Archive for November, 2008

29-11-08

Najla

Posted in bicara by fajaril

Satu malam, ayah duduk di sisi Najla. Bertanya tentang aktiviti yang dilalui pada siang hari sewaktu ketiadaan ayah dan ibu. Seperti biasa, di malam hari sajalah waktu Najla untuk bermanja dengan ayah dan ibu.

“Najla, tahu tak apa makna nama Najla?”

“Hmm”, Najla hanya memandang ayah tanpa jawapan.

“Najla means beautiful eyes.”

“Oh. But, this one is not beautiful”, seraya tangan kecilnya menunjukkan biji di pelupuk atas mata kanannya.

“Ala, kasihannya anak ayah ini”. Lalu ayah terus memeluk tubuh kecil Najla. Ibu yang mendengar pengakuan dari Najla turut terharu. Bagaikan tiada sebarang kata untuk memujuk hati Najla yang begitu tulus.

27-11-08

Absence of Fear

Posted in bicara by fajaril

“We are afraid of losing what we have, whether it’s our life or our possesions and property. But this fear evaporates when we understand that our life stories and history of the world were written by the same hand.”

- Paulo Coelho, The Alchemist.

26-11-08

Sabarlah Sayang

Posted in bicara by fajaril

Hampir setiap malam, Najla akan menangis. Bukan saja tidurnya seorang yang terganggu, malahan waktu rehat ayah dan ibu yang keletihan turut terusik. Bermula dengan ketidakselesaan sarung duvet, tidak mahu memakai stokin, mencari dua ekor patung kucingnya – Che’ Mek Kelabu dan Che’ Mek Hitam, mahukan bantal merah jambu berbunga-bunga dan kadang-kadang mahukan beg Pooh di sisi. Itu belum lagi bertarik tali dan sesi memujuk untuk menyuruhnya memberus gigi dan menyapu losyen ke badannya sebelum masuk tidur.

Sebaik lampu di bilik tidur dimatikan, bermulalah episod drama merajuk dan memujuk. Sewaktu kepala terasa berat dan fizikal penat, seakan begitu sukar sekali melaluinya. Di kegelapan malam itu, kadangkala terdengar Najla mencari peluang untuk menggaru di mana-mana ruang kulitnya yang gatal. Serentak itu jugalah ayah dan ibu bersuara menegah. Kulit Najla sudah terlalu teruk dan penuh parut luka. Ayah dan ibu begitu kasihan melihatkan kesakitan yang terpaksa ditanggung oleh Najla.

Dalam masa yang sama ayah dan ibu begitu faham, waktu malam sajalah untuk Najla bermanja dengan ayah dan ibu. Meskipun pada waktu begini, peratusan tenaga yang ada pada ayah ibu begitu rendah setelah seharian suntuk di universiti dan hospital. Di musim dingin begini, ayah dan ibu meninggalkan rumah ketika suasana persekitaran masih lagi gelap dan pulang ketika matahari sudah pun lama berlabuh. Sudah tentu Najla rasa kehilangan. Namun, Najla sudah lama berkompromi. Pada usia yang begitu muda, Najla sudah belajar mengerti dan memahami rutin kehidupan yang dilalui oleh ayah dan ibu.

Meskipun ayah dan ibu terpaksa meluangkan sebahagian masa dalam satu hari untuk Amir Yusuf di hospital, Najla di rumah tidak pernah diabaikan. Bahkan, ayah dan ibu begitu rungsing melihatkan keadaan Najla. Sebulan yang lalu, kulitnya yang luka dan gatal kerana kering dan sensitif sudah pun hampir sembuh. Kini, sakit itu kembali semula. Hari Jumaat yang lepas, ayah terus membawa Najla ke unit kecemasan di Hospital Yorkhill. Menanti lebih 2 jam, benar-benar menguji kesabaran. Rawatan yang diterima pada waktu itu tidaklah seberapa kerana kes Najla bukanlah termasuk dalam kategori kritikal.

Namun begitu, bagi ayah dan ibu, keadaan Najla sudah agak teruk. Setiap malam, tangan kecil Najla akan menggaru ke setiap ruang tubuh yang gatal. Lama-kelamaan, ianya menjadi luka. Ayah terpaksa melumurkan losyen hampir ke seluruh badan. Dalam masa yang sama, Najla akan menangis kerana menahan kesakitan dan juga tidak selesa. Badannya juga berbintik-bintik. Barangkali cuaca yang dingin menjadikan kulit Najla kering dan sensitif. Ayah dan ibu begitu kasihan melihatkan keadaan Najla yang terpaksa menahan kesakitan saban malam. Hanya berharap kepada ubat antibiotik dan antiviral yang diambil di farmasi agar kesakitan itu berkurangan.

Hujung bulan Oktober yang lepas pula Najla bertemu dengan pakar mata di Hospital Yorkhill untuk merujuk kepada ketulan asing yang timbul di pelupuk mata kanannya. Semakin lama, ia semakin membesar dan menyebabkan ketidakselesaan. Dari saiz yang sekecil jerawat kecil, ianya membesar ke saiz biji limau. Bahkan ketulan itu sudah pun dikesan sejak 5 bulan yang lalu. Sudah tentu hati ayah dan ibu bertambah berat melihatkan keadaan Najla yang terpaksa menanggung dua kesakitan sekaligus.

Hingga kini, ayah dan ibu masih menanti panggilan atau surat daripada mereka untuk rawatan selanjutnya. Najla akan melalui pembedahan kecil untuk membuang ketulan itu sebelum cuti Krismas. Begitulah yang yang dimaklumkan semasa pertemuan dengan pakar mata pada waktu itu. Namun, menantikan surat atau panggilan itu begitu menyeksakan. Dirasakan begitu lama.

Bertahanlah dulu sayang. Sungguh, ayah dan ibu mengerti apa yang Najla lalui begitu menyakitkan. Apakan daya, keadaan di sini tidak membenarkan kita menyegerakan segala urusan. Kita harus sabar menanti. Namun, dalam penantian itu, setiap malam ayah dan ibu harus memujuk Najla agar bersabar dan berhenti menangis. Setiap pagi, hati ayah ini akan terusik dan terkesan melihatkan keadaan Najla. Apatah lagi, kalau malam itu Najla menangis teresak-esak.

Dan seharusnya pada saat-saat begini, ayah dan ibu harus terus bertahan dan bersabar. Jika boleh, mahu saja segala perkara diselesaikan segera dan merungkai segala kerumitan yang melanda.

Sabarlah sayang. Kita lalui semua ini dengan penuh kekuatan. Meskipun sebenarnya kekuatan ini pada waktu begini begitu tipis. Yang ada, hanya harapan yang tidak pernah pudar. Kita ini cuma hamba-Nya yang begitu kerdil. Barangkali, ini satu lagi dugaan buat kita. Mendekatkan kita kepada-Nya.

Seperti yang ayah dan ibu pesankan selalu,
‘Sabarlah, sayang. Sabarlah, Najla sayang’.

24-11-08

Cebisan Rasa

Posted in bicara by fajaril

Hari Isnin datang dengan rasa keluhan. Bermula lagi rutin harian yang sarat dan padat, serta kepenatan. Awal pagi ke tempat kerja, kemudian ke universiti serta petang itu ke hospital untuk bersama Amir Yusuf. Malam berlabuh membawa kami pulang ke rumah menghabiskan masa bersama Najla.

Perkara yang sama berulang pada setiap hari dan minggu membuatkan diri berdebar dengan masa yang begitu cepat berlalu. Sedangkan dalam masa yang sama, masih terlalu banyak perkara yang harus disempurnakan. Fikiran jadi sarat dan berat. Hingga pernah juga terdetik, mampukah diri ini terus bertahan?

Namun begitu, kehidupan ini tetap harus diperjuangkan. Dalam pahit dan manis. Semua itu ditelan sekaligus mengharapkan agar ianya menjadi penawar pada segala rasa. Seperti kata seorang teman, untuk mendapatkan sesuatu yang berharga dan bermakna harus melalui dulu kegetiran dan kepayahan. Nanti kemanisan yang dikecapi pasti luar biasa rasanya.

Diri ini bukan sempurna. Apatah lagi bukan dalam kategori genius dan hebat. Keadaan pada masa ini juga tidak sama seperti suatu ketika dulu, iaitu semasa bujang. Bahkan keterbatasan dan tanggungjawab yang ada merupakan amanah yang harus disempurnakan juga.

Sabarlah hati. Jangan jadikan ini keluhan. Tetapkan diri agar dapat menghimpun segala kekuatan dan kekentalan minda dan jiwa.

Ya Tuhan, kurniakanlah secebis cahaya ilmu-Mu menerangi hati dan minda hamba-Mu yang kerdil ini. Agar dapat menyuluh segala kegelapan. Leraikan segala kekusutan. Permudahkan segala urusan hidup kami ini.

[-]

Maaf, kalau ada komen yang telah ditulis sebelum ini hilang. Tiba-tiba saja, sistem di sini ‘tidak begitu stabil’.

20-11-08

Yang Pertama

Posted in amir yusuf, peristiwa by fajaril

Tinggal seminggu saja lagi Amir Yusuf akan mencecah usia lima bulan. Sejak dilahirkan, hanya ruangan di wad hospital menjadi tempat permainan Amir Yusuf. Teman wad bersilih ganti. Hanya jururawat dan doktor yang bertugas menjadi teman bermain selain ayah dan ibu untuk bermanja dan berkasih.

Dari satu ke satu wad, Amir Yusuf dipindahkan. Barang-barang milik Amir Yusuf turut sama berpindah mengikut ke mana dia pergi. Baju, selimut, diari, kad ucapan, surah Yaasin dan dua mainan lembut – monyet dan beruang comel yang dihadiahkan oleh kenalan untuk Amir Yusuf. Fail peribadi Amir Yusuf turut dipindahkan sebagai rujukan doktor yang bertugas.

Cuma mainan cot mobile mengalunkan muzik klasik penuh dihiasi warna ceria dan indah yang ayah belikan untuk Amir Yusuf hilang entah ke mana. Keciciran dalam perpindahan dari wad 2B ke High Dependency Unit ini. Sayang juga kerana kehilangan mainan yang dapat mengasyikkan Amir Yusuf sewaktu dia di dalam keadaan jaga. Tambahan pula harganya agak mahal sewaktu dibeli.

Hari Isnin yang lalu, ayah dan ibu agak keberatan untuk terus ke universiti. Kami merancang untuk mentelaah dan membaca kertas jurnal akademik yang penuh dengan rumus, teori dan rajah elektronik di hospital. Bersama menemani Amir Yusuf. Memang besar bezanya untuk membaca dan cuba belajar di dalam wad. Apatah lagi dirasakan menfokuskan pembacaan di sini lebih membuatkan diri mengantuk. Lebih-lebih lagi melihatkan Amir Yusuf yang begitu asyik dalam tidurnya.

Namun begitu, lena Amir Yusuf tidak panjang. Sebentar lagi Amir Yusuf akan dikejutkan. Amir Yusuf akan dimandikan secara sempurna buat pertama kalinya sejak dia dilahirkan!

Sebelum ini memang Amir Yusuf tidak berpeluang untuk dimandikan seperti bayi yang lain. Sebaik saja dia lahir, terus dibawa ke inkubator untuk disambung dengan pelbagai wayar dan tiub ke tubuh badannya. Cuma Amir Yusuf sering dilap pada bahagian kepala dan tubuh badannya. Matanya akan disapu dengan kapas khas. Begitu juga dengan bibir yang seringkala kering.

Lantaran itu, bau seorang bayi yang fitrah begitu melekat pada Amir Yusuf. Biarpun tidak pernah dimandikan dan sekadar dilap pada tubuh badannya, aroma dan bau Amir Yusuf cukup istimewa. Tanpa diselangi bau bedak atau bahan kimia lain melainkan ubatan. Bau itu cukup dikenali dan melekat pada deria ayah dan ibu. Bahkan bau itulah yang sering menerawang apabila rasa rindu itu bertandang.

Butang baju Amir Yusuf dibuka satu persatu. Jelas kelihatan kesan jahitan pembedahan di dada Amir Yusuf. Kesan itu akan kekal setiap hayatnya sebagai tanda pisau pembedahan pernah membelah dadanya. Tiga wayar yang melekap pada dada Amir Yusuf ditanggalkan satu demi satu. Sebaik saja klip itu dicabut, paparan di monitor mengeluarkan isyarat garis panjang dan amaran. Namun ianya dimatikan oleh jururawat bertugas. Begitu juga dengan wayar yang meliliti tapak kaki kanan Amir Yusuf. Dibuka balutannya. Yang tinggal hanya tiub oksigen dan salut tiub susu melalui hidung.

Amir Yusuf dibaluti dengan kain tuala dan diangkat dalam pegangan erat jururawat ke arah bekas air suam yang terletak di tepi katil. Tiub oksigen dan susu mengekori Amir Yusuf. Ibu mengucapkan lafaz ‘Bismillah’.

Dengan perlahan, air membasahi kepala Amir Yusuf. Titis-titis air mengalir kembali ke dalam bekasnya. Amir Yusuf seakan terkejut dengan satu rasa baru di kepalanya. Namun, ianya tidak lama. Jururawat terus mengelap kepala Amir Yusuf dengan tuala yang tersedia dan meletakkan kembali Amir Yusuf ke atas katil.

Kini, giliran ibu pula untuk menyempurnakan mandian Amir Yusuf dengan bantuan dua orang jururawat yang bertugas. Dengan cermat, ibu mengangkat kembali tubuh Amir Yusuf yang tidak dibaluti sebarang benang, melainkan pada tiub oksigen dan susu di muka. Pertama kalinya, kaki Amir Yusuf direndami dengan air. Sedikit demi sedikit, separuh tubuh badannya di dalam rendaman air suam di bekas berwarna krim.

Amir Yusuf tersentak dengan sensasi baru ini. Rasa itu ditunjukkan melalui gerakan kaki dan tangannya yang seakan meronta. Lama-kelamaan, barulah Amir Yusuf kembali tenang. Inilah kali pertama Amir Yusuf mengenali air untuk bermandi. Barangkali dia teringat sebelum ini seluruh tubuhnya dipenuhi dengan air di dalam rahim ibu. Amir Yusuf seakan gembira bermain dengan air. Ayah dapat melihat betapa bercahaya wajah Amir Yusuf sewaktu dimandikan oleh ibu. Bahkan, kegembiraan itu turut dikongsi bersama dengan jururawat yang menjaga Amir Yusuf. Setelah sekian lama, barulah Amir Yusuf berpeluang untuk mandi.

Tiada sebarang gambar diambil sewaktu Amir Yusuf dimandikan memandangkan kamera tidak dibawa pada ketika itu. Mahu menggunakan kamera telefon bimbit, takut ditegur dan dimarahi oleh staf di wad berkenaan kerana telefon bimbit perlu dimatikan sebelum memasuki kawasan hospital. Namun, segala aksi dan tingkahlaku Amir Yusuf terakam kemas di dalam ingatan.

Ibu meletakkan Amir Yusuf ke atas katil semula. Di situ, ayah dan ibu sama-sama menyempurnakan diri Amir Yusuf. Baju bersih dan baru berwarna biru dikenakan pada badan Amir Yusuf. Tiga wayar dilekapkan semula ke dada Amir Yusuf. Paparan di monitor kembali. Begitu juga pada kaki Amir Yusuf. Sebelum mengenakan butang baju, ibu sempat mengurut kaki, tangan dan sebahagian tubuh Amir Yusuf dengan minyak bayi. Haruman menusuk ke deria.

Setelah siap semuanya, ayah dan ibu duduk di tepi Amir Yusuf. Mulut bercerita dan jiwa menyanyi bersama Amir Yusuf. Mata Amir Yusuf memandang ke arah ayah dan ibu. Seolah-olah tidak mahu berjauhan. Tangan kecil Amir Yusuf dibelai manja oleh ibu. Dengan lembut, ibu menepuk tubuh Amir Yusuf yang seakan mahu kembali lena.

Ayah mencium dahi Amir Yusuf. Lama. Bagai mahu menyimpan segala bau yang ada pada Amir Yusuf.

Bad Behavior has blocked 42 access attempts in the last 7 days.