Archive for August, 2008

31-08-08

Sehari Sebelum Ramadan

Posted in peristiwa by fajr'

Tiub yang menyalurkan susu kepada Amir Yusuf telah dihentikan buat sementara waktu. Kini, keadaannya sama seperti beberapa minggu sudah. Tanpa susu membasahi ruang perutnya. Beberapa tiub bersambung semula ke tubuh kecilnya.

Hari ini, kami tidak dapat memeluk Amir Yusuf seperti selalu. Dirinya terbiar di atas katil. Lena sekali beradu. Ibu cuba memeluk. Begitu lama. Ayah sekadar membiarkan. Dalam diam, rupanya ibu menahan rasa hingga mengalirkan air mata.

Esok, Ramadan bermula. Namun Amir Yusuf sudah memulakan puasanya terlebih dahulu.

[+]

Salam Ramadan buat semua. Moga rahmat Allah akan terus melimpah buat kita semua di bulan keberkatan ini.

30-08-08

Pulang

Posted in monolog by fajr'

“Amir Yusuf, bilakah Amir akan pulang ke rumah? Bulan Ramadan kian menjelang. Anak ayah masih di hospital”.

Ayah rindu.

27-08-08

Usah Bersedih

Posted in bicara by fajr'

Satu hari ayah sedang duduk di sofa sambil mata memandang ke televisyen. Fikiran pula menerawang memikirkan banyak perkara.

Tiba-tiba Najla menegur,

“Why ayah?”

“I’m sad”

“No, don’t be sad. Happy! Happy! Happy!”

Sambil tangannya memegang muka ayah. Memaksa ayahnya tersenyum. Selagi wajah ayah tidak berubah, selagi itu dia mencuba sambil menyebut, ‘Happy! Happy!’.

Akhirnya terlukis senyuman di bibir ayah. Najla ketawa gembira. Seolah kelegaan. Untuk seketika, fikiran ini lari dari mengenangkan lapisan-lapisan peristiwa yang menguji kekuatan dan kesabaran. Juga kadangkala mengecutkan semangat yang ada. Lalu pujukan Najla berterusan di benak kepala.

Happy! Happy!

Andainya biasa ayah menzahirkan rasa gembira itu selalu dan tanpa ragu.

Happy! Happy!, suara Najla beralun dan menyentuh setiap deria.

25-08-08

Air Mata Yang Tersisa

Posted in rasa by fajr'

Suasana di wad hospital ini bagaikan menyimpan seribu satu cerita. Di laluan ini mungkin pernah menyaksikan bagaimana pengorbanan seorang ayah dan ibu. Di ruang ini juga terlakar peristiwa kesibukan doktor dan jururawat menyempurnakan tugas mereka kepada bayi-bayi yang kerdil. Bahkan, di satu sudut mungkin pernah melihatkan bagaimana ketabahan hati seorang ayah dan ibu menerima berita duka tentang keadaan anak mereka. Namun, di ruangan ini seakan terdapat sinar cahaya yang penuh dengan harapan.

Beberapa minggu sudah, Amir Yusuf dipindahkan lagi ke wad yang lain. Kali ini di tingkat 3. Setiap petang, ayah dapat melihat mega merah di kaki langit dari tingkap wad ini. Kebetulan pula, katil Amir Yusuf terletak di tepi tingkap. Wad yang menempatkan Amir Yusuf dikongsi bersama dengan 5 orang lagi bayi lain. Selalunya, apabila ayah dan ibu berkunjung melawat, sudah pasti tidak lekang dengan suara tangisan bayi-bayi lain. Adakalanya, tangisan mereka seakan rintihan. Bukan sekadar tangisan kanak-kanak biasa, melainkan menahan rasa sakit. Mungkin juga ayah yang sekadar meneka. Namun, demikianlah yang dirasa pada naluri seorang ayah.

Jururawat yang bertugas seringkali bertukar ganti mengikut jadual syif yang ditetapkan. Setiap masa, mereka akan mencatat bacaan atau melihat keadaan bayi yang tiada ditemani ibu bapa. Lebih-lebih lagi jika ada yang menangis atau mesin pengawas denyutan jantung dan oksigen berbunyi.

Apabila ayah ibu berkunjung, jururawat yang bertugas akan memberi perkembangan terkini tentang Amir Yusuf. Bagaimana keadaan dirinya sejak ditinggalkan. Mereka sering berkata bahawa Amir Yusuf adalah anak yang begitu baik. Tidak banyak karenah mahupun menimbulkan masalah. Mungkin kerana dia begitu jarang menangis. Demikianlah Amir Yusuf yang tenang dalam lena. Dalam dunianya sendiri.

Sesekali ayah seakan merasakan ketidakselesaan Amir Yusuf. Salah satu tiub kecil dimasukkan melalui lubang hidungnya hingga menuju ke dalam perut. Pada tiub itulah dimasukkan susu atau cecair ubatan bagi menampung keperluan tubuh badan Amir Yusuf. Ada ketikanya, Amir Yusuf seakan terganggu dengan tiub itu. Bagaikan tiub itu menyekat rongga mulutnya hingga membuatkan dia tersedak.

Satu hari, sewaktu ayah dan ibu datang melawat seperti selalu. Katil Amir Yusuf terbiar sepi. Apabila didekati, rupanya Amir Yusuf sedang lena beradu. Namun, ada sesuatu yang membuatkan hati ayah tersentuh.

Di pelupuk mata Amir Yusuf, kelihatan ada air mata yang bertakung. Kelihatan mata itu basah. Terdapat satu garis kesan air mata dari mata kanan hingga ke alas cadar putih. Tidak pernah ayah dan ibu melihatkan Amir Yusuf begitu. Jarang sekali kami melihat Amir Yusuf menangis. Jika ada sekalipun, mungkin kerana mahukan sesuatu. Tangis yang begitu biasa bagi bayi sepertinya.

Entah mengapa, air mata yang masih basah dan bertakung itu membuatkan hati ayah jadi sebak. Apa yang membuatkan Amir Yusuf menangis hingga sebegitu? Adakah waktu itu dia menahan kesakitan? Atau barangkali mahukan dirinya dibelai tapi tidak dipedulikan? Atau menangis kerana mencari ayah dan ibu? Adakah Amir Yusuf rasa kehilangan?

Tiba-tiba saja, hati ayah diterpa rasa kesayuan. Mohon maaf anakku sayang. Ayah dan ibu berusaha untuk selalu bersamamu. Apakan daya, keadaan memerlukan ayah dan ibu melalui hidup seperti selalu. Melaksanakan tanggungjawab yang lain.

Jika boleh, ayah dan ibu mahu di sisimu selalu. Memeluk dan membelai. Menyanyikan lagu indah. Membisikkan kata azimat di telinga. Tidak mungkin ayah ibu membiarkan dirimu menangis hingga sebegitu. Setiap malam Amir Yusuf tidur keseorangan tanpa pelukan dan kehangatan ibu atau ayah. Mahu saja ayah terus mengucup jari kecil itu setiap ketika.

Perlahan-lahan, ayah usap air mata itu. Semakin sebak dirasa. Meninggalkan Amir Yusuf dalam jangkamasa yang lama bukanlah satu perkara yang mudah. Apatah lagi ditinggalkan bersendirian dengan orang asing. Dalam satu hari, hanya beberapa jam saja ayah ibu dapat bersama.

Barangkali, itu air mata kerinduan. Air mata yang menagih agar tangan ayah dan ibu selalu membelai. Andainya Amir Yusuf bisa berbicara, belum tentu ayah mampu bertanya mengapa ada air mata yang tersisa di pelupuk mata itu.

Entah mengapa, tiba-tiba saja seakan ada sesuatu yang tersekat di kerongkong ini. Dan mata ayah ini pula seakan berkaca.

22-08-08

Hingga Ke Syurga

Posted in peristiwa by fajr'

Kita pernah berkata
mahu mencipta bahagia
pada cinta seluas angkasa
lalu dibawa
di ruangan kecil hati kita

Kita layari bersama
pada setiap tawa
pada setiap lara
yang disimpul menjadi cerita
pedoman hidup mencari sejahtera

Selalu dipohonkan
agar bahagia sentiasa milik kita
dan cinta ini kekal selamanya
hingga ke syurga

* Kenangan ikatan cinta
22-08