Di Sisimu, Selalu!
Bumi Glasgow keputihan dilimpahi dengan butir-butir salji. Biarpun sudah beberapa hari, salji masih lagi melekat pada rumput. Jalan jadi basah dan licin. Suhu masih lagi rendah pada ketika ini.
Kedinginan dan kebekuan begini tidak sekalipun menghalang untuk ayah dan ibu terus setia berkunjung ke hospital saban hari. Kepenatan sudah menjadi sebahagian dari rutin hidup kami buat masa ini. Banyak juga yang telah dikorbankan pada ketika ini. Ada masanya bagai hilang semangat. Namun demi mengenangkan anak-anak, maka ayah dan ibu tetap juga bertahan. Demi kewarasan.
Jalan yang basah ditempuhi bersama kereta putih usang yang penuh dengan kotoran. Namun begitu, kereta ini masih setia berjasa membawa ayah dan ibu ke hospital setiap hari. Mencari ruang untuk ditinggalkan tanpa rasa gundah. Cuma pada musim sejuk begini, agak risau kalau enjinnya tidak mahu hidup. Selalu juga kunci pintu tidak dapat dibuka kerana tersangkut di dalam suhu yang membeku.
Sebaik melangkah ke dalam hospital, kehangatan terus menjalar ke seluruh tubuh badan. Segala kedinginan dan kesejukan hilang serta merta. Keselesaan begini sudah pasti penting kepada penghuninya.
Biarpun kedinginan begitu mencengkam di luar sana, suhu tubuh Amir Yusuf naik dan turun beberapa hari. Mungkin kerana kesan imunisasi yang diberikan kepadanya. Namun tiada perkara yang lebih mengusik jiwa selain melihatkan dirinya menangis.
Memiliki tiub tracheostomy bagi menggantikan tiub di hidung untuk mesin ventilator bukanlah satu perkara yang mudah. Lebih-lebih lagi buat insan yang sekecil Amir Yusuf. Bukan mudah untuk ayah dan ibu melihat apabila jururawat cuba menyedut lendir mukus di dalam saluran pernafasan Amir Yusuf. Sudah pasti, waktu itu Amir Yusuf akan meronta dan terkejang seketika. Ayah hanya sekadar mampu membayangkan bagaimana agaknya jika tiub itu berada di tekak ini. Hanya Tuhan saja yang tahu apa yang Amir Yusuf rasai pada ketika itu.
Berjujuran air mata keluar dari pelupuk mata yang terpejam rapat. Dahi yang berkerut seakan menahan sakit. Mulut terbuka luas menangis. Tanpa suara. Sekali sekala, kedengaran bunyi angin datang dari salur pernafasannya. Aduhai, rindunya ayah dan ibu mahu mendengarkan suaramu, Amir Yusuf. Biarpun sekadar hanya bunyi tangisan sahaja.
Tiub di tekak itu akan sentiasa ditukar mengikut jadual yang ditetapkan. Begitu juga dengan tali yang mengikat tiub berkenaan yang selalu ditukar pada setiap hari. Menukar ganti tiub itu saja memerlukan masa dan tidak dapat dijalankan berseorangan. Ianya harus cepat dan tepat. Seandainya Amir Yusuf tidak tenang selepas menjalani prosedur itu, maka dia akan diberikan sedatif.
Semalam, ayah dan ibu dapat menyaksikan bagaimana tali yang mengikat tiub berkenaan ditukarganti. Memang bukan mudah jika berada di tangan yang tidak terlatih. Apatah lagi dengan keadaan Amir Yusuf yang meronta hingga ibu terpaksa memegang tangan. Dua jururawat cuba bertindak pantas menggantikan tali yang harus diikat pada lubang kecil di tiub tersebut. Sebaik saja selesai, mereka cuba memujuk Amir Yusuf yang masih lagi menangis.
“Sorry, my dear boy. It’s done.”
Terus ayah dan ibu memujuk Amir Yusuf. Dari seminit kepada 10 minit. Ianya berlarutan hingga melewati setengah jam. Muka Amir Yusuf masih menunjukkan reaksi menangis. Puas sudah dipujuk, ditepuk dan dibelai. Segala lagu dinyanyikan. Selawat nabi turut didendangkan. Ayat-ayat suci turut dibacakan bagi menenangkan jiwa dan raga. Namun kesedihan Amir Yusuf tidak kunjung reda. Tersedu-sedu.
“Sudahlah sayang. Janganlah sedih sangat. Ayah ibu ada. Amir Yusuf sayang. Amir Yusuf. Sudahlah sayang.”.
Pujuk ibu. Pujuk ayah. Sambil kaki dan tangan dielus dan dibelai. Sebagai tanda kasih. Ayah dan ibu tahu, kepada siapa lagi Amir Yusuf mahu meminta dan merajuk selain dari yang sudi mencurahkan rasa sayang. Dari ayah dan ibu tentunya. Yang selalu cuba memujuk. Yang selalu cuba menenangkan. Yang selalu cuba menyembunyikan rasa kedukaan.
Ternyata Amir Yusuf begitu mengerti segala rasa sayang dan belaian yang diberikan berbeza dengan layanan dari jururawat mahupun doktor yang bertugas. Oleh kerana itu, setiap kali ayah dan ibu hadir di sisi, Amir Yusuf bagaikan mengetahui kehadiran kami. Seolah-olah bau dan suara kami itu dinantikan setiap waktu. Nalurinya mungkin berkata bahawa jari jemari ayah dan ibulah yang akan mengelus kepalanya, membelai tangan dan kakinya, memeluk tubuhnya, membasahi bibirnya yang kering dan mengesat airmatanya.
Mahu saja ayah dan ibu menemani dirimu selalu saban waktu. Sungguh, betapa ayah mahu untuk tidur di sebelah Amir Yusuf. Di sisimu selalu!
Malam tadi, Amir Yusuf menangis hingga terlena. Barangkali juga kesan paracetamol yang diberikan.
Dan hari ini, salji berguguran lagi. Laksana mahu memujuk kedukaan dingin dan beku dengan putih salji yang indah di pandangan mata. Sama seperti pujukan ayah dan ibu yang mahukan Amir Yusuf tenang dan gembira sentiasa. Tetapi kasih sayang ini tidak akan cair seperti salji. Bahkan ia akan terus selalu bersamamu. Dan selamanya.



elaira says:
assalamualaikum adinda berdua. moga sentiasa sihat dan diberkati Allah.
didoakan jua buat anakanda amir yusuf dan kakaknya najla. moga amir bertambah sihat dan stabil. dan moga najla jua sudah sembuh dari operasi tempoh hari.
melihat taburan salji di glassgow terasa dinginnya ke dalam hati. entah bagaimana suasananya dan sejuknya dalam cuaca begitu. mungkin jauh lebih sejuk dari kesejukkan yang pernah akak rasa.
namum melihat ke dalam diri kalian yg sungguh tebal dengan kasih sayang dan kecintaan buat amir yusuf adalah satu perasaan yang sukar digambarkan. begitu besar kuasa Allah yg meminjamkan kasih sayang buat kita. dan akak percaya, dari kehangatan kasih sayang kalian itulah yang menjadi kekuatan buat amir yusuf.
moga beroleh tabah dan redha yang berterusan, moga diberi kekuatan dalam menghadapi hari-hari mendatang. moga sejahtera semuanya dalam kasih sayang Allah s.w.t. aminnn…
12-02-09 at 2:33 pm
sya says:
hmm, sayunya hati saya…
moga beroleh ketabahan dan kesabaran yang berpanjangan…
12-02-09 at 3:13 pm
dora says:
Salam. Saya memang selalu follow blog saudara.. Saya memang sangat kagum dengan semangat dan kekuatan yang ada pada saudara, isteri and lil Amir Yusuf.
Your blog has made us realize the beauty of love and bond between father and son and mother and son.. and it has also brought us all closer to Allah..
Walaupun beribu batu and tak pernah berjumpa, I would love to meet with Amir Yusuf one day insyaAllah. The strength of this little boy amazes me..
Be strong.. Allah jua di sisimu, selalu..
12-02-09 at 5:57 pm
Ummica says:
Salam ayah & ibu,
Untuk menempatkan diri dalam situsi kalian adalah sangat sukar. Allah mengurniakan kalian dgn semangat tabah serta sabar yg terpilih. Begitu juga anakanda Amir yg dikasihi, seorg pejuang yg hebat. Mungkin apa yg dilihat pada zahirnya amat merobek rasa hati, tapi pada batinnya hanya Allah Yang Maha Mengetahui Ya Allah, berilah kedamaian dalam tangisan Anakanda Amir, gantikanlah nikmat dalam rasa perit yg ditanggungnya. Amin..Amin Ya Rabbul Alamin.
13-02-09 at 1:35 am
anjer says:
Salam, semoga tabah selalu…..airmata ini tak dapat dibendung tiap kali membaca khabar dari amir Yusuf…..setiap hari ternanti2kan agar laman ini diupdate…walau cuma sebaris….semoga kalian berdua sentiasa dikurniakan kekuatan olehNya…..Kami di sini mendoakan semoga Amir Yusuf cepat sembuh dan pulang ke pangkuan Najla dan kalian berdua..AMIN…
13-02-09 at 2:16 am
as says:
Salam,
saya selalu mengikuti blog saudara, begitu sedih yg saudara lalui,sabar dan tabah lah menghadapi dugaan ini…
13-02-09 at 2:19 am
yt says:
Salam teman,
Semoga kalian tabah dalam mengharungi dugaan di jauh sana…
Sebagai seorang ibu, sunggu aku kagum dengan ketabahan.. san sungguh aku sayu membaca coretan kalian..
Aku mendoakan segala yang terbaik untuk kalian..
13-02-09 at 6:42 am
azma says:
Salam buat kalian berdua,
Betapa tak terluahnya raungan Amir yg mendambakan simpati dari ayah & ibu..
Andai ditukar ganti, sanggup kita ayah & ibu menggantikannya…
Kekuatan Amir Yusuf amat menakjubkan… kekuatan Amir Yusuf juga pengikat erti sabar dan tabah kepada kalian berdua..
Luahan bicara menunjukkan kasih & sayang yg diberikan Allah amatlah tulus dan suci..
Mendoakan Amir Yusuf didalam kesejahteraan bagaikan lali dlm alunan doa saya… Sesungguhnya dengan izin Allah, kalian diberikan dengan segala kekuatan yg ada utk terus sabar & tabah dlm mengharungi ujianNya..
13-02-09 at 8:41 am
XiS says:
semoga satu hari, ada kesempatan untuk bertemu Amir Yusuf, di sana, ataupun di sini. Insya’Allah.. Doa selalu dipanjatkan buat Amir semoga sembuh dan sihat sepenuhnya.
13-02-09 at 8:51 am
mama adam says:
Moga ketabahan milik kalian sekeluarga….Buat anakanda Amir Yusuf…semoga cepat sembuh. Peluk cium dari mama adam….
13-02-09 at 10:14 am
kak fizah says:
Salam…
Akak mendoakan agar Anis dan Fajar sentiasa sabar, tabah dan diberi kekuatan olehNya untuk menghadapi ujian ini…
13-02-09 at 10:23 am
suka menanti says:
assalamualaikum fajar dan anis,
akak baru terjumpa dan baca entry ni, itupun melalui asmara blog. Tabahkan hati anda berdua dalam mengharungi kehidupan ini. Itulah cubaan Allah kepada hambanya. Adakah ini menguji ketabahan anda berdua semasa diperantauan. Semoga bersabar, bertawakkal dan berserah kepada Allah, Dia yang mengetahui segala-galanya. Bagi tau pada Anis, doa ibu adalah yang paling mujarab, berkomunikasilah dengan Allah,berdoalah siang dan malam dengan tulus ikhlas, semoga doa kalian diperkenankan oleh Allah swt. Amin.
14-02-09 at 3:40 am
nikuzie says:
Ya ALLAH , sembuhkanlah amir yusuf. sesungguhnya hati ini tidak sanggup lagi melihat penderitaannya. tapi ummi percaya, Allah pasti meringankan kesakitan mu itu kerana dirimu INSAN TERPILIH…
16-02-09 at 4:15 am
patungcendana says:
salam…
doa saya buat amir yusuf dan keluarga…
ada sebabnya kita tidak dapat melihat takdir…:-)
24-03-09 at 6:29 am