Archive for April, 2009

30-04-09

Masih

Posted in bicara by fajaril

Kepulangan kami memberikan banyak reaksi kepada sebilangan mereka yang mengenali. Ada juga yang langsung tidak mengetahui sebab utama mengapa kami pulang ke tanahair pada ketika ini.

“Dulu pergi bertiga, balik sini pun masih bertiga?”

“Hmm. Tak, sudah ada lagi seorang. Tapi kami tak bawa dia balik ke sini.”

“Tinggalkan di sana ke?”

“Kami tak dapat bawa dia balik. Dia meninggal dunia dan dikebumikan di sana. Usianya dalam lapan bulan lebih.”

Diam seketika.

Jawapan itu sekaligus mengubah warna ceria di wajahnya. Ternyata jawapan itu tidak langsung diduga. Namun kami hanya mampu tersenyum menyembunyikan setiap cebis kisah perjuangan dan kesedihan yang telah kami lalui.

Dari sinar matanya, ada rasa kekesalan kerana terlanjur bertanyakan soalan itu. Terselit rasa simpati dan kasihan. Cuma pada ketika ini kami tidak mampu untuk membongkar segala lapisan kisah tentang dirinya. Apa yang pasti, dia dikenang dan dirindu sebagai insan yang penuh semangat kental.

Amir Yusuf masih bersama kami. Pada setiap saat dan ketika.

30-04-09

Belum Berakhir

Posted in bicara by fajaril

Berada di Kelantan, adalah untuk menghabiskan masa bersama keluarga di sebelah ibu. Di Kota Bharu yang mengumpulkan begitu banyak juadah yang unik dan menyelerakan. Segalanya amat istimewa.

Selepas ini, kami akan menyusul ke Melaka. Membuat kunjungan mengejut buat keluarga ayah di sana. Hingga ke saat ini, kepulangan kami masih lagi dirahsiakan dari pengetahuan keluarga di Melaka. Kejutan ini masih belum berakhir.

Moga tiada sesiapa yang membuka cerita. Dan mujur juga mereka tidak pernah mengetahui kewujudan ruangan ini.

Bumi Melaka, nantikan kehadiran kami.

29-04-09

Bagaikan Mimpi

Posted in peristiwa by fajaril

Kereta teksi yang membawa kami dari lapangan terbang Kota Bharu berhenti di depan pagar rumah Abah dan Mami. Sebaik saja melangkah keluar dari pintu teksi, mata terus memandang ke laman rumah. Masih lagi seperti dua tahun yang lalu. Dalam remang senja, masih dapat lagi dilihat rimbunan pokok bunga yang ditanam Mami di sekitar rumah.

Pintu pagar rumah dibuka. Mujur juga masih belum dikunci. Loceng yang mengikat pintu pagar berbunyi memecahkan kesunyian. Lampu di tangga rumah tidak terpasang. Namun cahaya lampu dari dalam rumah menjelaskan ada penghuni di dalamnya. Itu sudah cukup memastikan bahawa kami tidak bermalam di luar pada malam kepulangan kami ini.

Ayah menarik dua beg bagasi besar ke tepi tiang rumah. Rasa peluh sudah dirasakan melekit di sekitar leher dan celahan tubuh badan. Namun semua itu tidak menghentikan betapa terujanya rasa di hati ini. Rasa ingin bersemuka dengan Abah dan Mami. Kami sudah maklum, kebiasaannya Abah tidak berada di rumah pada waktu ini kerana berjemaah di masjid.

Dengan perlahan dan hati-hati, ibu memimpin Najla ke muka pintu. Ayah dan ibu berbisik kepada Najla agar mengetuk pintu rumah sambil memberi salam. Sebaik saja pintu rumah diketuk Najla, ayah dan ibu berselindung di balik kereta.

“Assalamualaikum. Tok Mi, Tok Mi. Bukalah pintu. Najla ni.”

Kedengaran bunyi kaki melangkah ke muka pintu.

“Siapa yang datang ni?”, suara Tokmi dari dalam rumah. Tertanya-tanya dengan kunjungan tetamu yang tidak disangka.

Wajah Mami kelihatan di balik cermin pintu. Itulah wajah Tokmi yang dirindui Najla. Disebut-sebut saban hari sejak di Glasgow lagi. Tokmi menjenguk kami di luar rumah. Pintu rumah dibuka. Tokmi muncul tanpa membuka pintu sepenuhnya. Sekadar untuk melihat siapa yang datang.

Bibir Tokmi mengucap panjang sambil pintu rumah ditutup semula. Tokmi memanggil Cik Su yang berada di dalam rumah. Memaklumkan akan kehadiran tetamu.

Sejurus kemudian, barulah lampu di tangga dihidupkan. Teranglah sudah siapa yang berada di tepi tangga. Ayah dan ibu mula beransur keluar. Apatah lagi melihatkan reaksi Mami yang agak terkejut dengan kemunculan kami di muka pintu. Barangkali kami ini hanyalah satu bayangan imaginasi di kala kerinduannya memuncak. Tapi ini adalah satu hakikat. Realiti. Dan kenyataan. Bahawa kami pulang ke kampung halaman. Tanpa memaklumkan kepada mereka.

“Tok Mi, bukalah pintu. Najla ni. Najla dah balik.”

Perlahan-lahan pintu dibuka. Melihatkan kami bertiga di luar rumah sudah cukup membuatkan Tokmi kehilangan kata. Ya Allah, seraya tangan menekup mulut Tokmi.

Tanpa sebarang kata, Tokmi berundur ke dalam rumah. Mencari ruang untuk duduk. Bagai menampung kekuatan. Hanya tangisan yang kedengaran. Pintu rumah dibiarkan terbuka.

Najla masuk mengekori Tokmi. Tangan kecilnya memegang Tokmi. Lantas tubuh Najla yang kecil itu dipeluk erat bersama tangisan melerai kerinduan. Selama ini, suara Najla hanya kedengaran jauh melalui panggilan telefon. Keletahnya hanya mampu dibayangi. Wajahnya hanya dilihat melalui gambar. Dan kini, Najla dapat disentuh, dibelai dan dipeluk.

Dua tahun terpisah, dan kini Najla muncul di depan mata. Bagaikan mimpi nan indah.

Kami berpelukan. Air mata yang terzahir bagai menceritakan segala-galanya. Di dalamnya ada rindu, kenangan dan kisah. Terutamanya pada yang tidak dapat pulang bersama kami. Yang jasadnya tersemadi jauh di Glasgow.

Terlepas sudah sebahagian beban di dada. Yang selama ini sarat dihimpit keharuan. Meskipun kepulangan kami ini jauh beribu batu, namun bumi Glasgow begitu dekat sekali. Biarpun tidak sekali dirasai kedinginannya, namun talian erat yang disimpulkan menjadikan ia segar di ingatan. Barangkali kerana separuh diri kami masih berada di sana.

Tidak banyak cerita yang mampu pada masa yang sesingkat ini. Tetapi, akan banyak kisah yang bakal menyusul selepas ini. Terutamanya tentang anakanda Amir Yusuf.

Kepenatan perjalanan jauh masih lagi terasa. Namun semuanya bagaikan terubat apabila berada di ruang yang begitu biasa. Warna, haruman dan suasana membuatkan kami bukan berada di khayalan.

Kedengaran bunyi motor masuk ke perkarangan rumah. Itu Abah! Tokbah Najla sudah pulang dari masjid.

Ayah dan ibu bingkas bangun menuju ke bilik tidur sambil menahan ketawa. Hanya Najla yang mengikuti Tokmi ke pintu dapur bagi menyambut kepulangan Tokbah.

“Siapa ni? Najla?”

Bukan. Ini anak doktor yang mahu menumpang ke rumah kita pada malam ini. Ada masalah penerbangan. Demikianlah kata Mami kepada Abah.

Ternyata, Abah agak keliru. Dua tahun telah mendewasakan Najla dari bayi kepada kanak-kanak. Namun, nalurinya seakan terasa itu bagaikan Najla. Tetapi Abah tidak berani untuk menyentuhnya.

Kami keluar dari dalam bilik. Memperlihatkan diri di depan mata Abah.

Ya Allah!

Ucap Abah yang begitu terkejut. Lantas, Najla yang berada di depan mata terus dipeluk erat. Air mata terus bergenang di pelupuk mata Abah. Dan sememangnya Abah jarang sekali menangis. Namun kerinduan yang sebegitu lama menjadikan hatinya cair.

Pertemuan ini sememangnya begitu bermakna. Bersama kami, semangat Amir Yusuf yang tidak pernah padam. Subur dengan kasih sayangnya hingga kami bawakan ke tanahair. Dan pertemuan kali ini bersatu dalam tangisan kerinduan yang sukar dizahirkan dengan kata-kata.

27-04-09

Kejutan

Posted in bicara by fajaril

Sememangnya kepulangan kami langsung tidak dimaklumkan kepada keluarga di kampung. Sengaja dirahsiakan. Khuatir juga kalau tidak menjadi di saat-saat akhir. Syukur, Tuhan memperkenan impian kami untuk menghirup ruang udara di tanahair.

Satu rasa bertandang ke dalam jiwa sebaik saja melangkah ke bumi tercinta. Segalanya kelihatan cukup dikenali. Wajah-wajah yang bukan dari berkulit putih Eropah. Papan tanda dan suara yang melengkapkan kami sudah di Malaysia. Bertahun sudah bumi ini jauh di mata. Dikenang-kenang. Dan dirindu-rindu isinya.

Bahang mentari menjadikan suhu di sini lebih dari 20 darjah celcius berbanding Glasgow. Kesejukan selama ini bertukar menjadi kepanasan. Peluh yang selama ini tersimpan mengalir keluar. Tetapi ianya sudah cukup untuk membuatkan hati jadi tersenyum.

Kami meneruskan perjalanan untuk penerbangan seterusnya ke pantai timur. Awan gemawan menyimpul rasa bahagia. Ketibaan kami disambut dengan remang senja.

Alangkah berdebarnya menantikan reaksi Tokmi dan Tokbah melihatkan Najla di depan mata. Dan sememangnya kejutan ini adalah lebih dari kebiasaan. Moga ia menjadi permulaan bagi keindahan yang bakal kami tempuh selama beberapa minggu ini.

25-04-09

Terbang Pulang

Posted in bicara by fajaril

Sudah beberapa malam terhimpun dengan mimpi-mimpi di tanahair. Sekian lama kerinduan itu berkumpul dan tersimpul di setiap ruang. Segalanya seakan jelas terbayang di depan mata.

Demi memohon restu, menzahirkan khabar sebulan yang sudah dan mencari semangat baru, maka akhirnya kami terbang pulang. Biarpun pada tempoh yang singkat namun adalah diharapkan ianya memadai.

Hanya satu hajat yang tidak mungkin tertunai. Membawa Amir Yusuf terbang pulang dan mempertemukan dirinya buat mereka yang merindu.

Bad Behavior has blocked 42 access attempts in the last 7 days.