13-08-08

Lena Dalam Dakapanku

Posted in rasa by fajr'

Angin petang yang bertiup menebar rasa sejuk. Sejak kebelakangan ini, cuaca kembali suram. Langit mendung dan kadangkala hujan turun membasahi. Dan seperti biasa, waktu petang begini adalah masa yang sesuai untuk ayah dan ibu bertandang ke hospital. Seperti selalu, untuk melepas rindu. Setiap masa, terlintas di fikiran apakah yang sedang dilakukan oleh Amir Yusuf. Menangiskah dia? Tidurkah dia?

Kadangkala ayah dan ibu datang agak lewat sedikit kerana sibuk dengan urusan harian. Namun kesibukan itu tidak langsung menghilangkan bayang putera kami yang jauh dari sisi. Jika datang terlalu awal, jalan agak sibuk dan sukar mencari tempat meletakkan kenderaan. Setiap hari melalui jalan yang sama. Setiap hari melangkah ke bangunan yang sama. Dan setiap masa datang bersama harapan.

Sebaik tiba di wad, ayah melirik ke arah bekas yang meletakkan Amir Yusuf. Kebiasaannya pada waktu petang begini, Amir Yusuf masih lagi berjaga. Tangisannya jarang sekali kedengaran. Dirinya nampak tenang sambil matanya memandang ke depan, mengikut posisi tidurnya. Barangkali Amir Yusuf menanti ayah dan ibu datang. Bagaikan tahu, waktu sebegini akan ada suara manja yang memujuk dan bermain. Lantas, Amir Yusuf tidak mahu terus tidur.

Terlebih dahulu, ayah dan ibu akan membersihkan tangan dengan sabun antiseptik yang disediakan. Setelah tangan dikeringkan dengan kertas, losyen antiseptik juga disapukan di sekitar jari bagi memastikan tiada kuman dan bakteria melekat. Demikianlah prosedur yang harus dilalui setiap kali masuk ke dalam wad ini. Sesudah itu, barulah ayah dan ibu akan mendekati bekas yang menempatkan putera kami ini.

Perlahan-lahan ayah mengintai Amir Yusuf di dalam bekas. Tubuh kecilnya bergerak-gerak. Matanya terkedip-kedip. Entah apa yang dilihat oleh anak ayah ini. Mungkin sedang menafsir segala cahaya dan warna yang ada di depannya.

Dengan perlahan, ayah memberi salam. Lalu memanggil dengan lembut,

‘Amir Yusuf, Amir Yusuf. Ayah ibu datang, sayang’.

Sebaik terdengar suara ayah, kepala Amir Yusuf bergerak dan mencari. Dari keadaannya yang sebentar tadi diam, dia terus menangis dalam nada suara yang begitu halus. Betapa ayah dan ibu mengerti, bahawa Amir Yusuf mahu diangkat dan dipujuk. Amir Yusuf sudah mengenal apa itu rindu. Jika Amir Yusuf pandai berbicara, tentu saja dia bertanya mengapa lewat mengunjunginya. Atau memberitahu betapa beza sekali tangan-tangan yang menyentuhnya selama ketiadaan ayah dan ibu.

Syukur, setelah melalui pembedahan pertama yang lalu, sebahagian sistem dalaman Amir Yusuf sedang mencuba untuk berfungsi secara normal. Walaupun ada komplikasi lain yang harus diperhati, sekurang-kurangnya pembedahan awal ini membolehkan Amir Yusuf dapat menerima makanan secara perlahan-lahan, iaitu susu. Sebelum ini hanya nutrisi dan ubat saja yang disalurkan ke dalam tubuhnya melalui tiub. Kali ini, susu diberikan tidak langsung. Sedikit demi sedikit, tiub-tiub yang melingkari tubuh dan tangan Amir Yusuf ditanggalkan.

Sekian lama ayah dan ibu menantikan detik ini. Saat Amir Yusuf dapat menikmati susu ibu. Meskipun susu itu tidak mengalir melalui mulut dan kerongkongnya kerana disalurkan terus melalui dua tiub kecil. Setidak-tidaknya ada kasih sayang ibu yang sentiasa mengalir di dalam tubuhmu.

Sebelum ini, ayah dan ibu hanya mampu menyentuh Amir Yusuf di dalam bekas. Kini, Allah telah memberikan peluang untuk ayah dan ibu selalu mendakap tubuhmu, biarpun terpaksa berhati-hati dengan tiub yang masih melekat. Dengan perlahan dan cermat, ayah angkat dan letakkan Amir Yusuf di pangkuan ibu. Takut sekali kalau-kalau menyakitkan. Sesekali mesin pernafasan berbunyi tanda amaran.

Sebaik berada dalam dakapan ibu, Amir Yusuf terus berhenti dari tangisan. Inilah yang selalu diharapkannya. Bermanja pada yang kasih. Setiap hari, setiap masa. Di waktu petang begini.

Hati ayah begitu terusik sewaktu kali pertama Amir Yusuf disuakan dengan susu ibu di mulutnya. Terkial-kial dia untuk menerima. Sejak lahir, inilah kali pertama rasa susu itu melekat di lidahnya. Ada ketikanya, dia tersedak. Mungkin juga terkejut dengan kehadiran cecair baru yang mengalir di tekaknya. Tetapi, susu yang ada pada ibu semakin berkurangan lantaran tekanan dan ketidakseimbangan di dalam badan. Titis-titis susu yang ada sekadar untuk membasahkan lidah Amir Yusuf.

Lama-kelamaan, Amir Yusuf menjadi selesa. Bahkan seakan memahami kehangatan yang ada pada ibu mengalir kepadanya dengan penuh kasih sayang. Tangan kecilnya menyentuh dada ibu. Bagai mendengar denyutan jantung ibu. Adakah kita serentak ibu?

Melihatkan mata Amir Yusuf laksana satu panahan yang menusuk ke dalam jiwa. Bagaikan memohon simpati dan pengertian. Tulus dan murni. Ayah mengelus kepala Amir Yusuf perlahan-lahan. Sambil membisikkan kalimah suci dan nada-nada sayang. Moga putera kami ini akan terus kuat. Moga cahaya kehidupan akan terus bersamamu.

Perlahan-lahan, mata Amir Yusuf terpejam. Dia terus lena dalam dakapan ibu. Wajahnya begitu tenang. Seakan menafikan segala kesakitan yang dikurniakan kepadanya. Kekuatan yang ada pada tubuh kecil itu memberi semangat luar biasa.

Sungguh, ayah dan ibu berjanji untuk menjagamu sebaik-baiknya. Begitu juga kakak Najla yang tidak sabar menanti kepulanganmu. Selagi hayat dan kudrat ini masih bersama, kita bersama akan merimbunkan taman kasih sayang. Biar nanti, kasihnya akan berterbangan ke setiap jiwa insan yang lain. Dan ayah selalu berdoa, agar Tuhan memperkenan permintaan hamba-Nya.

You can leave a comment, or trackback from your own site. RSS 2.0

26 comments

  1. SHIMI says:

    Detik itu indah untuk dikenang. Rasa puas seorang ibu dan ayah melepasi kepuasan pembacamu. Tenang ketika itu melepasi jangkauan perasaan. Sinar indah pasti datang walaupun ia beransur-ansur seperti terbitnya matahari

    13-08-08 at 12:35 pm

  2. Lady Pot Pet says:

    Alhamdullilah…ader progress yang positive. Kami sentiasa mendoakan agar Amir Yusuf akan beransur pulih dan segera kepangkuan both you and also the sister Najla. remember that:
    “When you get into a tight place and everything goes against you, till it seems as though you could not hang on a minute longer, never give up then, for that is just the place and time that the tide will turn.”

    13-08-08 at 3:10 pm

  3. zulfadli says:

    alhamdulillah.. lega bila membaca entri ni, walaupun ada la skit perasaan terharu tu.. apa2 pun semoga segalanya selamat.. insyaAllah

    13-08-08 at 4:54 pm

  4. Shila says:

    Syukur pada Tuhan…!
    Perkembangan Amir Yusuf ini adalah berkat dorongan kasih dan sayang ayah serta ibu…Saya amat terharu melihat jemari kecil itu..seolah meminta si ayah dan ibu membawanya ke dakapan setiap masa…
    Sabarlah,Amir Yusuf..dugaan ini pasti tiba ke penghujungnya tidak lama lagi. Dan dugaan ini juga tanda bahawa Yang Esa itu amat sayangkan Amir Yusuf sebenarnya…
    Semoga Amir Yusuf cepat sembuh dan mampu menikmati kehidupan yang indah ini.Saya doakan..Amin!

    13-08-08 at 6:09 pm

  5. pade says:

    salam.. sy sgt terharu dgn apa yg berlaku dlm hidup anda semua…

    13-08-08 at 7:23 pm

  6. iina says:

    Semoga Amir Yusuf dikurniakan kekuatan untuk terus sihat dan mampu pulang ke rumah. Insyallah

    13-08-08 at 7:43 pm

  7. silent reader says:

    Salam,
    Alhamdulillah satu perkembangan yang baik. Syukur ke hadratNya. Hanya nak share tips isteri saya bagi memperbanyakkan susu. Sudah dicuba dan berhasil. Cuba makan buah kiwi. InsyaAllah ia membantu memperbanyakkan susu. Salam buta Amir Yusuf. Take care.

    13-08-08 at 10:34 pm

  8. murni says:

    Alhamdullilah…syukur ya ALLAH..Maha Suci Allah Yang Berkuasa Terhadap Makhluk CiptaanNya…

    14-08-08 at 1:09 am

  9. applephye says:

    ..syukurlah.. :)

    14-08-08 at 2:22 am

  10. Indera says:

    Dia sangat tabah. Dia sangat kuat. Memiliki semangat perwira. Kekuatan Amir Yusuf harus kita insafi dan pelajari.

    Lega membaca entri ini. Lega dengan perkembangan Amir Yusuf.

    14-08-08 at 6:21 am

  11. walkthrulife says:

    alhamdulillah. Moga Amir Yusuf cepat sembuh.

    14-08-08 at 6:28 am

  12. zahila says:

    moga-moga Amir terus menerus sihat walafiat
    InsyaAllah

    14-08-08 at 9:50 am

  13. aliff says:

    alhamdulillah, aliff baca dengan mata yang bergenang..
    nanti insyaallah amir yusuf akan pulang ke rumah.. maka ketika itu legalah kekanda berdua..sabar waktunya tidak lama lagi..

    semoga abang fajar teguh sentiasa.amin

    14-08-08 at 12:13 pm

  14. Mr. H says:

    moga-moga kalian selamat! amir, lekas2 sihat!!

    14-08-08 at 3:20 pm

  15. cik sepi says:

    sayu hati membaca entri ni..
    dalam sayu ada rasa bahgia nya dapat mendakap si kecil.
    Mudah2an semuanya berjalan dgn lancar..semoga bahagia sepanjang usia..

    14-08-08 at 6:56 pm

  16. mawar says:

    Ya Allah Fajar,Membaca entry ini seolah-olah mengimbau kembali detik-detik kelahiran dan saat alisa dibawah special care selama 2 bulan dihospital.Begitulah kami seperti fajar & isteri saban hari tidak pernah jemu menjenguk sikecil tersayang walau lewat dan penat mcm manapun..mmg teruji sgt masa tu tapi indah untuk dikenang dan diceritakan padanya pada masa akan dtg.InsyaAllah Amir Yusuf akan sihat seperti baby normal.Doakan alisa juga ok.

    15-08-08 at 6:52 am

  17. xis says:

    Salam… alhamdulillah.. hope Amir Yusuf will soon recover..

    15-08-08 at 11:36 am

  18. Pnut says:

    Fajar-galakkan ibu amir pump susu selalu, setiap 3-4 jam, utk mengelakkan susu kurang, Insya-Allah ada susunya.. boleh baca pengalaman akak pump susu untuk alesya sepanjang dia di wad ini kat blog i’ll share it utk ibu-ibu yang tiada baby di sisi untuk menyusu, and akak manage utk bekalkan stok susu enough for her

    Alesya sudah 68 hari wad, berat dia baru 1.340kg, masih jauh perjalanan dia nak sampai 1.8kg untuk dia bersama-sama di sisi kami.

    Moga Allah beri kekuatan kepada kita untuk melalui semua ini..

    Akak sendiri masa dalam pantang sering terjaga tido terkenangkan baby sebesar tapak tangan bertarung nyawa di wad waktunya semasa dia kritikal, beratnya hanya 800 gram sahaja, and tinggal tulang dan kulit sahaja, pilu melihat tubuh kurus tu dicucuk sana sini..

    Dan kini Alhamdulillah alesya makin pulih, tiada lagi tiub, hanya menanti cukup berat untuk dibawa pulang.

    Moga Amir juga akan pulih dan dapat pulang bersama Alesya nanti.. aminnn

    15-08-08 at 12:27 pm

  19. suara says:

    Salam fajar…

    Anak… Nikmat Allah yg paling berharga… Amanat Allah yg paling berat. Kasih sayang dan doa adalah ubat yg paling mujarab…

    15-08-08 at 4:23 pm

  20. chentahati says:

    Alhamdulillah…sering juga tertanya-tanya perkembangan Amir Yusuf

    18-08-08 at 2:24 am

  21. fadzila says:

    alhamdulillah..jangan putus asa..InsyaAllah kemenangan buat sesiapa yang redho dan penuh sabar,,,,

    18-08-08 at 11:22 am

  22. tata says:

    Alhamdulillah…
    bila dgr perkembangan positif Amir Yusuf. Tingginya kasih sayang dan pengorbanan ayah dan ibu terhadap Amir Yusuf. Hanya Dia yang tahu… Amir Yusuf terus kuat dan kuat…

    19-08-08 at 7:17 am

  23. sempoii says:

    Moga tabah fajar.. setiap ketabahan itu ada manisnya..Insyaallah..

    Moga cepat sembuh Amir Yusuf..

    19-08-08 at 1:29 pm

  24. ayobkelubi says:

    jar, amir yusuf akan terus kuat.angin scotsland akan membuat dia terus kuat.

    semoga dia terus kuat dan lagi kuat macam aleesya kak pnut.

    19-08-08 at 1:29 pm

  25. rosh says:

    dear brother,

    a part of my daily prayers is for you & your family…

    23-08-08 at 4:21 pm

  26. Izellah says:

    Thanks for writing this.

    29-10-08 at 11:32 am

Leave a comment