20-02-09

Surat Dari Oban

Posted in amir yusuf, bicara by fajaril

* Catatan ini sudah lama ditulis, tetapi tidak diletakkan di dalam ruangan ini. Hanya pada baru ini berkesempatan untuk dinaikkan. Entri ini ditulis sewaktu Amir Yusuf masih lagi berada di wad 2B, iaitu sebelum dia menjalani pembedahan yang kedua.

Suatu hari, kami datang ke hospital seperti biasa untuk menjenguk Amir Yusuf. Di meja sisi bersebelahan dengan katil Amir Yusuf, ada sekeping sampul berwarna biru. Ayah dan ibu terkejut dengan kehadiran surat yang ditujukan kepada Amir Yusuf yang lengkap dengan alamat hospital. Di hujung sampul, terlekat setem wajah Queen Elizabeth.

Berkerut dahi ayah. Siapa pula yang menghantar kad kepada Amir? Setahu ayah, tiada teman atau kenalan yang diberikan alamat hospital ini secara khusus. Tambahan pula, nama Amir Yusuf diletakkan sebagai Amir Zain, merujuk kepada nama datuk Amir Yusuf.

Perlahan-lahan, ayah buka sampul surat berwarna biru itu. Ada sekeping kad yang kecil yang begitu indah dengan lukisan pemandangan di tepi lautan. Calitan warna merah, oren, biru dan coklat bersatu membentuk karya yang luar biasa.

Ayah buka kad berkenaan. Di dalamnya, dikhususkan buat ayah dan ibu.

Alangkah terharu rasa di hati membaca baitan kata-kata yang dituliskan. Seakan mahu gugur pula air mata ini dengan tanda ingatan dari pengirim kad ini yang datangnya dari Oban yang terletak di pantai Barat Scotland. Ia adalah di antara destinasi yang cantik dan menarik di Scotland ini.

Rupa-rupanya, kad ini datangnya dari keluarga Baby Rebecca, bayi yang masuk ke wad hospital pada waktu yang hampir sama dengan Amir Yusuf. Bahkan, Rebecca lahir beberapa hari selepas Amir Yusuf. Bayi itu dan juga keluargnya begitu kami kenali. Kami sering bertegur sapa dengan ayah ibu Rebecca setiap kali bertemu di hospital.

Patutlah sejak kebelakangan ini kami jarang bertemu dengan mereka. Tiga minggu sudah, mereka sudah pulang ke rumah. Rebecca sudah mula merasa bayu laut di kediaman mereka. Walaupun begitu, ayah dan ibu Rebecca tidak pernah melupakan keadaan kami di sini.

Sekeping kad ucapan sebagai tanda ingatan begitu kami hargai. Kasih sayang dan keprihatinan tanpa mengenal batasan. Dan itulah yang paling bererti.

* Dan ya, kami turut tidak lupa pada setiap kad, ucapan dan doa yang dikirimkan khas buat Amir Yusuf. Hanya Dia sahaja yang mampu membalasnya.

You can leave a comment, or trackback from your own site. RSS 2.0

7 comments

  1. fiza says:

    Begitu ramai insan di luar sana yang prihatin dengan Amir. Semoga Amir juga akan sihat spt Baby Rebecca dan boleh menikmati kehidupan spt bayi-bayi lain.
    Ya Allah, panjangkanlah umur Amir dgn kesihatan yang baik. Berikanlah sinar utk dia dan keluarganya. Amin.

    20-02-09 at 1:28 am

  2. Water lily says:

    Semoga yang baik-baik saja untuk Amirdan keluarga. Ameen!

    20-02-09 at 3:18 am

  3. rena says:

    Ujian yang Dia datangkan tak pernah membatasi kekuatan umatNya.

    saya yakin kamu kuat, dan saya juga yakin amir yusuf itu juga kuat.

    20-02-09 at 7:23 am

  4. azma says:

    Salam…

    Harapan juga pada Amir Yusuf, semoga dpt melalui hari2 mendatang seperti baby rebecca hendaknya.. Moga2 hari2 mendatang memberi sinar kebahagian yg paling bermakna dlm kehidupan Fajar sekeluarga..

    20-02-09 at 8:10 am

  5. En Kid says:

    ingatan yang tulus dan ikhlas lahir dari hati yang ikhlas pastinya membuahkan bibit silaturrahim dengan keredhaan-Nya..

    Semoga kalian terus tabah..titipan doa dari daku di kejauhan semoga segalanya kian positif dan memberikan kebahagiaan kepada kalian..

    20-02-09 at 12:01 pm

  6. HAJAR says:

    seharian hr ni sy menghabiskan masa membaca catatan saudara.sesungguhnya kalian keluarga yg tabah..walaupun sy masih belum diberi kesempatan mjd seorg ibu,namun sy dpt merasakan apa yg kalian rasa dan harapkan untuk amir yusuf da juga anak gadis saudara,najla….selagi masih ada kesempatan,pasti ada harapan.doa sy akan selalu untuk amir yusuf…bersabarlah….pasti Allah merancang sesuatu yg lebih baik untuk kalian sekeluarga

    21-02-09 at 2:34 pm

  7. syirfan says:

    Salam…

    Saya tersesat ke laman ini selepas meneroka laman http://oneblackspot.blogspot.com/.

    Tak sangka saya bertemu dengan blog istimewa ini. Sedar bahawa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

    Namun jauh disudut hati saya agar kalian semua diberikan Allah kekuatan dalam menempuh dugaannya. Percayalah bahawa ujian Allah itu tanda Allah menyayangi.

    Moga cahaya Amir Yusof segera sembuh. Doa saya mengiringi.

    Peluk cium untuk Amir Yusof. Salam dari MAlaysia.

    22-02-09 at 1:55 am

Leave a comment

Bad Behavior has blocked 42 access attempts in the last 7 days.