08-04-09

Kasih Di Pusara

Posted in amir yusuf by fajaril

snowflakes

Sepurnama sudah berlalu sejak Amir Yusuf pulang kepada-Nya. Ketika musim dingin sudah pun berada di penghujungnya. Kini, musim bunga sudah pun berganti. Namun seakan baru saja semalam peristiwa itu berlaku. Masih lagi terasa segar detik-detik indah bersamanya. Waktu yang seketika tetapi meninggalkan kesan yang begitu mendalam.

Sejak itu, Hospital Yorkhill tidak pernah lagi dikunjungi. Staf di dalam wad PICU pernah berpesan agar menghubungi mereka sekiranya kami ingin mendapatkan penjelasan lanjut tentang bermacam perkara, terutamanya yang berkaitan dengan Amir Yusuf. Ayah tertanya, masih adakah lagi jaket ibu yang tertinggal di dalam bilik pelawat? Kesibukan urusan pada hari terakhir di wad itu membuatkan ibu terlupa untuk mengambilnya sebelum pulang. Hingga ke saat ini, kami belum berkesempatan untuk ke sana. Melihat papan tanda Hospital Yorkhill saja sudah cukup mencuit rasa hati ini. Terbayang di fikiran ayah bagaimana keadaan wad yang pernah menempatkan Amir Yusuf.

Satu hari nanti, kami mungkin akan ke sana semula untuk memberikan sesuatu kepada staf di sana. Sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kami atas sokongan mereka selama in. Dan untuk itu, ayah dan ibu harus bersedia untuk menelan hakikat kepahitan bahawa kehadiran kami ke sana nanti akan mengimbas semula setiap peristiwa yang pernah terjadi. Pengalaman di hospital itu adalah terlalu bermakna dan cukup luar biasa. Lebih-lebih lagi, di situlah tempat yang menjadi saksi Amir Yusuf berada di dalamnya sejak dirinya dilahirkan. Dan di situlah nafas terakhir Amir Yusuf dihembuskan. Meninggalkan segala makhluk yang bernyawa di dunia. Meninggalkan ayah, ibu dan kakak Najla. Lapan bulan. Sudah tentu tempat itu menjadi sebahagian dari hidup ayah dan ibu.

Namun begitu, ayah dan ibu tetap akan mengingati pada layanan yang begitu mesra dan prihatin dari mereka. Ayah dan ibu sedar, kami ini hanyalah orang asing di rantau orang. Tetapi, itu semua tidak menafikan langsung hak Amir Yusuf. Bahkan, usaha dan rawatan yang diberikan kepada Amir Yusuf selama itu tanpa mengenal rupa, bangsa dan agama. Kalau semua itu ditukar dalam bentuk kos, sudah tentu kami tidak mampu membayarnya. Hospital Yorkhill, juga dikenali sebagai Royal Hospital for Sick Children ini mempunyai sirinya yang tersendiri di dalam Discovery Channel of Health and Living. Amir Yusuf berada di kalangan mereka yang cukup berpengalaman dan berkepakaran di dalam bidang masing-masing. Oleh itu, tidak pernah ayah dan ibu merasa sesal di atas segala yang ditetapkan. Semua yang berlaku mempunyai hikmah yang tersendiri.

Dan segala pengalaman dan kenangan itu tersimpan di dalam hidup kami. Menjadi sebagai salah satu ’sijil’ kehidupan yang amat bernilai kerana di dalamnya pernah menyimpul erti perjuangan. Setiap perkataan ini – kekuatan, ketabahan, kesabaran dan keredhaan adalah amat besar di dalam bentuk zahir dan batin buat kami yang melaluinya. Bahkan akan turut dirasai kepada mereka yang mengalami dugaan kehidupan yang tersendiri.

Kini, sebahagian kasih kami dibawa pergi. Tiada lagi jasad Amir Yusuf untuk dibelai, dipeluk dan dicium. Tidak akan ada lagi peluang untuk ayah dan ibu untuk tidur di sisi Amir Yusuf. Terpadam juga hasrat untuk mempertemukan Amir Yusuf kepada datuk dan nenek di tanahair. Demikian juga keinginan para saudara dan teman yang mahu bersua muka dengan Amir Yusuf. Hanya koleksi gambar yang sempat dirakam, catatan diari harian di hospital dan juga milik peribadi Amir Yusuf menjadi tatapan untuk kenangan. Juga untuk melepas rindu. Namun begitu, Amir Yusuf masih dekat dan selalu bersama kami biarpun kejauhan kami dipisahkan di antara dua alam yang berbeza.

Kini, rutin perjalanan ke hospital sudah berganti kepada kunjungan ke pusara Amir Yusuf. Biarpun tidak setiap hari, namun ayah dan ibu akan cuba untuk datang melawat. Lebih-lebih lagi saat rindu datang bertamu.

Ayah dan ibu tidak mampu untuk berlagu kasih seperti dahulu bagi membuatkan Amir Yusuf tidur lena. Ayah dan ibu tidak dapat membelai dan menepuk Amir Yusuf agar berhenti menangis atau bermanja. Barangkali semua itu diambilalih oleh para malaikat atau bidadari. Yang mampu ayah dan ibu lakukan hanyalah membacakan surah suci Al-Quran di sisi pusara dan juga pada waktu lain yang terluang. Sesekali, alunan suara kami dibawa bersama angin sejuk yang bertiup. Kebas dan dingin segala ruang kulit yang tidak terlindung.

nisan1

Batu nisan marmar berwarna hitam sudah diletakkan di atas pusara. Terukir lafaz Bismillah dan kalimah syahadah serta nama penuh Amir Yusuf dengan warna emas. Tanda nisan di sini juga tidak sama seperti yang biasa ayah dan ibu lihat di tanahair. Namun, memadailah sebagai tanda bahawa jasad Amir Yusuf disemadikan di dalamnya.

Tanah di atas pusara Amir Yusuf tidak dibiarkan kosong. Tiada kemboja, melur atau kenanga di sini. Tetapi ayah tanamkan dengan sepohon pokok ‘japanese maple‘ yang mengeluarkan daun berwarna mengikut musim. Dari hijau kepada oren kemerah-merahan. Di kaki pusara, ibu tanamkan anak pokok bunga ros. Moga ianya akan subur, membesar dan mengeluarkan bunga yang mengharumkan sekitar pusara. Ayah dan ibu turut menanam pokok-pokok berdaun dan berbunga kecil. Salah satu darinya dikenali sebagai ‘snowflakes‘ kerana bunganya berwarna putih salji. Selain dari bunganya yang cantik, ia menjadi sebagai tanda pemergian Amir Yusuf sewaktu salji berguguran di penghujung musim.

maple

Dan kini, pusara Amir Yusuf bagaikan taman kecil. Ini adalah sebahagian yang mampu ayah dan ibu lakukan bagi menzahirkan rasa kasih dan sayang buat anakanda Amir Yusuf. Harapan ayah dan ibu agar setiap pokok yang ditanam dengan penuh rasa kasih itu akan tumbuh dengan subur biarpun musim silih berganti. Ayah dan ibu turut mengharapkan agar liang lahad ini menjadi salah satu pintu ke syurga buat Amir Yusuf.

Dalam doa, ayah dan ibu memohon agar Allah sentiasa melimpahkan rahmat buat Amir Yusuf. Moga kepulangan Amir Yusuf ke alam sana dengan ketenangan dan kegembiraan. Akan tiada lagi kepedihan dan kesakitan yang dirasai di dunia. Perginya Amir Yusuf membawa setiap inci keistimewaan yang ada pada dirinya. Ruang bahagia sudah pun dijanjikan. Dan sebagai salah seorang manusia yang terpilih, pasti Amir Yusuf akan dikumpulkan bersama insan-insan yang seistimewa dengannya. Sesekali, ayah cuba membayangkan, Amir Yusuf ketawa dan berlari-lari. Namun, fikiran ini ternyata terbatas untuk menggambarkan keadaan di alam sana.

Kesepian di sekitar kawasan perkuburan ini begitu hening sekali. Seolah membuka ruang untuk mengenal diri dan Pencipta. Membahagi dua alam. Memisahkan antara hidup dan mati. Dan semua ini mengingatkan ayah dan ibu, bahawa satu hari nanti juga kami akan pulang kepada-Nya. Dengan penuh kerendahan diri, ayah dan ibu hanya mengharapkan agar rahmat Tuhan sentiasa membawa kami pada jalan yang menuju ke syurga-Nya.

Dan di pusara ini, ruang rindu terwujud bersama haruman kasih yang subur mewangi ke seluruh pelusuk jiwa. Moga ia akan terus mengharum hingga ke syurga.

nisan2

Ya Allah, satukanlah kami semua bersama dirinya di dalam syurga-Mu. Amin.

You can leave a comment, or trackback from your own site. RSS 2.0

47 comments

  1. Kak Zira says:

    Al-Fatihah amin…

    08-04-09 at 11:38 pm

  2. arazmamusha says:

    aaaamiiiiiiinnnnn

    08-04-09 at 11:49 pm

  3. siti818 says:

    Amin..

    al fatihah dari kami sekeluarga.

    sepurnama sudah amir pergi mengadap ilahi, rasa macam baru lagi…

    kalaulah pusara itu ada di Malaysia, kami sekeluarga Insya Allah akan menziarahinya

    09-04-09 at 12:02 am

  4. ellanie says:

    syurga itu idaman semua…semoga atas apa yg berlaku lebih mendekatkan diri kita kepadaNYa…saudara fajar…boleh tuliskan lagi cerita anakanda Najla?terigin benar nk mengetahui perihal dia skrg..semoga dgn membaca cerita gembira nya akn sedikit sebanyak terubat rindu ini kpd anakanda amir yusuf..

    09-04-09 at 12:07 am

  5. linda says:

    pemergian Amir Yusuf terasa baru lagi namun kerinduan anda sekeluarga terus mekar..

    insya’allah Amir akan menanti anda di sana dengan senyum n tangan terbuka menanti pelukan yg didamba…

    09-04-09 at 12:38 am

  6. fiza says:

    Fajar,

    Apa jua kisah tentang Amir sudah pasti membuatkan saya rasa pilu tetapi bila mengingatkan yang arwah ketika ini sedang berbahagia di ’sana’… hati ini berasa lapang.

    Sudah ditentukan Allah… Amir lahir dan dipusarakan di negara orang.

    Semoga Allah merahmati rohnya.

    09-04-09 at 12:45 am

  7. nestumrasberi says:

    al fatihah buat amir yusuf

    09-04-09 at 1:02 am

  8. azeemah says:

    salam buat fajar n isteri

    salam takziah dari saya dan suami…

    ketabahan saudara suami isteri menempuhi ujian ini amat menyentuh perasaan saya…

    rupa-rupanya ada insan yg diduga jauh lebih hebat dari apa yang saya tempuhi.

    al fatihah buat amir yusuf

    al fatihah buat anakanda amani murtadha

    09-04-09 at 1:23 am

  9. sheffa says:

    Buat Sdr Fajaril n isteri, sesungguhnya ujian Allah ini datang kerana Allah sayang kita, supaya kita selalu dekat dengan Nya, ada hikmah disabaliknya, Al-fatihah buat Arwah adik Amir Yusuf.

    09-04-09 at 2:03 am

  10. yus says:

    Dan di pusara ini, ruang rindu terwujud bersama haruman kasih yang subur mewangi ke seluruh pelusuk jiwa. Moga ia akan terus mengharum hingga ke syurga.

    amin.. :)

    09-04-09 at 2:29 am

  11. leany says:

    terlalu rindu rasa hati pada arwah Amir Yusuf. pastinya arwah Amir mengecapi kebahagiaan bersama Allah yang Maha Esa ketika ini.

    Al-fatihah buat Amir Yusuf.

    09-04-09 at 2:50 am

  12. masni says:

    tiba tiba rasa rindu kepada Arwah Amir Yusuf membuak buak. Membuatkan air mata ini bergenang. Al-Fatihah. Semoga Arwah Amir Yusuf gembira di sana.

    09-04-09 at 3:20 am

  13. mummy miqhael says:

    AL FATIHAH …BUAT AMIR YUSUF..
    BUAT SAUDARA DAN ISTERI, KALIAN ADALAH YG TERCIPTA SEBAGAI ORG YG PALING KENTAL, TABAH DAN SABAR ATAS SEGALA DUGAANNYA YANG MAHA HEBAT…

    DARI SAYA SEKELUARGA, UCAPAN TAKZIAH YG MAMPU HANYA DI HULUR..

    MOGA AMIR YUSUF TENANG DAN BAHAGIA DISISI PENCIPTANYA DISANA..AMIN

    09-04-09 at 4:07 am

  14. chentahati says:

    Saya juga..
    Moga Amir Yusof akan bahagia di sana..

    09-04-09 at 4:09 am

  15. ita_epul says:

    salam..
    ni 1st time baca blog en fajar..
    tersentuh sgt hati ni..
    byk dugaan utk diri ini tpi tak shbt dugaan yg dtrma oleh en fajar skluarga…
    smg tabah sllu..
    moga keimanan kpdNya sntiasa dlm diri..
    Al Fatihah buat Amir Yusof

    09-04-09 at 4:15 am

  16. vidz says:

    Sudah pasti tenang Amir Yusuf di Syurga Ilahi. Semoga Fajar sekeluarga dapat meneruskan hari-hari mendatang dengan lebih tenang juga. Amir Yusuf tetap bersama di setiap hela nafas kalian. Saya doakan semoga kalian sekeluarga akan bertemu kembali di alam Syurga kelak, mengecapi saat-saat bahagia bersama. InsyaAllah. Amin…

    Rindu pada Amir Yusuf tetap bertakhta di hati.

    09-04-09 at 4:40 am

  17. rudy says:

    amin.

    09-04-09 at 4:45 am

  18. mama adam says:

    Aminnnnn…

    Tiada tempat yang paling indah melainkan syurga Allah…

    09-04-09 at 6:09 am

  19. azma says:

    Amin…
    Moga Allah mempertemukan dan menyatukan kebahagiaan hati2 kalian dengan Amir Yusuf kelak. Insyallah.

    09-04-09 at 6:55 am

  20. xiao hong says:

    amin

    09-04-09 at 8:16 am

  21. hidaya says:

    Amin…

    09-04-09 at 11:49 am

  22. XiS says:

    Amin… semoga segala doa dan impian akan dimakbulkan Tuhan.

    09-04-09 at 1:50 pm

  23. maymot says:

    Buat ibu dan ayah amir yusuf,

    Sudah ada satu pendinding api neraka pemberian amir yusuf buat kalian…

    Ameen.

    09-04-09 at 2:36 pm

  24. adinsa says:

    al fatihah buat anaknda amir yusuf..namun di sebalik kesedihan ini, mummy lapang dada kerana sudah pasti amir yusuf sedang BERBAHAGIA DI SISI YANG MAHA ESA.

    09-04-09 at 3:22 pm

  25. iv says:

    Amin sis anis dan fajr

    Sungguh beruntung kalian kerana ALLAh uji dengan ujian ini dan berjaya melaluinya.Terima kasih atas perkongsian pengalaman. Sekurang kurangnya menyedarkan saya bahawa byk sgt nikmat yang ALLAH bagi perlu saya syukuri.

    09-04-09 at 7:23 pm

  26. yfatahyah says:

    Saudara Fajar,
    Apa yang saudara sekeluarga lalui yang telah diterjemahkan ke dalam blog ini begitu telus sekali sehingga menyentuh sanubari saya. MasyaAllah, begitu besar ujianNya, saya amat terharu & kagum dengan kesabaran, ketabahan dan kekuatan saudara suami isteri. Tahniah kerana beribubapakan penghuni syurga, dan insyaAllah dengan rahmatNya anak itu akan menanti ibu & ayahnya dengan penuh kerinduan di pintu syurga, ameen & al-fatihah..

    09-04-09 at 9:59 pm

  27. umieniza says:

    Salam Saudara Fajar & keluarga…

    Setiap kali membaca catatan anda sekeluarga membuatkan hati saya sgt tersentuh…apapun setiap yg berlaku ada hikmahnya dan saya berharap anda sekeluarga sentiasa tabah meneruskan hidup & perjuangan yg belum selesai.Pastinya anakanada Amir Yusuf sedang berbahagia di sana…

    Saya berterima kasih kepada saudara Fajar sekeluarga kerana sudi mencatatkan pengalaman ini, walaupun perit ttp ia memberikan kesedaran kpd bnyk jiwa.Sesungguhnya anak2 adalah anugerah Allah s.w.t yg tidak ternilai dan bersyukurlah kita di atas kurniaan ini. Kalian telah melaksankan t’jawab terbaik buat Amir Yusuf..namun Allah lebih menyayanginya.

    Moga kalian tabah selalu.

    Al Fatihah buat anakanda Amir Yusuf…

    10-04-09 at 1:45 am

  28. azrinna says:

    Amin

    10-04-09 at 2:38 am

  29. lexa says:

    sambutlah pemergian Amir Yusuf dengan kesyukuran meskipun dalam kepiluan dan kerinduan.

    insyALLAH Amir Yusuf akan menyambut tangan Ayah dan Ibu di syurgaNya kelak.

    ibarat satu perhargaan dari Amir Yusuf untuk kalian yang telah banyak menjaga dan berkorban semasa hayatnya meskipun Amir Yusuf tidak dapat membalas jasa dan menemani kalian di dunia.betapa bertuahnya kalian!

    InsyALLAH saudara Fajar sekeluarga akan dapat menikmati kebahagian yang tiada penghujungnya di syurgaNya kelak.Amin

    10-04-09 at 4:40 am

  30. zai says:

    amir yusuf akan kekal menjadi sebahagian rindu kita…
    tabahkan la hati kalian..

    al-fatihah buat amir yusuf..

    al-fatihah buat ayahanda tercinta, Ghaifullah…

    10-04-09 at 5:56 am

  31. cikgu_math says:

    fajar
    kesedihan pasti terasa, rindu pasti ada pada setiap ruang masa yang mendatang..
    Akak kehilangan suami 3 tahun yang lepas kerana accident, meninggalkan 9 anak yang masih kecil, hingga saat ini rindu padanya pasti ada…tetapi hidup mesti diteruskan.
    gantikan kerinduan itu dengan doa dan alfatihah, semoga beliau tenang di alamnya.Dan kita tabah di bumi ini…

    12-04-09 at 4:01 am

  32. serimawar says:

    Al-Fatihah…

    Semoga doa anda sekeluarga dimakbulkan Tuhan..
    dan semoga Amir Yusuf dpt bersatu bersama ayah & ibu di alam sana…

    13-04-09 at 6:14 am

  33. Ummica says:

    Salam Ayah & Ibu,

    istimewanya rasa rindu pada anakanda Amir kerana rindu itu sebati. Pastinya ada yg menanti ayah & ibu di sana.

    Al-Fatihah buat Anakanda Amir Yusof

    13-04-09 at 7:17 am

  34. qemmal says:

    salam takziah

    14-04-09 at 2:27 am

  35. mommy leel says:

    Salam buat Ayah, Ibu and Najla,

    Al-fatihah buat dearest Amir Yusuf. May Allah bless your sweet soul.

    I couldn’t stop my tears the moment I start reading your entry. Even while I’m writing this comment tears keep on flowing. I guess it comes just naturally.

    First of all, terima kasih for making me appreciate more of my children and family.

    I pray that all of you become stronger each day. Stick together even more -you need each other the most at this period of time.

    and for late little Amir Yusuf semoga lebih tenang dan bahagia di sampingNya. I’m sure he’ll missed you as much as all of you do. Percayalah kerinduan ini is going to worth it in the end. Insyallah…saya doa kan yg terbaik buat anda sekeluarga.

    14-04-09 at 5:29 am

  36. Fariza says:

    Salam En.Fajar sekeluarga

    Alfatiah untuk arwah Amir Yusuf.

    Sudah pasti ade yang menunggu di syurga nanti.Amin.

    14-04-09 at 6:59 am

  37. akuoku says:

    yg suci kembali kepada yang Maha Suci. sesungguhnya saya tak sanggup membaca entry ni sampai habis. apa pun yg terjadi sesungguhnya itulah yg terbaik untuk kita.

    Alhamdulillah anda sekeluarga telah melaluinya dgn jaya, saya entahlah belum sanggup rasanya.

    14-04-09 at 1:12 pm

  38. Maz says:

    Assalamualaikum…
    Indahnya kerinduan itu, rindu pada anakanda yang telah pergi… hanya Allah yang tahu bila ia akan terlerai… masa adalah penghulu yang boleh meleraikannya… tapi itu juga kepunyaan Allah… akan tetapi rasa kerinduan yang mengegarkan jiwa itu juga dikurniakan Allah pada jiwa kalian berdua… Ya Allah, maha hebatnya kekuasaanMu dalam menterjemahkan rasa kasih sayang pada anak yang tak bertepian… Semoga kerinduan anugerah Allah itu tidak terlalu membebankan jiwa ayahanda dan bonda Amir… Rindu pada yang telah tiada dan rindu pada yang masih hidup memang ternyata amat berbeza… Hebatnya pencipta kita, ya Allah, ya Rabbi… sama-samalah kita berdoa agar kita sentiasa berada di dalam lingkungan rahmat pencipta kita dalam mengharungi dugaanNya, Amin…

    15-04-09 at 3:40 am

  39. sri dewi says:

    Assalamualaikum..

    Sayu membaca coretan anda.. membacanya seolah membaca luahan hati saya sendiri.. melahirkan anak pada 16.3.2008 dan diambil mengadap Ilahi setahun kemudian pada 16.3.2009… tempoh masa yang tidak lama dengan Amir Yusuf.. Mungkin anak saya sedang bermain-main dengan Amir Yusuf ketika ini… Saat anak saya menghembuskan nafas terakhir di hospital… hospital yang menjadi rutin ulang-alik selama setahun usia kerana keadaan yang kesihatan yang tidak stabil.. terasa begitu pilu, hiba, sesal, keliru, bersalah dan bermacam-macam fikiran, bercampur aduk… Bersyukurlah kita sebagai orang Islam yang diwajibkan untuk beriman dengan ketentuan Allah swt, putuskan segala rasa yang melanda dengan kesyukuran kepada Allah swt.. semoga tercipta bahagia untuk anak-anak kita dan kedua orang tua, insyaallah andai diredhai Allah, kita akan mendapat syafaat anak-anak yang telah pergi meninggalkan dunia tetapi hidup abadi di syurga Allah..

    15-04-09 at 5:33 am

  40. ida says:

    salam takziah untuk en fajar sekeluarga..
    Subhanallah, Maha suci Allah..Dia lebih mengerti apa yang terjadi. Moga makin tabah dan cekal.

    15-04-09 at 8:36 am

  41. Zee says:

    Fajari & Isteri…

    Segalanya ketentuan yang pasti ada hikmahnya. Bersyukurlah walau dilanda pahit kehidupan, itu adalah saham kita…Al-Fatihah Amir Yusuf…..semuga bahagia di sana….menanti kehadiran ibu & ayah…InsyaAllah….

    15-04-09 at 8:44 am

  42. mummy miqhael says:

    saye terpanggil untuk memberi komen kali kedua..

    seperti kate mommy leel..saye juge same…my tears keep on flowing..its come naturally when i read your blog..

    ia byk mengajar saye untuk lebih, lebih dan lebih menghargai anugerah dan kurniaan illahi..

    ape yg diterjemahkan sgt tulus dan ikhlas..semoga allah terus memberi kekuatan untuk saudara dan keluarga..

    alfatihah selamanye..untuk late litthe amir yusuf..aminn

    16-04-09 at 7:30 am

  43. sue_liah says:

    salam takziah untuk en. fajar sekeluarga air mata sya x henti2 mngalir membaca ttg adik Amir Yusuf
    yg comel ini…

    smoga tabah menghadapi ujian dr ALLAH

    al-fatihah Amir Yusuf smoga tenang disana…

    17-04-09 at 8:27 am

  44. Blackpurple @ jowopinter says:

    Ameen.

    22-04-09 at 12:34 am

  45. are_u_nie says:

    salam,
    sepanjang saya membaca kisah Amir Yusuf, tidak henti henti mata ini mengalirkan airmata.. MaasyaAllah..Betapa tabah dan cekal seorang yang bernama ibu dan betapa penuh kesabaran dan ketabahan hati seorang bapa menjaga seorang anak yang akhirnya pergi menyahut seruan Illahi. Tidak sanggup rasanya kira saya di tempat kalian untuk menempuh segala liku liku ini. Doa buat Amir Yusuf, semoga ditempatkan bersama-sama dalam golongan yang dikasihi Allah SWT hendaknya..Alfatihah..

    22-04-09 at 6:03 am

  46. ena says:

    al-fatihah..semoga sentiasa sabar da tabah hadapi dugaan dr Allah..

    Allah lebih menyanyangi amir yusuf

    22-04-09 at 6:13 am

  47. mamadam says:

    Salam kenal..
    menjurai2 air mate nat mase bace setiap en3 Amir Yusuf..xmampu rasenye nat tempuh kalo la nat yg kehilangan..apepun takziah nat ucapkan ats pemergian Amir Yusuf..syurga adlh tmptnye yg hakiki..tertarik nak bace blog ni sbb name ank kte hmpir same..cuma yg membezakan Amir n Adam shj..Adam Yusuf..

    16-10-09 at 9:48 am

Leave a comment

Bad Behavior has blocked 42 access attempts in the last 7 days.