Pautan
Sudah lama rasanya ingin menyempurnakan rasa penghargaan dan terima kasih kepada semua teman-teman, kenalan dan juga pembaca di blog ini yang tidak pernah jemu berkunjung untuk mengetahui perkembangan terkini Amir Yusuf. Setiap hari bersilih ganti, tanpa kami menyedari begitu pantas sekali masa berlalu. Membawa setiap harapan dan doa yang tidak pernah jemu. Dan setiap hari itu jugalah setiap inci kesabaran dan ketabahan itu teruji.
Mencari teman untuk ketawa bagaikan mencari serpihan siput dan kerang di tepian pantai. Tetapi, untuk mencari teman menangis, tidak semudah itu. Siapa yang benar-benar mahu berkongsi segala keresahan dan keusaian yang melanda jiwa? Atau dalam erti kata lain, siapa yang begitu mahu mengerti dan memahami?
Terima kasih kepada mereka yang sudi menulis entri khusus buat Amir Yusuf. Mungkin ada juga yang turut menitipkan sesuatu buat Amir Yusuf, tetapi ini adalah sebahagian laman yang berjaya dikesan melalui tracking system di sini. Tidak dilupakan juga kepada semua yang menulis komen di ruangan ini dan juga melalui emel. Biarpun secebis, namun nilaiannya adalah cukup tinggi buat kami. Sekali lagi, terima kasih.
[-]
Doakan Amir Yusuf
17 Nov 08, Kalin
‘Semoga doa kalian dimakbulkan Allah..’
Berkongsi Rasa
1 Nov 08, Purple Butterfly
‘Air mata saya senang saja mengalir setiap kali singgah di sini, walaupun saya tidak pernah mengenali mereka. Saya tau, sedih saya hanya sekelumit, jika dibandingkan dengan rasa sebenar ibu dan ayah Amir Yusuff…’
Titipkan doa buat Amir Yusuf
22 Okt 08, Pnut
‘Amir Yusuf, pejuang hebat, kami doakan Amir Yusuf cepat sihat…. Saya sudah melalui saat dimana air mata terlalu murah jatuh membasahi pipi bila melihat tubuh kurus melidi berselirat dengan wayar, dengan tiub pernafasan, tiub minuman dan segala wayar untuk terus merekodkan setiap denyut nadi yang menyambung nyawa anak sekecil itu di muka bumi ini…
Kini saat saya bergembira melayani bayi anugerah Allah yang sangat ajaib itu, saya tetap menitiskan air mata setiap kali membaca catatan Fajar buat Amir Yusuf…’
Keusaian teman di perantauan
21 Okt 08, Abahnajwa
‘Sebaik sahaja lembaran sesawang itu kubuka.. hati aku terus menjadi pilu..Kesedihan, kegusaran dan keusaian seorang yang bergelar ayah..menusuk ke sanubari..Aku secara langsung dapat memahami apa yang dirasai oleh Fajaril..kerana dia juga dalam perjuangan meneruskan pengajian di bumi asing ini.. Aku tak pasti yang aku akan sekuat jiwanya jika diberikan ujian seberat ini..
Melihat keadaan Amir Yusuf tanpa aku sedar air mata ini mengalir…’
Hiba
20 Okt 08, Makmi
‘Tidak sabar rasanya utk menziarahi blog ayah & ibu untuk melihat perkembangan anakanda Amir Yusof. Sebak dan hiba. Itulah gambaran hati makmi saat ini. Meneliti tiap butir ayat ayah, amat-amat meruntun jiwa. Betapa besarnya pengorbanan yg perlu dilakukan oleh tubuh kerdil ini. Dan tuntutan kesabaran dari ayah dan ibu…’
Amir Yusuf
16 Okt 08, Xis
‘Tapi dari jauh aku tak pernah henti berharap dan berdoa agar Amir Yusuf akan segera sembuh. Rasanya terlalu banyak dan hebat yang ditanggung si kecil ini. Rasa hiba bila mengenangkan nasibnya Amir Yusuf. Hanya Allah mampu menyembuhkan apa yang dideritakan oleh Amir Yusuf. Buat temanku, Fajar dan isteri, kuatkan semangatmu di saat apa yang menimpa putera kesayangan kalian. Demi Allah itu maha mengetahui setiap rahmat di sebalik semua kejadian ini…’
Doa buat Amir Yusuf
15 Okt 08, iina
‘Sayu mengenangkan pengorbanan dan ketabahan hati dan fikiran yang perlu dilalui oleh mereka bertiga.. semoga Allah berikan mereka kekuatan dan kecekalan semangat dan hati.. Semoga Amir Yusuf dapat kembali ke pangkuan keluarga dengan sihat dan selamat’
Lekas Sembuh Amir Yusuf
12 Sept 08, Xis
‘Hiba. Itulah rasa yang sarat bersarang dalam diri aku tatkala menyusuri setiap baris ayat yang tertera. Mungkin sukar aku mengolah gelodak rasa yang ada di diri seorang teman yang tak pernah aku ketemu. Tapi aku tahu apa yang dilaluinya adalah satu ujian yang besar buat diri dan keluarganya. Siapa menduga, lahirnya putera kesayangan dibaluti ujian yang getir untuk anak seusianya lalui…’
Doa, Demi Kesejahteraan Dan Kesihatan Amir Yusof
6 Sept 08, Megat
‘Aku tidak pandai untuk berkias-kias, juga tidak pandai untuk menulis berbunga-bunga tetapi aku punyai hati dan perasaan dan aku ingin kongsikan bersama rakan-rakan blog lain dan juga pembaca blog ini. Aku harap rakan-rakan dan pembaca blog ini dapat ikuti rentetan kisah di blog ayah Amir Yusof. Terus terang aku katakan setiap kali aku membaca di blog ayah Amir Yusof pasti penglihatan aku semakin kabur, walaupun tidak menangis tersedu-sedu tapi naluri seorang bapa pasti tersentuh dan air mata mengalir…’
Apabila kita diuji, ingatlah ada yang lebih hebat ujian darinya
20 Ogos 08, Pnut
‘Kalau aku rasa aku perlu kuat, Fajar lagi perlu lebih kuat kerana dia perlu beri kekuatan kepada si ibu Amir untuk terus kuat. Fajar..akak doakan Fajar terus tabah.. Insya-Allah anak-anak kita akan membahagiakan kita, bak kata teman Fajar, kalau hari ini kita menangis kerana anakanda kita, siapa tahu di suatu hari nanti kita berbangga dan berbahagia memiliki mereka. Insya-Allah..’
Lantera Kalbu
20 Ogos 08, Elaira
‘cahaya jiwaku,
lena ini adalah nyawa
di dalamnya kita beradu tanpa jaga
mimpi inilah tamannya
kasih kita bersatu tak ada pelerainya…’
[-]
Justeru itu, apabila ada yang menangis bersama dan juga tersentuh jiwanya ketika membaca tulisan di sini, maka hati ini menjadi begitu terharu. Di saat dilanda dugaan yang begitu menguji setiap ketabahan, masih ada lagi yang tidak pernah jemu menghimpun doa dan memberi kata harapan. Seolah-olah kejauhan itu bukanlah satu ruang untuk menjadikan kita lebih dekat. Barangkali, ini adalah salah satu keistimewaan yang ada pada Amir Yusuf. Membawa teman yang lama dan baru mendekati ruang dalam rasa kasih sayang yang terindah.
* Jika ada lagi entri yang tertinggal buat Amir Yusuf, harap dapat meninggalkan jejak pautan di sini. Insya Allah, kami ingin menyimpulkan kenangan buat Amir Yusuf apabila dia membesar suatu hari nanti. Betapa dirinya itu disayangi dan dikasihi sejak dia lahir lagi.

