05-03-09

Teguh

Posted in amir yusuf, peristiwa by fajaril

“Ya Allah, berikanlah kami kekuatan, ketabahan dan keteguhan di dalam mengharungi dugaan-Mu”

Pagi itu ayah dan ibu terus bergegas ke hospital. Segala berita yang telah disampaikan pada malam tadi begitu meresahkan fikiran dan jiwa. Semua itu terpujuk mengenangkan rahmat Tuhan buat Amir Yusuf.

Kaki terus melangkah ke bilik yang mengasingkan Amir Yusuf dengan pesakit yang lain. Hajat ayah dan ibu untuk terus bertemu Amir Yusuf harus ditahankan seketika memandangkan satu demi satu doktor datang dan berbincang di depan bilik berkenaan. Sebaik mereka terlerai, ayah dan ibu membersihkan tangan dengan bahan kimia khas serta memakai plastik khas yang seakan apron.

Di dalam bilik, Dr Mark sedang sibuk menguruskan Amir Yusuf. Wajah Dr Mark masih tenang walaupun tampak keletihan pada sekitar matanya. Bersama jururawat yang bertugas, dia melihat setiap bacaan yang dipaparkan pada monitor dan memetik suis-suis yang ada pada sebuah mesin yang baru pada bilik itu.

Barulah ayah perasan bahawa Amir Yusuf telah dihentikan dari bersambung dengan mesin ventilator yang biasa digunakan. Kali ini, tiub tracheostomy Amir Yusuf disambungkan dengan mesin oscillatory ventilator yang melaksanakan fungsi yang sama. Bezanya, ia turut memberikan getaran kepada laluan pernafasan Amir Yusuf di samping mengeluarkan bunyi yang kuat seperti enjin.

Badan Amir Yusuf bergetar bersama tekanan pam yang diberikan dari mesin berkenaan. Seluruh tubuh diselubungi dengan selimut khas berisi udara yang dipamkan dari sebuah mesin bagi memberi suhu yang sewajarnya. Juga memastikan agar Amir Yusuf berkeadaan selesa.

Tubuh Amir Yusuf penuh dengan tiub dan wayar. Hari sebelumnya, jururawat memaklumkan setiap fungsi ubat yang disalurkan kepada Amir Yusuf. Morfin menghilangkan kesakitan. Midazolam menenangkan dan vecuronium pula melumpuhkan otot buat sementara. Pernafasan Amir Yusuf menjadi laju dan setiap tubuh badan berfungsi pada kadar yang lebih tinggi disebabkan jangkitan yang singgah ke tubuh badannya. Maka ubat yang diberikan akan merehatkan dirinya. Di samping ubat, Amir Yusuf diberikan nutrisi, air dan sebagainya.

Setelah siap menyempurnakan Amir Yusuf, barulah Dr Mark datang menghampiri ayah dan ibu yang sedang duduk di kerusi di tepi dinding. Debar di hati semakin terasa. Apakah pula berita untuk kali ini?

Dr Mark melutut di sebelah ayah. Dengan penuh berhati-hati, dia menyusun bicara memaklumkan perkembangan Amir Yusuf. Sesekali, dia seakan terhenti bagaikan mencari perkataan yang paling sesuai dan mudah difahami untuk disampaikan kepada kami. Dia begitu mengerti betapa lamanya Amir Yusuf di wad PICU. Dan betapa lama juga ayah dan ibu sabar dan tabah menghadapi segala kemungkinan.

Hari sebelumnya, ujian x-ray ada menunjukkan Amir Yusuf terkena jangkitan di bahagian kanan dadanya. Jangkitan ini sekaligus memberi kesan yang amat besar kepada sistem pernafasan Amir Yusuf. Namun begitu, jangkitan berkenaan sudah semakin berkurangan melalui antibiotik dan antiviral yang diberikan.

Walau bagaimanapun, pernafasan Amir Yusuf agak terganggu hingga memaksa mereka menaikkan tekanan oksigen pada mesin ventilator pada paras yang agak tinggi. Malam itu, Amir Yusuf seakan bermasalah dengan sistem pernafasannya. Bacaan pada skrin monitor menjelaskan segalanya. Oleh yang demikian, mereka terpaksa menggunakan oscillatory ventilator sebagai ganti. Getaran yang diberikan akan mengeluarkan karbon dioksida pada paras yang sepatutnya.

Setiap kata yang terungkap begitu menggetarkan jiwa ayah dan ibu. Setiap luahan tercerna di kepala. Ayah sekadar mengenggam jari jemari. Bagai mahu menghilangkan rasa gemuruh. Dada begitu berdebar. Segalanya bercampur baur.

Adakah di sini penentunya? Sungguh, kami semua tidak tahu. Hanya Dia. Dan setidak-tidaknya kami semua sama-sama berusaha dan berjuang. Tanpa menyerah kalah pada anugerah nyawa yang dikurniakan kepada insan yang bernama Amir Yusuf.

Setelah Dr Mark keluar, Dr Howard pula datang menziarahi kami. Biarpun bertugas pada wad yang lain, Dr Howard masih begitu mengambil berat tentang kami. Tentang Amir Yusuf. Betapa dapat kami rasakan kasih yang ada darinya.

Dengan fizikal yang agak besar, Dr Howard berusaha untuk melutut di sebelah kami. Sebelah kakinya diangkat bagi menampung tubuh badannya. Bicaranya lembut. Menusuk hati ayah dan ibu. Sepanjang berbicara bersamanya, hati kami begitu terusik dengan kelembutan hatinya.

Apa yang berlaku pada Amir Yusuf pada waktu ini, adalah sesuatu yang pernah dijangka. Namun ianya tidak dapat dipastikan.

“We know that all of you have done your best. We would like to thank you for all your supports”.

Demikianlah bicara ayah kepada Dr Howard. Tiba-tiba saja, hati jadi sebak. Namun ayah dan ibu tidak mahu menangis atas perjuangan ini. Apa jua yang bakal terjadi, akan kita tempuhi dengan redha dan kesabaran. Bukanlah di tangan ini yang menentukan segalanya.

Masih lagi ayah teringat kata dan pesan seorang kakak.

“Ingatlah, kalian berdua adalah insan yang terpilih. Allah berikan tarbiah secara direct. Tidak semua orang dapat begitu. Tabah dan sabar. Dan yang pasti, jangan putus harapan. Selebihnya, kita serahkan kepada-Nya.”

Pada malamnya, ayah dan ibu bermalam di hospital meninggalkan Najla bersama Kakak Adibah di rumah. Betapa Najla cuba memahami dan mengerti akan pengorbanan dan perjuangan yang sedang dilalui. Tanpa diduga, mereka menyediakan bilik rehat untuk ayah dan ibu. Alangkah syukurnya.

Tiada apa yang mampu memujuk hati dan jiwa ayah ibu ini. Betapa ayah dan ibu berusaha mengharungi semua ini bersama Amir Yusuf. Pada setiap tangisan, pengorbanan dan perjuangan. Saat begini, betapa seluruh harapan diserahkan kepada-Nya. Hanya Dia yang Maha Mengetahui apa yang terbaik.

Kalimah indah dari kitab suci dibaca. Memujuk jiwa agar tidak dilanda duka dan lara. Moga keteguhan itu akan selalu bersama. Pada setiap dan ketika.

You can leave a comment, or trackback from your own site. RSS 2.0

13 comments

  1. pinatbate says:

    Teruslah teguh demi Amir Yusuf..Kepada Allah kita kembalikan segala urusan.

    05-03-09 at 1:32 pm

  2. hishar says:

    teruskan bertahan..kami semua bersama kalian..urusan lain kita serahkan pada Yang Maha Berkuasa..

    05-03-09 at 1:35 pm

  3. Jiey Mien says:

    Amir Yusuf, kami kagum dengan semangat juangmu!

    Abg Fajar dan isteri, sebagaimana kalian, kami mendoakan yang terbaik untuk Amir Yusuf.

    05-03-09 at 2:00 pm

  4. aemie says:

    moga kalian diberi kekuatan demi kekuatan demi Amir Yusuf sebagaimana kekuatan Amir Yusuf yg tak mudah menyerah kalah,,amin..Hanya pada yg Esa kita berserah..

    05-03-09 at 2:14 pm

  5. dora says:

    Salam saudara fajar. Amir Yusuf is a fighter just like his mom and dad. He needs you to be strong for him.

    As a Muslim, we must doa, usaha and tawakal. And I am certain that you have done all with much sincerity.

    We do not know what Allah has in store for Amir Yusuf. But we can pray for the best. My prayers are for Amir Yusuf.

    I know it’s easier said than done, but be strong saudara Fajar.. You have come this far.. Let Allah do the rest..

    05-03-09 at 2:28 pm

  6. sya says:

    ya Allah, tabahkan lah keluarga ini dalam mengharungi ujianMu…

    05-03-09 at 3:01 pm

  7. tata says:

    Sahabatku anis & fajar… Tiada kata2 dpt diucapkan… hy doa semoga kalian terus cekal dan berserah kepadaNya.

    05-03-09 at 4:06 pm

  8. akimanikki says:

    Sedih dan duka hari hari ini, mungkin satu semangat dan kekuatan yang tak ternilai untuk esok hari.

    Benar kata dan pesan kakak tu, kamu berdua adalah insan terpilih. Moga terus tabah.

    Aku juga seorang ayah. Catatan-catatan kamu sungguh banyak mnnyedarkan aku. Moga kau terus menulis.

    05-03-09 at 5:16 pm

  9. azma says:

    Salam..

    Bijaksananya Allah menyusun atur detik demi detik.. untuk terus melihat ‘Keteguhan’…

    Putus kata-kata dengan dugaan kali ini.. Sungguh sukar dimengertikan rasa yg bercampur baur.. mengingatkan perjuangan Amir Yusuf mahupun Fajar sekeluarga..

    Semoga ketabahan dan kecekalan tetap TEGUH pada kalian.. Ya kalian mmg TEGUH dalam dugaan ini.. Dugaan bagi insan2 terpilih… terpilih melaluinya lantas mengeratkan lagi hubungan itu dengan pemilik segalanya.. AllahuAkbar.. Allah Maha Besar.. Allah Maha Bijaksana .. Maha mengetahui apa yg direncanakanNya..

    Salam doa dari kejauhan

    06-03-09 at 12:11 am

  10. xiao hong says:

    salam

    kasihan amir yusuf… jangan susah hati ye amir yusuf… mak cik doakan amir yusuf biar cepat sembuh… kasihan najla… tentu najla pun tak dapat nak jumpa amir yusuf… najla, kita doa sama-sama ye nak, biar adik cepat sembuh… ya allah kasihanilah anak kecil ini… limpahkanlah rahmatMu… permudahkanlah urusan keluarga ini ya allah… hanya padaMulah kami memohon…
    fajar & anis… semoga Allah SWT merahmati kalian sekeluarga… insyaallah setiap persoalan itu ada jalan keluarnya… rahsia Allah SWT siapa yang tahu

    06-03-09 at 2:00 am

  11. linda says:

    amir…. tiada apa dpt auntie ungkapkan.. teruskan perjuangan mu sayang…

    fajar & anis…. teruskan tabah menghadapi segalanya… kami terus menyokong dengan segalanya…

    06-03-09 at 2:08 am

  12. aisyah says:

    salam buat anda sekeluarga…
    saya di sini (m’sia) berdoa moga kalian sentiasa bersabar dgn dugaan yang MAHA ESA…
    moga adik amir akan sihat dan menjalani kehidupan normal seperti anak yang lain…
    amin…

    06-03-09 at 9:53 am

  13. kakyong says:

    salam,

    catatan kali ni mengundang sebak & titisan airmata..

    semoga tabah ibu & ayah..

    Ya ALlah, beri lah kekuatan kepada Amir Yusuf. Amin

    06-03-09 at 4:06 pm

Leave a comment

Bad Behavior has blocked 47 access attempts in the last 7 days.