Archive for December, 2008

12-12-08

Pelangi

Posted in puisi by fajaril

[-]

Teman,
telah aku lukiskan pelangi gembira,
agar dapat kulari dari warna sengsara,
pergi jauh dari awan nestapa.

Namun,
tentu sekali kau sedari,
indahnya bukan untuk di sisi,
tiba masanya berlalu pergi.

20-11-08, 8.30 am

Photo: © Scot Frei/Corbis

11-12-08

Erti Pengorbanan

Posted in amir yusuf, rasa by fajaril

Aidiladha yang berlalu memberikan satu lembaran baru kepada kami sekeluarga. Betapa kami berusaha untuk tidak membenarkan air mata ini dari terus jatuh. Hati ini cuba dikeraskan agar kuat. Namun ianya begitu mudah cair dan mengalir.

Aidiladha mengingati erti pengorbanan, keimanan dan kekuatan. Saban tahun, berulangkali diingatkan betapa besarnya ujian yang diberikan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Rasa yang tersimpul sudah pasti begitu hebat.

Apabila ustaz menyampaikan sedikit tazkirah selepas takbir dari rumah ke rumah, hati ayah jadi sayu dan semakin mengerti akan erti pengorbanan itu. Ianya bukan sekadar ucapan dan perkataan. Maknanya terlalu besar bagi mereka yang melalui ujian dari-Nya. Namun begitu, dari segala peristiwa yang terjadi sudah pasti ada hikmahnya. Sesuatu yang tidak mampu difikirkan oleh manusia.

Pengorbanan dan perjuangan. Ketabahan dan kekuatan.

Aidiladha ini, ayah dan ibu menerima satu lagi perkhabaran tentang Amir Yusuf tentang sistem pernafasannya. Satu lagi komplikasi yang dikesani selepas beberapa ujian dijalankan. Sukar sekali menzahirkan apa yang dirasa. Sedih? Seakan begitu kehilangan kata.

Amir Yusuf masih lagi bergantung kepada mesin pernafasan. Dalam masa yang sama, sedatif morfin masih diberikan. Amir Yusuf terus bertahan dan berjuang.

Ayah teringatkan di penghujung ayat Surah Al Baqarah, bahawa Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.

05-12-08

Nafas

Posted in amir yusuf, peristiwa by fajaril

Sabar dan tabah. Begitulah yang harus disematkan ke dalam jiwa berulangkali. Apatah lagi melalui peristiwa yang sukar untuk dijangka. Begitulah Amir Yusuf yang menyentuh ketenangan di permukaan hati ayah dan ibu.

Selasa yang lalu, Amir Yusuf terpaksa dipindahkan semula ke wad PICU. Kali ini, bukan kerana wad HDU yang menempatkan Amir Yusuf ditutup, tetapi keadaannya yang memerlukan Amir Yusuf berada di sana. Sewaktu ayah dan ibu meninggalkan Amir Yusuf di hospital, keadaannya agak membimbangkan pada malamnya. Nafasnya berada di paras yang agak rendah. Tindakbalas dan reaksi yang diberikan jelas menunjukkan ketidakselesaan kepada Amir Yusuf.

Justeru itu, Amir Yusuf terpaksa beralih lagi ke wad PICU pada hari Rabu. Kebiasaannya, wad ini dikhususkan kepada kanak-kanak yang baru sahaja keluar dari bilik pembedahan. Kesibukan di dalam wad ini yang penuh dengan pelbagai peralatan canggih sudah tentu mendebarkan kepada ibu bapa yang baru memasukinya.

Seorang staf yang bertugas memaklumkan kepada ayah dan ibu, bahawa Amir Yusuf menghadapi masalah yang melibatkan pernafasannya. Apabila ditempatkan di wad ini, ayah menyedari bahawa keadaan Amir Yusuf yang memerlukan perhatian yang lebih. Ubat dan dadah tersedia di atas troli sekiranya tiba-tiba saja Amir Yusuf memberikan reaksi yang luar biasa.

Nafas Amir Yusuf harus bergantung kepada NCPAP yang memerlukannya memakai topeng oksigen menutupi hidungnya. Sedatif morfin terpaksa diberikan bagi menenangkan Amir Yusuf. Lalu, Amir Yusuf terus berada di dalam keadaan lena.

Walau bagaimanapun, hingga ke satu tahap, doktor terpaksa menghentikan pernafasan melalui mesin NCPAP dan digantikan dengan mesin ventilator. Ia adalah sebuah alatan bantuan pernafasan yang selaluya diberikan kepada pesakit yang tidak sedarkan diri selepas pembedahan. Hidung Amir Yusuf dibalut dengan plaster berwarna coklat. Satu salur tiub keluar darinya untuk membenarkan udara oksigen masuk dari mesin tersebut. Amir Yusuf terlantar dan ditidurkan apabila berada di dalam keadaan ini. Yang kedengaran hanyalah bunyi mesin yang mengepam oksigen ke dalam rongga hidung Amir Yusuf. Senafas demi senafas.

Pagi Khamis, ayah dikejutkan dengan panggilan dari hospital yang memerlukan ayah dan ibu datang ke hospital dengan segera. Doktor mahu berjumpa dan berbincang mengenai keadaan Amir Yusuf. Debaran melanda ke dalam hati. Namun, hanya kepada-Nya, ayah menyerahkan segalanya. Apalah kuasa yang ada di tangan ini? Sekadar hamba yang memohon rahmat dah harapan dari-Nya.

Setelah puas menanti, akhirnya kami bertemu dengan seorang pakar jantung yang menjalankan pembedahan kedua Amir Yusuf yang lalu, iaitu Dr Brodie Knight. Melalui perbincangan di sebuah bilik tertutup, dia memaklumkan bahawa satu prosedur akan dijalankan bagi mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh Amir Yusuf. Satu saluran tiub khas akan dimasukkan hingga ke bahagian jantung bagi membolehkan mereka meninjau keadaan jantung, tekanan darah, peratusan oksigen dan sebagainya. Untuk itu, saluran itu akan dimasukkan melalui celahan kelangkang menuju ke bahagian atas. Masalah yang dihadapi oleh Amir Yusuf mungkin disebabkan jantung. Mungkin juga bukan. Ia hanya boleh diketahui apabila prosedur berkenaan dijalankan.

Dr Knight turut menyenaraikan segala risiko yang ada jika prosedur berkenaan dilaksanakan. Demi mahukan yang terbaik, ayah menurunkan tandatangan pada surat kebenaran. Ayah dan ibu tidak sanggup melihat keadaan Amir Yusuf yang berperang dengan nafasnya sendiri. Selebihnya, ayah dan ibu hanya berserah kepada-Nya. Di jiwa ini, tidak pernah lagi kehilangan harapan. Semua ini adalah salah satu laluan yang memberikan kekuatan kepada Amir Yusuf. Juga kepada ayah dan ibu.

Sementara menanti, ayah dan ibu menemani Amir Yusuf di sisi katil. Ayat-ayat suci dibacakan. Melihatkan Amir Yusuf di dalam keadaan begini membuatkan hati rasa tersentuh. Seakan mengingatkan kembali detik-detik Amir Yusuf pulang dari bilik pembedahan. Tangan kanannya dibalut dan dimasukkan dengan sedatif morfin dan medazolam.

Ibu memanggil perlahan sambil membelai rambut Amir Yusuf yang halus.

Amir, Amir Yusuf sayang…”

Tanpa diduga, Amir Yusuf bertindakbalas meskipun matanya terpejam rapat dan tidak mampu dibuka. Tangan kanannya bergerak-gerak memberi reaksi. Menyentuh jari-jemari ibu. Seolah mahu berkata, ‘usahlah risau, ayah dan ibu’.

Tiba-tiba saja, bibir kecil itu memberikan sebutir senyuman. Terus menyentuh sanubari ayah dan ibu yang kerinduan. Ayah mencium dahi Amir Yusuf. Ada bau yang begitu harum. Bau Amir Yusuf.

Jam dua belas, barulah Amir Yusuf dibawa keluar ke bilik rawatan. Selama dua jam lebih, ayah dan ibu menanti. Mujur ada ruangan solat yang disediakan di hospital ini. Dapatlah ayah dan ibu menghabiskan masa di situ.

Akhirnya, pada jam 2.45 petang, Amir Yusuf kembali ke wad PICU. Keadaannya sama seperti sebelum ini. Cuma ada satu saluran tiub yang dimasukkan di antara betis dan abdomen badan. Terasa ngilu pula melihatkan keadaan Amir Yusuf sebegitu rupa.

Seorang doktor bertugas datang kepada kami memaklumkan status prosedur yang telah dijalankan. Dari apa yang ayah fahami, tiada sebarang masalah dari jantung Amir Yusuf. Kemungkinan masalah yang dialami Amir Yusuf berpunca dari salur penafasan atau paru-parunya pula. Maka, satu prosedur lain bakal menyusul bagi mengenalpasti masalah berkenaan.

Sukar sekali untuk menterjemah segala apa yang dirasa oleh ayah dan ibu. Apa yang pasti, pihak doktor mencuba yang terbaik untuk Amir Yusuf. Sudah tentu Amir Yusuf adalah anak yang istimewa kerana memberikan cabaran kepada mereka merungkai satu demi satu masalah yang dihadapinya. Pada ayah dan ibu, ia adalah medan yang menguji kesabaran dan ketabahan jiwa.

Senafas demi senafas, Amir Yusuf menghela oksigen yang diberikan. Dan setiap nafas yang dihela penuh dengan harapan dan doa yang tiada hentinya. Amir Yusuf, teruslah bertahan sayang. Kami selalu ada. Bersamamu sentiasa.

02-12-08

Naluri Ibu

Posted in amir yusuf, rasa by fajaril

Semenjak Amir Yusuf menjalani pembedahan jantung, dia ditempatkan di Paediatric ICU (PICU) dan seterusnya ke High Dependency Unit (HDU). Sepanjang tempoh itu, segala rasa terhimpun menjadi harapan yang tiada penghujung.

Berkali juga Amir Yusuf terpaksa dipindahkan semula ke PICU kerana wad HDU ditutup seketika kerana ketiadaan pesakit, melainkan Amir Yusuf seorang. Saat itu, barulah ayah dan ibu menyedari bahawa pesakit di HDU sering bertukar ganti. Samada sudah dibenarkan pulang atau ditempatkan ke wad yang lain. Hanya Amir Yusuf yang masih terus berada di dalam jagaan di wad ini berikutan keadaannya yang masih belum begitu stabil sepenuhnya.

Bilik menunggu di wad ini adalah lebih baik dan besar. Bahkan lengkap dengan tv serta bilik air sekaligus. Memudahkan ibu bapa yang berkunjung. Walau bagaimanapun, wad ini agak ketat kawalannya. Hinggakan Najla tidak dapat masuk dan menghabiskan masa bermain bersama Amir Yusuf. Namun, ada ketikanya ayah dan ibu terpaksa merayu kepada jururawat yang bertugas untuk membenarkan kami menemukan Najla dan Amir Yusuf. Ayah dan ibu tahu betapa sayang dan rindunya Najla kepada adiknya itu. Setiap malam tidak pernah lupa mendoakan agar Amir Yusuf sembuh. Biarpun dalam masa yang sama, Najla berada dalam keadaan yang kurang sihat.

Kedinginan hari Isnin telah menutupkan hampir seluruh muka bumi di Glasgow dengan butiran ais. Laluan jalan kaki menjadi licin dan basah. Sebaik solat Asar lebih kurang pada jam 1.30 petang, naluri ibu seakan terpanggil untuk datang ke hospital lebih awal. Usai menyempurnakan solat, ibu berjalan bersendirian menuju ke hospital.

Benarlah kata orang, ikatan di antara ibu dan anak begitu kuat. Jika ada yang tidak kena, naluri seorang ibu pasti bergetar. Begitulah yang dirasakan oleh ibu terhadap Amir Yusuf.

Rupanya hari ini keadaan Amir Yusuf tidak begitu stabil seperti sebelum ini. Oksigen terpaksa diberikan melalui mesin oksigen NCPAP. Oleh itu, topeng oksigen akan menutup hidung Amir Yusuf. Pipi Amir Yusuf berbekas dengan kesan luka akibat jerutan tali topeng oksigen yang terpasang sebelum ini. Sistem di monitor berbunyi berkali-kali kerana paras pernafasan berada di tahap yang rendah.

Ibu berusaha untuk memberikan keselesaan kepada Amir Yusuf. Ada ketika ditepuk, dibelai, diangkat dan didukung. Namun semua itu tidak memberikan ketenangan yang dimahukan oleh Amir Yusuf. Hanya tangisan yang mampu dizahirkan hingga doktor terpaksa memberikan dos ubat agar dapat menenangkan Amir Yusuf.

Hati ayah begitu berat apabila mengetahui perkhabaran tentang Amir Yusuf. Tiba di hospital, hati ayah begitu terusik melihatkan diri Amir Yusuf yang di dalam lena. Bibirnya kering dan mengelupas. Namun bibir itu bergerak-gerak bagaikan menghisap sesuatu sedangkan tiada apa yang diberikan melalui mulutnya.

Keadaan Amir Yusuf tidak membenarkan dia menelan susu secara terus dari mulut. Bahkan puting juga turut tidak boleh diberikan. Kali ini susu hanya diberikan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Susu itu akan disedut melalui picagari dan dimasukkan ke dalam saluran tiub yang merentangi dari rongga hidung terus ke dalam perut. Sudah pasti tekak Amir Yusuf tidak dibasahi dengan susu. Lidah itu pasti ternanti-nanti dan merindukan rasa susu yang pernah dikecapi suatu ketika dulu. Biarpun hanya untuk seketika sewaktu berada di dalam dakapan ibu.

Perlahan-lahan ibu membersihkan mata Amir Yusuf. Dan ternyata perkara itu membuatkan lena Amir Yusuf sedikit terganggu. Selepas itu, ibu membersihkan bibir Amir Yusuf yang kekeringan dengan menggunakan kapas basah. Mata Amir Yusuf tetap terpejam rapat biarpun tangannya bergerak memberikan tindakbalas.

Di sisi katil, ayah membacakan Surah Yaasin seperti hari-hari yang sebelumnya. Moga Amir Yusuf akan tenang dan dijauhkan dari merasa kesakitan. Seringkali juga bacaan ayah terhenti apabila Amir Yusuf bergerak-gerak atau bacaan amaran di monitor berbunyi.

Sesungguhnya, di tangan ini tiada sebarang kuasa untuk meringankan apa yang ditanggung oleh Amir Yusuf. Namun ayah ibu tetap percaya dan yakin bahawa Amir Yusuf begitu kuat melalui semua ini. Bahkan rahmat Allah selalu ada buat insan yang begitu suci sepertinya.

Malam semakin larut. Ayah dan ibu harus beredar pulang ke rumah. Ibu memeluk Amir Yusuf sambil membisikkan kalimah suci dan rasa sayang. Ayah mencium dahi Amir Yusuf yang terdedah. Bukan mudah untuk meninggalkan Amir Yusuf dalam keadaan begini.

Ketika kaki ayah dan ibu mula beredar, mata Amir Yusuf bergerak dan terbuka sedikit. Seolah-olah bagaikan tahu ayah dan ibu mahu beransur meninggalkannya. Betapa sayu dan berat hati ini dibuatnya.

Nantikan ayah dan ibu datang esok hari ya sayang.

01-12-08

Beku

Posted in peristiwa by fajaril

Menurut laporan ramalan cuaca, suhu di Glasgow di bawah angka sifar. Semalam, awal pagi dikejutkan dengan butir-butir salji berguguran di sekitar kawasan rumah. Warna putih bertebaran di sekitar ruangan yang terbuka. Kesejukan dan kebekuan yang melanda membuatkan kami lebih selesa duduk di dalam rumah sahaja.

Tahun ini, salji turun lebih awal di Glasgow berbanding tahun lepas. Keadaan lebih berkabus. Cahaya matahari tidak begitu menembus di celahan awan yang tebal. Patutlah mereka selalu berkata, cuaca di sini gray and gloomy.

Jika diikutkan, memang begitu malas untuk keluar rumah di hari minggu. Apatah lagi lebih selesa berada di dalam rumah. Namun, kesejukan dan kebekuan itu tetap diredahi untuk menjenguk Amir Yusuf di hospital. Aduhai, rindu sekali melihat wajah anakanda!

Dan awal pagi ini, kaki melangkah keluar rumah dengan keadaan sekeliling masih kekal sejuk dan beku.

Teman, dapatkah kau rasakan kedinginan di sini? Kebekuannya menumpukan deria rasa.

Bad Behavior has blocked 42 access attempts in the last 7 days.