19-08-08

Sayang

Posted in bicara by fajaril

Selalu ayah dan ibu bergurau tentang sedalam mana rasa sayang itu. Meskipun, ayah dan ibu begitu mengerti sayang itu tidak mampu diukur. Yang terzahir belum tentu sama dengan apa yang tersimpan. Namun, apa yang pasti kasih sayang yang dicurahkan dengan penuh keikhlasan memberikan sinar cahaya yang begitu bermakna.

Suatu ketika, sewaktu Najla sedang tidur kepenatan, ibu bertanya kepada ayah,

“Sayang tak pada dia?”

Satu soalan yang begitu menduga, meskipun sudah diketahui apa jawapannya. Sudah tentu sayang. Begitu sayang. Meskipun kadangkala karenahnya begitu menguji kesabaran, namun setiap kali Najla terlena, terasa damai dan ketulusan wajahnya begitu menyejukkan. Bahkan, adakalanya diri ayah dihambat rasa kesal dan bersalah sekiranya waktu itu ayah ada memarahi Najla.

Pernah juga ayah bertanya soalan yang sama kepada ibu, sewaktu Najla lena di pangkuan. Dengan nada tegas, ibu berkata, sudah tentu sayang!

Ayah dan ibu mengerti, soalan itu begitu mengada-ngada. Lantaran jawapannya sudah dimaklumi.

Satu petang di hospital, ayah duduk di sisi ibu. Di dalam dakapan ibu, Amir Yusuf sedang lena beradu. Melihatkan wajahnya seakan menghembuskan rasa bahagia yang luar biasa. Setiap hari, wajahnya tampak indah di pandangan kami.

Lalu ayah bertanya kepada ibu,

“Sayang tak pada dia?”

Kali ini, ibu tidak segera membalas. Seakan cuba mencerna jawapan di kepala. Tiba-tiba saja, air mata ibu berguguran membasahi pipi. Begitulah jawapan dari ibu. Ternyata sekali, sayang itu bukan sekadar dilafaz dari bibir. Kata sayang itu tidak mampu diluahkan. Barangkali hati ibu terusik melihatkan Amir Yusuf yang berjuang untuk mengecapi cahaya kehidupan.

Tiada bezanya Najla dan Amir Yusuf. Kedua-duanya adalah zuriat yang telah dianugerahkan Tuhan kepada kami. Namun begitu, dugaan yang diberikan kepada kami adalah seakan menguji sejauh mana kasih sayang itu. Sedalam mana ketulusan dan keikhlasan di dalam mencari kebahagiaan.

Ayah begitu percaya, kasih sayang itu akan terus mengalir. Moga ia akan mencipta rasa bahagia buat selamanya.

You can leave a comment, or trackback from your own site. RSS 2.0

16 comments

  1. elaira says:

    :: Lantera kalbu…

    jernih
    tulus dari Pencipta
    hadir menghuni sanubari
    dan kulewatkan kepadamu
    dan ia mengalir lebih lembut dari bayu

    harum
    secicip wangian syurga
    kau cedukkan dalam genggaman
    lalu kau taupkan ke dadaku
    bahagia seluruh alam pun bertamu
    dari kudus sinar matamu
    menghuni hati tak pernah layu

    kasih ini ibarat lantera
    berlapis-lapis cahaya dalam cahaya
    tak terpadam seusia nyawa
    hidup dari ubun-ubun jiwa
    nyala dari derik nafas yang kuhela

    cahaya jiwaku
    lena ini adalah nyawa
    di dalamnya kita beradu tanpa jaga
    mimpi inilah tamannya
    kasih kita bersatu tak ada pelerainya.

    [...dan seperti biasanya, catatanmu meruntun nurani, puisi spontan ini buat amir yusuf dan insan-insan di sekelilingnya yang sarat dengan kasih tidak terhingga.]

    20-08-08 at 1:21 am

  2. Indera says:

    Kasih sayang itu tetap merupakan satu anugerah Allah yang tidak terhingga. Datangnya bukan dipinta. Harganya menuntut segala pengorbanan yang ada. Bukan sehari. Bukan seminggu. Bahkan ianya akan berlangsung di sepanjang hayat kita. Kasih sayang tidak dapat dijual beli. Besarnya tiada bersempadan juga tidak bertepi. Barang siapa yang mendapatkannya, akan mendapat bahagia yang besar sekali. Barang siapa yang menawarkannya, harus sedia untuk dilukai. Namun begitu ianya masih tetap suci dan murni. Kerana kasih sayanglah wujudnya dunia dan seisi alam ini.

    Mudah-mudahan Anakanda Amir Yusuf itu akan senantiasa dilimpahi dengan segala macam kasih daripada ibu bapanya, sanak saudaranya juga sekelian penduduk di langit dan di bumi. Ayahanda Indera berdoa ke hadrat ilahi agar Anakanda cepat-cepat sihat dan dapat pulang segera ke rumah.

    20-08-08 at 2:39 am

  3. as&ad says:

    membaca catatan tentang amir yusuf bersama tangisan yang mengalir deras dipipi …
    kami doakan kalian terus tabah dengan dugaan dan ujian ALLAH ini .

    20-08-08 at 2:40 am

  4. Pnut says:

    Fajar, akak tersentuh hati, lalu laju air mata membasahi pipi..hanya kita yang melaluinya yang bisa mengerti betapa meruntun hati memandang bayi-bayi kecil yang terpilih Allah untuk lalui ujian ini.. moga Allah sentiasa bersama mereka..

    20-08-08 at 3:09 am

  5. xiao hong says:

    salam

    fajar, nak pastikan air susu sentiasa ada, mesti pam selalu. kalau najla masih mahu, ibunya boleh susukan dia untuk pastikan air susu tak kering. maklum sajalah hisapan bayi dengan pam takkan sama, tak ada pam yang sebaik hisapan bayi. kalau tidak ayah najla kenala bantu.
    makanan pun boleh membantu. air rebusan mata kucing, air halba, sayur-sayuran hijau, lobak putih, kobis. ibunya kena minum banyak air. sebelum pam, minum air suam, urut dan bayangkan bayi sedang menyusu. bayangkan yang indah2. ada ubat juga yang dapat bantu. insayaallah air susu ibunya cukup untuk dia.

    20-08-08 at 3:42 am

  6. serinditrimba says:

    ya.. memang sayang..

    20-08-08 at 5:55 am

  7. applephye says:

    ..bergenang membaca entri ini..

    ..sayang, sudah tentu sayang..

    ..semoga amir yusuf lekas2 sembuh-amin..

    20-08-08 at 7:40 am

  8. risanur says:

    salam,

    moga amir yusuf dan family dapat menghadapi segala dugaan yang mendatang…
    semua insan di dunia ini perlukan kasih sayang dan menyayangi antara satu sama lain…

    20-08-08 at 9:37 am

  9. rudy says:

    a very very touched entry. may god bless amir y.

    20-08-08 at 10:19 am

  10. SHIMI says:

    Tiada apa dapat diucapkan.. DEdih hati ini tidak sesedih hatimu.

    20-08-08 at 2:38 pm

  11. Shila says:

    Sayangnya ibu dan bapa terhadap seorang anak itu tiada pengukur yang dapat mengiranya.Tiada lautan juga yang dapat menampungnya…

    Cepatlah sembuh,wahai Amir Yusuf.Semoga ayah dan ibu mu lebih lapang dada untuk melebarkan lagi kasih sayangnya untuk Amir dan Najla..

    Saya sentaisa doakan..Amin!

    20-08-08 at 4:41 pm

  12. megat says:

    setinggi harapan ibu dan bapa amir yusof, setinggi itu juga amir yusof berjuang!

    setiap kali aku membaca tulisan kau, seolah ada sesuatu yang sedang meresap dalam diri ini.

    aku faham bagaimana perasaan sayang terhadap zuriat kita sendiri.

    tabahlah. kuatkan diri dan teruskan memanjatkan doa. sesungguhnya allah maha berkuasa dan menyayangi.

    20-08-08 at 10:30 pm

  13. lina says:

    fajar, hati sebak, mataku bergenang, menahan airmata mengalir setiap kali membaca entri berkaitan amir yusuf. sabarlah fajar n anis, semoga Tuhan mengurniakan ketabahan yang tinggi pada kalian berdua. setiap yang berlaku ada hikmahnya. bak kata anis suatu ketika dulu… “Tuhan beri kita kesusahan hari ini kerana Dia ingin memberi sesuatu yang lebih baik di kemudian hari.”….
    Doa kami sentiasa bersama Amir Yusuf..

    21-08-08 at 1:16 am

  14. maman says:

    Apa yang terjadi pasti ada hikmah yang tidak kita ketahui. Sekurang-kurangnya untuk kami yang membaca. Tuhan sedang berbicara dengan kita. Doa saya untuk Amir Yusuf

    22-08-08 at 8:00 am

  15. aliff says:

    Salam,

    Amir Yusuf, kasih ibu dan ayahnya umpama mutiara berkilau dan berharga. Semoga dia segera sembuh.

    Betul,air susu ibu perlu untuk Abang Fajar jaga pada Kak Anis kerana itu sumber penting untuk kesihatan Amir.

    Semoga semua selamat.

    22-08-08 at 1:43 pm

  16. Mak Andeh says:

    Fajar :

    Maaf kerana lama tidak melawat. Mendapat berita ini lewat blog Pnut.

    Redha lah dengan segala ketentuan Tuhan. Di saat ini memang agak sukar - banyak perkara yang tidak dapat difahami dengan segala percaturan hidup. Moga setiap semua berakhir dengan baik.

    Doakan agar segala urusan dipermudahkan Tuhan dengan sebaik-baiknya.

    Take care.

    23-08-08 at 7:28 pm

Leave a comment