20-11-08

Yang Pertama

Posted in amir yusuf, peristiwa by fajaril

Tinggal seminggu saja lagi Amir Yusuf akan mencecah usia lima bulan. Sejak dilahirkan, hanya ruangan di wad hospital menjadi tempat permainan Amir Yusuf. Teman wad bersilih ganti. Hanya jururawat dan doktor yang bertugas menjadi teman bermain selain ayah dan ibu untuk bermanja dan berkasih.

Dari satu ke satu wad, Amir Yusuf dipindahkan. Barang-barang milik Amir Yusuf turut sama berpindah mengikut ke mana dia pergi. Baju, selimut, diari, kad ucapan, surah Yaasin dan dua mainan lembut – monyet dan beruang comel yang dihadiahkan oleh kenalan untuk Amir Yusuf. Fail peribadi Amir Yusuf turut dipindahkan sebagai rujukan doktor yang bertugas.

Cuma mainan cot mobile mengalunkan muzik klasik penuh dihiasi warna ceria dan indah yang ayah belikan untuk Amir Yusuf hilang entah ke mana. Keciciran dalam perpindahan dari wad 2B ke High Dependency Unit ini. Sayang juga kerana kehilangan mainan yang dapat mengasyikkan Amir Yusuf sewaktu dia di dalam keadaan jaga. Tambahan pula harganya agak mahal sewaktu dibeli.

Hari Isnin yang lalu, ayah dan ibu agak keberatan untuk terus ke universiti. Kami merancang untuk mentelaah dan membaca kertas jurnal akademik yang penuh dengan rumus, teori dan rajah elektronik di hospital. Bersama menemani Amir Yusuf. Memang besar bezanya untuk membaca dan cuba belajar di dalam wad. Apatah lagi dirasakan menfokuskan pembacaan di sini lebih membuatkan diri mengantuk. Lebih-lebih lagi melihatkan Amir Yusuf yang begitu asyik dalam tidurnya.

Namun begitu, lena Amir Yusuf tidak panjang. Sebentar lagi Amir Yusuf akan dikejutkan. Amir Yusuf akan dimandikan secara sempurna buat pertama kalinya sejak dia dilahirkan!

Sebelum ini memang Amir Yusuf tidak berpeluang untuk dimandikan seperti bayi yang lain. Sebaik saja dia lahir, terus dibawa ke inkubator untuk disambung dengan pelbagai wayar dan tiub ke tubuh badannya. Cuma Amir Yusuf sering dilap pada bahagian kepala dan tubuh badannya. Matanya akan disapu dengan kapas khas. Begitu juga dengan bibir yang seringkala kering.

Lantaran itu, bau seorang bayi yang fitrah begitu melekat pada Amir Yusuf. Biarpun tidak pernah dimandikan dan sekadar dilap pada tubuh badannya, aroma dan bau Amir Yusuf cukup istimewa. Tanpa diselangi bau bedak atau bahan kimia lain melainkan ubatan. Bau itu cukup dikenali dan melekat pada deria ayah dan ibu. Bahkan bau itulah yang sering menerawang apabila rasa rindu itu bertandang.

Butang baju Amir Yusuf dibuka satu persatu. Jelas kelihatan kesan jahitan pembedahan di dada Amir Yusuf. Kesan itu akan kekal setiap hayatnya sebagai tanda pisau pembedahan pernah membelah dadanya. Tiga wayar yang melekap pada dada Amir Yusuf ditanggalkan satu demi satu. Sebaik saja klip itu dicabut, paparan di monitor mengeluarkan isyarat garis panjang dan amaran. Namun ianya dimatikan oleh jururawat bertugas. Begitu juga dengan wayar yang meliliti tapak kaki kanan Amir Yusuf. Dibuka balutannya. Yang tinggal hanya tiub oksigen dan salut tiub susu melalui hidung.

Amir Yusuf dibaluti dengan kain tuala dan diangkat dalam pegangan erat jururawat ke arah bekas air suam yang terletak di tepi katil. Tiub oksigen dan susu mengekori Amir Yusuf. Ibu mengucapkan lafaz ‘Bismillah’.

Dengan perlahan, air membasahi kepala Amir Yusuf. Titis-titis air mengalir kembali ke dalam bekasnya. Amir Yusuf seakan terkejut dengan satu rasa baru di kepalanya. Namun, ianya tidak lama. Jururawat terus mengelap kepala Amir Yusuf dengan tuala yang tersedia dan meletakkan kembali Amir Yusuf ke atas katil.

Kini, giliran ibu pula untuk menyempurnakan mandian Amir Yusuf dengan bantuan dua orang jururawat yang bertugas. Dengan cermat, ibu mengangkat kembali tubuh Amir Yusuf yang tidak dibaluti sebarang benang, melainkan pada tiub oksigen dan susu di muka. Pertama kalinya, kaki Amir Yusuf direndami dengan air. Sedikit demi sedikit, separuh tubuh badannya di dalam rendaman air suam di bekas berwarna krim.

Amir Yusuf tersentak dengan sensasi baru ini. Rasa itu ditunjukkan melalui gerakan kaki dan tangannya yang seakan meronta. Lama-kelamaan, barulah Amir Yusuf kembali tenang. Inilah kali pertama Amir Yusuf mengenali air untuk bermandi. Barangkali dia teringat sebelum ini seluruh tubuhnya dipenuhi dengan air di dalam rahim ibu. Amir Yusuf seakan gembira bermain dengan air. Ayah dapat melihat betapa bercahaya wajah Amir Yusuf sewaktu dimandikan oleh ibu. Bahkan, kegembiraan itu turut dikongsi bersama dengan jururawat yang menjaga Amir Yusuf. Setelah sekian lama, barulah Amir Yusuf berpeluang untuk mandi.

Tiada sebarang gambar diambil sewaktu Amir Yusuf dimandikan memandangkan kamera tidak dibawa pada ketika itu. Mahu menggunakan kamera telefon bimbit, takut ditegur dan dimarahi oleh staf di wad berkenaan kerana telefon bimbit perlu dimatikan sebelum memasuki kawasan hospital. Namun, segala aksi dan tingkahlaku Amir Yusuf terakam kemas di dalam ingatan.

Ibu meletakkan Amir Yusuf ke atas katil semula. Di situ, ayah dan ibu sama-sama menyempurnakan diri Amir Yusuf. Baju bersih dan baru berwarna biru dikenakan pada badan Amir Yusuf. Tiga wayar dilekapkan semula ke dada Amir Yusuf. Paparan di monitor kembali. Begitu juga pada kaki Amir Yusuf. Sebelum mengenakan butang baju, ibu sempat mengurut kaki, tangan dan sebahagian tubuh Amir Yusuf dengan minyak bayi. Haruman menusuk ke deria.

Setelah siap semuanya, ayah dan ibu duduk di tepi Amir Yusuf. Mulut bercerita dan jiwa menyanyi bersama Amir Yusuf. Mata Amir Yusuf memandang ke arah ayah dan ibu. Seolah-olah tidak mahu berjauhan. Tangan kecil Amir Yusuf dibelai manja oleh ibu. Dengan lembut, ibu menepuk tubuh Amir Yusuf yang seakan mahu kembali lena.

Ayah mencium dahi Amir Yusuf. Lama. Bagai mahu menyimpan segala bau yang ada pada Amir Yusuf.

You can leave a comment, or trackback from your own site. RSS 2.0

21 comments

  1. miqdad says:

    Salam,

    Saya baru melawat blog saudara, dan saya doakan semoga Amir Yusuf beransur pulih. Ameen.

    20-11-08 at 12:45 pm

  2. Amin Ahmad says:

    Saya berdoa moga Allah s.w.t. mempermudahkan segala urusan dan Amir Yusuf akan membesar sebagai permata berharga dari dunia Islam.

    20-11-08 at 12:51 pm

  3. SHIMI says:

    Itu juga satu nikmat sebagai ayah dan ibu.
    Tiada yang pertama maka tiada yang keduanya

    20-11-08 at 1:10 pm

  4. chentahati says:

    Alhamdulillah

    21-11-08 at 1:45 am

  5. Zakiyah says:

    Bagus la kalau macam tu, Alhamdulillah!

    21-11-08 at 2:04 am

  6. vandaa says:

    syukur kehadrat ilahi..amir sudah beransur pulih….

    21-11-08 at 2:20 am

  7. murni says:

    syukran..moga khabar gembira ini akan terus berkekalan…amin

    21-11-08 at 2:59 am

  8. mrsazi says:

    alhamdulillah :) sungguh. saya gembira..

    21-11-08 at 3:30 am

  9. Pnut says:

    menitik air mata akak gembira dengan perkembangan baru Amir Yusuf, akak pernah lalui, di mana setelah Alesya lahir 53 hari dia lahir ke dunia, barulah akak dpt peluk dan dukung dia..sebak dan menitik air mata, dapat peluk dia selama ni usap je dalam incubator tu..

    moga amir yusuf lebih sihat dan kuat…

    21-11-08 at 4:22 am

  10. walkthrulife says:

    Alhamdulillah. Semoga akan bertambah baik..

    21-11-08 at 6:48 am

  11. Indera says:

    Alhamdullillah.. mudah-mudahan semua kebaikan ini akan berterusan.

    21-11-08 at 9:19 am

  12. arcahijau says:

    semoga penantian ini berkesudahan dgn yg baik-baik.. amiin

    21-11-08 at 10:01 am

  13. kosong says:

    amir yusuf…
    amir yusuf yang kuat…

    21-11-08 at 10:23 am

  14. napang says:

    Gambare Fajar, akiramenai de.

    21-11-08 at 11:19 am

  15. SangPelangi says:

    Bahagianya melihat senyum orang yang sedang bahagia.
    Teringin nak pegang dan dukung Amir Yusuf.

    23-11-08 at 8:06 am

  16. rudy says:

    Alhamdulillah. Maha suci Allah yang menciptakan AIR yang menyucikan kekotoran. Moga aura air itu membantu kesihatan yang berpanjangan. Amin.

    23-11-08 at 9:15 am

  17. ayobkelubi says:

    assalamualaikum fajar,

    maaf,lama aku tak singgah sini. alhamdulillah, bak kata bang rudy, semoga AIR itu akan menjadi kekuatan yang mujarab untuk AMIR YUSUF sekeluarga.

    25-11-08 at 2:43 am

  18. asuhara says:

    nanti selepas ini, akan banyak ‘kali pertama’ yg lain buat amir yusof.
    terus bertahan ya kalian!

    25-11-08 at 12:29 pm

  19. fiza says:

    Ya Allah, Panjangkanlah umur Amir Yusuf dengan kesihatan yang bertambah baik. Berikanlah yang terbaik kepadanya. Hanya Engkau yang maha mengetahui masa depannya. Tabahkanlah hati kedua ibu bapanya. Rahmatilah keluarga ini.

    26-11-08 at 2:18 am

  20. fadzila says:

    Allahuakbar….Alhamdulillah…

    29-11-08 at 5:22 am

  21. elaira says:

    moga anakanda amir yusuf akan bertambah baik dari masa ke masa, doa tulus kasih bunda dari jauh…

    01-12-08 at 5:18 am

Leave a comment

Bad Behavior has blocked 42 access attempts in the last 7 days.