22-07-08

Hadirlah Keajaiban

Posted in bicara by fajr'

Pagi itu, aku gagahkan diri untuk bangkit dari tidur yang lena. Usai solat Subuh, aku kembali ke bilik tidur. Masih ada beberapa jam lagi sebelum mentari menebarkan cahayanya ke muka bumi Glasgow ini. Di atas katil, Najla dan ibunya masih lena beradu. Rasa kasih terus mengalir melihat wajah-wajah ini. Begitu tenang dalam tidur mereka. Aku tahu, ada rawan yang sering menggasak hati isteriku ini. Raut wajahnya selalu menyembunyikan kesedihan. Biarpun sewaktu dugaan yang begitu menguji kami.

Malam itu, wajah itu seakan terganggu. Hatinya terusik. Dalam kesamaran malam sebelum tidur, terdengar esakannya. Sedunya cuba ditahan. Apabila ditanya, katanya tiada apa. Hidung tersumbat kerana selsema. Perlahan-lahan aku menyentuh pipinya. Basah dengan air mata. Barangkali itu air mata kerinduan. Juga penuh dengan harapan. Aku cuba memujuk. Walaupun aku tahu, kata-kata aku bagai sudah kehilangan saktinya. Lama-lama, isteri aku tertidur dalam tangisan.

Pagi itu, aku lihat mereka berdua. Seorang isteri yang begitu teguh dan cekal melalui dugaan hidup. Seorang anak kecil yang masih pucuk untuk memahami erti kehidupan yang meminta pengertian. Namun, bersama mereka membuatkan aku jadi tabah. Betapa aku menyedari, mereka memerlukan aku untuk terus kuat dan tegar, sepertimana aku memerlukan mereka.

Sewaktu mata ini hampir terpejam, tiba-tiba saja ayat ini menerjah benak fikiran.

‘Hadirlah keajaiban, terangilah kehidupan’

Dalam beberapa minggu yang berlalu ini, terlalu banyak yang telah aku selami. Tentang diri. Tentang kehidupan. Tentang harapan. Betapa manusia ini terlalu kerdil di sisi Penciptanya.

Setiap hari berulang alik ke hospital bagaikan sudah menjadi satu rutin kami. Sewaktu kali pertama dulu, hati kami begitu gusar melihat bekas kecil yang terisi bayi kecil penuh dengan tiub dan wayar. Di sisinya pula terdapat bermacam jenis mesin elektronik. Kini, pemandangan di dalam wad itu sudah tidak asing lagi di mata kami.

Melihatkan Amir Yusuf yang begitu tenang di dalam tempatnya sudah cukup memberi penawar ke dalam jiwa kami. Hati ibu ayah mana yang tidak terusik melihat anak mereka sedemikian rupa. Namun, mengenangkan Amir berada dalam jagaan rapi di hospital berkenaan, melegakan sedikit hati kami. Masakan tidak, setiap saat yang berlalu, fikiran kami selalu terbayangkan dirinya. Pada matanya yang sayu, pada bibirnya yang kadangkala kering dan pada wajahnya yang tulus. Juga gerakan tubuh badannya yang sesekali memberi reaksi.

Hari-hari yang berlalu memberikan kekuatan dan ketabahan buat kami. Benarlah kata orang, melihat dan mendengar sesuatu dugaan adalah sama sekali tidak sama dengan merasanya sendiri. Apabila melalui ujian sebegini, hati dan jiwa kami melihat kehidupan dari sudut yang berbeza. Tidak semua orang berada dalam keadaan begini. Sudah tentu ada sesuatu yang Allah mahu berikan kepada hamba-Nya.

Hingga ke hari ini, kami difahamkan Amir Yusuf mengalami 3 komplikasi berasingan di dalam tubuhnya. Segala maklumat kami catatkan di dalam jurnal khusus untuk Amir. Kami berusaha mempelajari semula anatomi manusia yang ditinggalkan di bangku sekolah. Keadaan Amir menjadikan kami lebih prihatin dengan sistem yang ada di dalam tubuh manusia. Di tangan kami, tiada kuasa untuk merawati segala yang luar biasa. Sekadar doa dan harapan kepada-Nya.

Tidak dinafikan, hati kami selalu dalam kegusaran dan kesedihan. Namun begitu, selalu kami mengingatkan diri bahawa ada orang lain yang lebih susah dan sukar daripada kami. Bahkan, di dalam wad yang menempatkan Amir saja sudah cukup menzahirkan kesulitan yang dialami oleh orang lain. Melihatkan kekuatan bayi-bayi kecil itu membuatkan kami kagum. Melihatkan kesabaran dan ketabahan ibu bapa mereka itu sendiri bagai menghimpunkan kekuatan ke dalam jiwa kami.

Melalui saat-saat begini, terasa kami tidak bersendiri. Bahkan ada yang lebih melalui saat yang getir dan pahit dari kami. Namun masih lagi gagah mengharungi hari-hari yang berlalu. Tanpa berputus asa, setiap masa memohon doa dan harapan, agar Tuhan memperkenankan permintaan hamba-Nya.

Kepada Kak Pnut & Mamalisa, semoga terus tabah dan kuat dalam mengharungi dugaan dari-Nya. Insya Allah, moga anak-anak kita akan selalu berada dalam rahmat Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui. Akan tiba masanya kemanisan kebahagiaan itu kita nikmati apabila tiba masanya. Begitu juga dengan kenalan seperti Kak Raden Galoh yang melalui saat-saat getir. Diberikan ujian buat kita agar kita selalu sedar dan merasa betapa kasihnya Dia kepada kita.

Lalu, kata-kata ini terus bertalun-talun di telinga,

‘Hadirlah keajaiban, terangilah kehidupan’.

You can leave a comment, or trackback from your own site. RSS 2.0

13 comments

  1. SHIMI says:

    Dengan izin Allah, keajaiban itu akan menjelma. Seindah namanya yang berjanji akan memakmurkan kedua ibu bapanya. Setabah Nabi Yusuf yang melepasi segala ujian dan fitnah. Maka setabah dan sekuat itulah Amir Yusuf. Insyallah.

    22-07-08 at 1:59 pm

  2. Lady Pot Pet says:

    Insyallah dgn berkat doa semua keajaiban itu akan hadir. Tabahkan hati ya Fajar & Anis. Fajar jaga Anis tu jangan terlalu sedih , dia masih dalam pantang. Memang susah, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.Insyallah kami sentiasa mendoakan…

    22-07-08 at 5:10 pm

  3. megat says:

    Tiada lain yang aku mampu luahkan disini selain mengharapkan kau terus tabah bersama isteri tersayang dan anak-anak kau.

    Teruskan meminta pertolongan dan hidayah dari-NYA. Sesungguhnya DIA maha berkuasa!

    22-07-08 at 5:43 pm

  4. kaktiny says:

    benar-benar berdoa agar keluarga saudara dihadirkan Allah keajaiban dan diterangi kehidupan..

    andai mungkin aku mampu melakukan sesuatu yang bisa meringankan beban si isteri yang masih berpantang..

    Ya Allah.. berikan mereka kekuatan dan ketabahan..

    23-07-08 at 3:45 am

  5. Indera says:

    Serulah pertolongan Allah dengan jiwa yang tulus ikhlas lagi penuh mengharap…
    Insya-Allah bantuan Allah itu akan tiba umpama ombak yang berlumba-lumba menerpa pantai kerana sesungguhnya Allah itu lebih dekat dengan kita dari urat tengkuk kita sendiri

    AN LA-ILAHAILLA ANTA.
    SUBHANAKA INNI KUNTU MINAZZALIM

    (Doa Nabi Yunus sewaktu di dalam perut Ikan Nun. Bahawasanya diriwayatkan jika tidak kerana seruan ini, nescaya Nabi Allah Yunus akan terus berada di dalam perut ikan itu sehingga ke hari kiamat. Doa ini sangat mustajab sebagai jalan keluar terhadap kebuntuan dan masalah yang besar)

    23-07-08 at 4:59 am

  6. Indera says:

    AN LA-ILAHAILLA ANTA.
    SUBHANAKA INNI KUNTU MINAZZALIMIN

    Maaf, pembetulan kesilapan

    23-07-08 at 5:04 am

  7. rudy says:

    “Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila dia berdoa kepadaNya dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit di antara kamu yang mengingati (nikmat Allah itu)”

    Surah An-Naml ayat 62

    Fajr, i’m alwiz b wif u fren.

    24-07-08 at 5:21 am

  8. aliff says:

    Salam,
    Bang Fajar dan Kak Anis,
    semoga ketabahan kalian membawa kepada kepada redhaNya Allah SWT. Semoga Amir Yusof sihat dan selamat. Peluk cium untuk Amir dan Najla dari Shah Alam.

    24-07-08 at 9:55 am

  9. che su says:

    abang&kakak…bersabarlah…kerana
    Sabar memiliki dua sisi,sisi yang satu adalah sabar, sisi yang lain adalah bersyukur kepada Allah….

    abang dan kakak….

    Kenapa aku diuji?

    “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?. Demi sesungguhnya ! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian) , nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. (Al Ankabut: 2-3)

    Kenapa aku tidak dapat apa yang aku idam-idamkan?

    … “Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan ingatlah, Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya” (Al Baqarah: 216)

    Kenapa ujian seberat ini…?

    “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menangung dosa kejahatan yang diusahakannya” (al Baqarah: 286)

    Bagaimana harus aku menghadapinya..?

    “Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu dan bersedialah serta bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu berjaya”. (Ali Imran: 200)

    Apa yang aku dapat dari semua ini…?

    “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah” (At Taubah: 111)

    Kepada siapa aku berharap..?

    Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): “cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dialah yang mempunyai ‘Arasy yang besar”. (At Taubah:129)

    Aku tak dapat tahan……

    “Kalau demikian bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, dan Allah jualah yang dipohonkan pertolonganNya,…” (Yusuf:18)

    abg dan kakak kene kuatkn smgt demi amir yusuf…seandainya si kecil itu bole berhadapan dgn pelbagai perkara knp abg dan kakak tidak???

    Kadang2 Allah sembunyikan matahari..Dia datangkan petir dan kilat..kita
    menangis dan tertanya-tanya, kemana hilangnya sinar..Rupa2nya.. Allah nak
    hadiahkan kita pelangi yg indah…..

    adik syg…kakak..abang…najla
    che su rindu sgt2….

    24-07-08 at 4:51 pm

  10. marjerin says:

    kadangkala keajaiban itu datang tanpa kita ketahui dan tanpa kita peduli.

    salam ziarah..:)

    25-07-08 at 4:24 am

  11. suara says:

    Salam.

    Selagi masa terus berjalan, selagi itu ada harapan.

    Doa untuk cambahan impian, doa untuk rentang kepasrahan, doa untuk paut kekuatan, doa untuk satu keajaiban.

    Kami semua bersama kamu… doa kami tertera namamu. Amir Yusuf.

    25-07-08 at 4:53 am

  12. keusm says:

    salam kenal tuan umh,duduk glasgow rupanya,alangkah sedihnya membaca coretan tuan umah sb ur wife still dlm pantang.biasanya org berpantang jiwanya amat sensitif,semoga tuan umah dpt mengembirakan hati isteri mu itu.

    Semoga Allah kurniakan chaya kegembiraan dlm hidup kalian berdua!amin..

    26-07-08 at 6:42 pm

  13. Amyz says:

    Dugaan diturunkan pada orang yang Allah sayang. :-)

    30-07-08 at 4:55 pm

Leave a comment