Archive for
February, 2009
27-02-09
Hari ini, genap sudah lapan bulan Amir Yusuf berada di hospital. Ditemani dengan wayar dan tiub. Mesin dan ubat. Doktor dan jururawat. Dan selama lapan bulan itulah, tidak pernah sehari pun ayah dan ibu terlepas berkunjung ke hospital. Hujan, panas, ribut, dingin salji mahupun kepenatan tidak menghalang kesetiaan ayah dan ibu melepas rindu buat Amir Yusuf.
Pernah juga terlintas di hati ini, adakah staf di hospital bosan dengan kami atau Amir Yusuf? Sukar sekali membayangkan. Hanya doa dipohonkan agar mereka mempunyai belas dan kasih buat Amir Yusuf. Biarpun ada di kalangan mereka seakan berputus harap dengan masa depan Amir Yusuf. Moga Allah memberi petunjuk dan jalan kepada para doktor bagi memberikan rawatan yang seterusnya buat Amir Yusuf.
Semalam, Amir Yusuf menyambut kedatangan ayah dan ibu dalam tidur yang tidak sempurna. Mata yang terpejam tapi badan yang sentiasa bergerak. Masakan tidak, Amir Yusuf tidak begitu selesa.
Suhu badan yang agak tinggi. Jururawat bernama Valerie sudah pun memberikan ibuprofen dan paracetamol bagi menurunkan paras suhu badan Amir Yusuf. Tidak cukup dengan itu, pek ais turut diletakkan di atas perut Amir Yusuf. Sejuk jika disentuh. Dan sesekali Amir Yusuf akan bergerak menolak pek ais tersebut.
Bacaan kadar denyutan jantung sekitar 165. Agak tinggi. Manakala bacaan tahap ketepuan oksigen sekitar 78. Rendah daripada paras biasa. Dada Amir Yusuf berombak laju. Terdengar bunyi nafasnya. Dia seperti tersedu-sedu. Atau barangkali tercungap-cungap. Ayah lihat wajah Amir Yusuf begitu suram. Terus membawa mendung ke dalam jiwa ayah dan ibu.
Perut Amir Yusuf agak bengkak dan keras. Ayah mengerti, sistem perkumuhan Amir Yusuf sama terganggu. Masalah hati dan limpa masih belum disentuh oleh pihak doktor memandangkan masalah pernafasan Amir Yusuf adalah lebih utama buat masa ini.
Tatkala melihat Amir Yusuf meronta, ibu tidak dapat menahankan rasa. Hanya air mata menzahirkan betapa kasihan melihatkan Amir Yusuf dalam keadaan sebegitu.
Di sisi Amir Yusuf, ayah dan ibu membacakan ayat-ayat suci Al Quran. Alunan merdu bacaan dari Mishary Rashed yang dimainkan melalui pemain mp3 turut menemani Amir Yusuf. Moga ia mampu menenangkan kegelisahan serta membawa pergi kesakitan yang ditanggung Amir Yusuf.
Sewaktu proses suction berlangsung, ayah dan ibu dapat melihat Amir Yusuf menahan kesakitan seperti selalu. Namun kali ini, pada tiub yang menyedut lendiran mukus itu bercampur dengan warna merah. Ada darah. Aduhai, Amir Yusuf sayang. Apalah yang mampu ayah dan ibu lakukan? Kami begitu tidak berupaya.
Dr Howard menghampiri kami. Wajahnya begitu tenang dan redup. Namun tidak dapat menyembunyikan rasa belas kepada ayah dan ibu. Juga buat Amir Yusuf.
“There’s nothing much we can do with him now. Only magic cure could help him. I’m really sorry.”
Butir bicara dari Dr Howard begitu menusuk. Kelu segalanya. Minda bagai tidak berfungsi sebaiknya. Namun hati masih menyimpul harapan. Hanya harapan saja yang masih ada.
Sepanjang waktu ayah dan ibu di hospital, Amir Yusuf tidak terjaga langsung. Mata terbuka untuk seketika. Ibu sempat membersihkan wajah Amir Yusuf. Dan petang itu, suhu sudah mula turun sedikit. Kadar denyutan jantung dan tahap ketepuan oksigen bertambah baik sedikit.
Ayah dan ibu pulang dengan hati yang suram. Sepanjang perjalanan, masing-masing mendiamkan diri. Cuba menelan lagi peristiwa pada hari ini ke dalam diari hidup.
Magic cure. Bagaimana dan di mana ayah dan ibu mahu mendapatkannya? Jika ada, berapakah nilainya?
25-02-09

Ayah duduk hampir di sebelah katil Amir Yusuf. Palang besi berwarna krim diturunkan hingga ke paras tilam. Ayah kemaskan segala wayar dan tiub di tubuh Amir Yusuf. Sempat juga ayah susunkan segala permainan yang berwarna warni di sebelah Amir Yusuf. Sesekali ayah hanya tersenyum melihat lirik mata Amir Yusuf bergerak mengikuti kepala ayah.
Ayah sentuh tangan Amir Yusuf. Lalu ayah angkat dan elus jari jemari Amir Yusuf. Jari yang kecil itu cuba menggenggam jari ayah. Dengan perlahan, ayah mainkan tangan Amir Yusuf. Sambil jari ayah memegang erat, ayah angkat jari jemari Amir Yusuf. Naik dan turun. Berulangkali. Bagaikan mahu memberikan senaman agar tangan Amir Yusuf bergerak. Sekian lama Amir Yusuf berada di atas katil, segala pergerakan adalah terbatas. Tambahan pula, dos sedatif dan antibiotik menjadikan Amir Yusuf sering saja tertidur.
“Hold my hand, Amir. Hold my hand”.
Sebaik saja diangkat, pegangan Amir Yusuf terlerai dari jari ayah.
“Come on, Amir. Come on. You can do it, sayang”.
Amir pegang erat jari ayah. Tetapi tidak lama. Tangan Amir Yusuf jatuh semula.
“Nanti kita cuba lagi ya sayang”, pujuk ayah sambil mengelus jari jemari Amir Yusuf. Dan Amir Yusuf hanya memandang tanpa sebarang reaksi. Sukar sekali ayah menebak apa yang sedang difikirkan oleh Amir Yusuf.
Mungkin Amir Yusuf belum bersedia untuk ini. Mungkin juga Amir Yusuf terlalu penat atau lemah buat masa ini. Mungkin juga masih terlalu awal untuk semua ini. Tetapi ayah mahu Amir Yusuf mencuba dan memberi peluang pada setiap sendinya untuk bergerak. Ayah sedar dan faham, ada banyak sebab mengapa Amir Yusuf belum begitu berupaya untuk bergerak aktif. Memegang sesuatu pun agak sukar, apatah lagi untuk menggerakkan tubuh badannya itu.
Sabar sayang, sabar.
Ayah hulurkan permainan yang bagaikan gelang kepada Amir Yusuf. Ada pelbagai tekstur dan warna di sekelilingnya. Juga gelung-gelung kecil. Ayah letakkan pada jari Amir Yusuf. Dengan perlahan, Amir Yusuf menyentuh dan menggenggam gelang berwarna itu tadi. Tetapi hanya untuk seketika. Amir Yusuf melepaskan genggamannya.
Ayah berikan lagi. Ayah cuba sekali lagi. Ayah biarkan gelang itu dekat di telapak tangan Amir Yusuf. Lalu Amir Yusuf cuba menyentuh pada setiap tekstur yang ada pada gelang permainan itu. Tetapi, jarinya terus berlalu dari terus menyentuh. Ayah menghela nafas dengan perlahan.
Kali ini, ayah hulurkan jari ayah di telapak tangan Amir Yusuf. Tanpa disangka, tangan Amir Yusuf menggenggam jari ayah. Alangkah terharu hati ayah melihatkan sentuhan spontan dari Amir Yusuf. Mungkin ianya satu kebetulan. Tetapi sudah cukup bermakna. Mungkin juga Amir Yusuf mengerti yang mana satu sentuhan dari ayah dan ibu.
Paparan monitor di sebelah katil Amir Yusuf berbunyi. Tiba-tiba saja, bacaan di monitor memberikan isyarat amaran. Berbunyi-bunyi berulangkali. Jururawat yang bertugas menghampiri skrin sentuh lalu memberhentikan bunyi amaran berkenaan. Amir Yusuf sudah sedikit gelisah. Sudah tiba masanya untuk menyedut lendiran mukus yang berkumpul di sekitar tiub tracheostomy itu keluar.
Dua orang jururawat sibuk menyiapkan peralatan untuk proses suction berkenaan. Ayah berlalu memberikan ruang kepada mereka. Dengan sarung tangan dan tiub bersambung ke vakum khas, mereka bersedia di kedua belah bahagian sisi katil Amir Yusuf. Seorang jururawat bersedia dengan pengepam oksigen, manakala seorang lagi bersedia untuk memasukkan tiub dan menyedut di lendiran pada tiub tracheostomy di bawah tekak Amir Yusuf. Tiub dari mesin ventilator dicabut, lalu diganti dengan pengepam oksigen. Apabila bacaan pada paparan monitor sudah berubah pada kadar yang sepatutnya, maka oksigen akan dicabut bagi menggantikan tiub untuk menyedut lendiran mukus. Saat lendiran disedut keluar, tubuh Amir Yusuf menangis meronta dan terkejang menahan pedih. Sekali. Dua kali. Tiub suction dicabut semula dan diganti dengan tiub oksigen. Seandainya lendiran agak banyak, proses sedutan berulang kembali. Setelah selesai, barulah tiub dari mesin ventilator disambung kembali pada tiub tracheostomy Amir Yusuf.
Sebaik sahaja Amir Yusuf melalui proses menyedut lendiran di dalam salur pernafasannya, dia akan menangis meminta dipujuk. Selalunya dia akan kepenatan. Mujur juga pada saat begini, ada ayah dan ibu menemani. Buat seketika, Amir Yusuf segera berhenti menangis. Proses suction itu menjadikan Amir Yusuf begitu keletihan hingga terlena. Sekiranya terlalu sakit, maka Amir Yusuf akan meronta hingga jururawat yang bertugas terpaksa memberikan sedatif.
Ayah membelai lembut kepala Amir Yusuf. Mata Amir Yusuf sudah mula terpejam. Mulutnya pula berbunyi berdecip-decip bagaikan menyedut sesuatu. Tiada puting diberikan langsung kepada Amir Yusuf sejak dia berada di wad Neonatal lagi. Amir Yusuf hanya mampu menyedut puting yang tidak wujud dengan lidah dan mulutnya. Begitu asyik.
Dulu, ayah begitu sebak melihatkan keadaan Amir Yusuf begini. Kini, mungkin ayah dan ibu sudah terbiasa dengan keadaan Amir Yusuf sebegitu.
Jauh sekali perjalanan yang telah Amir Yusuf lalui. Betapa luar biasa jika dibandingkan dengan bayi yang lain. Sambil mengusap dan membelai Amir Yusuf, ayah terbayangkan masa depan. Ayah, ibu, Najla dan Amir Yusuf. Sukar sekali untuk membayangkannya.
Dengan perlahan, ayah mengalunkan selawat ke atas Nabi. Suara ayah diselangi dengan segala bunyi mesin di sebelah katil Amir Yusuf. Juga bunyi mesin dan suara di dalam wad PICU.
“Salla Allahu ‘ala Muhammad
Salla Allahu ‘alayhi wasalam
Salla Allahu ‘ala Muhammad
Salla Allahu ‘alayhi wasalam”
Entah mengapa, alunan selawat ini menjadikan hati ayah begitu sebak. Melihatkan Amir Yusuf juga membuatkan ayah bertambah terharu. Sayu menyelubungi suasana. Dan tiba-tiba saja, pandangan ayah menjadi begitu kabur. Lalu ayah mencuba dan bertahan agar air mata ini tidak tertumpah lagi.
24-02-09
Adalah sukar untuk menjangka keadaan Amir Yusuf sejak dua minggu yang sudah. Suhu yang naik turun. Kadangkala kadar jantungnya begitu cepat dari normal. Ada juga waktunya dia tidak tenang dan meronta. Ada waktunya dia begitu tenang lena seolah tiada apa-apa yang berlaku ke atas dirinya.
Dan selama itulah, hati ayah dan ibu sering diterpa kegusaran. Biarpun begitu, hari yang berlalu tetap ditempuhi seperti biasa. Namun, tidak dinafikan pada waktu begini adalah amat sukar menumpukan perhatian di dalam makmal. Baik untuk membaca, menganalisa mahupun membuat simulasi. Fikiran begitu terganggu. Emosi begitu huru hara. Buat sementara, semua itu terpaksa dibiarkan untuk seketika. Apatah lagi segala momentum untuk kerja akademik bagaikan menjunam.
Seakan begitu berat nafas yang dihela. Tiada sebarang kata dapat menzahirkan apa yang dirasakan pada waktu begini. Adakah sabar itu memujuk jiwa? Adakah semua ini akan berlalu? Adakah akan ada cahaya yang menerangi bagi mempermudahkan laluan kecil ini?
Hampir setiap masa dihabiskan di hospital. Ianya bagai rumah kedua. Barangkali semua staf yang bertugas sudah begitu mengenali ayah dan ibu yang datang setiap hari. Adakah ada di antara mereka jemu melihat kami? Setiap minggu ada saja kanak-kanak bersilih ganti di sebelah katil Amir Yusuf. Kami sudah hilang perkiraan berapa banyak teman sewad Amir Yusuf.
Bahkan, ayah dan ibu sudah mengenali jururawat dan doktor yang bertugas di dalam wad PICU itu. Yang mana mesra, baik hati, masam, serius, peramah dan bermacam karektor lagi. Selalu juga tertanya-tanya, siapakah yang bakal menjaga Amir Yusuf pada hari tersebut. Mudah-mudahan bukan dengan jururawat yang kurang menyenangkan.
Setiap hari, tali yang mengikat tiub tracheastomy akan diganti. Selang dua hari, tiub berkenaan yang dimasukkan ke belahan yang terbuka di tekak Amir Yusuf akan diganti. Seperti selalunya, prosedur ini akan membuatkan Amir Yusuf tidak selesa dan menangis. Ya, menangis tanpa suara.
Ayah dan ibu dapat melihat bahagian yang terbelah di bawah tekak Amir Yusuf, yang dikhususkan untuk meletakkan tiub tracheastomy tersebut. Nampak jelas kemerahan. Kadangkala basah dan harus dibersihkan pada setiap masa. Ada waktunya ia menimbulkan bau. Pedih, kasihan, simpati dan segala rasa bersatu. Namun dalam masa yang sama, ayah begitu kagum kerana Amir Yusuf tidak pernah sekali menunjukkan rasa merungut. Benar, Amir Yusuf hanyalah bayi yang begitu kecil. Tapi semangat Amir Yusuf begitu kental. Yang diharapkan hanyalah belaian kasih sayang dari ayah dan ibu serta orang di sekelilingnya agar dapat menenangkan dirinya sewaktu berada di dalam kesakitan.
Tidak lama lagi, Amir Yusuf akan memasuki usia 8 bulan. Lapan bulan di hospital! Adalah tidak adil untuk ayah dan ibu membandingkan Amir Yusuf dengan bayi yang lain. Memang Amir Yusuf tidak mampu bergerak dengan sempurna. Segalanya menjadi agak terbatas dan lambat dari bayi yang normal.
Pernah juga hati ini merasa cemburu melihat bayi lain dibawa pulang. Dipeluk, dibelai, dicium dan dimanja. Hati mana yang tidak terusik. Mereka mampu melakukan apa saja untuk anak mereka.
Bagaimana pula dengan Amir Yusuf? Masih lagi terlantar dan tidak berupaya. Nafas yang bergantung kepada mesin ventilator. Sedatif yang membuatkan dia tenang. Susu yang diberi hanya melalui tiub.
Pahit sekali untuk ditelan. Tetapi itulah yang menjadikan Amir Yusuf istimewa. Terlalu istimewa. Biarlah apa juga keadaannya, kasih sayang yang ada pada ayah dan ibu tidak pernah sekali berubah.
Dan sesungguhnya Amir Yusuf begitu sempurna dan cukup istimewa di mata Tuhan hingga diuji sedemikian rupa.

23-02-09

“Abang stress sebab banyak benda yang abang tak sempat nak catch. Pada masa yang sama, banyak lagi yang abang kena fikir. Betul?
Abang jenis orang yang terlalu dalam sangat memikirkan sesuatu perkara. Maybe saya betul, maybe saya salah.”
[-]
Urusan di rumah. Urusan di universiti. Urusan di hospital. Urusan di jiwa. Dari besar hingga yang kecil. Semua jadi satu.
Diri pasrah menempuh apa yang telah direntangkan. Namun, apabila kepenatan bermukim di seluruh sendi dan minda, ada waktunya semangat itu hilang dan terbang bagaikan angin.
Masih terlalu banyak yang harus disempurnakan. Dan masa terus berlalu. Tanpa peduli. Tanpa simpati. Lalu, semakin menambah kegusaran di hati ini.
20-02-09
* Catatan ini sudah lama ditulis, tetapi tidak diletakkan di dalam ruangan ini. Hanya pada baru ini berkesempatan untuk dinaikkan. Entri ini ditulis sewaktu Amir Yusuf masih lagi berada di wad 2B, iaitu sebelum dia menjalani pembedahan yang kedua.
Suatu hari, kami datang ke hospital seperti biasa untuk menjenguk Amir Yusuf. Di meja sisi bersebelahan dengan katil Amir Yusuf, ada sekeping sampul berwarna biru. Ayah dan ibu terkejut dengan kehadiran surat yang ditujukan kepada Amir Yusuf yang lengkap dengan alamat hospital. Di hujung sampul, terlekat setem wajah Queen Elizabeth.
Berkerut dahi ayah. Siapa pula yang menghantar kad kepada Amir? Setahu ayah, tiada teman atau kenalan yang diberikan alamat hospital ini secara khusus. Tambahan pula, nama Amir Yusuf diletakkan sebagai Amir Zain, merujuk kepada nama datuk Amir Yusuf.
Perlahan-lahan, ayah buka sampul surat berwarna biru itu. Ada sekeping kad yang kecil yang begitu indah dengan lukisan pemandangan di tepi lautan. Calitan warna merah, oren, biru dan coklat bersatu membentuk karya yang luar biasa.
Ayah buka kad berkenaan. Di dalamnya, dikhususkan buat ayah dan ibu.
Alangkah terharu rasa di hati membaca baitan kata-kata yang dituliskan. Seakan mahu gugur pula air mata ini dengan tanda ingatan dari pengirim kad ini yang datangnya dari Oban yang terletak di pantai Barat Scotland. Ia adalah di antara destinasi yang cantik dan menarik di Scotland ini.
Rupa-rupanya, kad ini datangnya dari keluarga Baby Rebecca, bayi yang masuk ke wad hospital pada waktu yang hampir sama dengan Amir Yusuf. Bahkan, Rebecca lahir beberapa hari selepas Amir Yusuf. Bayi itu dan juga keluargnya begitu kami kenali. Kami sering bertegur sapa dengan ayah ibu Rebecca setiap kali bertemu di hospital.
Patutlah sejak kebelakangan ini kami jarang bertemu dengan mereka. Tiga minggu sudah, mereka sudah pulang ke rumah. Rebecca sudah mula merasa bayu laut di kediaman mereka. Walaupun begitu, ayah dan ibu Rebecca tidak pernah melupakan keadaan kami di sini.
Sekeping kad ucapan sebagai tanda ingatan begitu kami hargai. Kasih sayang dan keprihatinan tanpa mengenal batasan. Dan itulah yang paling bererti.
* Dan ya, kami turut tidak lupa pada setiap kad, ucapan dan doa yang dikirimkan khas buat Amir Yusuf. Hanya Dia sahaja yang mampu membalasnya.