Di Penghujung Ramadan
Rasa sejuk begitu mencengkam. Angin bertiup bersama titisan hujan menambahkan lagi rasa dingin. Biarlah sesejuk mana sekalipun, ayah dan ibu akan tetap setia hadir ke hospital. Mana mungkin tidak bertemu dengan Amir Yusuf walaupun sehari. Bayangannya selalu saja menjelma.
Tiba di wad, Amir Yusuf sedang lena beradu. Dengan baju berwarna coklat pastel dan berselimut di bawah paras dada. Ayah dan ibu dimaklumkan oleh jururawat Amir Yusuf baru sahaja tidur. Apabila kami datang, Amir Yusuf terjaga. Seakan tahu pula kehadiran kami.
Semalam, ibu berjanji untuk menyelesaikan khatam Al-Quran bersama Amir Yusuf. Ibu rasa bersyukur kerana Allah memberikan keberkatan masa kerana dapat juga mengkhatamkan Al-Quran di bulan Ramadan ini. Detiknya begitu sempurna kerana esok atau lusa dijangkakan hari raya. Namun, yang paling bererti pada waktu ini adalah ayah dan ibu dapat bersama-sama Amir Yusuf menyempurnakan khatam ini.
Perlahan-lahan, ibu memeluk Amir Yusuf dan diletakkan di pangkuan. Setelah Amir Yusuf agak selesa di dalam dakapan, barulah ibu membuka lembaran kitab suci bersama terjemahan. Manakala satu tangan lagi erat memeluk tubuh Amir Yusuf. Selalunya, setiap kali ibu membaca ayat-ayat suci, Amir Yusuf akan merenung tepat wajah ibu. Bagaikan menafsir setiap butir bicara. Alangkah terharunya rasa di hati apabila Amir Yusuf bersuara dan bersahutan dengan lembut.
Bersama-sama ayah, ibu memulakan bacaan dari Surah Ad-Dhuha. Satu demi satu ayat dari-Nya dibaca. Dengan Amir Yusuf di dalam pelukan ibu. Setiap firman bagaikan membisik lembut hingga mata Amir Yusuf menjadi sayu dan kuyu. Lama-kelamaan, Amir Yusuf kembali lena. Barangkali kerana begitu selesa di dalam kehangatan tubuh ibu. Dadanya berombak sedikit laju. Bagaikan satu petanda kepada ayah dan ibu bahawa hari ini Amir Yusuf tidak begitu sihat seperti selalu. Namun begitu, ayah dan ibu tidak pernah berputus harap. Moga dengan ayat-ayat penuh suci dan mukzijat yang dibacakan bersama ini menjadi penawar buat Amir Yusuf, dengan izin dari-Nya.
Setelah bacaan surah Al-Fatihah, ibu meneruskan dengan bacaan doa sebagai khatam Al-Quran. Entah mengapa, suara ibu, ayah rasakan begitu sayu. Hati ayah pula menjadi begitu hiba. Betapa ayah mengerti suara itu penuh harapan, sama seperti apa yang ayah rasakan. Apa yang dizahirkan oleh ibu lebih dari itu. Suara mersik ibu menjadi serak.
Perlahan-lahan, ada air mata yang membasahi pipi ibu dengan laju. Lantas ianya jatuh tepat ke jari jemari Amir Yusuf. Butir-butir air mata itu berterusan tanpa henti. Ayah cuba menahan segala rasa. Namun, ayah juga tidak mampu menahankan rasa sebak dan keharuan yang bertandang. Apatah lagi, doa yang ibu lafazkan adalah satu pengakuan bahawa kami ini hamba yang begitu lemah lagi kerdil. Sebaik saja, nama Amir Yusuf sama-sama dilafazkan, hati ayah dan ibu bertambah sayu. Derasnya air mata di hati terus bergenang di mata, lalu mengalir di pipi.
Di penghujung Ramadan ini, ayah dan ibu bermohon kepada-Nya, agar Allah selalu melimpahkan rahmat-Nya buat kita. Esok lusa, Syawal akan menjelma. Aidilfitri akan disambut dengan penuh kegembiraan oleh semua umat Islam. Namun begitu, anakanda ayah dan ibu, Amir Yusuf akan menyambut Aidilfitrinya yang pertama di hospital dengan harapan dan perjuangan. Mengenangkan ini, hati ayah dan ibu semakin diterpa rasa pilu.
zulfadli says:
salam en fajar, saya nak ucapkan selamat hari raya dan juga mohon maaf diatas segala salah silap.. andai kata ada rezeki, boleh lah kita bersama2 nnt.. insyaAllah
30-09-08 at 11:23 pm
Rose says:
Salam aidilfitri fajar….moga Syawal ini memberi sinar bahagia buat fajar sekeluarga…
01-10-08 at 4:26 am
mawar says:
Salam Aidilfitri,Kami pun beraya di hospital pada hari pertama raya, sedih mmglah sedih tapi syukur yang berpanjangan kerana masih diberi peluang utk meraikannya bersama Alisa tersayang..semoga kita sama-sama tabah demi anakanda yang dikasihi.
Membaca ruangan fajar kadangkala seolah-olah spt bercerita ttg luahan hati kami sendiri, dalam keadaan dan situasi yang lebih kurang..bila saya menemani Alisa dihospital dan rasa gelisah saya akan ingat bukan kami sekeluarga saja yg begini tapi en Fajar & isteri pun sama..supaya saya lebih kuat lagi.
Kita sama-sama sabar ok.Dugaan Allah utk kita ni.
03-10-08 at 1:41 am