Archive for
October, 2008
29-10-08
Hari ini usia Amir Yusuf sudah pun genap 4 bulan, 2 hari. Begitu pantas pula masa berlalu. Dan jangka masa itu bukanlah pendek apatah lagi sejak lahir lagi, Amir Yusuf hanya berada di hospital.
Ayah bertanya kepada ibu, selalunya apa yang telah dilakukan oleh bayi yang seusia Amir Yusuf. Ibu berkata, Najla dulu sudah mula meniarap pada usia ini. Sedikit rasa keharuan singgah di hati memandangkan Amir Yusuf mungkin mengambil masa yang agak lama sedikit.
Semalam, Amir Yusuf sudah pun dipindahkan dari wad ICU kepada High Dependency Unit. Wad kali ini agak luas dan tidak begitu suram dari yang sebelumnya. Barangkali katil Amir Yusuf berdekatan dengan tingkap yang besar. Di luar tingkap dapat dilihat pemandangan sebahagian kawasan Glasgow. Sungai Clyde yang mengalir menambahkan lagi keindahan suasana musim luruh ini.
Hati ayah dan ibu diterpa rasa gembira melihatkan keadaan Amir Yusuf pada hari ini. Sarung kepala yang menutup bahagian atas sudah pun ditanggalkan. Sebelum ini, saluran oksigen yang diberikan kepada Amir Yusuf adalah agak tinggi. Kini, ianya telah diturunkan ke paras yang lebih rendah. Kebergantungan kepada mesin elektronik telah pun dihentikan satu persatu. Yang masih ada melekat adalah mesin pemerhatian, bekalan oksigen dan juga tiub-tiub tertentu. Bahkan tiub yang menusuk rusuk kanan dan kiri masih ada pada Amir Yusuf. Cecair yang terdapat di dalam paru-paru dikeluarkan. Bekalan susu tetap diberikan melalui satu tiub kecil. Jahitan pada dada Amir Yusuf telah pun dibuka. Kesan pembedahan agak jelas. Namun bengkak di sekitarnya sudah pun berkurangan.
Kali ini, ayah dan ibu dapat melihat wajah Amir Yusuf dengan sepenuhnya. Sebelum ini, muka Amir Yusuf penuh dengan tiub seakan topeng. Ada plaster yang menutup mulut Amir Yusuf yang kecil itu.
Alangkah terharu dan sedikit terkejut melihatkan muka Amir Yusuf setelah pembedahan kali ini. Wajahnya begitu bersih dan tulus. Seakan wajah bayi yang baru dilahirkan. Mulutnya sebelum ini sentiasa kering dan pudar. Kali ini kemerah-merahan. Keningnya jelas terletak. Warna kulitnya juga nampak kemerahan berbanding sebelum ini yang agak kebiruan. Barangkali darah mengalir dengan sempurna ke seluruh tubuh penuh dengan oksigen.
Namun begitu, satu perkara yang tidak dapat ayah dan ibu nafikan adalah wajah Amir Yusuf sendiri. Raut wajahnya seakan berubah menjadi comel dan berseri. Tampak begitu cantik dan berbeza dengan sebelum ini. Ya Tuhan, ini adalah salah satu keajaiban yang Engkau kurniakan di mata kami ini. Subhanallah! Yusuf, Yusuf.
Betapa Allah memberikan wajah yang terindah di dunia ini kepada Nabi Yusuf. Dan moga Allah melimpahi keberkatan dan kerahmatan buat Amir Yusuf kami ini. Ayah dan ibu tidak berhenti memohon dan bersyukur kepada-Nya.
Amir Yusuf seringkali terjaga. Seakan sukar untuk lena. Terus ibu merapati dan memegang Amir Yusuf seakan memeluk tubuhnya yang kecil. Perlahan-lahan, tangan ibu menepuk Amir Yusuf sambil berselawat. Mata Amir Yusuf terbuka seketika. Dan mulut kecil itu seakan tersenyum! Berkali-kali. Aduhai, tidak tergambar rasa yang bertandang ke dalam jiwa ini.
Lalu dalam dakapan dan belaian ibu, Amir Yusuf lena semula. Setelah sekian lama, akhirnya kami bersama melerai rindu dalam keharuan dan kesyukuran.
28-10-08
Seorang teman berkata, mengapa ayah terlalu banyak menulis perkara yang begitu meruntun jiwa? Ayah sendiri tidak tahu jawapan yang sewajarnya. Bahkan tidak pernah terlintas bahawa tulisan di sini bisa membuatkan orang lain menangis. Teman ayah berkata, mungkin ayah dalam keadaan yang serabut. Kusut. Barangkali, ada benarnya.
Tapi ayah hanyalah sekadar manusia biasa yang cuma menzahirkan apa yang dirasa. Adakalanya, ia tidak mampu terungkap. Lalu, hanya dikongsikan bersama ibu. Atau dibiarkan berlalu bersama masa. Dan yang tertulis di sini hanyalah cebisan peristiwa di dalam hidup.
Maafkan diri ini teman. Andai bicara di sini mengundang rasa sedih di hatimu. Meruntun jiwamu selalu. Namun, percayalah. Diri ini sentiasa berusaha untuk kuat dan tabah. Mengukir senyuman pada setiap dugaan yang mendatang.
Hati menangis, tiada siapa pun yang tahu bukan? Hanya Dia.
27-10-08
Tubuh kecil itu kelihatan tenang dalam lena. Barangkali kesan sedatif morfin membuatkan Amir Yusuf terus dalam tidur yang panjang. Lalu menjadikan ayah dan ibu terus rindu-rinduan.
Sebelum ini, rusuk kiri Amir Yusuf telah pun dicucuk dengan tiub kecil terus ke paru-parunya. Kini, rusuk kanan pula terpaksa ditebuk untuk mengeluarkan lagi lebihan cecair di dalam paru-parunya. Namun Amir Yusuf tetap tenang menghadapinya.
Ayah menghampiri Amir Yusuf. Kaki dan tangan masih lagi berbalut wayar dan tiub. Jahitan pembedahan di dada semakin kurang bengkaknya. Bahkan, warna kulit Amir Yusuf juga kelihatan lebih baik jika dibandingkan pada sebelum ini yang agak kebiruan.
Tenang sekali Amir Yusuf beradu. Apakah yang dimimpikan duhai anakanda sayang?
Ayah panggil perlahan,
“Amir Yusuf, Amir Yusuf”. Berulangkali.
Tiba-tiba saja, sebaik mendengar suara ayah memanggil nama itu, Amir Yusuf bergerak-gerak. Matanya berusaha untuk dibuka walaupun seakan begitu berat. Kemudian, mata itu terpejam semula.
Amir Yusuf masih mengenal suara ayah dan ibu. Rindu Amir Yusuf kepada ayah dan ibu, rindu lagi rasa ini kepadamu.
Tiba-tiba saja, hati ayah menjadi begitu terharu.
23-10-08
Suasana di sekitar Glasgow seakan berubah dengan perlahan-lahan. Warna dedaunan berubah menjadi kekuningan dan kemerahan. Musim luruh membawa bersama deruan angin yang dingin. Setiap kali angin bertiup, berguguran dan bertebaran helaian daun-daun dari tangkainya. Ayah takjub dengan keindahan yang telah Allah hamparkan di depan mata. Begitu banyak ciptaan-Nya yang begitu mempersonakan.
Musim terus berganti. Tidak lama lagi, musim dingin pula bakal menyusul. Hampir 4 bulan Amir Yusuf berada di hospital. Masih belum berkesempatan mengecapi keindahan yang ada di luar sana. Genap seminggu Amir Yusuf menjalani pembedahan yang kedua. Selama itu jugalah Amir Yusuf terus di dalam lena dan separa sedar. Kesan sedatif morfin dan beberapa ubat lain menjadikan Amir Yusuf mengantuk. Juga menghilangkan rasa sakit.
Lalu selama detik itu jugalah ayah dan ibu dalam penantian dan kerinduan. Kini, wad Paediatric ICU menjadi tempat singgahan utama setiap kali kami berkunjung ke hospital ini. Lapisan demi lapisan pintu automatik menjadikan wad ini begitu terasing dan dalam kawalan rapi. Di dalam wad ini kebanyakan pesakit terdiri daripada bayi dan kanak-kanak yang baru pulang dari pembedahan untuk rawatan susulan. Setiap masa bacaan suhu badan, graf, ubat dan bermacam lagi akan direkodkan secara terus ke dalam komputer. Dan pada waktu tertentu, akan ada sekumpulan doktor datang dari satu ke satu katil pesakit.
Wad ini seakan suram di jiwa ayah dan ibu. Barangkali wad ini masih belum menyambut suara dan tangisan Amir Yusuf. Setiap kali ayah dan ibu datang, hanya paparan dan bunyian dari mesin elektronik yang bersambung ke badan Amir Yusuf menjadi tumpuan. Namun, tidak akan dapat mengubat rasa yang menerawang di jiwa ini. Selama detik Amir Yusuf tidak sedar, selama itu jugalah hati ini diterpa segala macam rasa. Bisakah hati ayah jadi tenang? Setiap masa hanya berserah dan berdoa kepada-Nya. Sesungguhnya kita ini manusia yang tiada upaya.
Semalam, ayah dan ibu tidak dibenarkan masuk terus ke dalam wad. Kami disuruh menanti di bilik menunggu. Hati ayah berkata, tentu ada sesuatu yang mereka lakukan kepada Amir Yusuf. Selalunya prosedur sebegini yang membuatkan ayah ibu menanti dalam keresahan.
Apabila ayah dan ibu dibenarkan masuk, mata ayah melihat ke arah Amir Yusuf. Ada unit mesin lain yang bertambah di sisi katilnya. Selepas ayah membersihkan tangan, barulah ayah datang menghampiri anakanda Amir Yusuf.
Jururawat yang bertugas memaklumkan kepada ayah dan ibu tentang perkembangan Amir Yusuf. Nada suara dan senyuman yang diberikan bagaikan cuba mengusir kegusaran yang bertandang ke jiwa kami. Ayah dan ibu dimaklumkan paru-paru Amir Yusuf dipenuhi dengan cecair. Oleh itu mereka terpaksa mengeluarkan lebihan cecair tersebut agar tidak memudaratkan keadaan Amir Yusuf. Satu tiub kecil dicucuk melalui tepi dada terus ke paru-parunya. Cecair berwarna coklat kuning disedut keluar melalui mesin yang terletak di sisi katil.
Di dada Amir Yusuf, jelas kelihatan jahitan pembedahan yang lalu. Melihatkannya saja sudah cukup membawa seribu rasa kepada ayah dan ibu. Apatah lagi ditambah pula dengan saluran tiub yang terus ke paru-paru. Jururawat yang bertugas memaklumkan ianya adalah perkara yang agak biasa bagi sesetengah kanak-kanak yang menjalani pembedahan. Dan Amir Yusuf berada dalam keadaan yang stabil. Demikianlah katanya.
Ayah cuba menerima perkara yang biasa bagi mereka dengan redha. Meskipun segalanya cukup luar biasa bagi ayah dan ibu sebenarnya. Sebelum ini dada yang terbuka. Kini pada paru-paru pula. Apakah yang sedang Amir Yusuf rasa?
Mungkin benar kata orang, barangkali Amir Yusuf tidak merasa kesakitan. Dia dalam tidur. Dia dalam lena. Dan dia di dalam rahmat-Nya. Ayah dan ibu cuba memujuk dengan kata sebegitu. Namun, naluri ayah dan ibu tidak mampu menipu bahawa berat sekali apa yang sedang Amir Yusuf lalui. Yang teruji bukan sekadar Amir Yusuf, tetapi kekuatan ayah dan ibu juga.
Selagi berdaya, selagi itu ayah dan ibu akan terus bertahan. Berpaut pada dahan yang penuh dengan harapan dan impian. Sesekali angin menderu perasaan. Dan betapa ayah berusaha agar tidak gugur bersama dedaunan di musim luruh ini. Sepertimu Amir Yusuf, ayah dan ibu tetap bertahan. Menerima sesuatu yang luar biasa menjadi biasa.
21-10-08
Malam itu, seperti malam-malam yang lalu. Dingin malam menyelubungi. Di kamar tidur, lampu sudah pun dipadamkan. Hanya lampu jalan yang samar-samar menyelusup masuk melalui celah-celah langsir di tingkap bilik.
Di atas katil, ayah, ibu dan Najla berselimut di dalam duvet. Kami melarikan diri dari kesejukan malam yang menggigit. Sesekali, terasa kami kekurangan ahli. Fikiran ayah dan ibu terkenangkan Amir Yusuf yang berada di hospital. Terbayang di fikiran, seandainya Amir Yusuf berada di rumah pada waktu ini. Barangkali, di satu sudut, ada sebuah katil kecil buatnya.
Malam itu, hati ayah dan ibu begitu sayu mengenangkan. Sewaktu melawat Amir Yusuf pada petangnya, Amir Yusuf masih lagi berada dalam sedatif. Doktor masih mahukan dia tenang dan tidur. Sekurang-kurangnya, dalam keadaan itu Amir Yusuf tidak akan merasa kesakitan. Di dadanya, kesan jahitan pembedahan begitu jelas kelihatan. Beberapa inci dari bawah leher hingga ke perut. Jahitannya seakan kasar. Bagai menarik kulit Amir Yusuf. Andainya Amir Yusuf terjaga dalam keadaan sebegini, tentu dia tidak keruan menahan sakit.
Kegelapan di bilik diterangi dengan cahaya skrin telefon bimbit ibu. Melalui telefon bimbit itu, kedengaran suara Amir Yusuf yang dirakamkan oleh ibu beberapa jam sebelum Amir Yusuf dibedah. Mendengarkan suaranya di malam begini begitu mengharukan. Hati ayah ditarik perlahan-lahan. Jelas sekali suara Amir Yusuf yang begitu tulus menusuk. Sayu.
Buat seketika, suara rakaman Amir Yusuf itu menghilangkan rasa rindu buat kami. Ibu tutup telefon bimbit. Lantas suasana di bilik menjadi gelap semula. Seperti selalu, Najla melafazkan doa perlahan-lahan. Tidak dilupa, doa buat Amir Yusuf.
Suasana menjadi sepi seketika.
Tiba-tiba, Najla bersuara, “Ibu, nak Amir Yusuf”
Tersentak ayah dibuatnya. Ibu terdiam mencari kata. Ayah dan ibu tidak pernah menjangka Najla akan berkata sedemikian. Besar sekali permintaan Najla.
Dalam suara yang tersekat, ibu berkata, “Tak boleh sayang. Amir Yusuf sakit. Dia di hospital. Nanti, bila dia dah baik, dia balik dengan kita ya sayang? Najla doa Amir Yusuf cepat sembuh ya sayang?”
Ayah bagai kehilangan kata-kata. Betapa ayah berusaha mencari jawapan memujuk hati si kecil. Namun, ayah sendiri tidak dapat menipu rasa bahawa ayah turut mengharapkan perkara yang sama.
Najla sayang, jika boleh, mahu saja ayah dan ibu memenuhi permintaan itu. Namun, ayah dan ibu tidak berdaya, sayang. Kita harus sabar menanti. Hanya kepada-Nya saja kita bermohon agar Dia memperkenan doa dan harapan kita ini, sayang. Sabarlah, Najla sayang.