Lima Belas Ramadan
Glasgow menyambut 15 Ramadan dalam rintik hujan. Bumi di sini basah dalam kesejukan. Begitu pantas masa berlalu. Tanpa disedari, Ramadan yang penuh berkat sudah berada di separuh perjalanan.
Seperti biasa, ibu menuju ke universiti. Manakala hari ini ayah terpaksa menguruskan beberapa perkara di rumah. Dalam rintik hujan, ayah menuju ke Allison Street yang menempatkan banyak kedai daging halal. Usai urusan di situ, ayah pulang ke rumah. Tidak lama lagi, kakak Najla akan bersiap-siap untuk ke nurseri. Beberapa minggu dimasukkan ke sekolah, kakak Najla begitu seronok dengan suasana di situ. Sudah lama dinantikan peluang untuk belajar, bermain dan bergaul dengan kanak-kanak yang lain.
Dalam perjalanan pulang, tiba-tiba saja hati ayah teringatkan kepada Amir Yusuf. Bayangan wajahnya begitu melekat. Semalam, kami tinggalkan dia dalam lena.
Satu pesanan singgah ke telefon. Dari ibu.
“Hati rasa tidak tenteram, macam mahu berjumpa dengan Amir…”
Lalu, hari ini ayah dan ibu datang berkunjung ke Yorkhill Hospital lebih awal daripada biasa. Cuma ibu menuju ke hospital secara bersendirian. Manakala ayah dari rumah. Hujan di sini menyebabkan lalulintas perlahan. Tiba saja di hospital, perkarangan tempat meletak kenderaan penuh. Waktu puncak begini adalah waktu melawat yang telah ditetapkan oleh pihak hospital. Ramai yang mengambil peluang untuk datang pada waktu ini.
Tiba di wad, ayah melihat ibu sudah mendakap Amir Yusuf. Sebaik ayah membersihkan tangan, ayah datang mendekati katil. Amir Yusuf begitu tenang dan lena beradu di dalam pelukan ibu.
Patutlah hati ini seakan terpanggil untuk menjenguk Amir Yusuf awal hari ini. Keadaannya tidak seperti selalu. Dada Amir Yusuf berombak kuat. Nafasnya begitu laju. Tahap ketepuan oksigen di dalam tubuhnya agak rendah dari paras normal. Graf pada paparan monitor berubah-ubah tidak seragam. Ada ketikanya membentuk puncak dan lurah begitu tinggi dan menjunam. Apabila peratusannya turun ke angka 60%, ibu segera mendekatkan tiub oksigen ke hidung Amir Yusuf. Sebelum ini, ayah dan ibu tidak pernah melakukannya.
Suhu Amir Yusuf naik lagi hari ini. Setiap masa, jururawat yang bertugas akan mengambil bacaan suhu badannya. Sejurus kemudian, Dr Fiona datang memeriksa keadaan Amir Yusuf. Dan tidak lama selepas itu, datang lagi seorang doktor perempuan yang lain. Ada sesuatu yang tidak dapat mereka pastikan. Lalu, Amir Yusuf akan menjalani ujian x-ray sebentar nanti. Entah berapa kali ujian x-ray yang telah Amir Yusuf lalui. Mujur juga mesin x-ray di hospital ini agak canggih kerana hanya perlu ditolak ke katil pesakit.
Sesekali, mata Amir Yusuf terbuka. Nampak kuyu dan begitu kepenatan. Rasa kasihan kepadanya. Agaknya, Amir Yusuf berusaha untuk melawan kesakitan di dalam badannya. Sebelum ini, pernah ibu berkata, melihatkan Amir Yusuf bagaikan tidak percaya bahawa dia sakit seperti yang dimaklumkan oleh doktor, memandangkan dia seperti bayi normal yang lain. Namun hari ini, Amir Yusuf bagaikan menzahirkan apa yang dirasainya. Dia menangis bagaikan merintih.
“Amir, sakit ke sayang?”, tanya ibu.
“Sabar sayang, sabar”.
Lalu, ayah mengalunkan zikir di telinga Amir Yusuf. Seakan menyalur kekuatan. Anak ayah ini kuat. Anak ayah ini pejuang.
Ibu tidak sampai hati melihat Amir Yusuf menangis. Bagaikan memanggil-manggil untuk dibelai. Maka, ibu angkat dan letakkan di dada. Mata Amir Yusuf memandang terus ke muka ibu. Penuh sayu. Berada di dalam pelukan dan kehangatan tubuh ibu bagaikan satu nikmat buat Amir Yusuf. Tangisannya terus terhenti. Ibu mula bercerita kepada Amir Yusuf, betapa sayangnya ibu. Betapa rindunya ibu.
Dengan perlahan, ibu menepuk tubuh Amir Yusuf. Bersama kasih sayang, ayah belai kaki Amir Yusuf. Bersama-sama, ayah dan ibu mendodoikan lagu kasih. Dalam kalimah suci.
Betapa ayah dan ibu tidak sanggup memikirkan sebarang kebarangkalian. Pernah juga bisikan penuh kedukaan melintasi hati. Namun segera diingatkan bahawa segala-galanya adalah milik Yang Maha Esa. Hanya Dia Yang Maha Berkuasa.
Dan di luar sana, rintik hujan masih berterusan. Bagaikan tangis tiada henti.
megat says:
semoga amir semakin tabah dan berjuang demi sebuah kehidupan.
buat ayah & ibu, teruskan berusaha dan tabah hadapi dugaan ini bersungguh disertakan doa yang tak putus-putus.
aku jua berdoa demi amir yusof.
16-09-08 at 12:49 pm
Rose says:
Semoga Amir Yusof tabah menghadapi kesakitan dgn tubuhnya yang kecil itu…anak ini kuat semangatnya…
dan semoga ibu dan bapa Amir Yusuf sabar dan cekal dalam mengharungi dugaan ini….mungkin ada sinar di balik pelangi selepas hujan deras turun…….siapa tahu…
air mata ini berderu deru turun membaca entri ini…syahdu dalam kepiluan…semoga Ramadhan membawa berkat dan Rahmat buat fajar dan isteri….
16-09-08 at 7:04 pm
elaira says:
17-09-08 at 1:07 am
Shila says:
Semoga AMir Yusuf akan sentiasa cekal dan bersemangat untuk terus hidup..
Buat ayah dan ibu juga…serta kak najla yang manis dan bijak,
saya doakan agar kalian tetap redha dan bertawakal kepada Allah…
Sungguh situasi ini amat pahit,namun harus jua ditelan….
Salam ramadhan…
17-09-08 at 1:54 am
nino says:
sebak…pedih rasa hati membaca n3 ini..buat amir semoga dilindungi Allah semoga cepat sembuh semoga dapat balik kerumah ibu/ ayah.
buat ibu/ayah byk2 bsabar, byk2 bdoa.smoga tabah mghadapi dugaan dr Allah
17-09-08 at 2:01 am
Indera says:
Salam buat Fajar,
Walaupun Abang tidak meninggalkan jejak di lamanmu, namun Abang tetap mengikut setiap bicara dan bingkasan yang Fajar kirimkan.
Fajar,
Malam semalam adalah malam turunnya Al-Quran. Malam yang penuh barakah. Malam di mana setiap insan mengharapkan diri masing-masing terlepas daripada siksaan Neraka. Malam yang menurut pendapat, selain daripada 10 malam terakhir itu, Lailatul Qadar dipercayai berlangsung pada malam 17.
Fajar,
Di keberkatan Ramadhan ini, Abang doakan agar Amir Yusuf beroleh limpahan Rahmat dan kasih sayang Allah. Ya, sudah semestinya dia senantiasa memperolehinya dengan dirinya yang suci bersih itu.
Fajar,
Ingatlah, di saat Allah memerintahkan langit menahan kesemua airnya melimpah ke bumi, bumi menahan dirinya dari mengalirkan air di mana tahun keluarnya Dajjal, ketika itu, keseluruhan umat manusia kebuluran lapar dan dahaga. Hatta sekepala lembu, mampu ditawarkan dengan ribuan dinar. Hanya mereka yang berpegang teguh pada kalimat Allah sahaja yang dapat mengharungi saat-saat sukar itu. Mereka tidak merasa lapar. Perut dan hati mereka telah diisi dengan ZIKIR.
Fajar,
Kerana berkatnya zikrullah itu, Abang sarankan agar Fajar senantiasa menitipkannya ke telinga Amir Yusuf. Mudah-mudahan, kesakitan yang dialaminya akan berkurangan.
Abang hanya manusia yang lemah. Abang merasa sedih kerana di saat-saat Fajar meredahi kesulitan ini, tiada apa yang dapat abang bantu untuk mengurangkan derita hatimu dan derita yang dirasai oleh Amir Yusuf.
Semoga kita beroleh lindungan Arasy di Padang Mahsyar nanti.
Sms abang akan menyusul sebentar lagi…
17-09-08 at 2:27 am
xiao hong says:
salam fajar,
Saya cuma mampu doakan yang terbaik untuk Amir Yusuf dan Fajar sekeluarga. Tak dapat nak menahan rasa sedih setiap kali membaca coretan Fajar. Saya harap semuanya ini akan berakhir dengan baik. Insya Allah.
17-09-08 at 3:54 am
applephye says:
Ya-Allah kuatnya dugaan-Mu untuk keluarga ini. Tabahlah kalian..
17-09-08 at 4:00 am
aliff says:
Salam,
Abang Fajar, harapan Aliff agar Amir Yusof segera sembuh, insyaallah dengan semangatnya Aliff yakin dia mampu melawan kesakitan yang ada.
Teruskan alunan zikir itu, semoga Amir Yusof lega dengannya, kalimah milik Allah SWT amatlah agung sifatnya.
17-09-08 at 6:31 am
sangpelangi says:
Aduhai.. tak dapat membayangkan kalau aku seperti kamu, bro. Boleh jadi, aku akan tergamam tak sudah.
Teruskan perjuangan, Amir Yusof.
17-09-08 at 6:57 am
rudy says:
Allah,berikanlah yg terbaik utk AY.
17-09-08 at 5:20 pm
Mr. H says:
selama ni sy kagum dgn kekuatan amir yusof..tapi selepas membaca entri ni, hati agak tersentuh..dpt merasai kesakitan yg amir tempuhi…amir, terus berjuang!
18-09-08 at 4:07 am
Epong says:
Assalamualaikum..
Fajar and Friends,
Malam ni malam Jumaat. sapa yg join baca Yassin and tahlil kat surau jgn lupa icludekan sekali doa utk Amir Yusuf.. insyaAllah..
Wassalam..
18-09-08 at 4:45 am
vimmiyasmin says:
assalamualaikum
doa dari saya semoga segala2nya bertambah baik.
19-09-08 at 4:49 am
mOmmyoftriplet says:
salam,
saya blum sempat abis baca sume n3, tapi setakat mane yg saya baca cukup utk saya paham bahawa Amir Yusuf kini di hospital dan sedang berjuang utk hidupnya.
saya mengalami saat2 cemas sebegitu pabila saya lahirkn anak2 saya ketika 26 minggu (6 1/2 bln)
berat mereka ialah 760grm, 600grm dn 564grm. yang paling kecil telah kembali ke rahmatullah selepas 3 hari dilahirkn.
mungkin komplikasi anak2 kami berbeza tapi saya rasa perasaan ibu bapa yang terpaksa melihat anak berjuang utk hidup mereka tetap sama.
hArith berada di hosp selama 3 bln dan athirAh selama 4bln. Alhamdulillah kini mereka sudah 15bulan.
semoga anda sekeluarga tabah mengharungi ujian ini, insyaAllah
20-09-08 at 3:07 pm