30-09-08
Dengan penuh rasa rendah diri, dihulurkan salam kemaafan atas apa jua kesalahan dan kesilapan. Seandainya ada bicara yang menyentuh dan mengguris rasa.
Moga lebaran ini akan membawa seribu kerahmatan dan keberkatan buat kita semua. Dalam sinar cahaya bulan mulia, bersamalah kita menginsafi akan kebesaran-Nya. Allahu Akbar, Allahu Akbar!
Salam aidilfitri.
Maaf zahir batin.
29-09-08
Rasa sejuk begitu mencengkam. Angin bertiup bersama titisan hujan menambahkan lagi rasa dingin. Biarlah sesejuk mana sekalipun, ayah dan ibu akan tetap setia hadir ke hospital. Mana mungkin tidak bertemu dengan Amir Yusuf walaupun sehari. Bayangannya selalu saja menjelma.
Tiba di wad, Amir Yusuf sedang lena beradu. Dengan baju berwarna coklat pastel dan berselimut di bawah paras dada. Ayah dan ibu dimaklumkan oleh jururawat Amir Yusuf baru sahaja tidur. Apabila kami datang, Amir Yusuf terjaga. Seakan tahu pula kehadiran kami.
Semalam, ibu berjanji untuk menyelesaikan khatam Al-Quran bersama Amir Yusuf. Ibu rasa bersyukur kerana Allah memberikan keberkatan masa kerana dapat juga mengkhatamkan Al-Quran di bulan Ramadan ini. Detiknya begitu sempurna kerana esok atau lusa dijangkakan hari raya. Namun, yang paling bererti pada waktu ini adalah ayah dan ibu dapat bersama-sama Amir Yusuf menyempurnakan khatam ini.
Perlahan-lahan, ibu memeluk Amir Yusuf dan diletakkan di pangkuan. Setelah Amir Yusuf agak selesa di dalam dakapan, barulah ibu membuka lembaran kitab suci bersama terjemahan. Manakala satu tangan lagi erat memeluk tubuh Amir Yusuf. Selalunya, setiap kali ibu membaca ayat-ayat suci, Amir Yusuf akan merenung tepat wajah ibu. Bagaikan menafsir setiap butir bicara. Alangkah terharunya rasa di hati apabila Amir Yusuf bersuara dan bersahutan dengan lembut.
Bersama-sama ayah, ibu memulakan bacaan dari Surah Ad-Dhuha. Satu demi satu ayat dari-Nya dibaca. Dengan Amir Yusuf di dalam pelukan ibu. Setiap firman bagaikan membisik lembut hingga mata Amir Yusuf menjadi sayu dan kuyu. Lama-kelamaan, Amir Yusuf kembali lena. Barangkali kerana begitu selesa di dalam kehangatan tubuh ibu. Dadanya berombak sedikit laju. Bagaikan satu petanda kepada ayah dan ibu bahawa hari ini Amir Yusuf tidak begitu sihat seperti selalu. Namun begitu, ayah dan ibu tidak pernah berputus harap. Moga dengan ayat-ayat penuh suci dan mukzijat yang dibacakan bersama ini menjadi penawar buat Amir Yusuf, dengan izin dari-Nya.
Setelah bacaan surah Al-Fatihah, ibu meneruskan dengan bacaan doa sebagai khatam Al-Quran. Entah mengapa, suara ibu, ayah rasakan begitu sayu. Hati ayah pula menjadi begitu hiba. Betapa ayah mengerti suara itu penuh harapan, sama seperti apa yang ayah rasakan. Apa yang dizahirkan oleh ibu lebih dari itu. Suara mersik ibu menjadi serak.
Perlahan-lahan, ada air mata yang membasahi pipi ibu dengan laju. Lantas ianya jatuh tepat ke jari jemari Amir Yusuf. Butir-butir air mata itu berterusan tanpa henti. Ayah cuba menahan segala rasa. Namun, ayah juga tidak mampu menahankan rasa sebak dan keharuan yang bertandang. Apatah lagi, doa yang ibu lafazkan adalah satu pengakuan bahawa kami ini hamba yang begitu lemah lagi kerdil. Sebaik saja, nama Amir Yusuf sama-sama dilafazkan, hati ayah dan ibu bertambah sayu. Derasnya air mata di hati terus bergenang di mata, lalu mengalir di pipi.
Di penghujung Ramadan ini, ayah dan ibu bermohon kepada-Nya, agar Allah selalu melimpahkan rahmat-Nya buat kita. Esok lusa, Syawal akan menjelma. Aidilfitri akan disambut dengan penuh kegembiraan oleh semua umat Islam. Namun begitu, anakanda ayah dan ibu, Amir Yusuf akan menyambut Aidilfitrinya yang pertama di hospital dengan harapan dan perjuangan. Mengenangkan ini, hati ayah dan ibu semakin diterpa rasa pilu.
25-09-08
Posted
in
rasa by
fajaril
Petang semalam ayah datang melawat Amir Yusuf seperti selalu. Cuaca pada hari ini agak sejuk hingga ayah terpaksa mengenakan jaket tebal. Hidung sentiasa berair. Tekak sudah mula terasa sakit. Musim panas bakal berakhir. Dedaunan sudah mula bertukar warna menandakan musim luruh yang akan menyusul.
Sewaktu tiba di wad, Amir Yusuf begitu lena beradu. Seakan hilang dalam mimpinya. Nafasnya turun naik dengan perlahan. Ayah sedikit kelegaan kerana keadaan Amir Yusuf tidak seperti minggu lepas yang benar-benar merungsingkan dan menguji ketabahan hati ayah dan ibu.
Amir Yusuf masih terus berjuang untuk terus bersama ayah, ibu dan kakak Najla. Kekuatannya cukup istimewa di hati ini. Kini, Amir Yusuf sudah mula memberi tindakbalas kepada ayah dan ibu. Ketika ayah ibu berkata sesuatu, mulut kecilnya menutur bunyi seakan membalas. Bahkan sewaktu ibu membaca kalimah suci, Amir Yusuf turut bersahutan. Dan pandangannya menajam terus ke mata kami dengan pandangan tulus dan murni. Alangkah terharu dan syahdu melihat perkembangannya dari masa ke semasa.
Sewaktu ibu sedang menyempurnakan Amir Yusuf berganti lampin dan baju, ayah keluar sebentar di luar wad. Kelihatan di kerusi menunggu, ada seorang wanita sedang berbicara dengan kenalan ayah.
Bicaranya agak menarik perhatian. Dia berkongsi kisah dan pengalamannya dalam membesarkan anaknya yang disahkan mengalami penyakit cereblum palsy, satu penyakit yang berkaitan dengan otak. Dugaan yang singgah ke dalam hidupnya pernah membuatkan dia begitu tertekan. Namun begitu dia berusaha untuk tabah dan kuat di dalam menjalani hidup ini. Benar, bukan mudah untuk itu. Apatah lagi, cabaran menjaga dan membesarkan anak sebegitu memerlukan penjagaan yang rapi dan khusus lebih dari kanak-kanak biasa. Begitu juga dengan keperluannya yang agak istimewa juga.
Dengan perlahan, wanita itu berkata,
“Special kid comes with special gifts. Always remember that.”
Dan kata-katanya itu begitu menusuk sekali. Sungguh, Amir Yusuf memang begitu istimewa. Ayah ibu sendiri tidak tahu apakah rahsia yang ingin dibawa olehnya. Tanpa disedari, mata ayah berkaca. Lalu air mata ini luruh perlahan-lahan.
Memang kehadiran Amir Yusuf cukup istimewa. Bahkan, melalui blog ini, Amir Yusuf mengikat dan mengeratkan talian persahabatan dengan kenalan lama dan baru. Memberi kekuatan. Menghulur doa dan keikhlasan. Biarpun tanpa bertemu dan sekadar mendengar atau membaca coretan tentang Amir Yusuf, kasih buatnya sering bertandang. Amir Yusuf lebih dari istimewa!
24-09-08
Seringkali wajahnya terbayang di mata. Seakan terhidu baunya. Begitu jelas setiap gerakan tangannya, kerdipan matanya dan juga bibirnya yang selalu kering.
Sungguh ayah dan ibu terasa kekurangan. Biarpun berada di rumah sebagai satu keluarga, ketiadaan Amir Yusuf di sisi begitu mengharukan. Sehari demi sehari dihitung. Memang tiada kepastian bilakah detiknya untuk putera ini pulang ke rumah.
Apabila ayah bersolat sunat Terawih berjemaah di rumah, seringkali ayah membayangkan Amir Yusuf ada di sisi. Lena beradu. Atau barangkali sedang dibelai dan bermain dengan kakak Najla. Namun itu sekadar mainan perasaan seorang ayah yang rindu.
Pernah ayah berkata pada seorang teman, anak itu bagaikan satu anugerah yang cukup istimewa. Melihatkan dia laksana satu keajaiban kerana pada dirinya ada diri kita. Darah yang mengalir di tubuhnya datangnya dari diri. Oleh kerana itu, ikatan yang wujud begitu kuat. Merentas setiap ruang. Kasih sayang yang lahir juga begitu berbeza. Hingga sanggup berkorban apa saja.
Ada ketikanya ayah terpisah seketika dengan kakak Najla. Pedihnya rindu sukar digambarkan. Hingga terusik segala rasa. Tidur yang tidak lena. Cukuplah detik itu menguji rasa kasih ini.
Menghadapi keadaan Amir Yusuf yang sedang berjuang untuk menikmati kehidupan sudah tentu menginsafkan. Betapa manusia itu lemah dan tidak punya kuasa. Pada diri hanya punya harapan yang tidak pernah putus. Doa yang tidak jemu dipinta.
Setiap kali ayah sedang bekerja, bayangan Amir Yusuf selalu menjelma. Tumpuan juga tidak sepenuhnya. Bagaimana hati ini mahu tenang tanpa memikirkan keperitan yang dilalui anak ayah ini? Hanya ketabahan dan kesabaran juga yang membuatkan diri ayah terus bertahan.
Kita sama berjuang anakku. Tuhan berikan ujian dan dugaan sebagai tanda kasih. Satu hari nanti, kebahagiaan akan menanti kita semua.
22-09-08
Terlalu banyak perkara yang berlaku. Sehari demi sehari, bagaikan menekan. Betapa diri ini cuba untuk terus bertahan. Moga bulan mulia ini, Allah permudahkan segala urusan buat kami.
Seminggu berlalu bagaikan sekelip mata. Di manakah nikmatnya?