Archive for March, 2009

09-03-09

Untuk Terakhir Kali

Posted in amir yusuf, peristiwa by fajaril

i. Detik-detik bersama Amir Yusuf

Ayah usap kepala Amir Yusuf. Ibu bacakan bersama surah-surah suci agar dapat mengurangkan kepedihan yang ditanggung oleh dirimu sayang. Bukan saja untuk Amir Yusuf, tetapi juga buat jiwa ayah dan ibu di dalam melalui detik-detik getir ini.

Malam sebelumnya, setelah sekian lama Najla tidak dapat bertemu, akhirnya terlerai juga kerinduan antara Najla dan Amir Yusuf. Berbulan lamanya berada di wad PICU, hanya 2 kali sahaja Najla dapat melihat wajah Amir Yusuf. Itupun tidak sampai lima minit. Kawalan yang begitu ketat tidak membenarkan pelawat memasuki ruangan ini kerana keadaan bayi di dalam sini begitu lemah dan mudah terkena sebarang jangkitan.

Alangkah syukur dan gembira hati ayah dan ibu dengan peluang yang diberikan. Tidak tergambar apakah yang Najla rasai sewaktu melihat Amir Yusuf di dalam keadaan sedatif. Ayah dukung Najla. Ayah terangkan kepada Najla segala mesin, tiub dan wayar kepada Najla. Dari riak wajahnya, penuh dengan rasa sedih dan simpati.

“Najla nak doa untuk adik Amir Yusuf?”

Dengan perlahan, Najla berdoa.

“Ya Allah, sembuhkanlah Amir Yusuf. Najla sayang Amir Yusuf. Ya Allah, permudahkan PhD ibu ayah. Berkatilah, rahmatilah hidup kami.”

Keharuan menerjah hati ayah. Kasih sayang yang mengikat terasa begitu erat dan tulus. Ayah kucup pipi Najla.

Malam itu, Najla pulang ke rumah ditemani Kakak Adibah. Ayah dan ibu terpaksa menemani Amir Yusuf yang begitu memerlukan ayah dan ibu. Dua malam ayah dan ibu setia di sisi. Tanpa secebis rasa jemu. Demi kasih sayang yang tercipta.

Kesan jangkitan di dada Amir Yusuf semakin merebak. Ia semakin memberi kesan yang teruk kepada sistem pernafasan dan melumpuhkan lagi sistem lain di dalam badan Amir Yusuf. Segala usaha dan upaya telah dilakukan oleh doktor. Namun, mereka harus mengakui bahawa tiada lagi yang terbaik dapat mereka berikan. Pedih sekali khabar ini. Ayah dan ibu harus redha.

Kali pertama mendengar berita itu, ayah dan ibu masih lagi mampu bertahan. Inilah ketentuan dari-Nya. Biarpun terasa menggeletar seluruh tubuh, ayah hanya mampu bermohon agar Allah mempermudahkan segalanya.

“Is there any hope?”

“No. I’m sorry.”

Demikianlah kata Dr Mark yang sejak semalam berusaha memberikan yang terbaik buat Amir Yusuf. Kuasa manusia begitu kerdil jika dibandingkan dengan-Nya. Ayah dan ibu pasrah. Kita lalui semua ini dengan redha.

Pagi Jumaat yang permai, ayah dan ibu duduk di sisi katil Amir Yusuf. Ayah pegang tangan Amir Yusuf. Ayah belai. Ayah kucup. Ayah usap. Berulangkali. Ayah cium dahi Amir Yusuf. Lama. Ayah mahu terus mengingati bau Amir Yusuf ini sampai bila-bila.

Dan entah mengapa, satu rasa menerjah di hati ayah. Bagaimanakah agaknya hari-hari tanpa Amir Yusuf? Tanpa dapat melihat dan menyentuh dirimu sayang? Bagaimana harus ayah pujuk jiwa ini agar menerima segalanya dengan tabah?

Air mata yang ayah tahankan sejak semalam terus deras mengalir. Ayah tidak mampu melawan perasaan ini. Sedu ayah menjadi-jadi mengenangkan perpisahan kita. Pudar sudah bayangan masa depan kita bersama. Sungguh, ayah kalah dalam perang emosi di dalam jiwa yang bergelora secara tiba-tiba.

Ibu kucup wajah Amir Yusuf. Tangis ayah dan ibu bersatu.

Amir Yusuf adalah anugerah yang begitu istimewa. Amanah yang diterima dengan penuh kesyukuran meskipun penuh dengan air mata. Pelbagai komplikasi yang wujud ke atas Amir Yusuf. Namun ayah dan ibu berbangga di atas segala perjuangan Amir Yusuf selama ini. Dari bermacam rawatan dan pembedahan hingga kepada hari-hari yang dilalui penuh dengan debaran dan harapan.

Ayah kucup Amir Yusuf. Ayah kucup sekali lagi. Itu dari kakak Najla yang begitu sayang dan rindukan Amir Yusuf. Alangkah sedih mengenangkan kakak Najla tidak dapat bermain dan bermanja dengan Amir Yusuf. Kucupan seterusnya. Itu dari Tok Bah, Tok Mi, Wek Lanang dan Wek Wedok yang berada di kampung halaman. Jauh dari kita. Yang selalu menyulam rindu. Yang terlalu kasih dan sayang kepada cucu mereka yang satu ini. Hanya melihat Amir Yusuf melalui gambar. Yang selalu menangis mengenangkan Amir Yusuf dan tidak mampu berbuat apa-apa melainkan berdoa dan bermohon kepada-Nya sentiasa.

Ayah kucup Amir Yusuf lagi. Itu dari semua pakcik, makcik dan sanak saudara Amir Yusuf yang begitu rindu sekali. Yang sama menangis dan terharu mengenangkan Amir Yusuf. Tidak jemu menghimpun doa dan harapan. Memohon Dia mengurniakan rahmat yang berlimpahan untuk kita sekeluarga.

Ayah kucup lagi dan lagi. Pada dahi. Pada kening. Dalam sebak. Dalam rasa keharuan. Dalam penuh rasa sayang. Itu dari ayahanda-ayahanda, bonda-bonda, pakcik-pakcik dan makcik-makcik yang begitu setia dan kasihkan Amir Yusuf. Biarpun tidak pernah melihat atau ada tidak mengenali, mereka tidak jemu berkongsi kasih dan sayang, doa dan harapan hingga ada yang sama menangis bersama ayah dan ibu. Alangkah terharunya hati ini. Begitu banyak jiwa yang murni di luar sana. Baik dari kenalan rapat mahupun tidak. Betapa istimewanya Amir Yusuf, membuka jiwa insan-insan yang berjauhan dan yang dekat bersatu di dalam satu ruang rasa. Melimpah kasih sayang buat Amir Yusuf.

Maafkan ayah dan ibu, sayang. Hanya di sini saja kemampuan ayah dan ibu. Maafkan juga kerana kami tidak dapat menjaga Amir Yusuf seperti mana kami menjaga kakak Najla. Amir Yusuf, janganlah lupakan ayah, ibu dan kakak Najla, ya sayang. Amir Yusuf akan bertemu dengan Allah. Amir Yusuf akan dijaga oleh Allah. Amir Yusuf mohon kepada-Nya, agar nanti kita semua disatukan semula di syurga, tempat Amir Yusuf bermain.

Bacaan di paparan semakin tidak memberangsangkan. Pada waktu ini, Dr Mark memberi peluang kepada ayah untuk mendakap Amir Yusuf. Dengan penuh hati-hati, dengan penuh kasih sayang, Amir Yusuf berada di dalam pangkuan ayah. Ayah peluk erat Amir Yusuf. Seakan tidak mahu melepaskan. Ibu berada di sisi, membacakan surah Ya’asin. Moga semua itu menjadi teman ketika Amir Yusuf di alam sana.

Bergetar rasa di jiwa. Bertambah gelora di dada. Ayah bisikkan betapa sayangnya ayah dan ibu kepada Amir Yusuf. Betapa rindunya nanti kami kepada Amir Yusuf. Ayah berusaha menguatkan diri dengan mengucap dan bertasbih. Allahu Akbar, Allahu Akbar.

Ya Tuhan, adakah ini dinamakan cinta? Cinta dan kasih sayang terhadap anakanda Amir Yusuf yang membawa kami terus dekat kepada-Mu selalu? Kasih sayang yang selalu bersimpul dalam doa dan harapan? Kuatkanlah jiwa dan hati kami, Ya Allah.

Amir Yusuf berpindah tangan kepada ibu pula. Air mata tidak putus-putus berlinangan dari pipi. Sebak di jiwa. Ibu kucup Amir Yusuf berkali-kali. Air mata menitik pada wajah Amir Yusuf. Ayah usap kepala Amir Yusuf. Selepas ini, ayah pasti akan merindukan Amir Yusuf. Pada wajah dan ketenanganmu, sayang. Ibu berzikir dan berselawat di telinga Amir Yusuf. Kemudian, ibu membacakan kalimah syahadah di telinga dengan penuh kelembutan. Dengan penuh kasih sayang. Dan dalam sedu sedan.

Ayah mengalunkan azan di telinga kanan Amir Yusuf. Suara ayah tersekat-sekat. Memuji nama-Nya dalam tangisan. Di telinga kiri, ayah alunkan iqamah. Bahu ayah tersengguk menahan sendu. Betapa murahnya air mata ayah dan ibu pada waktu ini. Maafkan kami berdua Amir Yusuf. Inilah tanda cinta dan sayang kami kepadamu, sayang. Yang tidak akan terpadam sampai bila-bila.

Ayah memeluk ibu dan Amir Yusuf. Ayah dan ibu bersama dalam tangisan. Dan air mata kami jatuh berlinangan. Deras bagaikan hujan. Tubuh Amir Yusuf menjadi sejuk. Wajahnya perlahan-lahan menjadi pudar. La’illahaillah, Subhannallah, Astagfirullah.

Dr Mark menyentuh lembut bahu ibu.

Amir just passed away“, dengan suara yang begitu perlahan.

Makin deras air mata yang tumpah. Bersama-sama, ayah dan ibu mengucapkan, “In’nalillahiwa’inna ilaihi rojiun”.

Kami serahkan semula Amir Yusuf kepada Penciptanya, Allah Yang Esa. Dia Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Moga kepulangan Amir Yusuf diiringi bersama dengan sekalian malaikat.

Amir Yusuf datang kepada ayah dan ibu pada hari Jumaat. Kini, Amir Yusuf pulang ke pangkuan Allah, pada hari Jumaat juga, iaitu pada jam 12.51 tengahari. Sewaktu jemaah sedang menunaikan solat Jumaat. Moga keberkatan Jumaat, mengangkat roh Amir Yusuf dengan penuh ketenangan dan kebahagiaan.

Tidurlah anakanda. Tidurlah sayang, Amir Yusuf. Nanti, dirimu akan terjaga melihat keindahan yang luar biasa dari mimpi. Ayah dan ibu akan selalu mendoakan. Pada kasih sayang kita yang tiada kesudahan. Biarpun, sayang ayah dan ibu terlalu dalam buatmu, namun kasih sayang dan cinta dari-Nya lebih besar dari segalanya.

-
ii. Di hari kepulangan Amir Yusuf

Semalam, adalah kali pertama Amir Yusuf dibawa keluar dari hospital untuk dibawa pulang. Namun, bukan ke rumah ayah dan ibu. Pulang ke rumah Allah.

Pagi Sabtu, kami semua bersegera ke Central Mosque Glasgow untuk menguruskan jenazah Amir Yusuf. Ayah dan ibu ingin memberikan penghormatan yang terakhir buat anakanda Amir Yusuf. Kedatangan teman-teman di Glasgow begitu mengharukan. Mereka turut sama berduka atas pemergian Amir Yusuf. Hampir semua tidak pernah melihat wajah atau tubuh Amir Yusuf secara dekat. Yang ada, hanyalah jasad Amir Yusuf.

Sekali lagi, Allah memberi peluang kepada ayah dan ibu untuk memandikan Amir Yusuf untuk terakhir kalinya. Seumur hidup Amir Yusuf, hanya dua kali sahaja Amir Yusuf dimandikan dengan sempurna seperti bayi sihat yang lain. Alangkah sebak sekali, ini adalah kali terakhir Amir Yusuf dimandikan bersama ayah dan ibu. Moga nanti, Amir Yusuf akan dimandikan oleh bidadari syurga dengan penuh kasih sayang. Dengan bantuan beberapa teman di sini, ayah basuh tubuh Amir Yusuf dengan lembut dan hati-hati. Ibu basuh di sebelah bahagian tubuh Amir Yusuf. Dari kanan ke kiri. Hinggalah keseluruhan Amir Yusuf dibersihkan dan dibasahi.

Kami pakaikan baju terakhir Amir Yusuf. Tiada sebarang jahitan pada kain putih ini. Baju yang dipakai oleh Amir Yusuf, adalah sama nanti dengan baju yang bakal dipakai oleh ayah dan ibu. Sama juga dengan orang yang lain. Nanti di sana, baju Amir Yusuf pasti lebih indah.

Solat jenazah buat Amir Yusuf terus dijalankan sebaik saja solat Zohor. Hampir seluruh jemaah yang hadir turut sama memberikan penghormatan. Sayu dan sebak rasa di hati ayah, apatah lagi sewaktu imam menyebut nama Amir Yusuf dan mendoakan kesejahteraan Amir Yusuf di sana. Kejauhan dengan ahli keluarga menambahkan lagi kesayuan di hati. Sebaik tamat solat, ramai teman yang menghampiri ayah mengucapkan takziah. Bukan itu saja, ramai juga di kalangan jemaah yang hadir datang memujuk dan memeluk ayah. Betapa terharunya ayah. Bukan kerana bersedih di atas kehilangan Amir Yusuf, tetapi terharu dan bersyukur kerana Amir Yusuf dipilih sebagai insan yang begitu istimewa di sisi Allah.

Ramai juga kenalan yang hadir turut sama mengiringi Amir Yusuf pulang ke pangkuan-Nya. Ayah dan ibu membawa Amir Yusuf menuju ke Cathcart Cemetery yang terletak di selatan kota Glasgow. Kawasan perkuburan ini seakan tenang dan mendamaikan. Sukar sekali menterjemahkan apa yang ayah rasa sewaktu memasuki kawasan ini.

Hujan turun renyai-renyai. Seakan sama menangisi pemergian Amir Yusuf. Angin bertiup lembut menyapa tubuh ayah dan ibu. Liang lahad yang sudah digali seakan bersedia menyambut jasad Amir Yusuf. Dan ayah mengangkat keranda putih dari kereta menuju ke tempat yang dikhususkan untuk Amir Yusuf. Semua hadirin yang terdiri dari kenalan seakan berdebar menanti urusan yang selanjutnya. Urusan pengebumian jenazah muslim di sini adalah berbeza seperti yang dilakukan di tanahair.

Keranda putih Amir Yusuf diturunkan perlahan-lahan. Ayah lepaskan tali yang mengikat tali keranda. Bibir ayah tidak lepas dari mengucap zikir dan tahmid agar kekuatan terus bersama ayah pada ketika ini.

Ayah ambil tanah dan taburkan ke dalam tempat persemadian Amir Yusuf. Sedikit demi sedikit, tanah semakin menutup pandangan ayah dari keranda Amir Yusuf. Akhirnya, seluruh tanah terkambus menghimpun setiap ruang.

Sewaktu doa dibaca oleh imam, hati ayah begitu bergetar. Sebak sekali. Betapa istimewanya Amir Yusuf pada hari kepulangannya. Hujan gerimis bagaikan menangis. Hujan bercampur dengan air mata di pipi ini. Betapa ayah tahankan segala rasa. Merelakan pemergian Amir Yusuf.

Usai semuanya, ayah dan ibu seakan tidak percaya sudah tiba masanya kami melangkah pergi meninggalkan Amir Yusuf. Ayah dan ibu menadah tangan, memohon doa kepada-Nya. Agar kepulangan Amir Yusuf ini disambut dengan penuh meriah dan kegembiraan. Moga tiada lagi kepedihan dan keperitan seperti apa yang telah Amir Yusuf lalui selama ini.

Sewaktu melangkah pergi, tiba-tiba saja Najla menangis. Dapatkah Amir Yusuf melihat dan mendengarkan kata-kata kakak Najla, yang mahukan Amir Yusuf? Bagai seakan terkejut mengapa Amir Yusuf ditinggalkan dan ditanam sedemikian rupa. Betapa ayah dan ibu berusaha memujuk agar Najla memahami sebuah pemergian Amir Yusuf untuk bertemu Allah.

Ya Tuhan, amanah yang telah Kau beri, kami pulangkan dengan penuh redha. Ampunilah segala dosa-dosa kami. Rahmatilah Amir Yusuf, Ya Allah. Belailah dan jagailah dia. Tempatkanlah dia bersama di kalangan orang-orang yang Kau kasihi. Satukanlah kami semula di syurga-Mu nanti. Amin.

ed12

Selamat tinggal, anakanda sayang. Tiba masanya, pimpinlah tangan ibu dan ayah serta semua saudaramu menuju ke syurga. Sepertimana, namamu, ‘Amir Yusuf’. Yang memimpin. Entah bagaimana agaknya, rupa anakanda di sana nanti. Semoga di sana, kita bersama kecapi kebahagiaan untuk selamanya di dalam rahmat kasih-Nya.

[+]

“(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayat-Nya”

Al-Baqarah: 156-167.

[+]

Terima kasih kepada semua yang mengirimkan salam takziah samada melalui blog, komentar, sms dan emel. Sesungguhnya, sokongan dan doa kalian selama ini adalah begitu berharga dan bermakna. Tidak dilupakan kepada semua rakan-rakan di sekitar Glasgow yang begitu banyak membantu di dalam urusan pengebumian jenazah Amir Yusuf, termasuklah yang sudi menghulur tangan sewaktu kenduri tahlil.

Syukur, Allah mempermudahkan segala urusan buat Amir Yusuf. Biarpun dimaklumkan oleh pihak pengurusan masjid bahawa kos pengebumian pada hujung minggu adalah lebih dua kali ganda dari hari-hari biasa, berkat keikhlasan dan sedekah yang diberikan telah meringankan beban kewangan kepada kami sekaligus. Alhamdulillah.

Semoga keikhlasan dan kasih sayang yang diberikan kepada Amir Yusuf akan sama memberikan syafaat buat kita semua. Insya Allah.

Kejauhan kita membuatkan ramai yang begitu rapat dan dekat dengan Amir Yusuf teringin untuk turut sama sekali menyertai hari-hari terakhir bersamanya. Sebagai tanda penghargaan dari kasih sayang buat Amir Yusuf, kami sertakan galeri khas yang direka dan diambil oleh seorang rakan baik kami, saudara Izani. Terima kasih banyak atas ‘hadiah kenangan’ ini. Kali pertama melihat galeri ini, air mata gugur dengan lebat. Sayu dan sebak sekali. Seakan jelas sekali peristiwa semalam. Moga perjalanan Amir Yusuf ke sana akan menginsafkan diri kita dan mempersiapkan diri agar dapat menyertai Amir Yusuf ke syurga abadi.

Sebelum kalian membuka album berkenaan, doakanlah kesejahteraan dan sedekahkanlah Al-Fatihah kepada Amir Yusuf. Moga keikhlasan kalian akan mendapat ganjaran dari-Nya. Amin.

* Juga, untuk mengikuti kisah hari-hari terakhir Amir Yusuf dari pandangan seorang rakan kami di Glasgow ini, bolehlah mengikuti di laman blog ini. Terima kasih Kak Haslina. Dan dari saudara Izani, di blog ini.

[+]

Tiba-tiba, kehilangannya begitu dirasai. Dan buat pertama kalinya, tiada lagi kunjungan ke hospital seperti selalu. Rindu, rindu, rindu kalbu.

Amir Yusuf,
27/06/08 – 06/03/09
Al-Fatihah.

-
Kredit foto header: flickr @ siliconmonkey

05-03-09

Rindu Kalbu

Posted in amir yusuf, rasa by fajaril

Wajah Amir Yusuf agak sembab. Matanya ditutupi dengan gel khas agar dapat melembabkannya pada setiap masa. Bibirnya kering. Begitu juga dengan lidah yang terdedah. Sesekali, ada mukus berkumpul di sekitar hidung.

Ibu membersihkan wajah Amir Yusuf dengan hati-hati. Dengan rasa kasih yang tidak terhingga. Setiap belaian dan sentuhan beralun bersama kalimah suci serta zikir.

Ayah usap kepala Amir Yusuf. Ayah belai tangan dan jemari Amir Yusuf yang dicucuk tiub di bahagian lengan kirinya. Tangan kanan Amir Yusuf pula disentuh oleh ibu.

“Amir Yusuf, Amir Yusuf. Ini ayah dan ibu sayang. Ayah ibu ada selalu dengan Amir. Ayah ibu tidak akan tinggalkan Amir.”

“Subhannallah,
Alhamdulillah,
Alllahuakbar”

“Amir Yusuf, dengar ayah panggil sayang? Ini ayah sayang. Kuatlah sayang. Sabarlah sayang”

Adakah Amir Yusuf mengenali belaian yang ayah berikan? Adakah Amir Yusuf merasai setiap sentuhan dari ibu? Dapatkah Amir Yusuf rasakan tangan ayah bermain-main pada jari jemari Amir Yusuf seperti selalu?

Amir Yusuf, kami rindu padamu sayang. Pada tangisan. Dan kini pada sinar matamu.

Namun, apalah rindu kami jika dibandingkan rindu pada-Nya?

Di luar tingkap hospital, salji turun dengan lebat. Berapung-apungan. Bagaikan menangis.

05-03-09

Teguh

Posted in amir yusuf, peristiwa by fajaril

“Ya Allah, berikanlah kami kekuatan, ketabahan dan keteguhan di dalam mengharungi dugaan-Mu”

Pagi itu ayah dan ibu terus bergegas ke hospital. Segala berita yang telah disampaikan pada malam tadi begitu meresahkan fikiran dan jiwa. Semua itu terpujuk mengenangkan rahmat Tuhan buat Amir Yusuf.

Kaki terus melangkah ke bilik yang mengasingkan Amir Yusuf dengan pesakit yang lain. Hajat ayah dan ibu untuk terus bertemu Amir Yusuf harus ditahankan seketika memandangkan satu demi satu doktor datang dan berbincang di depan bilik berkenaan. Sebaik mereka terlerai, ayah dan ibu membersihkan tangan dengan bahan kimia khas serta memakai plastik khas yang seakan apron.

Di dalam bilik, Dr Mark sedang sibuk menguruskan Amir Yusuf. Wajah Dr Mark masih tenang walaupun tampak keletihan pada sekitar matanya. Bersama jururawat yang bertugas, dia melihat setiap bacaan yang dipaparkan pada monitor dan memetik suis-suis yang ada pada sebuah mesin yang baru pada bilik itu.

Barulah ayah perasan bahawa Amir Yusuf telah dihentikan dari bersambung dengan mesin ventilator yang biasa digunakan. Kali ini, tiub tracheostomy Amir Yusuf disambungkan dengan mesin oscillatory ventilator yang melaksanakan fungsi yang sama. Bezanya, ia turut memberikan getaran kepada laluan pernafasan Amir Yusuf di samping mengeluarkan bunyi yang kuat seperti enjin.

Badan Amir Yusuf bergetar bersama tekanan pam yang diberikan dari mesin berkenaan. Seluruh tubuh diselubungi dengan selimut khas berisi udara yang dipamkan dari sebuah mesin bagi memberi suhu yang sewajarnya. Juga memastikan agar Amir Yusuf berkeadaan selesa.

Tubuh Amir Yusuf penuh dengan tiub dan wayar. Hari sebelumnya, jururawat memaklumkan setiap fungsi ubat yang disalurkan kepada Amir Yusuf. Morfin menghilangkan kesakitan. Midazolam menenangkan dan vecuronium pula melumpuhkan otot buat sementara. Pernafasan Amir Yusuf menjadi laju dan setiap tubuh badan berfungsi pada kadar yang lebih tinggi disebabkan jangkitan yang singgah ke tubuh badannya. Maka ubat yang diberikan akan merehatkan dirinya. Di samping ubat, Amir Yusuf diberikan nutrisi, air dan sebagainya.

Setelah siap menyempurnakan Amir Yusuf, barulah Dr Mark datang menghampiri ayah dan ibu yang sedang duduk di kerusi di tepi dinding. Debar di hati semakin terasa. Apakah pula berita untuk kali ini?

Dr Mark melutut di sebelah ayah. Dengan penuh berhati-hati, dia menyusun bicara memaklumkan perkembangan Amir Yusuf. Sesekali, dia seakan terhenti bagaikan mencari perkataan yang paling sesuai dan mudah difahami untuk disampaikan kepada kami. Dia begitu mengerti betapa lamanya Amir Yusuf di wad PICU. Dan betapa lama juga ayah dan ibu sabar dan tabah menghadapi segala kemungkinan.

Hari sebelumnya, ujian x-ray ada menunjukkan Amir Yusuf terkena jangkitan di bahagian kanan dadanya. Jangkitan ini sekaligus memberi kesan yang amat besar kepada sistem pernafasan Amir Yusuf. Namun begitu, jangkitan berkenaan sudah semakin berkurangan melalui antibiotik dan antiviral yang diberikan.

Walau bagaimanapun, pernafasan Amir Yusuf agak terganggu hingga memaksa mereka menaikkan tekanan oksigen pada mesin ventilator pada paras yang agak tinggi. Malam itu, Amir Yusuf seakan bermasalah dengan sistem pernafasannya. Bacaan pada skrin monitor menjelaskan segalanya. Oleh yang demikian, mereka terpaksa menggunakan oscillatory ventilator sebagai ganti. Getaran yang diberikan akan mengeluarkan karbon dioksida pada paras yang sepatutnya.

Setiap kata yang terungkap begitu menggetarkan jiwa ayah dan ibu. Setiap luahan tercerna di kepala. Ayah sekadar mengenggam jari jemari. Bagai mahu menghilangkan rasa gemuruh. Dada begitu berdebar. Segalanya bercampur baur.

Adakah di sini penentunya? Sungguh, kami semua tidak tahu. Hanya Dia. Dan setidak-tidaknya kami semua sama-sama berusaha dan berjuang. Tanpa menyerah kalah pada anugerah nyawa yang dikurniakan kepada insan yang bernama Amir Yusuf.

Setelah Dr Mark keluar, Dr Howard pula datang menziarahi kami. Biarpun bertugas pada wad yang lain, Dr Howard masih begitu mengambil berat tentang kami. Tentang Amir Yusuf. Betapa dapat kami rasakan kasih yang ada darinya.

Dengan fizikal yang agak besar, Dr Howard berusaha untuk melutut di sebelah kami. Sebelah kakinya diangkat bagi menampung tubuh badannya. Bicaranya lembut. Menusuk hati ayah dan ibu. Sepanjang berbicara bersamanya, hati kami begitu terusik dengan kelembutan hatinya.

Apa yang berlaku pada Amir Yusuf pada waktu ini, adalah sesuatu yang pernah dijangka. Namun ianya tidak dapat dipastikan.

“We know that all of you have done your best. We would like to thank you for all your supports”.

Demikianlah bicara ayah kepada Dr Howard. Tiba-tiba saja, hati jadi sebak. Namun ayah dan ibu tidak mahu menangis atas perjuangan ini. Apa jua yang bakal terjadi, akan kita tempuhi dengan redha dan kesabaran. Bukanlah di tangan ini yang menentukan segalanya.

Masih lagi ayah teringat kata dan pesan seorang kakak.

“Ingatlah, kalian berdua adalah insan yang terpilih. Allah berikan tarbiah secara direct. Tidak semua orang dapat begitu. Tabah dan sabar. Dan yang pasti, jangan putus harapan. Selebihnya, kita serahkan kepada-Nya.”

Pada malamnya, ayah dan ibu bermalam di hospital meninggalkan Najla bersama Kakak Adibah di rumah. Betapa Najla cuba memahami dan mengerti akan pengorbanan dan perjuangan yang sedang dilalui. Tanpa diduga, mereka menyediakan bilik rehat untuk ayah dan ibu. Alangkah syukurnya.

Tiada apa yang mampu memujuk hati dan jiwa ayah ibu ini. Betapa ayah dan ibu berusaha mengharungi semua ini bersama Amir Yusuf. Pada setiap tangisan, pengorbanan dan perjuangan. Saat begini, betapa seluruh harapan diserahkan kepada-Nya. Hanya Dia yang Maha Mengetahui apa yang terbaik.

Kalimah indah dari kitab suci dibaca. Memujuk jiwa agar tidak dilanda duka dan lara. Moga keteguhan itu akan selalu bersama. Pada setiap dan ketika.

04-03-09

Amanah Ini

Posted in amir yusuf, bicara by fajaril

Ayah dan ibu pulang ke rumah dengan penuh kepenatan. Seharian suntuk berada di hospital bagaikan menarik segala tenaga. Masih terbayang-bayang wajah dan keadaan Amir Yusuf di wad. Masakan boleh dilupakan apa yang telah diperkatakan oleh Dr Mark dan Dr Rebecca pada siang tadi. Namun, hati ayah masih terselit rasa kagum dan hormat. Biarpun apa yang dihadapi oleh Amir Yusuf, doktor dan staf di wad PICU masih lagi berusaha sebaiknya tanpa rasa jemu. Bahkan, mereka cukup tenang dalam apa juga keadaan.

Baru beberapa jam berehat di rumah, tiba-tiba saja telefon bimbit ayah berbunyi. Paparan di skrin menunjukkan panggilan dari hospital. Segera ayah capai dan menjawab panggilan berkenaan.

Alangkah berdebarnya di hati ayah mendengar perkhabaran terkini tentang Amir Yusuf. Seakan mahu terhenti degupan jantung ayah. Nafas bagaikan terhenti untuk seketika. Mahu saja, pada ketika itu ayah dan ibu terus pergi ke hospital. Namun, jururawat yang bertugas mewajarkan agar ayah dan ibu tidak tergesa-gesa.

Ayah pandang wajah ibu. Mengulang semula berita dari pihak hospital. Berhimpun-himpun harapan dan doa untuk anakanda Amir Yusuf. Moga Tuhan memberikan yang terbaik untuk dirimu sayang.

Dan malam itu, tiba-tiba saja salji berguguran di luar tingkap rumah meskipun musim bunga sudah mula bermula. Namun tidak mampu menenangkan segala yang bertandang di jiwa kami mengenangkan nasib Amir Yusuf pada hari-hari mendatang.

[+]

Terima kasih atas segala doa, kata semangat dan pandangan yang diberikan. Pilihan yang pernah diberikan kepada kami adalah beberapa bulan yang sudah. Istikarah dan hajat kami kepada-Nya yang berminggu-minggu dan hingga kini membawa kami ke jalan ini.

Sesungguhnya, Amir Yusuf bukanlah milik kami. Seperti juga kita sebagai hamba-Nya. Dia adalah hak Allah. Amanah ini, kami sambut dengan penuh rasa kesyukuran biarpun dengan air mata. Sebagai ayah dan ibu, kami sekadar memberi yang terbaik dan berusaha sedaya upaya. Sebagaimana hak-Nya, biarlah hanya Dia yang menentukan sejauh mana perjalanan Amir Yusuf. Pada kami, hanya ada doa, harapan dan juga tawakal. Dan Amir Yusuf masih bertahan seperti mana kehendak-Nya.

03-03-09

Yang Berjuang

Posted in amir yusuf, peristiwa by fajaril

Semalam.

Hujan renyai-renyai membasahi kota Glasgow. Kedinginan mula meresapi helaian jaket tebal dan baju yang dipakai. Namun ianya tidak sesekali mengalihkan perhatian dan fikiran ayah tentang keadaan Amir Yusuf di hospital. Baikkah dia? Teruk sangatkah anak ayah?

Kesibukan lalu lintas begitu menyesakkan fikiran. Menambahkan lagi kekusutan yang sedia ada. Jalan yang basah dan licin membuatkan kenderaan bergerak perlahan. Satu demi satu bas melewati hentian bas, namun tiada satu pun yang melalui jalan ke Yorkhill Hospital. Resah dan gelisah. Dan tiba-tiba saja kepala menjadi pening. Mungkin kerana perut yang kosong sejak awal pagi.

Akhirnya ayah memutuskan untuk menaiki mana-mana bas yang boleh berhenti ke Bath Street. Sebaik kaki melangkah keluar dari bas, ayah berlari menuju ke hentian bas yang sepatutnya. Nafas dan degupan jantung menjadi kencang. Betapa begitu lama ayah tidak meluangkan masa untuk mengeluarkan peluh. Mudah saja ayah menjadi penat.

Tiba di hospital, ayah terus bergegas ke wad PICU. Niat untuk bersama Amir Yusuf terhenti kerana staf di dalam wad sedang menjalankan prosedur khas kepadanya. Ayah dan ibu sekadar menanti di bilik menunggu. Kami bersama berbicara. Ayah mendengar status terkini tentang Amir Yusuf dari ibu. Dan selepas itu kami lebih banyak mendiamkan diri. Banyak yang bermain di fikiran ini.

Tiada kata dan rasa yang mampu dizahirkan saat melihatkan wajah Amir Yusuf pada hari ini. Bagai hilang cahaya ceria. Suram dan pudar. Bengkak di bahagian pelupuk matanya. Amir Yusuf terlena setelah diberikan sedatif morfin, midazolam dan vecuronium. Anak ayah dan ibu masih lagi tabah dan kuat berjuang.

Ada lendiran mukus mengalir dari hidung. Perlahan-lahan turun. Ibu segera membersihkannya. Namun lendiran itu masih lagi tidak hilang. Jururawat yang bertugas melaksanakan proses suction ke atas Amir Yusuf pada bahagian tiub tracheostomy dan hidungnya. Amir Yusuf tidak meronta seperti selalu. Kesan sedatif yang kuat menjadikan dia seakan tidak sedar. Hanya bacaan di monitor menentukan bagaimana keadaan Amir Yusuf seperti kadar denyutan jantung, tahap ketepuan oksigen dan juga tekanan darah.

Setiap kali tahap ketepuan oksigen jatuh dari paras yang sepatutnya maka setiap kali itu jugalah jururawat akan mengepam oksigen secara terus ke tiub tracheostomy Amir Yusuf. Sampel mukus, darah dan air kencing dibawa ke makmal untuk ujian yang selanjutnya. Hari ini juga, Amir Yusuf menjalani imbasan x-ray dan ujian echo scan pada jantungnya.

Ayah dapat melihat perut Amir Yusuf yang besar membengkak. Sewaktu ayah menyentuhnya, ianya agak keras. Doktor datang dan pergi ke katil Amir Yusuf sambil meninjau bacaan dan laporan yang tertera pada monitor. Mereka berkumpul dan berbincang.

Ayah dan ibu hanya sekadar mampu memerhati Amir Yusuf. Keadaan Amir Yusuf pada hari ini agak tidak begitu stabil. Sentuhan yang lama boleh membuatkan bacaan turun dari paras yang sepatutnya. Sungguh, ayah dan ibu hanya mampu berdoa agar segalanya dipermudahkan.

Tidak lama kemudian, Dr Davis datang menghampiri kami. Ayah dan ibu masih mengingati Dr Davis. Dialah yang pernah menjalankan pembedahan pertama pada Amir Yusuf di bahagian perutnya. Ada sesuatu yang menyebabkan perut Amir Yusuf bengkak dan keras.

“Intestine inflammation. For the time being, we don’t have to do the surgery. We are going to treat with some antibiotics and watch him closely”.

Terkedu ayah dan ibu seketika. Hingga tidak sempat untuk bertanya. Dr Davis sudah pun berlalu pergi. Amir Yusuf mengalami radang pada ususnya pula.

Aduhai sayang. Kuatlah sayang. Teruslah berjuang sayang!

Mata Amir Yusuf kelihatan merah dan membengkak. Nampaknya ada jangkitan pada matanya. Bukan itu saja, melalui laporan makmal, terdapat jangkitan pada bahagian tekak dan hidung Amir Yusuf.

Ayah dan ibu mengerti, bahkan masih mengingati kata-kata yang diberikan oleh Dr Howard dan Dr Knight suatu ketika dulu. Kebergantungan kepada mesin ventilator pada jangka masa yang panjang bakal mendedahkan Amir Yusuf dengan jangkitan bakteria dan virus. Mungkin ini adalah sebahagian darinya. Dan sayangnya, banyak pula yang berlaku kepada Amir Yusuf dengan serentak. Bagai mahu menguji sejauh mana kekuatan yang ada pada Amir Yusuf.

Lewat petang itu, Amir Yusuf dipindahkan ke bilik pengasingan. Di bilik itu, hanya Amir Yusuf sahaja. Tanpa perlu berkongsi dengan pesakit yang lain.

Saat sebegini, ayah dan ibu begitu kehilangan kata. Tiada keupayaan mahu pun sebarang kuasa. Apa lagi yang tertinggal buat ayah dan ibu? Hanya doa dan harapan. Serta semangat yang masih tidak pernah padam. Bersamamu Amir Yusuf, kita sama berjuang.

Bad Behavior has blocked 42 access attempts in the last 7 days.