Archive for May, 2009

27-05-09

Seperti Baru

Posted in bicara by fajaril

Glasgow menyambut kepulangan kami dengan cuaca yang indah. Mentari memancarkan cahaya. Tidak seperti selalu, hujan di waktu begini. Cuaca yang indah ini dapat membuatkan kami menikmati pandangan di luar. Buminya hijau dan penuh dengan bunga-bungaan. Sama seperti saat pertama kali kami menjejaki kaki ke sini beberapa tahun yang lalu.

Rasa rindu sudah mula bertapak sedikit demi sedikit. Dalam masa yang sama, fikiran mula ligat membuat perancangan. Kepulangan kami ini akan terus menuju ke rumah yang baru. Segalanya bagai bermula dari awal. Seperti orang yang baru tiba ke tempat baru layaknya. Banyak perkara yang harus disempurnakan.

Dan buat beberapa hari ini, kami hanya sibuk membersih, mengemas, menyusun dan yang sewaktu dengannya. Baru saja semalam talian telefon dan internet disambungkan semula. Selepas ini, urusan penukaran alamat pula yang akan dilaksanakan. Mujur juga pejabat pos di sini menawarkan perkhidmatan redirect mailing yang dapat memudahkan sebahagian tugas.

Di samping itu, kami turut mencari barang-barang keperluan rumah yang lain. Mendaftarkan Najla ke nurseri dan doktor kesihatan yang baru. Kami mula membiasakan dengan rumah yang baru. Dengan semangat yang baru.

Moga semua ini menjadi satu permulaan kepada perkara yang lebih baik. Insya Allah. Mudah-mudahan.

22-05-09

Kembali

Posted in bicara by fajaril

Pelbagai rasa yang berkumpul di dada. Akhirnya, tiba masa untuk kami melangkah pulang ke Glasgow. Memang terasa berat untuk kembali ke daerah yang dingin. Apatah lagi dirasakan begitu singkat kepulangan ini. Namun, perjuangan kami masih belum berakhir. Masih belum sempurna amanah yang diberikan.

Di sana, ada yang begitu setia menanti. Penuh rindu. Penuh syahdu.

* Catatan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai – 5.55 am.

21-05-09

Cerita

Posted in bicara by fajaril

Kepulangan kami di sini penuh dengan cerita. Barangkali memang telah ditetapkan oleh Tuhan bahawa kami harus berdepan dengan pelbagai kisah. Ada dendam yang harus disimbah dengan doa. Ada layangan sihir yang penuh noda. Ada cerita. Ada konflik.

Namun di hujungnya tetap mengajar kami mencari erti kehidupan yang sebenar.

20-05-09

Layaran Dunia

Posted in bicara by fajaril

Pulang ke Malaysia membuatkan kami sedikit sukar untuk berhubung melalui internet. Mujur juga, ada banyak kedai yang memberikan perkhidmatan wifi secara percuma.

Di Kota Bharu, kami banyak menghabiskan masa di kedai yang banyak menghidangkan menu dalam bentuk mi. Mungkin juga salah satu alasan untuk menikmati suasana yang lebih ’sejuk’ jika dibandingkan di luar. Tetapi, makanan dan minumannya agak sedap juga.

Di Melaka pula, kedai donut menjadi sasaran. Masih teringat reaksi abah di Kota Bharu, yang hanya tersenyum apabila melihatkan menantunya selalu sangat membeli donut dalam tempoh dua minggu di sana.

Hampir semua catatan di blog ini tertangguh dari masa ianya ditulis. Semuanya bergantung kepada masa dan waktu kami berkesempatan untuk melayari dunia internet.

19-05-09

Kepulangan

Posted in peristiwa by fajaril

Pesawat yang membawa kami dari Kota Bharu akhirnya selamat tiba di KLIA. Dari sana, kami menuju ke KL Sentral menggunakan perkhidmatan keretapi laju ERL. Pertemuan dengan sahabat lama yang sudah lama berutusan sejak di Glasgow adalah sesuatu yang amat bermakna. Bahkan, jika tidak kerana bantuan darinya maka kejutan di Melaka sudah tentu kurang menjadi. Kesudian untuk meminjamkan keretanya kepada kami amatlah dihargai. Terima kasih DJ.

Malam sudah pun berlabuh sewaktu kereta menyusur lebuhraya menuju ke selatan. Kali ini, bahang dari kepanasan di luar agak berkurangan. Tambahan pula dengan deru pendingin udara kereta. Memandu pada waktu begini bagaikan satu perkara yang amat nostalgik. Inilah laluan lebuhraya yang lama ditinggalkan. Satu perkara yang tidak berubah adalah sikap terburu-buru pemandu di sini. Sedangkan di sana, segalanya penuh cermat dan hemah. Jarang sekali melihat kenderaan yang terkejar-kejar. Di sini, ianya begitu biasa.

Melaka menyambut kami dengan penuh kemeriahan. Lampu neon di sepanjang jalan di Melaka begitu berseri. Hinggakan Najla teruja melihat pemandangan waktu malam di Melaka. Dua tahun berlalu, banyak juga perubahan yang berlaku.

Hati begitu berdebar apabila memasuki kawasan kampung. Jalan yang kecil sudah menjadi lebar. Setiap laluan bagai bercerita. Tentang kisah dulu. Tentang kisah sewaktu ditinggalkan. Terimbas segala memori. Bagai terbongkar dari peti yang sudah lama tertutup.

Akhirnya kami tiba ke destinasi. Rumah Mak dan Bapak berada di antara dua rumah milik abang ayah. Rumah Mak, Tok kepada Najla sudah berubah. Bahagian depan rumah yang beranjung sudah tiada. Tiada lagi bahagian rumah berkayu. Ada kesan dirobohkan. Hanya bahagian belakang rumah masih lagi berdiri.

Enjin kereta dimatikan sebaik saja berada di hadapan rumah. Lampu juga turut dipadamkan. Pintu rumah masih tertutup biarpun kedengaran bunyi dari televisyen di dalam rumah. Kehadiran tetamu ke rumah Mak dan Bapak pada waktu begini adalah memang biasa. Hampir setiap malam, ada saja kunjungan orang untuk bertemu dengan Bapak. Kehadiran kami pada malam itu mungkin disangka sebagai kunjungan dari tetamu yang lain juga.

Seperti biasa, ayah dan ibu meminta Najla untuk mengambil peranan. Sama seperti yang dilakukan sewaktu kami sampai di Kota Bharu yang lalu.

Najla keluar dari pintu kereta dan terus berlari menuju ke pintu rumah. Najla sudah tahu apa yang harus dilakukan. Manakala ayah dan ibu hanya menanti dan melihat dari dalam kereta.

Pintu rumah diketuk Najla.

“Assalamualaikum. Wek, bukalah pintu. Najla balik ni”

Berulangkali pintu diketuk. Namun ianya masih tertutup.

Salam bersahut. Itu suara Mak. Suara Wek atau nenek Najla yang sudah lama tidak bersua.

“Tolaklah pintu tu, nak. Tak kunci pun. Tolak kuat-kuat”

Najla berusaha menolak pintu rumah. Akhirnya, daun pintu terkuak. Lalu terlihat Wek Wedok Najla sedang terbaring di atas tilam nipis. Jelas sekali Wek Wedok kepenatan.

Najla melangkah masuk ke dalam rumah.

“Eh, kamu ini siapa, nak?”

“Najla”

“Anak siapa ya nak?”

“Anak ibu ayah”, balas Najla dengan jujur.

“Mana ibu ayahnya? Masuklah dulu. Wak tiada di rumah. Duduk dulu.”

Wek Najla masih lagi terbaring. Jelas sekali, Mak tidak mengenali siapa di hadapannya. Melihatkan Mak hanya terbaring sebegitu, sudah tentu Mak agak kepenatan dan mahu tertidur. Sudah tiba masanya untuk ayah dan ibu datang memperlihatkan diri.

Dengan perlahan, ayah dan ibu memasuki rumah menuju ke tempat Mak berbaring. Itu pun langsung tidak disedari oleh Mak.

Mak!

Hanya itu yang terpacul dari mulut ayah. Tangan mak terus dikucup. Raut wajah Mak begitu terkejut. Buat seketika tiada ucapan yang terungkap dari bibir Mak. Adakah ini satu mimpi?

Mak terus dipeluk dan dicium. Betapa rindunya kami. Hanya air mata dan sedu sedan yang mengiringi pertemuan kami. Mak terus menangis. Dalam kejutan. Dalam gembira.

“Betul ke ni? Hah? Bila balik? Ini Najla? Wek tak kenal”

Najla terus ditarik dan dipeluk. Maka kami semua bersatu dalam pelukan. Kepulangan ini bagai satu cerita yang penuh kegembiraan dan keindahan. Segala rindu bagaikan berterbangan. Menghamburkan setiap isi rasa. Bermacam lagi kata yang terkeluar. Dan setiap bicara yang dilafazkan bersama air mata.

Patutlah Mak hanya terbaring kerana kepenatan pulang dari tanah seberang melawat saudara di sana. Kebetulan pula, mereka baru saja sampai pada siang tadi. Jika kami awal tiba sehari, sudah tentu tiada sesiapa yang berada di rumah. Syukur, segala rancangan menjadi atas kehendak-Nya juga.

“Najla, Najla. Dah besar sampai Wek sendiri tak kenal. Alahai Najla sayang”

Suasana di rumah menjadi riuh seketika. Dua orang adik ayah yang berada di dalam bilik keluar. Mereka turut sama terkejut dengan kepulangan yang tidak disangka sama sekali. Bapak tiada di rumah pada malam ini. Kebetulan pula, ada kelas jidoran bersama ahli kampung.

Lantas Mak mengajak kami untuk terus bertemu dengan abang sulung ayah yang berada di tepi rumah. Rumahnya dilimpahi dengan cahaya lampu. Ayah dan ibu terus melangkah ke pintu utama.

Najla mengetuk pintu sambil memberi salam. Manakala ayah dan ibu bersembunyi di balik pintu.

Pintu dibuka. Dan Najla terus melangkah masuk. Buat seketika, kedengaran suara bertanya siapakah gerangan yang datang. Ternyata, mereka sama sekali tidak mengenali Najla.

Sebaik saja ayah dan ibu memunculkan diri dari balik pintu, barulah mereka menyedari siapakah kanak-kanak perempuan yang begitu berani itu. Siapa lagi jika bukan Najla yang selama ini dilihat melalui gambar. Dan sesekali mendengar celotehnya melalui telefon.

Kami semua bersalaman dan berpelukan. Dalam tangisan kegembiraan dan kerinduaan. Suasana menjadi hingar. Meskipun esok bakal memulakan hari baru untuk bekerja dan sekolah, namun mata mereka begitu segar untuk bertahan beberapa jam lagi. Pelbagai cerita yang dikongsikan. Semuanya dalam nada-nada gembira. Meskipun terselit juga rasa keharuan dan kesayuan.

Malam semakin larut. Kami semua hanya menantikan Bapak. Wek Lanang kepada Najla. Inilah kejutan yang terakhir pada malam ini. Ianya turut dinantikan seisi keluarga yang lain. Mereka sama-sama teruja dengan reaksi yang bakal diperlihatkan.

Akhirnya, kedengaran bunyi motorsikal
milik Bapak memasuki perkarangan rumah. Apabila melihatkan rumah kosong, Bapak terus menuju ke rumah anaknya yang sulung. Apatah lagi masih kedengaran suara yang menandakan ada tetamu di dalamnya.

Najla duduk di riba Mak. Najla memegang tangan neneknya dengan penuh kasih. Ayah dan ibu bersembunyi di balik dinding.

Sebaik saja Bapak memasuki rumah, ramai yang menahan senyum. Suasana sepi seketika. Setiap mata memandang Najla dan datuknya.

Bapak terkejut dengan kehadiran seorang kanak-kanak perempuan di ribaan Mak. Siapakah dia? Mana pula ibu ayahnya? Wajahnya seakan pernah dilihat. Tetapi seakan terlupa di mana. Fikiran seakan tumpul pada malam yang semakin larut.

Najla mencium tangan datuknya. Ternyata Bapak penuh dengan pertanyaan.

Namun segalanya terjawab sebaik saja ayah dan ibu memperlihatkan diri. Kepulangan ini tidak langsung dimaklumkan. Ini adalah salah satu hadiah buat semua bagi mengubat kerinduan. Setiap pelukan, tangisan dan tawa penuh dengan cerita.

Seperti yang lain, Bapak turut tidak mengenali wajah Najla. Betapa Najla sudah berubah dan menjadi lebih dewasa. Namun kemanjaannya menjadi perhatian. Setelah berpelukan melepaskan rindu kepada ayah, Najla pula dipeluk dan dicium oleh datuknya.

Bagai sempurna sudah cerita kepulangan kami ke tanahair. Atas izin-Nya juga, segalanya telah dipermudahkan. Syukur, kerinduan kami terubat. Biarpun kepulangan yang untuk seketika, ianya sudah cukup bermakna dalam mengisi ruang yang begitu dahagakan kasih sayang.

Bad Behavior has blocked 42 access attempts in the last 7 days.