25-08-08

Air Mata Yang Tersisa

Posted in amir yusuf, rasa by fajaril

Suasana di wad hospital ini bagaikan menyimpan seribu satu cerita. Di laluan ini mungkin pernah menyaksikan bagaimana pengorbanan seorang ayah dan ibu. Di ruang ini juga terlakar peristiwa kesibukan doktor dan jururawat menyempurnakan tugas mereka kepada bayi-bayi yang kerdil. Bahkan, di satu sudut mungkin pernah melihatkan bagaimana ketabahan hati seorang ayah dan ibu menerima berita duka tentang keadaan anak mereka. Namun, di ruangan ini seakan terdapat sinar cahaya yang penuh dengan harapan.

Beberapa minggu sudah, Amir Yusuf dipindahkan lagi ke wad yang lain. Kali ini di tingkat 3. Setiap petang, ayah dapat melihat mega merah di kaki langit dari tingkap wad ini. Kebetulan pula, katil Amir Yusuf terletak di tepi tingkap. Wad yang menempatkan Amir Yusuf dikongsi bersama dengan 5 orang lagi bayi lain. Selalunya, apabila ayah dan ibu berkunjung melawat, sudah pasti tidak lekang dengan suara tangisan bayi-bayi lain. Adakalanya, tangisan mereka seakan rintihan. Bukan sekadar tangisan kanak-kanak biasa, melainkan menahan rasa sakit. Mungkin juga ayah yang sekadar meneka. Namun, demikianlah yang dirasa pada naluri seorang ayah.

Jururawat yang bertugas seringkali bertukar ganti mengikut jadual syif yang ditetapkan. Setiap masa, mereka akan mencatat bacaan atau melihat keadaan bayi yang tiada ditemani ibu bapa. Lebih-lebih lagi jika ada yang menangis atau mesin pengawas denyutan jantung dan oksigen berbunyi.

Apabila ayah ibu berkunjung, jururawat yang bertugas akan memberi perkembangan terkini tentang Amir Yusuf. Bagaimana keadaan dirinya sejak ditinggalkan. Mereka sering berkata bahawa Amir Yusuf adalah anak yang begitu baik. Tidak banyak karenah mahupun menimbulkan masalah. Mungkin kerana dia begitu jarang menangis. Demikianlah Amir Yusuf yang tenang dalam lena. Dalam dunianya sendiri.

Sesekali ayah seakan merasakan ketidakselesaan Amir Yusuf. Salah satu tiub kecil dimasukkan melalui lubang hidungnya hingga menuju ke dalam perut. Pada tiub itulah dimasukkan susu atau cecair ubatan bagi menampung keperluan tubuh badan Amir Yusuf. Ada ketikanya, Amir Yusuf seakan terganggu dengan tiub itu. Bagaikan tiub itu menyekat rongga mulutnya hingga membuatkan dia tersedak.

Satu hari, sewaktu ayah dan ibu datang melawat seperti selalu. Katil Amir Yusuf terbiar sepi. Apabila didekati, rupanya Amir Yusuf sedang lena beradu. Namun, ada sesuatu yang membuatkan hati ayah tersentuh.

Di pelupuk mata Amir Yusuf, kelihatan ada air mata yang bertakung. Kelihatan mata itu basah. Terdapat satu garis kesan air mata dari mata kanan hingga ke alas cadar putih. Tidak pernah ayah dan ibu melihatkan Amir Yusuf begitu. Jarang sekali kami melihat Amir Yusuf menangis. Jika ada sekalipun, mungkin kerana mahukan sesuatu. Tangis yang begitu biasa bagi bayi sepertinya.

Entah mengapa, air mata yang masih basah dan bertakung itu membuatkan hati ayah jadi sebak. Apa yang membuatkan Amir Yusuf menangis hingga sebegitu? Adakah waktu itu dia menahan kesakitan? Atau barangkali mahukan dirinya dibelai tapi tidak dipedulikan? Atau menangis kerana mencari ayah dan ibu? Adakah Amir Yusuf rasa kehilangan?

Tiba-tiba saja, hati ayah diterpa rasa kesayuan. Mohon maaf anakku sayang. Ayah dan ibu berusaha untuk selalu bersamamu. Apakan daya, keadaan memerlukan ayah dan ibu melalui hidup seperti selalu. Melaksanakan tanggungjawab yang lain.

Jika boleh, ayah dan ibu mahu di sisimu selalu. Memeluk dan membelai. Menyanyikan lagu indah. Membisikkan kata azimat di telinga. Tidak mungkin ayah ibu membiarkan dirimu menangis hingga sebegitu. Setiap malam Amir Yusuf tidur keseorangan tanpa pelukan dan kehangatan ibu atau ayah. Mahu saja ayah terus mengucup jari kecil itu setiap ketika.

Perlahan-lahan, ayah usap air mata itu. Semakin sebak dirasa. Meninggalkan Amir Yusuf dalam jangkamasa yang lama bukanlah satu perkara yang mudah. Apatah lagi ditinggalkan bersendirian dengan orang asing. Dalam satu hari, hanya beberapa jam saja ayah ibu dapat bersama.

Barangkali, itu air mata kerinduan. Air mata yang menagih agar tangan ayah dan ibu selalu membelai. Andainya Amir Yusuf bisa berbicara, belum tentu ayah mampu bertanya mengapa ada air mata yang tersisa di pelupuk mata itu.

Entah mengapa, tiba-tiba saja seakan ada sesuatu yang tersekat di kerongkong ini. Dan mata ayah ini pula seakan berkaca.

You can leave a comment, or trackback from your own site. RSS 2.0

10 comments

  1. Ayda says:

    Anak itu setabah hati Ibu dan Ayahnya… Get well soon Amir!

    26-08-08 at 1:21 am

  2. Ida says:

    Fajar,

    I’ve been reading your entries from time to time and since Amir Yusuf came into your life, I never miss any single entry about him.

    Saya doakan Amir Yusuf cepat sembuh dan kembali ke pangkuan Fajar dan keluarga.

    26-08-08 at 2:03 am

  3. aliff says:

    Salam,
    Bang Fajar, kesian Amir… Berlinang air matanya. Namun apakan daya kita ya.. sudah berbuat sehabis baik.

    Jangan jemu berdoa Bang Fajar, semoga Amir Yusuf segera sembuh. Tengok dalam gambar kecilnya dia. Berapa beratnya ketika lahir?

    *thanks lawat blog aliff..
    mendung sahaja diri aliff sejak kebelakangan ini..

    26-08-08 at 2:59 am

  4. megat says:

    tiada kata mampu digambarkan melalui kata. aku mengerti sebagai seorang bapa juga.

    harapan aku semoga sinar itu benar-benar menghemburkan cahayanya menyinari segelinap ruang di hati ayah dan ibunya.

    semoga kamu, ayah dan ibu sentiasa tabah dan tidak putus berdoa.

    amir yusof! kuatkan semangatmu!

    26-08-08 at 3:51 am

  5. adk77 says:

    Auntie doakan semoga amir yusuf akan sihat walafiat dengan izin Allah dan akan menjadi seorang anak yang soleh dan cekal menghadapi dugaan hidup ini..

    Saya doakan famili Amir Yusuf tabah menghadapi situasi getir ini..

    ***Sedih saya baca psl adik ni tadi…

    26-08-08 at 5:18 am

  6. anjer says:

    semoga hari-hari mendatang sentiasa dihiasi berita gembira tentang si kecil…semoga amir cepat sembuh…AMIN…

    26-08-08 at 9:08 am

  7. Zakiyah says:

    Cepatlah sembuh, Amir. Kak Zakiyah teringin nak peluk macam Kak Najla.

    Amin.

    26-08-08 at 8:22 pm

  8. en_me says:

    kasih ibu membawa ke syurga, kasih bapa tiada tolok bandingnya.. gitteww

    27-08-08 at 1:30 am

  9. mawar says:

    InsyaAllah, Amir Yusuf akan kembali kepangkuan kalian..percayalah..dan bersabarlah..*alisa dulu lagi teruk, tiap kali mama ayah dtg melawat nurse mesti bagitau, dah lama anak u nangis! sian anak u x henti-henti nangis!’ aduhai, sayu betul hati apatah lagi terpaksa tinggalkan dia walau x sanggup dan berat hati ini.Sekurangnya Amir Yusuf jarang menangis dan pastinya dia bayi lelaki yg kuat!

    27-08-08 at 3:57 am

  10. Doa, Demi Kesejahteraan Dan Kesihatan Amir Yusof | MEGAT says:

    [...] blog ayah Amir Yusof pasti penglihatan aku semakin kabur, walaupun tidak menangis tersedu-sedu tapi naluri seorang bapa pasti tersentuh dan air mata mengalir tanpa dapat [...]

    06-09-08 at 6:04 am

Leave a comment