
[...] Sebagai seorang rakan, seorang yang menjalani tanggungjawab sebagai seorang islam dan juga seorang bapa, aku begitu tersentuh bila membaca kemaskini rentetan peristiwa dari seorang ayah yang begitu cekal menghadapi takdir yang menimpa anaknya. [...]
06-09-08 at 6:06 am