Keajaiban
Andainya ada keajaiban buat kami pada saat begini. Yang mampu membawa pergi segala kegundahan dan nestapa yang ada.
Namun yang ada, hanya satu keyakinan dan kepasrahan kepada-Nya.
Andainya ada keajaiban buat kami pada saat begini. Yang mampu membawa pergi segala kegundahan dan nestapa yang ada.
Namun yang ada, hanya satu keyakinan dan kepasrahan kepada-Nya.
Jumaat itu, rintik hujan membasahi bumi Glasgow. Deru angin menambah lagi kedinginan. Namun begitu, ianya tidak selebat hujan yang melanda hati ini. Kesuraman perasaan dan jiwa bagaikan menutup segala cahaya.
Berbaris peristiwa yang terlakar di kehidupan pada hari itu. Ayah meredah hujan menuju ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat tetapi begitu lewat hinggakan jemaah sudah pun bersurai. Hari itu juga, satu pesanan singgah ke telefon bimbit yang datangnya dari seorang agen bernama Richard. Hari yang sama, ayah menerima tetamu yang bersusah payah datang dari Jerman untuk menghabiskan cutinya di Glasgow.
Tetapi, hanya satu yang begitu jelas dan berbekas di fikiran ini. Seakan berulang-ulang. Lagi dan lagi. Pertemuan bersama Dr Knight dan Dr Howard yang membincangkan tentang Amir Yusuf.
Begitu jelas butir bicara mereka. Menusuk tajam ke setiap deria. Kelu lidah menerima. Seakan kosong jiwa mendengar. Sungguh, betapa tiada daya manusia itu.
Selama hampir enam bulan Amir Yusuf berada di hospital, selama itulah pelbagai dugaan yang ditempuh. Sepahit dan seberat mana sekalipun, ianya diterima dengan penuh ketabahan. Biarpun hakikatnya kekuatan itu hanyalah sekadar pinjaman dan sementara sifatnya. Berita yang diterima oleh doktor pada hari itu lebih dari segala dugaan yang ada. Dan buat pertama kalinya, kami menangis di depan mereka berdua. Tiada kemampuan untuk menampung air mata ini dari jatuh berguguran.
Semua ini bagaikan satu episod cerita di dalam drama atau filem yang penuh lara. Tiada sebarang skrip atau jalan cerita yang diketahui, melainkan Dia.
Tiada perkataan yang bisa menzahirkan semua ini. Buat seketika, seakan kosong hati ini. Hujan terus melanda hati kami. Kesuraman bagai tidak mahu pergi.
Ya Tuhan, berikanlah petunjuk buat kami, hamba-Mu yang lemah lagi kerdil.
Aku bertanya kepadanya, adakah aku ini kuat?
“I always find it hard to offer you words because you are much stronger than most of us, if not the strongest. Amir is sent specially for you. He might face bleaker future if his parents were someone else.”
Begitulah kata-kata yang ditinggalkan oleh salah seorang rakan baik, yang juga aku anggap sebagai pemberi semangat tanpa dia sedari.
Dan sesungguhnya aku semakin mengerti akan antara ‘hadiah’ terindah yang aku terima sepanjang kehidupan ini. Satu anugerah. Dan satu keistimewaan.

Setiap hari yang berlalu datang dengan penuh harapan. Tidak sekali rasa mengeluh atau merintih dengan kepenatan berkunjung ke hospital saban waktu. Setiap kali melihat wajah anakanda Amir Yusuf, diri tidak pernah berhenti berharap agar segala kesakitan dan keperitan yang ditanggungnya berlalu pergi.
Mana mungkin hati ini dapat bertahan melihatkan keadaan tubuh kecil itu yang sudah acapkali melalui pelbagai ujian. Ayah dan ibu seakan sudah lali dengan wayar dan tiub yang melingkari tubuh Amir Yusuf. Walaupun ayah pasti keadaan itu tidak menyelesakan Amir Yusuf, hanya itu jalan yang terbaik buat masa ini. Namun begitu, melihatkan Amir Yusuf bergantung kepada mesin ventilator untuk oksigen adalah satu perkara yang begitu sukar. Keberadaan tiub menerusi salur pernafasannya sekaligus menutup peti suara Amir Yusuf.
Mata ayah dan ibu bagaikan disayat apabila melihatkan ada ketikanya Amir Yusuf meronta dan menangis kerana ketidakselesaan atau kesakitan. Dan yang lebih menyedihkan, sewaktu mulut kecil itu menangis, tiada suara tangisan yang keluar. Bagaikan hilang. Apabila keadaan Amir Yusuf di dalam keadaan meronta itulah, jururawat yang bertugas terpaksa memberikan sedatif morfin agar Amir Yusuf kembali tenang.
Semenjak dimasukkan ke dalam wad PICU ini, memang jarang melihat Amir Yusuf berada di dalam keadaan jaga. Waktu begini, ayah dan ibu harus memendam rindu untuk mendengar suaranya, tangisannya, lirik matanya dan juga untuk memeluk tubuhnya. Sewaktu ayah memanggil nama Amir Yusuf, matanya bergerak dan berusaha untuk dibuka kelopak matanya. Kesan sedatif ubatan membuatkan dirinya begitu mengantuk. Jika ada masanya Amir Yusuf terjaga, jururawat bertugas kerapkali memerhatikan keadaannya agar tangan kecilnya tidak menarik wayar di hidungnya.
Satu hari, ibu begitu rindu untuk memeluk dan mencium Amir Yusuf. Tapi melihatkan keadaannya yang dipenuhi wayar, tiub dan oksigen adalah agak menyukarkan. Mungkin juga Amir Yusuf turut merindukan dakapan dan kehangatan ibu. Jururawat muda bernama Claire yang bertugas pada hari itu seakan memahami apa yang dirasai oleh ibu. Dengan rasa gembira dia menawarkan peluang untuk ibu memeluk Amir Yusuf.
Meletakkan Amir Yusuf ke ribaan ibu bukanlah satu perkara yang mudah. Banyak wayar dan tiub yang harus disusun. Bahkan tiga orang jururawat datang membantu. Ada yang menyusun salur tiub. Ada yang mengawal pam oksigen agar tidak jatuh ke paras yang rendah. Rumit sekali. Apabila berada di ribaan ibu, Amir Yusuf seakan terjaga untuk seketika sebelum menyambung rehatnya. Dadanya berombak. Nafasnya laju.
Ibu tidak mampu memeluk Amir Yusuf dengan lama. Bunyi dari mesin sering saja berbunyi menandakan ada sesuatu yang tidak kena. Adakalanya tangan Amir Yusuf menggapai seakan cuba menyatakan sesuatu. Lalu Amir Yusuf diletakkan semula ke atas katilnya. Walaupun dapat memeluk Amir Yusuf buat seketika, ianya sudah cukup memadai.

Apabila dihubungkan dengan mesin ventilator ini, ada masanya jururawat akan menyedut cecair yang berkumpul di liang pernafasan Amir Yusuf. Selalunya proses ini akan membuatkan Amir Yusuf tersentak. Seakan ngilu melihatkan tubuh kecil Amir Yusuf menahan kepedihan yang dialaminya. Hati mana yang tidak tersentuh. Kalau boleh berganti tempat, biarlah saja ayah yang merasakannya. Barangkali ia adalah petanda bahawa Amir Yusuf lagi kuat dan kental dari ayah sendiri.
Hari Jumaat yang lalu benar-benar menguji kekuatan dan ketabahan ayah dan ibu. Lewat petang itu, kami dipanggil untuk satu perbincangan tentang perkembangan Amir Yusuf. Hanya Tuhan saja mengetahui betapa berdebarnya rasa di hati apabila berada di dalam bilik kecil bersama dengan empat orang pakar yang terdiri dari pakar jantung, pakar bedah jantung, pakar neurologi dan juga doktor ICU. Setiap butir bicara yang dikeluarkan seakan menusuk ke minda ini. Begitu banyak soalan yang diberikan. Begitu banyak pula rasa yang menerpa. Adakalanya ayah seakan menafikan. Mana mungkin Amir Yusuf begitu?
“It’s a very difficult situation for him for the past few weeks…”
Demikianlah kata Dr Knight kepada kami. Seperti yang ayah dan ibu sendiri maklumi, Amir Yusuf melalui minggu yang agak sukar. Bukan saja untuk para doktor yang bertugas bahkan kepada Amir Yusuf sendiri. Salah satu darinya melibatkan tentang sistem pernafasannya. Berdasarkan ujian yang dilalui, mereka mengesan Amir Yusuf mempunyai komplikasi yang lain pula. Dalam masa yang sama, pakar neurologi begitu mengambil berat tentang perkembangan pada sistem saraf Amir Yusuf. Pada jangkaannya, ada sesuatu yang agak membimbangkannya. Namun itu akan dikenalpasti setelah melalui beberapa siri ujian yang bakal dijalankan.
Bergetar rasa di hati ayah dan ibu apabila mendengarkan perkhabaran baru daripada mereka. Kelu lidah dan minda dibuatnya. Seakan kosong segalanya buat seketika. Lemah dan longlai segala anggota. Ayah tidak mahu menangis. Ayah juga mahu kental dan kuat seperti Amir Yusuf. Betapa ayah dan ibu berusaha untuk menerima khabar ini walaupun ianya cukup menduga segala kekuatan yang ada.
Namun melihatkan kembali wajah Amir Yusuf hati ayah diterpa kepedihan. Ayah jadi lemah dan sebak mengenangkan keadaan yang ditempuhi Amir Yusuf. Betapa berat dugaan yang harus ditanggung. Namun Allah telah menetapkan sesuatu yang tidak bisa dijangkau oleh pemikiran ayah dan ibu. Rintihan dan air mata yang tumpah hanyalah sekadar limpahan kasih sayang yang tiada bertepi. Hanya harapan dan doa yang tidak pernah putus buatmu, Amir Yusuf sayang.
Ibu cuba mengelus kepala Amir Yusuf yang sedang lena. Namun ibu tidak mampu menahan pelupuk mata dari mengalirkan air mata dengan deras. Apalah daya yang ada pada kami, anakku? Kemampuan ayah dan ibu terlalu kerdil.
Beberapa hari lamanya untuk ayah dan ibu menerima semua ini. Mengumpul kekuatan dan ketabahan. Mencari sinar yang dapat menerangi hati yang suram. Setiap masa, debaran dan getaran rasa melanda. Bagai membawa khabar. Dan ada masanya, getaran itu membawa ayah ke daerah yang penuh dengan pengharapan. Moga kekuatan yang ada membuatkan kita terus bertahan.
Seakan kehilangan kata, semangat dan jiwa. Pertemuan bersama doktor pada hari ini benar-benar menguji kekuatan diri. Betapa tiada sebarang kata yang mampu menzahirkan segalanya.
Terasa kosong. Kelu bicara. Dan air mata tertahan di balik wajah yang suram.
Dan di luar sana, hujan berguguran.