Archive for May, 2009

13-05-09

Yang Istimewa

Posted in bicara by fajaril

Hampir setiap pagi Mami akan menyediakan juadah istimewa. Jika tidak, dia akan membeli hidangan yang sudah sedia siap dari orang yang datang menjual. Nasi kerabu, nasi lemak, laksam, nasi berlauk, kuih-muih dan bermacam lagi juadah. Berada di Pantai Timur, pelbagai juadah mudah didapati dengan harga begitu murah.

Kenikmatan sebegini adalah sukar untuk didapati jika berada jauh di rantauan. Oleh yang demikian, setiap hari yang dilalui begitu dihargai. Percutian ini dimanfaatkan untuk meleraikan segala kepenatan, keresahan dan kekusutan yang pernah bertandang ke dalam jiwa.

Saat Mami bangun awal, dia pasti akan menyempurnakan nasi berlauk yang dibungkus dengan daun pisang. Sebungkus saja sudah cukup mengenyangkan hingga ke tengahari. Masakan tidak, kandungan nasi yang diisikan begitu banyak. Hari pertama kepulangan kami, Mami sudah sibuk menyediakan laksa Kelantan yang menjadi hidangan yang dirindui oleh ibu Najla.

Mami selalu berpesan kepada ayah, jika ada apa-apa makanan yang diinginkan, ayah hanya perlu memaklumkan sahaja. Maka, Mami akan dengan mudah mendapatkannya di pasar. Mami kata, di Kota Bharu, adalah senang dan murah. Memang itu tidak dapat ayah nafikan. Lalu, untuk beberapa hari, kami memang berada di dalam kemewahan menikmati kemeriahan hidangan Pantai Timur yang pelbagai.

Tanpa disangka, seorang teman baik yang mengenali ayah melalui laman maya turut memberikan sesuatu buat kami sekeluarga. Murtabak raja yang cukup enak. Ianya tebal dan penuh dengan inti daging yang lazat. Wajarlah ianya dipanggil nama sedemikian.

Abah turut sama membeli makanan jika berkesempatan. Selalunya, setiap kali pulang dari solat Isyak di Masjid Besar Kota Bharu, abah bawa bersama bungkusan plastik yang berisi somtam, makanan popular dari Thailand. Abah memahami kegemaran ayah setiapkali pulang ke sini. Kadang-kadang, abah belikan laksam buat Najla. Atau air kelapa dan tebu selepas pulang dari solat Zohor.

Cik Su pula memperkenalkan ayah dan ibu dengan kedai makanan baru di sekitar Kota Bharu. Banyak juga yang kami jelajahi hingga pada akhirnya, dua buah restoren selalu menjadi singgahan kerana menepati citarasa. Sudah berkotak donut yang popular itu dibawa pulang. Begitu juga dengan kedai yang penuh dengan menu mi di KB Mall.

Kak Zah pula datang ke rumah dengan membawa dua bungkus yong tau fu yang dibeli di pasar Wakaf Che Yeh. Rasanya memang begitu memikat. Abang Kamal pula berkongsi rasa dengan ayah dengan membeli jeruk yang bermacam warna.

Di kepanasan begini, waktu tengahari banyak dihabiskan dengan menikmati air sejuk. Cukup menyegarkan. Kadangkala, kami buat air cincau, bandung, jus oren dan sebagainya. Semuanya menyimpul kemanisan di hujung bibir.

Semua ini sudah lama dinantikan. Ada ketikanya terpaksa juga makan dengan berpada-pada kerana secara tiba-tiba perut seakan membesar dari biasa. Namun, makan di sini sekadar untuk melepas rindu untuk merasa dan mengecapi makanan yang sukar didapati di Glasgow.

Apa yang lebih berharga bukanlah terletak pada makanan yang dikecapi. Tetapi pada setiap sulaman kasih sayang dan ingatan setiap kali hidangan disediakan atau pun dibeli. Dan itu adalah amat bernilai. Kasih sayang sebegini tidak mudah untuk dicari. Menikmatinya saja sudah menyelubungi bahagia di sanubari.

Bad Behavior has blocked 42 access attempts in the last 7 days.