05-12-08

Nafas

Posted in amir yusuf, peristiwa by fajaril

Sabar dan tabah. Begitulah yang harus disematkan ke dalam jiwa berulangkali. Apatah lagi melalui peristiwa yang sukar untuk dijangka. Begitulah Amir Yusuf yang menyentuh ketenangan di permukaan hati ayah dan ibu.

Selasa yang lalu, Amir Yusuf terpaksa dipindahkan semula ke wad PICU. Kali ini, bukan kerana wad HDU yang menempatkan Amir Yusuf ditutup, tetapi keadaannya yang memerlukan Amir Yusuf berada di sana. Sewaktu ayah dan ibu meninggalkan Amir Yusuf di hospital, keadaannya agak membimbangkan pada malamnya. Nafasnya berada di paras yang agak rendah. Tindakbalas dan reaksi yang diberikan jelas menunjukkan ketidakselesaan kepada Amir Yusuf.

Justeru itu, Amir Yusuf terpaksa beralih lagi ke wad PICU pada hari Rabu. Kebiasaannya, wad ini dikhususkan kepada kanak-kanak yang baru sahaja keluar dari bilik pembedahan. Kesibukan di dalam wad ini yang penuh dengan pelbagai peralatan canggih sudah tentu mendebarkan kepada ibu bapa yang baru memasukinya.

Seorang staf yang bertugas memaklumkan kepada ayah dan ibu, bahawa Amir Yusuf menghadapi masalah yang melibatkan pernafasannya. Apabila ditempatkan di wad ini, ayah menyedari bahawa keadaan Amir Yusuf yang memerlukan perhatian yang lebih. Ubat dan dadah tersedia di atas troli sekiranya tiba-tiba saja Amir Yusuf memberikan reaksi yang luar biasa.

Nafas Amir Yusuf harus bergantung kepada NCPAP yang memerlukannya memakai topeng oksigen menutupi hidungnya. Sedatif morfin terpaksa diberikan bagi menenangkan Amir Yusuf. Lalu, Amir Yusuf terus berada di dalam keadaan lena.

Walau bagaimanapun, hingga ke satu tahap, doktor terpaksa menghentikan pernafasan melalui mesin NCPAP dan digantikan dengan mesin ventilator. Ia adalah sebuah alatan bantuan pernafasan yang selaluya diberikan kepada pesakit yang tidak sedarkan diri selepas pembedahan. Hidung Amir Yusuf dibalut dengan plaster berwarna coklat. Satu salur tiub keluar darinya untuk membenarkan udara oksigen masuk dari mesin tersebut. Amir Yusuf terlantar dan ditidurkan apabila berada di dalam keadaan ini. Yang kedengaran hanyalah bunyi mesin yang mengepam oksigen ke dalam rongga hidung Amir Yusuf. Senafas demi senafas.

Pagi Khamis, ayah dikejutkan dengan panggilan dari hospital yang memerlukan ayah dan ibu datang ke hospital dengan segera. Doktor mahu berjumpa dan berbincang mengenai keadaan Amir Yusuf. Debaran melanda ke dalam hati. Namun, hanya kepada-Nya, ayah menyerahkan segalanya. Apalah kuasa yang ada di tangan ini? Sekadar hamba yang memohon rahmat dah harapan dari-Nya.

Setelah puas menanti, akhirnya kami bertemu dengan seorang pakar jantung yang menjalankan pembedahan kedua Amir Yusuf yang lalu, iaitu Dr Brodie Knight. Melalui perbincangan di sebuah bilik tertutup, dia memaklumkan bahawa satu prosedur akan dijalankan bagi mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh Amir Yusuf. Satu saluran tiub khas akan dimasukkan hingga ke bahagian jantung bagi membolehkan mereka meninjau keadaan jantung, tekanan darah, peratusan oksigen dan sebagainya. Untuk itu, saluran itu akan dimasukkan melalui celahan kelangkang menuju ke bahagian atas. Masalah yang dihadapi oleh Amir Yusuf mungkin disebabkan jantung. Mungkin juga bukan. Ia hanya boleh diketahui apabila prosedur berkenaan dijalankan.

Dr Knight turut menyenaraikan segala risiko yang ada jika prosedur berkenaan dilaksanakan. Demi mahukan yang terbaik, ayah menurunkan tandatangan pada surat kebenaran. Ayah dan ibu tidak sanggup melihat keadaan Amir Yusuf yang berperang dengan nafasnya sendiri. Selebihnya, ayah dan ibu hanya berserah kepada-Nya. Di jiwa ini, tidak pernah lagi kehilangan harapan. Semua ini adalah salah satu laluan yang memberikan kekuatan kepada Amir Yusuf. Juga kepada ayah dan ibu.

Sementara menanti, ayah dan ibu menemani Amir Yusuf di sisi katil. Ayat-ayat suci dibacakan. Melihatkan Amir Yusuf di dalam keadaan begini membuatkan hati rasa tersentuh. Seakan mengingatkan kembali detik-detik Amir Yusuf pulang dari bilik pembedahan. Tangan kanannya dibalut dan dimasukkan dengan sedatif morfin dan medazolam.

Ibu memanggil perlahan sambil membelai rambut Amir Yusuf yang halus.

Amir, Amir Yusuf sayang…”

Tanpa diduga, Amir Yusuf bertindakbalas meskipun matanya terpejam rapat dan tidak mampu dibuka. Tangan kanannya bergerak-gerak memberi reaksi. Menyentuh jari-jemari ibu. Seolah mahu berkata, ‘usahlah risau, ayah dan ibu’.

Tiba-tiba saja, bibir kecil itu memberikan sebutir senyuman. Terus menyentuh sanubari ayah dan ibu yang kerinduan. Ayah mencium dahi Amir Yusuf. Ada bau yang begitu harum. Bau Amir Yusuf.

Jam dua belas, barulah Amir Yusuf dibawa keluar ke bilik rawatan. Selama dua jam lebih, ayah dan ibu menanti. Mujur ada ruangan solat yang disediakan di hospital ini. Dapatlah ayah dan ibu menghabiskan masa di situ.

Akhirnya, pada jam 2.45 petang, Amir Yusuf kembali ke wad PICU. Keadaannya sama seperti sebelum ini. Cuma ada satu saluran tiub yang dimasukkan di antara betis dan abdomen badan. Terasa ngilu pula melihatkan keadaan Amir Yusuf sebegitu rupa.

Seorang doktor bertugas datang kepada kami memaklumkan status prosedur yang telah dijalankan. Dari apa yang ayah fahami, tiada sebarang masalah dari jantung Amir Yusuf. Kemungkinan masalah yang dialami Amir Yusuf berpunca dari salur penafasan atau paru-parunya pula. Maka, satu prosedur lain bakal menyusul bagi mengenalpasti masalah berkenaan.

Sukar sekali untuk menterjemah segala apa yang dirasa oleh ayah dan ibu. Apa yang pasti, pihak doktor mencuba yang terbaik untuk Amir Yusuf. Sudah tentu Amir Yusuf adalah anak yang istimewa kerana memberikan cabaran kepada mereka merungkai satu demi satu masalah yang dihadapinya. Pada ayah dan ibu, ia adalah medan yang menguji kesabaran dan ketabahan jiwa.

Senafas demi senafas, Amir Yusuf menghela oksigen yang diberikan. Dan setiap nafas yang dihela penuh dengan harapan dan doa yang tiada hentinya. Amir Yusuf, teruslah bertahan sayang. Kami selalu ada. Bersamamu sentiasa.

You can leave a comment, or trackback from your own site. RSS 2.0

11 comments

  1. iina says:

    Fajar dan Anis

    Saya doakan semoga Amir Yusuf sembuh dan sihat..
    Saya sendiri juga hilang kata-kata.. hanya doa saya bersama kalian sekeluarga.. Insyallah Allah maha mengetahui segalanya

    05-12-08 at 12:35 pm

  2. hishar says:

    sesuai dgn namanya Amir Yusuf, terus berjuang & bertahan Amir! kami di sini akan berusaha sedaya yang mampu memanjatkan doa pd Tuhan sekalian alam..utk kalian, tiada apa lagi yang mampu dicoret utk menaikkan moral kalian, kerna kalian mmg sebahagian dari golongan yang sabar & tabah..dengan izin Allah, pasti amir akan kembali ke pangkuan kalian di rumah..

    05-12-08 at 1:22 pm

  3. Anak Didikmu says:

    Buat En Fajar dan Pn Anis, tabah dan sabar ye menghadapi dugaan ini. Saya sekeluarga akan sentiasa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan buat Amir Yusof dan En Fajar sekeluarga. Dalam pahit ada manisnya, kita sebagai hamba tidak tahu apa hikmah disebalik semua ini. InsyaAllah semua akan pulih seperti biasa….Tabah la wahai pendidik ku….

    05-12-08 at 1:33 pm

  4. adibah says:

    Jangan berhenti berjuang ayah, ibu, najla dan amir yusuf. Berdoalah.. berdoalah. berdoalah.. kerana kami juga berdoa untuk kamu sekeluarga. Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..

    05-12-08 at 3:13 pm

  5. Zuer says:

    Abg sabar yer. Setiap apa yng Allah duga kita ada rahmat dibaliknya. Sentiasa berdoa yek..(menitis air mata ini melihat adik amir…). Ya Allah selamatkan adik Amir !!! Amin

    06-12-08 at 12:05 pm

  6. napang says:

    Salam Aidiladha buat kau sekeluarga. Pengorbanan kau dan isteri amat besar sekali. Bersabarlah Fajar. Doa sentiasa dari tanahair.

    08-12-08 at 6:44 am

  7. rudy bluehikari says:

    Salam eidul adha Fajar dan family. Inilah tuntutan korban paling besar untuk kalian sekeluarga. Teruslah bertahan dan bersabar. Tuhankan ada untuk kita andalkan.

    Amirkun, gambare!

    08-12-08 at 11:55 am

  8. Lini says:

    Fajar, dan keluarga…

    Teruskan pengorbanan dan perjuangan demi Amir Yusuf..

    Sesungguhnya.. tersentap jiwa aku melihatkan keadaan Amir Yusuf yg dikelilingi dgn ubat2 yg bertingtkat2 tuh..

    09-12-08 at 4:43 am

  9. chentahati says:

    Salam,

    Anak demam pun rasa nak pengsan tapi bila tengok amir yusof terasa lebih pilu dalam hati.

    Sabar ye…

    10-12-08 at 1:50 am

  10. Tata says:

    Fajar & Anis…
    Sabar yer… Byk2 berdoa… Sedihnyer melihat Amir Yusuf…

    10-12-08 at 11:07 am

  11. dora says:

    Salam, I pray that you be strong during these times.. May Allah give the best for you and your family.. I pray for Amir Yusof’s health.. I too had an anak sedara who went through what he Amir Yusof is going through now..

    18-12-08 at 5:24 am

Leave a comment

Bad Behavior has blocked 60 access attempts in the last 7 days.