Di Hujung Penantian
Semalam diibaratkan hari yang panjang. Penantian yang penuh dengan harapan dan debaran. Tidak putus-putus doa dipanjatkan. Bagaikan hamparan doa.
Awal pagi, ayah dan ibu datang untuk bertemu dengan Dr Pollock, seorang cardiac surgeon. Dialah yang bertanggungjawab untuk menjalankan pembedahan ke atas Amir Yusuf. Perbincangan dengannya telah menjelaskan kenapa dan mengapa pembedahan ini harus dijalankan dengan segera. Sewaktu berbicara dengannya, tidak tergambar rasanya gelora yang melanda di dalam jiwa ayah. Seperti kata Dr Pollock, pembedahan ini adalah kritikal dan juga berisiko. Walau bagaimanapun, ianya harus diterusnya demi memastikan Amir Yusuf berada di dalam keadaan yang lebih baik.
Perlahan-lahan, ayah menandatangani surat kebenaran untuk pembedahan. Terhimpun doa dan harapan yang tidak terhingga. Sesungguhnya, pada ketika itu, hanya kepada-Nya kami serahkan.
Ayah dan ibu kembali ke sisi Amir Yusuf. Entah mengapa, emosi pada waktu itu sungguh luar biasa. Segala kesabaran dan ketabahan itu datangnya dengan limpahan air mata. Seribu satu rasa bertandang ke dalam jiwa. Apatah lagi, waktu itu Amir Yusuf berada di dalam keadaan yang tertekan. Dia menangis minta dipujuk. Ibu dan ayah memanggil namanya, sambil tubuh badannya dibelai dengan penuh kasih sayang.
Serak suara ibu memanggil nama Amir Yusuf. Air mata mengalir deras dan jatuh ke atas bantal. Suara ayah seakan tersekat di kerongkong. Selama ini, ayah sekadar memendam segala rasa. Dan hari itu, segalanya seakan tidak mampu dibendung lagi. Mengapakah sukar sekali air mata ini berhenti mengalir?
Amir Yusuf bagaikan memujuk hati ayah dan ibu agar tidak bersedih. Sebaik kami bersamanya, tangisannya berhenti. Bahkan mulutnya tidak jemu berkata-kata. Mungkin dalam butir kata yang terungkap ada pesanan buat ayah dan ibu. Barangkali menceritakan tentang kesakitan yang ditanggung olehnya. Setiap bunyi yang diucapkan oleh Amir Yusuf bagaikan memohon ayah dan ibu agar sabar dan terus kuat. Namun, ketika Amir Yusuf membalas kata-kata ayah dan ibu, saat itulah hati ayah dan ibu diterpa rasa kesayuan.
“Amir Yusuf kata apa sayang? Amir Yusuf sakit ke?”
“Jangan menangis ya sayang”
“Amir Yusuf kuat’kan?”
Amir Yusuf dibawa keluar dari wad 3B ke bilik bedah selepas waktu Zohor. Tepat jam 2 petang, Amir Yusuf dibawa masuk ke dalam. Waktu itu, hujan turun dengan lebat. Dapat kami lihat dari tingkap hospital. Hujan yang turun bagaikan menjadi ganti kepada kami untuk menangis. Kami lepaskan Amir Yusuf dengan redha. Amir Yusuf adalah hak Allah, itulah pesanan buat ayah dan ibu. Hanya Dia yang Maha Mengetahui.
Kuasa Tuhan memang cukup luar biasa. Sewaktu Amir Yusuf berada di dalam bilik bedah, tidak lama kemudian, tiba-tiba saja sinar matahari menerjah. Bumi Glasgow yang sebentar tadi kebasahan panas disimbah cahaya mentari. Bagaikan satu tanda kepada ayah dan ibu bahawa segalanya akan berjalan dengan baik dengan izin-Nya. Sementara menanti Amir Yusuf, ayah dan ibu terus berdoa kepada-Nya agar dipermudahkan urusan. Terutamanya pada pembedahan yang sedang berlangsung.
Jam 6.15 petang, barulah kami nampak kelibat Amir Yusuf keluar dari bilik pembedahan. Amir Yusuf terus dibawa ke Paediatric Intensive Care Unit. Proses pemindahan Amir Yusuf di dalam wad itu mengambil masa 2 jam. Setelah jam 8, barulah ayah dan ibu berpeluang melihat Amir Yusuf. Debaran yang melanda di dada tidak dapat diterjemahkan lagi.
Alangkah sayu dan sebak melihatkan keadaan Amir Yusuf pada waktu itu. Wajar sekali masa yang diambil untuk meletakkan Amir Yusuf di wad ini agak lama. Di tubuh badan Amir Yusuf, penuh dengan wayar dan tiub. Setiap satu mengambil ruang untuk menyediakan bacaan, pemerhatian, mengeluarkan darah, oksigen dan juga untuk saluran ubat. Di kanan dan kiri katil penuh dengan peralatan canggih. Tiada kata yang mampu diucap. Jika mata ayah ini sudah merasa betapa seksanya semua ini, apatah lagi Amir Yusuf yang sedang merasakannya.
Ya Tuhan, rahmatilah Amir Yusuf!
Sekurang-kurangnya, kami dimaklumkan bahawa keadaan Amir Yusuf adalah agak stabil setakat ini. Syukur, Alhamdulillah. Ayah dan ibu sedar bahawa ini merupakan satu fasa awal. Masih jauh lagi perjalanan Amir Yusuf sebelum dia benar-benar pulih. Amir Yusuf adalah pejuang. Dia akan tetap mengharungi kepayahan dan kesakitan ini dengan penuh ketabahan. Bagaikan memberi tanda bahawa ayah dan ibu juga harus kuat dan sabar dalam menghadapi dugaan dari-Nya.
Segala hamparan harapan dan doa bagaikan terus terhimpun. Mengharap belas dan rahmat dari-Nya.
[+]
Terima kasih kepada semua teman budiman yang tidak jemu menghimpunkan doa buat Amir Yusuf. Juga tidak lupa kepada rakan-rakan yang sentiasa memberi kata semangat dan dorongan kepada kami. Ucapan terima kasih tidak memadai atas keikhlasan dan ketulusan kalian. Semoga Allah akan membalas setiap kasih sayang yang tercurah dalam rahmat kasih-Nya.

SHIMI says:
Ya Tuhan, rahmatilah Amir Yusuf!
Tiada daya dan upaya selain mendapat keizinanNya. Moga ketabahan dan keuatan menghadapinya sentiasa dihati
16-10-08 at 3:26 pm
ex-benc says:
teruskan berjuang!!!
setiap penyakit ada penawarnya..
16-10-08 at 5:43 pm
a hasan says:
tabahkan hati. doa untuk amir yusuf
16-10-08 at 5:50 pm
megat says:
alhamdulillah selamat pembedahan tersebut.
berdebar-debar juga membaca setiap patah perkataan yang docoretkan utk menggambarkan situasi.
amir yusof semakin kuat dan dirahmati, insya allah.
16-10-08 at 10:06 pm
Ummica says:
Tiada kata dpt digambarkan, hanya doa yg tidak putus² diiringkan buat anakanda Amir Yusof dari kejauhan ini.
InsyaAllah, Anaknda Amir Yusof akan terus dikurniakan semangat pejuang kental.
17-10-08 at 1:28 am
hishar says:
Alhamdulillah..pembedahan berjalan dgn lancar & amir dlm keadaan stabil..tiada kata yg mampu digambarkan..ketabahan & semangat juang amir benar2 saya kagum! abg & kakak, kalian terus-menerus ‘menyokong’ amir!
17-10-08 at 1:55 am
Ida says:
I’m moved. My tears is about to spill down my cheek.
Ya Allah, tabahkanlah hati keluarga Amir Yusuf. Ya Allah, berilah kekuatan kepada keluarga Amir Yusuf. Ya Allah, kuatkanlah semangat Amir Yusuf untuk terus berjuang demi kehidupan dan kesihatan yang lebih baik. Ya Allah, berkatilah Amir Yusuf dan keluarganya.
Amir Yusuf, you’re indeed an angel and a blessing from Allah to your family. Get well soon!
17-10-08 at 2:42 am
xiao hong says:
salam. amir yusuf, teruskan berjuang. mak cik kagum dan terharu dengan semangat amir yusuf. mak cik, pak cik dan kakak di sini doakan semoga amir yusuf dirahmati Allah SWT senantiasa.
17-10-08 at 2:44 am
nino says:
buat ayah/ibu,
tadahkan tangan dan bacakan al-fatihah dan 4qul. tarik nafas dalam2 dan hembus perlahan2 ke tapak tangan dan usapkan kepada amir yusof. usapkan dari kepala hingga ke tapak kaki. di masa2 terluang bacakan ayat kursi dan surah al-ikhlas dan niat ditujukan kepada amir yusof. insyaallah semuanya akan selamat dengan izinNya.
17-10-08 at 2:51 am
marsha says:
Ya Allah Ya Tuhanku, permudahkanlah segalanya.. Semoga Anakanda Amir Yusof kuat melawan penyakitnya dan akan segera sembuh..
Semoga En. Fajar & Anis terus tabah dan tidak berputus asa demi anakanda Amir Yusof.. Salam dr sy di UTeM..
17-10-08 at 3:08 am
Indera says:
Kita serahkan segalanya kepada Allah, Fajar. Allah itu Maha Agung lagi Maha Bijaksana. Dialah yang berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Setiap kepayahan yang dihadapi di hari dengan penuh keredhaan dan ketabahan, akan diberi ganjaran yang besar. Jika tidak di dunia, di akhirat kelak kita akan memperolehinya.
Kita terpisah oleh lautan dan tanah sempadan. Namun kita bernaung di bawah langit yang sama. Memandang matahari, bulan dan bintang yang sama. Doa yang diangkat ke langit itu, Insya-Allah, pasti tidak akan sia-sia.
Salam sayang peluk cium buat Anakanda Amir Yusuf…
17-10-08 at 3:34 am
NHY says:
Amir Yusof nampak sihat dan semangat badannya. Doa tetap doa dan percayalah rahmat dan kuasa Allah..kita nampak seolah Amir itu sakit tapi kuasa Allah mungkin sebenarnya tiada apa-apa rasa kesakitan pun kepada Amir Yusof..mungkin Allah sekadar menguji iman ayah dan ibu dan kepakaran doktor-doktor dan mahu mengistimewakan Amir Yusof dengan iman sejak ia bayi..bersangka baik kepada Allah SWT.Yakinlah kepada rahmatNya.. InsyaAllah Amir Yusof dipanjangkan umur dan akan sihat selamat sejahtera..Amin.
17-10-08 at 3:35 am
XiS says:
Alhamdulillah… semoga Amir Yusuf terus tabah mengharungi detik ini. Allah menguji kerana Allah sayangkan Amir Yusuf. Syukur, semoga Amir Yusuf diberikan kesembuhan sesegera mungkin. Insya’Allah.
Fajar
pohon izin dipinjamkan gambar Amir Yusuf. Thank you.
17-10-08 at 4:18 am
skupang says:
Salam buat Fajar sekeluarga.. Semoga adik Amir Yusuf sentiasa dibawah lindungan Allah SWT..
Sungguh terharu dengan dugaan yg di hadapi adik Amir.. semoga ayah/ibu tetap tabah dan sentiasa berdoa mengharap pertolongan daripada NYA.
Semlm saya baru membawa pulang ke rumah anak ke3 yg baru lahir sejak seminggu berada di hospital. Anak saya dilahirkan 4 minggu lebih awal. Pada minggu 34 kandunganya, ibunya diserang chicken pox. Selepas seminggu cuti Aidilfitri, ketika kandungan 36 minggu, air ketuban telah bocor dipercayai kesan infection virus chicken pox. Maka pada 10:34 pagi 9/10/08 isteri telah selamat melahirkan seorg bayi perempuan. Disebabkan ibunya belum pulih sepenuhnya maka bayi itu pun telah terkena jangkitan yg sama. Oleh kerana hospital tempat melahirkan bayi ini tidak mempunyai ubat yg sesuai maka bayi itu terpaksa di pindahkan ke hospital yg lain..
Alhamdullilah setelah seminggu bayi telah sihat dan kesan chiken pox pun telah hilang. Walau bagaimana pun abang and kakaknya termasuk Maklang yg menjaga mereka pulak yg diserang chicken pox sekarang ini..
Sekarang ini di Malaysia, khususnya Selangor wabak chicken pox sdg merebak. Ramai yg telah dijangkiti terutama kanak2.
Doa kami semoga adik Amir segera sembuh dan dapat bersama ke pangkuan keluarganya selamanya..Amin
17-10-08 at 4:25 am
Leila says:
Suami saya dulu juga dilahirkan xcukup bulan. Ibu mertua saya dah banyak kali ulang cerita pasal suami saya. Masa tu doktor mengesahkan yg suami saya dah meninggal dalam kandungan.Tapi dengan semangat dan kekuatan yg Allah beri kepada Ibu mertua saya, dia tekad nak melahirkan anaknya. Dan lahirlah suami saya xcukup sebulan. 20 hari dalam inkubator lepas tu keluar jadi hyper ctive pulak.
Kuasa Allah.. Saya doakan moga Amir Yusuf cepat sembuh. Amin
17-10-08 at 4:46 am
Haq says:
Doa dipanjatkan supaya Amir Yusof cepat sembuh…
17-10-08 at 6:20 am
vandaa says:
tak tahan menanggung kesedihan takala melihat tubuh kecil itu dilingkari dgn segala mcm tiub dan wayar…airmata saya menitis lagi…
ya..tuhan selamatkan amir yusuf.
17-10-08 at 8:13 am
elaira says:
moga anakanda Amir Yusuf lekas sembuh…
17-10-08 at 8:56 am
niefeng says:
semoga Tabah menhadapi dugaan, aku doakan anak kau selamat menempuhi dugaan ini,
17-10-08 at 10:17 am
frodo says:
fajar…….
aku doa kan agar amir sembuh dan sihat semula nanti…
17-10-08 at 10:35 am
aliff says:
Salam,
Abang Fajar dan Kak Anis, semoga kalian tetap tabah. Berlapang dada dengan apa yang berlaku. Semoga Allah SWT permudahkan beban kalian.
Amir Yusuf seorang pejuang, Aliff lihat badannya semangat. Semoga dia segera sembuh!
17-10-08 at 12:01 pm
Lini says:
Tabahkan hati fajar.. moga Allah berikan kekuatan untuk harungi semua ini..
20-10-08 at 6:38 am
azra says:
semoga fajar dan anis terus tabah, setabah anakanda amir yusuf.
tiada apa mampu diucapkan, hanya doa yg mampu diiringkan buat kalian sekeluarga.
sesungguhnya Allah Maha Penyayang thdp hamba2Nya.
21-10-08 at 3:51 am