31-07-08

Sinar

Posted in rasa by fajr'

Semalam awan mendung berarak di dada langit. Seakan hujan mahu turun. Namun begitu, seperti yang selalu diperkatakan, mendung tidak bererti hujan. Dua hari sebelumnya, cuaca di Glasgow agak suram. Rintik hujan membasahi bumi setelah beberapa hari panas matahari menghangatkan persekitaran. Kesuraman ini bagai melukiskan rasa di hati ayah dan ibu yang penuh dengan harapan dan ketidakpastian.

Dua hari itu Amir Yusuf dijadualkan untuk menjalani pembedahannya yang pertama. Hari yang kami lalui dengan penuh harapan dan debar. Terkejar-kejar ayah dan ibu untuk dua hari itu. Menanti dari pagi hingga ke petang, begitu menguji fizikal dan mental. Kami akur akan keputusan doktor untuk mengenepikan kes Amir Yusuf demi memberi laluan kepada kes kecemasan yang lain. Dua hari itu juga, slot yang ditetapkan diserahkan kepada kanak-kanak lain yang memerlukan. Tidak dinafikan, ada rasa kecewa singgah di hati ini. Tapi, kami faham keputusan yang telah mereka ambil. Hanya kesabaran saja mampu menenangkan jiwa yang bergelora.

Kasihan Amir Yusuf, kecil-kecil lagi sudah belajar untuk berkorban. Wajahnya tidak menunjukkan rasa kecewa seperti yang terlihat di wajah kami. Wajah itu tetap tenang dan melalui hari-hari tanpa mengenal erti kepayahan atau kesakitan. Dia tetap berjuang tanpa secebis kekesalan. Seolah-olah, dia mahu berkata kepada kami,

‘Usah risau dan khuatir ayah dan ibu. Segalanya adalah ketentuan-Nya’

Amir Yusuf selalu begitu. Memberi kejutan satu demi satu.

Hari-hari berlalu tanpa kami menyedari bahawa sudah sebulan lebih Amir Yusuf ditempatkan di hospital. Berpindah dari satu wad ke wad yang lain. Mujur juga setelah tiga minggu berada di wad, kami sudah berpeluang untuk memeluk dirinya. Haruman seorang bayi masih begitu melekat kepada Amir Yusuf. Selalunya, Amir Yusuf seakan mengetahui kehadiran kami di situ. Matanya akan terbuka dan bagaikan mencari-cari kami. Dia mahu dibelai dan tidur dalam dakapan ibu. Sebaik saja berada di dalam pelukan ibu, Amir Yusuf menjadi tenang. Bagaikan melepaskan segala rindu di antara kami.

Kami dijanjikan bahawa pembedahan Amir Yusuf akan dijalankan pada hari berikutnya. Namun, kami tidak meletakkan harapan yang tinggi seperti sebelum ini. Empat kali sudah tertangguh. Kemungkinan kali ini akan tertangguh juga. Terasa seperti anak ayah yang memberi isyarat bilakah waktunya dia ingin dibedah.

Akhirnya, semalam dimaklumkan Amir Yusuf akan menjalani pembedahan. Tengahari itu, ayah dan ibu datang ke hospital. Waktu sebegini, keadaan jalan tidak lancar seperti waktu pagi dan petang. Meskipun cuaca agak suram, bahang panas tetap dirasa. Sepanjang perjalanan, terselit satu harapan agar perancangan kali ini tidak tergendala.

Seperti yang dijangka, hampir setiap kawasan tempat meletakkan kenderaan penuh. Kami tiba di dalam wad lebih kurang jam 2 petang. Ibu telah dimaklumkan oleh seorang jururawat yang bertugas bahawa Amir Yusuf telah pun dibawa ke bilik pembedahan pada jam 1 petang tadi. Amir Yusuf pergi sendiri tanpa menunggu kami. Tanpa disedari, air mata ibu tumpah kerana tidak berkesempatan menemui Amir Yusuf.

Kali ini, kami menunggu lagi. Dalam doa dan harapan. Biarpun rasa letih, tidak sekali pun mematahkan semangat yang ada di jiwa. Sewaktu penantian itu, ayah baru tersedar bahawa hari ini adalah hari Isra’ Mikraj. Hari yang terakam peristiwa Nabi Muhammad di’bedah’ oleh malaikat sebelum mengikuti perjalanan melalui lapisan langit. Perjalanan yang penuh dengan hikmah dan menunjukkan kebesaran-Nya. Tidak sekali ayah menyangka bahawa Dia juga telah menetapkan hari ini turut menjadi pilihan untuk Amir Yusuf dibedah. Barangkali telah ditangguhkan pembedahan tersebut ke hari ini yang penuh dengan berkat dan rahmat.

Lewat petang itu, Amir Yusuf kembali semula ke pangkuan kami. Syukur, keadaannya agak baik dan stabil meskipun harus bergantung kepada beberapa mesin yang terletak di sekitar katilnya. Kami lihat wajahnya yang begitu damai dalam lena. Entah apa yang dimimpikannya. Adakah dia bermimpi melalui ‘perjalanan’ bersama malaikat?

Ketenangan wajahnya memberi kelegaan buat hati seorang ayah dan ibu. Satu langkah telah dilalui. Kami sedar selepas ini Amir Yusuf akan melalui rawatan yang seterusnya bagi merawati komplikasi yang lain. Namun, sekurang-kurangnya pembedahan ini memberikan sinar harapan untuk melalui hari-hari mendatang.

Ayah memandang keluar tingkap wad. Di dada langit, kepul-kepul awan hitam bergelumang ditiup angin. Laju bergerak ke satu arah. Sedikit demi sedikit, langit biru lazuardi kelihatan dari celahan awan. Sinar matahari petang memancar terang hingga masuk ke dalam bilik wad Amir Yusuf. Buat seketika, suasana di bilik itu menjadi indah dalam limpahan cahaya mentari. Seakan sinar harapan dan cahaya kehidupan menerangi kami yang berada di dalam kepul-kepulan awan kesuraman dan kegelisahan. Meskipun tidak ternampak garis pelangi, terasa sesuatu yang lebih indah menanti kami.

You can leave a comment, or trackback from your own site. RSS 2.0

18 comments

  1. napang says:

    aku berdoa dalam syukur, Alhamdulilah Amir kun. Genki de ne.

    31-07-08 at 3:34 pm

  2. Kak Lin says:

    Fajar & Anis,
    Semoga Allah sentiasa melimpahkan rahmatNya pada Amir Yusuf dan keluarga Fajar. K Lin tak sampai hari nak telifon Fajar selalu memandangkan Fajar sibuk dengan Amir dan Anis. Tapi Amir Yusuf tetap dalam doa kami seharian. Bila ada kelapangan updatelah blog agar kami sentiasa dapat mengetahui perkembangan Amir. Semoga Anis dan Fajar setabah Amir Yusuf menghadapi dugaanNya.

    31-07-08 at 3:45 pm

  3. SHIMI says:

    Syukur. Itulah yang sebaiknya yang mampu ku ucapkan. Sesungguhnya Allah itu Maha Menentukan perjalanan hamba-hamba Nya.

    31-07-08 at 5:33 pm

  4. megat says:

    alhamdulillah selamat pembedahan pertama bersama rahmat dan kesabaran kamu berdua.

    selalulah panjatkan doa demi keselamatan dan kesihatan amir yusof.

    insyaallah aku sentiasa bersama-sama kalian memanjatkan doa.

    31-07-08 at 9:55 pm

  5. Abu Bazli says:

    Hi Amir, Batrisya Huda sent regards to you. She said may Allah grant you and your family all the strength and wisdom.

    01-08-08 at 3:09 am

  6. fadzila says:

    salam fajar,…actually amir yusof sakit apa…

    fadzila mintak maaf sebab dah lama tak jengok blog fajar… bila baca arini rasa sebah sangat…

    be strong yer fajar..amir yusof perlukan kekuatan dari awak…

    insyaAllah Allah akan dengar segala doa hambaNya.. tiap apa yang terjadi may be ada hikmahnya…

    kami kat sini akan sentiasa mendoakan yang terbaik untuk kalian di sana…take care…

    01-08-08 at 3:42 am

  7. Indera says:

    Terkelu.
    Tidak mampu berkata apa-apa.
    Syukur. Harapan kembali berbunga.

    01-08-08 at 5:04 am

  8. zulfadli says:

    Alhamdulillah, amir sudah pun berjaya melalui pembedahan yg pertama, semoga amir dan fajar sekeluarga dalam keadaan sehat sejahtera..

    01-08-08 at 7:40 am

  9. mar says:

    Membaca blog en fajar seperti sebuah cerpen yg eklusif. Lebih bermakna sebab semuanya catatan dari pengalaman. Bukan semua insan melalui kepayahan dan ujian. Hanya mereka yg terpilih dpt melaluinya dgn tenang dan syukur di hati, tanda meredhai setiap pemberianNya.

    02-08-08 at 12:27 pm

  10. ayobkelubi says:

    jar,kalau itu yg telah di tetapkan olehNya.

    bermakna AMIR YUSUF sgt bertuah!.

    semoga dia terus kuat dan lagi kuat.

    03-08-08 at 3:03 am

  11. asuhara says:

    terus kuat lagi!

    03-08-08 at 5:34 am

  12. rudy says:

    seiring dgn smgt isra’ mikraj… amir kun gambatte!

    03-08-08 at 6:52 am

  13. mawar says:

    Alhamdulillah.

    04-08-08 at 1:30 am

  14. dasarhati says:

    Alhamdulillah. semoga kang fajar dan keluarga terus dilimpahi Allah ketabahan dan kasih sayang. Amir Yusuf memberi saya semangat baru untuk terus tegar mengemudi hidup dewasa :)

    04-08-08 at 3:54 am

  15. chentahati says:

    Alhmadulillah

    04-08-08 at 5:05 am

  16. kaktiny says:

    semoga terus bersinar..

    05-08-08 at 3:59 am

  17. walkthrulife says:

    Alhamdulillah pembedahan ini berjaya. Kuat semangatmu Amir Yusuf..juga buat ibu dan ayah.

    06-08-08 at 2:04 am

  18. che su says:

    che su nak sgt2 dakap baby amir….nk cium diaa…nak main2 dgn diaa…tp kita jauhh….pe pun che su sntiasa bdoa tuk baby amir…yeahh his MY HERO

    I LOVE HIM SOO MUCH…& NAJLA TOO…

    07-08-08 at 2:42 pm

Leave a comment