31-01-09

*
Waktu itu. Beberapa minggu sebelum tahun baru. Ketika wad PICU terhias dengan pohon krismas.
*
Satu khabar. Satu berita. Tentang pilihan. Tentang kebarangkalian. Dapatkah dibayangkan dan dirasakan bagaimana hati ayah dan ibu menerima semua itu? Bagaimanakah harus dipertahankan segala kekuatan dan ketabahan mengenangkan segala kemungkinan itu? Setiap butir bicara yang diberikan oleh Dr Howard dan Dr Knight kami dengar dengan teliti. Namun, seakan kelu lidah dan minda. Bagaikan ini satu mimpi. Satu cerita.
Sungguh, manusia itu cukup terbatas keupayaannya. Meskipun dikelilingi dengan doktor pakar dan teknologi canggih, ianya belum menentukan segalanya. Apabila sudah tiba pada garisan di luar kemampuan, maka mereka menjelaskan situasi yang sebenar-benarnya. Tanpa prejudis. Tanpa berselindung lagi.
Bagaimana harus ayah dan ibu memilih seandainya pilihan yang diberikan adalah hidup dan mati? Meneruskan mesin ventilator bakal mengundang pelbagai lagi risiko. Dalam masa yang sama, Amir Yusuf harus berdepan dengan komplikasi yang sedia ada. Memberhentikan mesin ventilator bermakna menghentikan segala pernafasan yang ada. Atau dalam kata lain, menamatkan hayat insan yang bernama Amir Yusuf.
Hati manakah yang tidak terguris mendengar berita ini? Jiwa mana yang tidak keruan apabila cebis-cebis harapan cuba dibawa lari?
Gugur air mata ini sewaktu menerima khabar itu. Menangis hati ayah dan ibu. Berminggu lamanya kami cuba menimbang dan mencari jawapan di antara kedua pilihan itu. Berkali juga pertemuan diadakan bagi menjelaskan kembali sebarang persoalan dan justifikasi untuk setiap pilihan.
Seandainya persoalan itu diutarakan pada seribu orang, atau pun pakar sekalipun, mereka belum dapat memberikan jawapan yang pasti. Keputusan yang begitu sukar untuk ayah dan ibu sepanjang hidup bergelar manusia di muka bumi ini.
Ini keputusan yang melibatkan nyawa dan juga masa depan anakanda kami yang disayangi. Ini adalah amanah buat kami. Bagaimana harus kami melepaskannya sebegitu mudah?
Setiap malam, ayah dan ibu memohon petunjuk dari-Nya. Mencari kekuatan dari sisi-Nya. Segala keresahan, kegusaran dan kepiluan diadukan kepada-Nya. Pernah juga, usai solat, ayah merintih keseorangan di tikar sejadah. Linangan air mata yang berguguran membasahi pipi dan sejadah. Ibu pula sering saja mendiamkan diri. Melayan perasaan yang sudah terbang jauh ke mana. Menghimpun doa yang tiada berkesudahan. Tidur malam yang tidak lena. Makan sekadar mengalas perut yang kosong. Fikiran terawangan pada persoalan yang diberikan.
Apabila dikhabarkan pada keluarga di kampung, sudah tentu disambut dengan air mata. Maka bertangisanlah kami di antara dua benua. Bercerita tentang nasib dan dugaan. Memujuk di dalam sendu. Mengadu tentang sebak yang sudah lama terpendam.

Demikian berminggu lamanya kami menyimpan cerita dan rasa. Akhirnya, Allah memberikan jalan buat kami. Diberikan petunjuk buat kami untuk menempuhi dugaan ini dan menyempurnakan jawapan kepada hati yang selama ini berbelah bahagi.
Dengan hati yang redha dan nekad, ayah dan ibu tetap mahukan Amir Yusuf terus bertahan. Bukanlah kuasa di tangan manusia untuk menentukan ajal maut seseorang. Seandainya hayat itu tidak panjang, sudah pasti itu adalah kehendak-Nya. Namun, Amir Yusuf adalah seorang pejuang yang tiada mengenal erti gentar. Melihat keadaannya sudah cukup membuktikan kepada ayah dan ibu, bahawa manusia itu terlalu kerdil dan tiada upaya jika dibandingkan dengan kebesaran dan kekuasaan-Nya.
Jalan ini telah dipilih. Laluan yang telah diberikan oleh-Nya. Yang jarang sekali diterima oleh semua manusia.
Setelah keputusan dibuat, maka doktor sudah mula merancang untuk tindakan yang selanjutnya. Pembedahan yang dijalankan semalam bukanlah untuk memperbaiki segala komplikasi yang ada pada sistem pernafasan Amir Yusuf. Tetapi, ia bertujuan untuk memberi bantuan dan sokongan sementara kepada Amir Yusuf. Lubang ditebuk di antara leher dan dada Amir Yusuf untuk menyalurkan tiub ventilator terus ke dada bagi menggantikan laluan terus ke hidung. Dengan tiub itulah, oksigen akan dipamkan senada dengan denyutan jantung Amir Yusuf.
Apa yang tidak dapat dipastikan adalah selama mana Amir Yusuf harus bergantung dengannya. Bukan seminggu dua. Tapi berbulan-bulan dan barangkali bertahun. Ini juga bukan jaminan bahawa Amir Yusuf akan pulih dengan sempurna seperti kanak-kanak yang lain. Demikianlah yang dimaklumkan kepada kami. Ayah dan ibu akur dengan semua ini. Sebagai manusia, kita sekadar mampu berusaha sedaya yang mungkin. Selebihnya, hanya kepada-Nya diserahkan.


Mengharapkan pada mesin ventilator bagi menyempurnakan setiap nafas bukanlah semudah yang disangka. Banyak perkara yang harus diambil kira, terutamanya kebersihan dan kawalan dari jangkitan kuman. Pergerakan Amir Yusuf juga terbatas.
Setiap masa, jururawat bertugas akan menyedut mukus dan air yang berkumpul di sekitar hidung, mulut dan di dalam rongga tekak. Tiub yang disambung dengan vakum akan menyedut mukus. Dijolok-jolok ke dalam salur tiub. Dalam masa yang sama, Amir Yusuf akan meronta dan menangis. Berlinangan air matanya. Terbuka luas mulutnya menahan sakit. Namun, tiada suara yang kedengaran. Hanya gerakan tubuh badannya yang mampu menzahirkan apa yang dirasa. Betapa ibu berusaha memujuk Amir Yusuf agar kuat dan bertahan.
*
Dan kelmarin. Hari dijadualkan untuk Amir Yusuf dibawa ke bilik pembedahan untuk sekali lagi.
*
Beberapa jam sebelum pembedahan, Amir Yusuf meronta menangis. Lalu dipujuk-pujuk dan dibelai ibu. Tidak lama kemudian, kumpulan doktor dari bilik pembedahan datang untuk membawa Amir Yusuf pergi. Sayu rasanya melepaskan Amir Yusuf kerana matanya hanya memandang ke arah ayah dan ibu. Sewaktu katilnya diusung keluar, kepala Amir Yusuf berusaha menetapkan pandangannya kepada ayah dan ibu. Seolah-olah bagai mahu membicarakan sesuatu.
“Tunggu Amir, ayah ibu. Tunggu!”
Dan pandangan itu terus terakam rapi di ingatan ini.
Pembedahan kali ini tidak mengambil masa yang lama. Pada sela masa itu, ayah dan ibu menghabiskan masa di kafe dan bilik rehat hospital. Sambil menanti di kerusi, ayah dan ibu disapa dengan jururawat yang pernah merawat Amir Yusuf dari wad yang terdahulu. Sungguh, dia agak terkejut kerana Amir Yusuf masih berada di hospital dan masih melalui pelbagai rawatan susulan.
Tidak lama itu, seorang jururawat lain menegur kami bahawa Amir Yusuf sudah pun kembali dari bilik pembedahan. Dengan hati yang berdebar, ayah dan ibu melangkah masuk ke wad PICU semula.
Tiada kata yang mampu menggambarkan segalanya. Di atas katil, terlantar Amir Yusuf dengan tiub ventilator yang dilekapkan di lehernya. Tiada lagi tiub yang dan getah yang menutup lubang hidungnya, kecuali dua tiub kecil untuk menyalurkan susu. Jelas kelihatan kesan bekas tiub di rongga hidungnya. Merah. Sekitar hidungnya ada luka-luka. Namun, satu perubahan yang ketara adalah ayah dan ibu mampu melihat muka Amir Yusuf seluruhnya. Tiada lagi topeng yang menutupi sebahagian muka. Kesan luka yang ada tidak sesekali menjejaskan betapa indahnya Amir Yusuf di mata kami.
Cuma, ayah dan ibu harus membiasakan melihat peralatan baru di antara leher dan dada Amir Yusuf. Begitu juga Amir Yusuf yang mengalaminya sendiri. Dapat ayah rasakan betapa ngilu, pedih dan asingnya peralatan itu di dadamu, sayang. Entah apa yang Amir Yusuf rasakan pada saat ini.
Tiba-tiba saja, Amir Yusuf sudah terjaga. Kesan sedatif seakan hilang dengan cepat dari proses pembedahan tadi. Mata Amir Yusuf memandang kami. Seakan terkejut dengan sensasi yang baru.
Amir Yusuf menangis lagi. Tanpa suara. Mukanya merah. Keningnya berkerut. Matanya terpejam rapat.
Hati ini seperti ditusuk perlahan. Melihat Amir Yusuf menangis sebegini bukanlah satu perkara yang mudah buat ayah dan ibu. Amir Yusuf jarang menangis tanpa sebab. Dan kali ini, ayah dan ibu mengerti Amir Yusuf menangis kerana menahan kesakitan. Pedih dan peritnya, hanya Amir Yusuf saja yang tahu.
“Amir, jangan menangis sayang. Sabar sayang.”
Pujuk ayah berkali-kali. Lemahnya ayah kerana tidak mampu membawa kesakitan Amir Yusuf berlalu pergi. Tidak terdaya rasanya melihat Amir Yusuf menanggung kesakitan sebegini. Betapa ayah cuba bertahan agar air mata ini tidak gugur untuk ke sekian kalinya.
“Amir Yusuf sayang. Sudahlah sayang. Ayah ibu ada ni sayang. Jangan menangis sayang. Amir Yusuf kuatkan sayang? Sabarlah sayang.”
Suara ibu membisikkan ke telinga Amir Yusuf. Memujuk bersama kalimah suci. Moga ketenangan singgah segera ke jiwa dan tubuh Amir Yusuf.
Akhirnya, dos morfin ditambahkan kepada Amir Yusuf. Dengan perlahan, Amir Yusuf terlena semula dalam tangisan yang kembali reda.

Pembedahan ini bukanlah penamatnya. Ia adalah satu permulaan baru untuk Amir Yusuf menempuhi kehidupan yang lebih mencabar. Melalui kemungkinan dan kebarangkalian yang tidak mampu diketahui oleh sesiapa pun. Bahkan, ianya bukan semata-mata untuk Amir Yusuf sahaja. Ini adalah satu episod baru untuk ayah, ibu dan Najla. Juga buat insan sekeliling Amir Yusuf yang tidak pernah jemu menabur rasa sayang, doa dan harapan.
Dengan kuasa cinta, kita akan menempuh segala. Kita himpunkan doa dan harapan yang tiada berpenghujung. Demi nafas ini, selagi masih lagi dipinjamkan buat kita.
29-01-09
Seringkali ayah cuba menceritakan khabar yang gembira dan bahagia semata. Buat Tok dan keluarga di kampung. Buat teman dan saudara. Juga buat mereka yang selalu ingin mengambil tahu tentang Amir Yusuf. Dengan khabar gembira itu, mudah-mudahan harapan yang ada akan terus bercahaya. Menerangi pada hari-hari yang mendatang.
Namun, hakikatnya impian itu tidak seindah realiti. Menjelaskan setiap rinci kisah kepedihan menjadi begitu berat sekali. Seolah-olah bagai mahu mengheret duka ke setiap ruang. Sebolehnya setiap rasa duka itu dicalit dengan gembira. Atau satu harapan yang tidak pernah putus.
Pulangnya Amir Yusuf dari bilik radiologi dengan keadaan yang baru. Analisis imej yang ditangkap belum diketahui dengan lengkap. Namun menurut kata Dr Howard, seperti yang telah dia jangkakan. Tiada yang luar biasa. Tetapi keadaan itu menjadikan Amir Yusuf agak lemah. Perkembangan tubuh badan dan otak Amir Yusuf agak perlahan kerana bergantung pada mesin ventilator hampir pada setiap masa.
Seperti yang telah dimaklumkan kepada ayah dan ibu, kebergantungan kepada mesin pada jangka masa yang lama adalah tidak begitu baik. Banyak kesan dan risiko yang akan dihadapi olehnya. Proses perkembangan tubuh badan akan terganggu. Namun apalah pilihan yang kami ada?
Kali ini, kepala Amir Yusuf seakan berbungkus dan dililitkan dengan kain pembalut. Span kecil turut diselitkan bersama besi kecil dipasang agar dapat memastikan salur tiub oksigen dari mesin ventilator berada pada kedudukan yang tetap. Jika tidak, hampir setiap hari Doktor terpaksa menggantikan semula pelekat pada tiub Amir Yusuf. Merah sudah kulitnya. Ada kesan luka di sekitar muka.

Melihatkan Amir Yusuf di dalam keadaan begini benar-benar menguji keteguhan hati ayah dan ibu. Kesan sedatif masih kuat hinggakan Amir Yusuf di dalam tidur. Matanya terbuka sedikit. Bergenang air mata di sekitar pelupuk matanya hingga ayah dan ibu terpaksa mengelapnya berulangkali. Namun air mata itu terus mengalir membasahi lurah matanya. Begitu juga air yang keluar dari mulut dan hidungnya. Hingga basah leher Amir Yusuf.
Ayah dan ibu tidak dapat menunggu lama pada malam itu. Wad PICU begitu sibuk dan bakal menguruskan pesakit baru yang kritikal. Kami sudah diisyaratkan untuk keluar dari wad. Dengan hati yang berat, ayah dan ibu meninggalkan Amir Yusuf yang di dalam keadaan lena bersama air matanya.
p/s: Jam 10.50 pagi, Amir Yusuf telah pun dibawa ke bilik pembedahan. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan yang bakal berlangsung. Amin Ya Rabbal Alamin.
28-01-09

Hari ini, Amir Yusuf akan dibawa masuk menjalani imbasan MRI, yang mana ia akan menghasilkan imej yang lebih baik berbanding dengan CT-scan atau pun x-ray. Ini merupakan kali kedua Amir Yusuf melaluinya. Kali pertama dulu, beberapa bulan yang lalu sebelum Amir Yusuf menjalani pembedahan yang pertama. Dr Howard turut bersama mengiringi Amir Yusuf ke bilik berkenaan.
Setelah berkali tertangguh, akhirnya dapat juga melalui prosedur ini. Berkali jugalah Amir Yusuf terpaksa dihentikan daripada diberikan susu. Bukan mudah untuk ditempatkan untuk menjalani MRI, melainkan jika ianya benar-benar perlu.
Mudah-mudahan, hasil imbasan itu memberi jawapan yang positif serta membawa khabar gembira.
Mudah-mudahan!
Kredit foto:
© Pete Saloutos/Corbis
© Owen Franken/Corbis
[+]
p/s: Terima kasih kepada rakan-rakan dan pembaca budiman atas doa dan kata-kata semangat!
26-01-09

Jumaat yang lalu, lengkaplah tempoh Amir Yusuf berada di wad Paediatric ICU (PICU) dan High Dependency Unit (HDU) selama 100 hari. Itu tidak termasuk hari-hari yang dilaluinya sebelum itu di wad Neonatal ICU dan wad 2B. Perpindahan Amir Yusuf ke wad ini adalah sewaktu Amir Yusuf melalui pembedahan keduanya yang disebabkan oleh komplikasi kepada jantungnya. Hari itu amat diingati memandangkan ianya jatuh pada hari lahir ibu. Dan pada hari istimewa itulah ayah dan ibu ternanti di dalam debaran dan kepenatan.
Tersentuh naluri ini apabila mengenangkan kembali detik Amir Yusuf dibawa ke bilik bedah. Seribu rasa dan kegusaran bertandang. Pelbagai bayangan menerpa di segenap penjuru jiwa. Saat itu, hanya kepada-Nya saja dihamparkan segala harapan dan doa yang tiada berkesudahan. Bukan mudah rupanya mengucapkan kata sabar jika dibandingkan dengan melalui sendiri suasana sebegitu.
Masih jelas di ingatan ini, apabila Amir Yusuf dibawa masuk ke wad PICU. Segala wayar dan tiub menyelubungi tubuh kecilnya. Debaran jantung semakin laju apabila melihatkan keadaan Amir Yusuf buat pertama kalinya. Sayu dan sebak rasanya melihatkan dirinya yang terkulai kerana sedatif ubat dan morfin. Mata yang tertutup rapi, tangan yang terkulai dibaluti dengan tiub, dada yang ditutupi dengan kesan jahitan pembedahan dan kaki yang dililiti wayar. Hampir setiap inci tubuhnya diusik. Ayah pasrah, bagaikan tertewas kerana tidak mampu menghilangkan kesakitan yang dirasai oleh Amir Yusuf. Sungguh, melihatkan keadaan Amir Yusuf sebegitu bukanlah satu perkara yang mudah buat ayah dan ibu. Betapa dapat ayah dan ibu merasakan setiap kepedihan yang ditanggung oleh Amir Yusuf. Tiada kemampuan yang dapat mengalihkan segala kesakitan itu dari Amir Yusuf.
Terharu sekali ayah melihat kekuatan Amir Yusuf. Bertahan dan terus bertahan. Anak ayah dan ibu sungguh istimewa. Membawa kekuatan di dalam cara yang tersendiri. Seolah memohon ayah dan ibu agar turut sama kuat untuk melalui semua ini. Namun maafkan ayah dan ibu sayang, kadangkala kami tewas di dalam emosi. Terharu melihat apa yang ditanggung olehmu.
Menantikan Amir Yusuf sedar adalah satu tempoh yang cukup menyeksakan. Tidak dapat kami dengar suaranya. Tiada lirikan matanya yang begitu tulus. Tiada gerakan mulut yang begitu sekali kami rindukan. Mesin ventilator membantu menyalurkan sumber oksigen kepada Amir Yusuf. Sebaik saja Amir Yusuf tersedar, mesin ventilator itu dihentikan berganti dengan tiub oksigen yang diletakkan di hidungnya. Segala rasa gembira itu tercurah sebaik saja Amir Yusuf memberikan reaksi positif sehingga dipindahkan ke wad HDU. Alangkah bahagia rasanya dapat mencurah kasih sayang bersama.
Hanya Dia sahaja yang mengetahui atas segala yang telah diaturkan oleh-Nya. Setelah beberapa lama di HDU, ayah berharap agar Amir Yusuf dapat pulang segera. Namun begitu, tiba-tiba saja pernafasan Amir Yusuf tidak begitu stabil hingga memaksa pihak doktor memindahkan semula Amir Yusuf ke wad PICU. Dan akhirnya, mesin ventilator kembali menemani Amir Yusuf. Tiada kata yang mampu diungkap, betapa sedih dan pilunya melihatkan keadaan Amir Yusuf sebegitu. Segala pergerakan menjadi terbatas. Begitu juga dengan keupayaan Amir Yusuf sendiri.

Selama tempoh 100 hari ini jugalah, satu demi satu berita yang begitu menguji segala kekuatan ayah dan ibu. Tanpa diduga, Amir Yusuf berhadapan dengan masalah pernafasan pula. Dalam masa yang sama, ada sesuatu yang mengusarkan doktor berhubung dengan perkembangan neurologinya. Bagaimana harus ayah dan ibu mendengar berita yang baru sebegitu? Berdepan dengan kebarangkalian yang begitu menakutkan. Memilih di antara pilihan yang begitu berat. Seakan kosongnya rasa hati. Bagaikan hilang segala warna yang pernah wujud di dalamnya. Segera ayah dan ibu mencari kekuatan kerana Amir Yusuf dan Najla yang begitu memerlukan kami pada waktu getir sebegini.
Amir Yusuf dijadualkan akan melalui pembedahan yang seterusnya tidak lama lagi. Kali ini, melibatkan salur pernafasannya pula. Memang terasa berat sekali untuk menghadapinya. Namun, itu sajalah jalan yang ada buat masa ini. Sudah tentu, ayah dan ibu mengharapkan yang terbaik.
Kini, kita akan melalui lagi pelbagai kemungkinan. Siapalah kita untuk menduga dan mengetahui apa yang ada pada hari esok. Hanya doa dan harapan yang tiada henti. Bermohon dan berserah kepada-Nya. Jika ini, membuatkan kita tidak jauh dari-Nya, maka kita laluilah semua ini dengan penuh kesabaran. Dengan kekuatan. Dan ketabahan yang tiada penghujungnya.
Biarlah beratus hari lagi, ayah dan ibu akan setia menemanimu, sayang. Dan selama itu jugalah, akan kita mohonkan agar dibukakan pintu kebahagiaan dan syurga buat kita.
22-01-09
Semalam, sekali lagi Amir Yusuf dibawa ke bilik pembedahan. Pihak doktor mahu memeriksa salur pernafasan Amir Yusuf yang dikatakan bermasalah.
Pulang dari bilik pembedahan, Amir Yusuf berada di dalam keadaan sedatif. Terkulai di atas katil dipenuhi dengan segala tiub dan wayar seperti biasa.
Ada darah yang mengalir dari hidung Amir Yusuf. Barangkali kesan luka dari tiub yang dimasukkan melalui salur pernafasannya. Darah terus mengalir membasahi pipi dan pelekat di sekitar hidung. Ibu terus berusaha membersihkan setiap titis darah yang mengalir.
Kesan sedatif semakin hilang. Amir Yusuf terjaga. Keadaannya bagaikan meronta. Kepalanya bergerak ke kanan dan kiri. Darah terus mengalir. Semakin sukar untuk berhenti.
“Amir, jangan bergerak sayang. Amir, be strong sayang!”
“Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar”
Bisik ayah, berulangkali. Bagai mahu memujuk. Bagai mahu membawa segala kesakitan dan kepedihan itu pergi.
Dan tanpa jemu, ibu membelai dan mengusap kepala Amir Yusuf. Dalam ketidakselesaan itu, akhirnya Amir Yusuf tertidur.
Di dalam hati ini, terwujud satu rasa yang tidak diketahui apakah ia. Adakah duka?
Saat ini, yang ada hanyalah harapan. Harapan.