Kepulangan
Pesawat yang membawa kami dari Kota Bharu akhirnya selamat tiba di KLIA. Dari sana, kami menuju ke KL Sentral menggunakan perkhidmatan keretapi laju ERL. Pertemuan dengan sahabat lama yang sudah lama berutusan sejak di Glasgow adalah sesuatu yang amat bermakna. Bahkan, jika tidak kerana bantuan darinya maka kejutan di Melaka sudah tentu kurang menjadi. Kesudian untuk meminjamkan keretanya kepada kami amatlah dihargai. Terima kasih DJ.
Malam sudah pun berlabuh sewaktu kereta menyusur lebuhraya menuju ke selatan. Kali ini, bahang dari kepanasan di luar agak berkurangan. Tambahan pula dengan deru pendingin udara kereta. Memandu pada waktu begini bagaikan satu perkara yang amat nostalgik. Inilah laluan lebuhraya yang lama ditinggalkan. Satu perkara yang tidak berubah adalah sikap terburu-buru pemandu di sini. Sedangkan di sana, segalanya penuh cermat dan hemah. Jarang sekali melihat kenderaan yang terkejar-kejar. Di sini, ianya begitu biasa.
Melaka menyambut kami dengan penuh kemeriahan. Lampu neon di sepanjang jalan di Melaka begitu berseri. Hinggakan Najla teruja melihat pemandangan waktu malam di Melaka. Dua tahun berlalu, banyak juga perubahan yang berlaku.
Hati begitu berdebar apabila memasuki kawasan kampung. Jalan yang kecil sudah menjadi lebar. Setiap laluan bagai bercerita. Tentang kisah dulu. Tentang kisah sewaktu ditinggalkan. Terimbas segala memori. Bagai terbongkar dari peti yang sudah lama tertutup.
Akhirnya kami tiba ke destinasi. Rumah Mak dan Bapak berada di antara dua rumah milik abang ayah. Rumah Mak, Tok kepada Najla sudah berubah. Bahagian depan rumah yang beranjung sudah tiada. Tiada lagi bahagian rumah berkayu. Ada kesan dirobohkan. Hanya bahagian belakang rumah masih lagi berdiri.
Enjin kereta dimatikan sebaik saja berada di hadapan rumah. Lampu juga turut dipadamkan. Pintu rumah masih tertutup biarpun kedengaran bunyi dari televisyen di dalam rumah. Kehadiran tetamu ke rumah Mak dan Bapak pada waktu begini adalah memang biasa. Hampir setiap malam, ada saja kunjungan orang untuk bertemu dengan Bapak. Kehadiran kami pada malam itu mungkin disangka sebagai kunjungan dari tetamu yang lain juga.
Seperti biasa, ayah dan ibu meminta Najla untuk mengambil peranan. Sama seperti yang dilakukan sewaktu kami sampai di Kota Bharu yang lalu.
Najla keluar dari pintu kereta dan terus berlari menuju ke pintu rumah. Najla sudah tahu apa yang harus dilakukan. Manakala ayah dan ibu hanya menanti dan melihat dari dalam kereta.
Pintu rumah diketuk Najla.
“Assalamualaikum. Wek, bukalah pintu. Najla balik ni”
Berulangkali pintu diketuk. Namun ianya masih tertutup.
Salam bersahut. Itu suara Mak. Suara Wek atau nenek Najla yang sudah lama tidak bersua.
“Tolaklah pintu tu, nak. Tak kunci pun. Tolak kuat-kuat”
Najla berusaha menolak pintu rumah. Akhirnya, daun pintu terkuak. Lalu terlihat Wek Wedok Najla sedang terbaring di atas tilam nipis. Jelas sekali Wek Wedok kepenatan.
Najla melangkah masuk ke dalam rumah.
“Eh, kamu ini siapa, nak?”
“Najla”
“Anak siapa ya nak?”
“Anak ibu ayah”, balas Najla dengan jujur.
“Mana ibu ayahnya? Masuklah dulu. Wak tiada di rumah. Duduk dulu.”
Wek Najla masih lagi terbaring. Jelas sekali, Mak tidak mengenali siapa di hadapannya. Melihatkan Mak hanya terbaring sebegitu, sudah tentu Mak agak kepenatan dan mahu tertidur. Sudah tiba masanya untuk ayah dan ibu datang memperlihatkan diri.
Dengan perlahan, ayah dan ibu memasuki rumah menuju ke tempat Mak berbaring. Itu pun langsung tidak disedari oleh Mak.
Mak!
Hanya itu yang terpacul dari mulut ayah. Tangan mak terus dikucup. Raut wajah Mak begitu terkejut. Buat seketika tiada ucapan yang terungkap dari bibir Mak. Adakah ini satu mimpi?
Mak terus dipeluk dan dicium. Betapa rindunya kami. Hanya air mata dan sedu sedan yang mengiringi pertemuan kami. Mak terus menangis. Dalam kejutan. Dalam gembira.
“Betul ke ni? Hah? Bila balik? Ini Najla? Wek tak kenal”
Najla terus ditarik dan dipeluk. Maka kami semua bersatu dalam pelukan. Kepulangan ini bagai satu cerita yang penuh kegembiraan dan keindahan. Segala rindu bagaikan berterbangan. Menghamburkan setiap isi rasa. Bermacam lagi kata yang terkeluar. Dan setiap bicara yang dilafazkan bersama air mata.
Patutlah Mak hanya terbaring kerana kepenatan pulang dari tanah seberang melawat saudara di sana. Kebetulan pula, mereka baru saja sampai pada siang tadi. Jika kami awal tiba sehari, sudah tentu tiada sesiapa yang berada di rumah. Syukur, segala rancangan menjadi atas kehendak-Nya juga.
“Najla, Najla. Dah besar sampai Wek sendiri tak kenal. Alahai Najla sayang”
Suasana di rumah menjadi riuh seketika. Dua orang adik ayah yang berada di dalam bilik keluar. Mereka turut sama terkejut dengan kepulangan yang tidak disangka sama sekali. Bapak tiada di rumah pada malam ini. Kebetulan pula, ada kelas jidoran bersama ahli kampung.
Lantas Mak mengajak kami untuk terus bertemu dengan abang sulung ayah yang berada di tepi rumah. Rumahnya dilimpahi dengan cahaya lampu. Ayah dan ibu terus melangkah ke pintu utama.
Najla mengetuk pintu sambil memberi salam. Manakala ayah dan ibu bersembunyi di balik pintu.
Pintu dibuka. Dan Najla terus melangkah masuk. Buat seketika, kedengaran suara bertanya siapakah gerangan yang datang. Ternyata, mereka sama sekali tidak mengenali Najla.
Sebaik saja ayah dan ibu memunculkan diri dari balik pintu, barulah mereka menyedari siapakah kanak-kanak perempuan yang begitu berani itu. Siapa lagi jika bukan Najla yang selama ini dilihat melalui gambar. Dan sesekali mendengar celotehnya melalui telefon.
Kami semua bersalaman dan berpelukan. Dalam tangisan kegembiraan dan kerinduaan. Suasana menjadi hingar. Meskipun esok bakal memulakan hari baru untuk bekerja dan sekolah, namun mata mereka begitu segar untuk bertahan beberapa jam lagi. Pelbagai cerita yang dikongsikan. Semuanya dalam nada-nada gembira. Meskipun terselit juga rasa keharuan dan kesayuan.
Malam semakin larut. Kami semua hanya menantikan Bapak. Wek Lanang kepada Najla. Inilah kejutan yang terakhir pada malam ini. Ianya turut dinantikan seisi keluarga yang lain. Mereka sama-sama teruja dengan reaksi yang bakal diperlihatkan.
Akhirnya, kedengaran bunyi motorsikal
milik Bapak memasuki perkarangan rumah. Apabila melihatkan rumah kosong, Bapak terus menuju ke rumah anaknya yang sulung. Apatah lagi masih kedengaran suara yang menandakan ada tetamu di dalamnya.
Najla duduk di riba Mak. Najla memegang tangan neneknya dengan penuh kasih. Ayah dan ibu bersembunyi di balik dinding.
Sebaik saja Bapak memasuki rumah, ramai yang menahan senyum. Suasana sepi seketika. Setiap mata memandang Najla dan datuknya.
Bapak terkejut dengan kehadiran seorang kanak-kanak perempuan di ribaan Mak. Siapakah dia? Mana pula ibu ayahnya? Wajahnya seakan pernah dilihat. Tetapi seakan terlupa di mana. Fikiran seakan tumpul pada malam yang semakin larut.
Najla mencium tangan datuknya. Ternyata Bapak penuh dengan pertanyaan.
Namun segalanya terjawab sebaik saja ayah dan ibu memperlihatkan diri. Kepulangan ini tidak langsung dimaklumkan. Ini adalah salah satu hadiah buat semua bagi mengubat kerinduan. Setiap pelukan, tangisan dan tawa penuh dengan cerita.
Seperti yang lain, Bapak turut tidak mengenali wajah Najla. Betapa Najla sudah berubah dan menjadi lebih dewasa. Namun kemanjaannya menjadi perhatian. Setelah berpelukan melepaskan rindu kepada ayah, Najla pula dipeluk dan dicium oleh datuknya.
Bagai sempurna sudah cerita kepulangan kami ke tanahair. Atas izin-Nya juga, segalanya telah dipermudahkan. Syukur, kerinduan kami terubat. Biarpun kepulangan yang untuk seketika, ianya sudah cukup bermakna dalam mengisi ruang yang begitu dahagakan kasih sayang.
Yani says:
Alhamdulillah…bijak betul Najla memainkan peranan ya..Rasa nak sangat jumpa Najla yang bijak nie. Ermmm..happiness consist of living each day as it was the 1st we meet. Happy holiday in Melaka.
19-05-09 at 8:37 am
rose says:
ermm kejutan yang sungguh syahdu…menggemberikan..semoga kerinduan kalian kini terubat hendaknya….
19-05-09 at 8:38 am
chentahati says:
Salam Fajar & Anis,
Alhamdulillah, selamat sampai ke melaka
19-05-09 at 8:53 am
suealeen says:
saya pun macam saudara Fajar. suka beno surprise kan family ni… cakap tak balik. tetiba tengah malam menjenguk je di depan pintu. sebelum masuk ke lorong rumah siap padamkan lampu kereta lagi. enjin kereta jenis senyap plak tu… ironiknya mak tu ada darah tinggi la plak tu… siapalah gamaknya ketuk pintu rumah tengah² malam? isk!
19-05-09 at 9:29 am
aliff says:
Salam,
Bang Fajar,
Kok membaca yang indah juga air mata bergenangan.
Ada saya kabarkan sama Abang Dy (Ludinata), kapan dia ketemu abang di KL, saya mahu ikut. Namun kata abang Dy, dia tidak tentu lagi.
Nah, kalau ada masa, insyallah kita ketemu ya.Teringin nak jumpa Najla.
19-05-09 at 9:30 am
addyaholix says:
indahnya pertemuan. kenapa lah tulisan kamu selalu buat saya sebak bang.
19-05-09 at 10:28 am
ena says:
semua dlm kegembiraan..alhamdulillah..sggh bijak najla
19-05-09 at 11:58 am
@tune says:
saya akan sayu setiap kali membaca entry saudara fajar…
19-05-09 at 3:31 pm
Syikin says:
Salam buat saudara Fajar dan keluarga.
Betapa sayunya saya dan betapa gembiranya apabila membaca entry kali ini. Saya dapat bayangkan betapa gembiranya hati Wek dan Wek Lanang apabila insan-insan yang dirindui dengan tidak disangka dan diduga berada di depan mata. Sudah pasti ini akan menjadi salah satu kenangan manis saudara Fajar sekeluarga.
Semoga hari-hari yang mendatang mendatangkan kebahagian buat semua…
20-05-09 at 12:01 am
zai says:
sebuah lagi pertemuan penuh kejutan yang terindah…istimewa sekali kerana kepulangan yang dirancang sebegitu rupa pasti menitip kenangan yg pasti sentiasa segar di ingatan…:)
20-05-09 at 12:01 am
asuhara says:
gembira yang dikaut, jangan lepaskan dakapannya, bawa pulang hingga ke glasgow nanti.buat bekalan hari2.
family=father+mother+ i love u!
selamat hari ibu untuk ibu najla, dan hari bapa untuk kamu fajar.
20-05-09 at 12:09 am
fiza says:
Fajar & keluarga,
Sata menghayati setiap bait perkataan dan cuba membayangkan suasana/keadaan yang diceritakan… aduhhhh…. sungguh gembira namun air mata tetap saja mengalir …. sama halnya apabila membaca coretan fajar ketika pulang ke Kelantan dulu.
Najla… Najla… ramai yang tak mengenalinya… saya menanti coretan seterusnya.
20-05-09 at 12:28 am
linda says:
huhuuuu… sungguh syahdu sekali… semoga kepulangan ini membawa bahagia di hati kalian…
20-05-09 at 2:03 am
azma says:
Kepulangan yg dinanti …
20-05-09 at 3:14 am
Ummica says:
Memori yg bakal dibawa ke Glasgow. Abadikanlah detik teristimewa itu. Najla mmg anak yg pintar.
Salam syg dari Makmi sekeluarga.
20-05-09 at 6:04 am
dora says:
Salam saudara Fajr, reading your blog is like reading a beautiful novel
Keep on writing.. you’ve been an inspiration to us all
20-05-09 at 7:53 am
Mata Hati says:
alahai..syahdunya pertemuan dgn ahli keluarga yg sgt dirindui
20-05-09 at 5:17 pm
mama adam says:
Teringin nak tahu melaka di mana? Mungkin kita bersekolah di sekolah yang sama, Sekolah Kebangsaan Paya Dalam….
25-05-09 at 7:22 am