23-10-08

Bukan Luar Biasa

Posted in amir yusuf, rasa by fajaril

Suasana di sekitar Glasgow seakan berubah dengan perlahan-lahan. Warna dedaunan berubah menjadi kekuningan dan kemerahan. Musim luruh membawa bersama deruan angin yang dingin. Setiap kali angin bertiup, berguguran dan bertebaran helaian daun-daun dari tangkainya. Ayah takjub dengan keindahan yang telah Allah hamparkan di depan mata. Begitu banyak ciptaan-Nya yang begitu mempersonakan.

Musim terus berganti. Tidak lama lagi, musim dingin pula bakal menyusul. Hampir 4 bulan Amir Yusuf berada di hospital. Masih belum berkesempatan mengecapi keindahan yang ada di luar sana. Genap seminggu Amir Yusuf menjalani pembedahan yang kedua. Selama itu jugalah Amir Yusuf terus di dalam lena dan separa sedar. Kesan sedatif morfin dan beberapa ubat lain menjadikan Amir Yusuf mengantuk. Juga menghilangkan rasa sakit.

Lalu selama detik itu jugalah ayah dan ibu dalam penantian dan kerinduan. Kini, wad Paediatric ICU menjadi tempat singgahan utama setiap kali kami berkunjung ke hospital ini. Lapisan demi lapisan pintu automatik menjadikan wad ini begitu terasing dan dalam kawalan rapi. Di dalam wad ini kebanyakan pesakit terdiri daripada bayi dan kanak-kanak yang baru pulang dari pembedahan untuk rawatan susulan. Setiap masa bacaan suhu badan, graf, ubat dan bermacam lagi akan direkodkan secara terus ke dalam komputer. Dan pada waktu tertentu, akan ada sekumpulan doktor datang dari satu ke satu katil pesakit.

Wad ini seakan suram di jiwa ayah dan ibu. Barangkali wad ini masih belum menyambut suara dan tangisan Amir Yusuf. Setiap kali ayah dan ibu datang, hanya paparan dan bunyian dari mesin elektronik yang bersambung ke badan Amir Yusuf menjadi tumpuan. Namun, tidak akan dapat mengubat rasa yang menerawang di jiwa ini. Selama detik Amir Yusuf tidak sedar, selama itu jugalah hati ini diterpa segala macam rasa. Bisakah hati ayah jadi tenang? Setiap masa hanya berserah dan berdoa kepada-Nya. Sesungguhnya kita ini manusia yang tiada upaya.

Semalam, ayah dan ibu tidak dibenarkan masuk terus ke dalam wad. Kami disuruh menanti di bilik menunggu. Hati ayah berkata, tentu ada sesuatu yang mereka lakukan kepada Amir Yusuf. Selalunya prosedur sebegini yang membuatkan ayah ibu menanti dalam keresahan.

Apabila ayah dan ibu dibenarkan masuk, mata ayah melihat ke arah Amir Yusuf. Ada unit mesin lain yang bertambah di sisi katilnya. Selepas ayah membersihkan tangan, barulah ayah datang menghampiri anakanda Amir Yusuf.

Jururawat yang bertugas memaklumkan kepada ayah dan ibu tentang perkembangan Amir Yusuf. Nada suara dan senyuman yang diberikan bagaikan cuba mengusir kegusaran yang bertandang ke jiwa kami. Ayah dan ibu dimaklumkan paru-paru Amir Yusuf dipenuhi dengan cecair. Oleh itu mereka terpaksa mengeluarkan lebihan cecair tersebut agar tidak memudaratkan keadaan Amir Yusuf. Satu tiub kecil dicucuk melalui tepi dada terus ke paru-parunya. Cecair berwarna coklat kuning disedut keluar melalui mesin yang terletak di sisi katil.

Di dada Amir Yusuf, jelas kelihatan jahitan pembedahan yang lalu. Melihatkannya saja sudah cukup membawa seribu rasa kepada ayah dan ibu. Apatah lagi ditambah pula dengan saluran tiub yang terus ke paru-paru. Jururawat yang bertugas memaklumkan ianya adalah perkara yang agak biasa bagi sesetengah kanak-kanak yang menjalani pembedahan. Dan Amir Yusuf berada dalam keadaan yang stabil. Demikianlah katanya.

Ayah cuba menerima perkara yang biasa bagi mereka dengan redha. Meskipun segalanya cukup luar biasa bagi ayah dan ibu sebenarnya. Sebelum ini dada yang terbuka. Kini pada paru-paru pula. Apakah yang sedang Amir Yusuf rasa?

Mungkin benar kata orang, barangkali Amir Yusuf tidak merasa kesakitan. Dia dalam tidur. Dia dalam lena. Dan dia di dalam rahmat-Nya. Ayah dan ibu cuba memujuk dengan kata sebegitu. Namun, naluri ayah dan ibu tidak mampu menipu bahawa berat sekali apa yang sedang Amir Yusuf lalui. Yang teruji bukan sekadar Amir Yusuf, tetapi kekuatan ayah dan ibu juga.

Selagi berdaya, selagi itu ayah dan ibu akan terus bertahan. Berpaut pada dahan yang penuh dengan harapan dan impian. Sesekali angin menderu perasaan. Dan betapa ayah berusaha agar tidak gugur bersama dedaunan di musim luruh ini. Sepertimu Amir Yusuf, ayah dan ibu tetap bertahan. Menerima sesuatu yang luar biasa menjadi biasa.

You can leave a comment, or trackback from your own site. RSS 2.0

16 comments

  1. napang says:

    Sekiranya mampu aku menjelma disebelah kau fajar,

    akan aku unjurkan tanganku ke satu lagi bahu kau disebelah sana. aku gengam pangkal tangan kau. Aku tarik rapat ke sisi aku. Sabarlah wahai sahabatku.

    Aku sentiasa mendoakan untuk kau fajar.

    23-10-08 at 10:13 am

  2. SHIMI says:

    Sukar untuk berkata-kata.

    “Dia dalam tidur. Dia dalam lena. Dan dia di dalam rahmat-Nya.”

    Memang sukar untuk berkata-kata selain dari mata yang berkaca-kaca.

    Sabarlah

    23-10-08 at 10:35 am

  3. adibah says:

    Fajar sekeluarga,

    Berdoalah.. berdoalah.. berdoalah..

    Kami juga berdoa, dan doanya sama seperti doa Fajar, Isteri & Najla.

    23-10-08 at 11:58 am

  4. Azli Shah says:

    Salam buat Sdr. Fajar dan Keluarga,

    Tabahkanlah hati dan kuatkan semangat dalam menghadapi dugaan ini. Tiap-tiap sesuatu itu ada hikmahnya.

    Sesungguhnya Allah lebih mengetahui tiap-tiap sesuatu itu bagi hamba-hambaNya.

    Semoga keluargamu dilimpahi rahmat dan hidayah daripada Allah jua…Amin Ya Rabbal ‘Alamin

    23-10-08 at 12:40 pm

  5. XiS says:

    sesungguhnya lidah kelu untuk berkata kata. Berat mata yang memandang, berat lagi beban di bahu yang memikul. Hanya doa dikirim, semoga kekuatan, kesabaran dan keimanan tidak gugur bertebaran…

    23-10-08 at 3:57 pm

  6. ummu_hanis says:

    sabar ye fajar. saya ada cerita yg agak ceria. anak buah saya sama macam amir masa dier dilahirkan. khairul afiq namanye. kecik macam tu la dan masalahnye pun hampir serupa. alhamdulillah dgn kekuasaanNye, sekarang die dah nak masuk darjah 2 dah. sehat dan cergas. sesama la kita berdoa. amiin.

    23-10-08 at 3:59 pm

  7. Pnut says:

    Fajar..terus kuat..kuat da kuat…yakin pada perlindungan dan rahmat Allah buat Amir Yusuf.. Insya-ALlah berkat doa semua Amir Yusuf akan sihat…

    pandanglah Amir Yusuf yang kecil tapi kuat itu..ambillah kekuatan dari dia, untuk jadikan azimat kekuatan kita..

    24-10-08 at 1:07 am

  8. asuhara says:

    moga dedaun yang berguguran membawa bersama keresahan kalian sekeluarga.

    24-10-08 at 4:24 am

  9. aliff says:

    Salam
    Bang Fajar dan Kak Anis,
    bertabahlah ye.

    Doa dari Malaysia sentiasa ada!

    24-10-08 at 6:12 am

  10. walkthrulife says:

    kehilangan kata2.

    hanya doa mengiringi Fajar sekeluarga

    24-10-08 at 7:02 am

  11. Azura says:

    Salam utk saudara Fajar sekeluarga.Saya baru mengikuti blog Fajar dan lupa siapa yg rekomenkan..pertama kali membaca sebak didada dan air mata gugur tanpa disangka.

    Tabahla wahai sahabat.Yakin dan percayala ada hikmah diatas sesuatu yg berlaku.

    Salam kenal.Doa kami utk Amir Yusuf.

    Azura dan Nizam

    24-10-08 at 8:59 am

  12. Chipmunk says:

    Buat saudara Fajar sekeluarga,
    Kami juga menerima dugaan yg hampir sama bila menerima kehadiran princess A @8mths. Percayalah mereka ini memang diberikan kekuatan olehNya untuk melalui dugaan ini. Kami percaya Amir Yusuf cukup kuat untuk pulang bersama keluarga tersayang. Kami doakan moga semuanya selamat. Amin

    24-10-08 at 6:13 pm

  13. rudy says:

    Sod. Ba. Rho. Amin.

    25-10-08 at 3:42 am

  14. hishar says:

    harap perkembangan semasa keadaan kesihatan amir menjadi titik permulaan untuknya kembali sembuh! memang benar2 terkesan bila menyoroti kisah perjuangan anak-anak kecil yang berjuang utk memiliki & memberi kasih sayang hakiki pada ibu bapa..doa saya tidak putus ke atas adik amir & abg sekeluarga..

    25-10-08 at 3:40 pm

  15. DrA says:

    Fajar,
    Very sad. Your boy seems to be a tough one. I wouldn’t say that your boy is going to be OK as I have seen “the worst case scenario”. However, judging from what you have written so far, I think you will see lights at the end of the tunnel. I will pray for your Amir Yusuf, such a noble name.

    25-10-08 at 10:21 pm

  16. uda says:

    saudara fajar sekeluarga,

    semoga tabah hadapi dugaan dari Allah. insyaAllah, doa sentiasa dipanjatkan buat amir yusuf dan anda sekeluarga.

    -uda,idz,tasneem,najla
    kuantan

    27-10-08 at 2:38 am

Leave a comment

Bad Behavior has blocked 42 access attempts in the last 7 days.