Bayangan
Seringkali wajahnya terbayang di mata. Seakan terhidu baunya. Begitu jelas setiap gerakan tangannya, kerdipan matanya dan juga bibirnya yang selalu kering.
Sungguh ayah dan ibu terasa kekurangan. Biarpun berada di rumah sebagai satu keluarga, ketiadaan Amir Yusuf di sisi begitu mengharukan. Sehari demi sehari dihitung. Memang tiada kepastian bilakah detiknya untuk putera ini pulang ke rumah.
Apabila ayah bersolat sunat Terawih berjemaah di rumah, seringkali ayah membayangkan Amir Yusuf ada di sisi. Lena beradu. Atau barangkali sedang dibelai dan bermain dengan kakak Najla. Namun itu sekadar mainan perasaan seorang ayah yang rindu.
Pernah ayah berkata pada seorang teman, anak itu bagaikan satu anugerah yang cukup istimewa. Melihatkan dia laksana satu keajaiban kerana pada dirinya ada diri kita. Darah yang mengalir di tubuhnya datangnya dari diri. Oleh kerana itu, ikatan yang wujud begitu kuat. Merentas setiap ruang. Kasih sayang yang lahir juga begitu berbeza. Hingga sanggup berkorban apa saja.
Ada ketikanya ayah terpisah seketika dengan kakak Najla. Pedihnya rindu sukar digambarkan. Hingga terusik segala rasa. Tidur yang tidak lena. Cukuplah detik itu menguji rasa kasih ini.
Menghadapi keadaan Amir Yusuf yang sedang berjuang untuk menikmati kehidupan sudah tentu menginsafkan. Betapa manusia itu lemah dan tidak punya kuasa. Pada diri hanya punya harapan yang tidak pernah putus. Doa yang tidak jemu dipinta.
Setiap kali ayah sedang bekerja, bayangan Amir Yusuf selalu menjelma. Tumpuan juga tidak sepenuhnya. Bagaimana hati ini mahu tenang tanpa memikirkan keperitan yang dilalui anak ayah ini? Hanya ketabahan dan kesabaran juga yang membuatkan diri ayah terus bertahan.
Kita sama berjuang anakku. Tuhan berikan ujian dan dugaan sebagai tanda kasih. Satu hari nanti, kebahagiaan akan menanti kita semua.
kak zira says:
InsyaALLAH ada sinar dihujung jalan amin
tabahkan hatimu lagi fajar…
kuatkan Amir Yusuf ya ALLAH
24-09-08 at 9:24 am
SHIMI says:
Semog Berbahagia. Tabah. Salam Ramadhan dan Aidil Fitri
24-09-08 at 12:29 pm
Mr. H says:
Ya Allah, ko berikanlah kekuatan pd anak kecil ini..
24-09-08 at 2:16 pm
kosong says:
fajar,
kek lapismu aku terlupa mahu membelinya.
aku poskan seminggu selepas raya boleh?
emelkan aku alamat kau.
24-09-08 at 3:12 pm
aliff says:
Sabar kekanda sabar! Jangan dilayan emosi.. sesungguhnya dalam kesusahan pasti ada kemudahan.
Kasih sayang adalah anugerah Allah SWT yang terindah buat hambanya, maka demi kasih sayang Aliff harap abang Fajar dan Kak Anis teguh sentiasa.
Amin.
24-09-08 at 4:06 pm
Shila says:
Terbayang Amir Yusuf yang tabah itu …Ermm…walau dugaan ini masih belum di penghujung saya mengharapkan ayah,ibu dan keluarganya dapat bertahan tawakal dan kesabaran mereka untuk melihat Amir Yusuf kembali ke rumah dalam keadaan yg sihat.
Saya yakin,Amir yusuf pasti mampu….
25-09-08 at 1:39 am
lil-silence says:
sesungguhnya manusia itu sememangnya lemah.. tetapi, Doa dan harapan pada Ya Rabb yang tidak putus2, adalah kekuatan untuk kita teruskan hidup..
Semoga Amir Yusuf kuat semangat utk berada disisi keluarga..
25-09-08 at 1:49 am
Indera says:
Abang tidak pernah jemu bertandang ke lamanmu. Abang datang memerhati, cuma tidak terdaya mengeluarkan sebarang kata-kata semangat buat Fajar. Jari seakan kaku. Fikiran seakan tepu.
Esok abang akan pulang bercuti di kampung selama seminggu. Selama seminggu abang bakalan tidak mengunjungi lamanmu. Jika ada khabar berita, sms sahaja pada abang.
Doa abang buat kalian sekeluarga terutama Anakanda Amir Yusuf. Mudah-mudahan dengan kemunculan syawal ini akan memberikan pengharapan buat Fajar dan Amir Yusuf.
Maafkan jika ada kata-kata abang yang menyinggung hatimu. Segalanya itu tidak abang niati.
Maaf Zahir dan Batin
25-09-08 at 3:23 am