Archive for June, 2009

24-06-09

Berlari

Posted in bicara by fajaril

Terlalu banyak yang harus disempurnakan dalam masa yang begitu singkat ini. Terkejar-kejar rasanya. Kepenatan seakan bersatu bersama diri. Ini hanyalah sebahagian kecil perjuangan. Di dalamnya berbaur dengan pahit dan manis.

Tadi, baru saja usai pembentangan di hadapan panel penilai. Banyak juga persoalan yang diutarakan. Dan sebolehnya, segala kisah yang dilalui selama beberapa bulan sudah tidak mahu diperincikan. Mujur saja mereka tidak bertanya tentang lanjut dan hanya berkisar dunia akademik semata.

Saat begini, memang terlalu banyak kurangnya. Jauh sekali untuk menjadi sempurna. Oleh yang demikian, ruangan di sini agak kaku seketika bagi memberi tumpuan yang sepatutnya. Dalam putaran yang sukar diduga.

Nanti-nanti, akan dikongsikan semula kisah yang penuh warna dari sini. Mungkin esok lusa.

Sesekali, larian ini harus berhenti seketika. Menikmati kehidupan yang seinci cuma.

20-06-09

Hadiah

Posted in bicara by fajaril

Tinggal beberapa hari saja lagi dia akan menyambut hari ulangtahunnya. Jika boleh, dia mahu setiap hari adalah hari yang istimewa buatnya. Malam itu, ibu bertanya kepada Najla.

“Najla nak hadiah apa sayang?”

Najla terus memberi jawapan yang sama sekali tidak diduga.

“Najla nak Amir.”

Ayah dan ibu saling berpandangan. Buat seketika kami tergamam dan tidak tahu apakah jawapan yang sempurna buat Najla. Secara tiba-tiba ada rasa sayu yang menyelubungi.

Betapa sukarnya permintaan Najla pada kali ini. Terlalu!

18-06-09

Siang Yang Panjang

Posted in bicara by fajaril

Musim panas di Glasgow sukar dijangka. Dua minggu sudah, panasnya begitu ketara. Namun pada minggu ini, hujan dan mendung sahaja. Sesekali terasa juga sejuknya. Lebih-lebih lagi apabila angin berhembus bagaikan mahu menerbangkan segalanya.

Hanya pada musim beginilah ramai yang dapat meluangkan masa di hujung minggu untuk berehat di bawah terik mentari jika cuaca agak baik. Seronok untuk berpiknik atau berbbq. Jika mahu berjalan-jalan, inilah masanya.

Namun begitu, tiada bezanya pada mereka yang begitu sibuk mengejar masa bagi menyiapkan tugasan yang terkumpul seperti kami. Hanya hujung minggu saja waktu untuk bersantai.

Seperti lazimnya, waktu siang di musim panas adalah agak panjang. Jam 8 petang masih lagi cerah. Pagi juga lebih awal. Satu perkara yang agak mencabar bagi umat Islam di negara bermusim ini adalah menanti masa untuk menunaikan kewajipan solat. Waktu Maghrib saja pada jam 10 malam. Diikuti dengan Isyak pada jam 11 malam. Seterusnya Subuh pada jam 1.30 pagi. Sungguh mencabar. Apatah lagi badan letih dan mata begitu kelayuan memujuk untuk tidur.

Terbayang juga bagaimana keadaan untuk menunaikan puasa di musim begini pada tahun yang akan datang. Moga Tuhan memberi kekuatan dan keberkatan.

15-06-09

Dari Jiwa Yang Tulus

Posted in bicara by fajaril

Entri ini ditulis selepas dua minggu Amir Yusuf meninggalkan kami. Emosi dan jiwa kami pada ketika itu masih dalam gelora. Walau bagaimanapun, entri ini ‘hilang’ sewaktu dikemaskini. Maka, kini dikongsikan sekali lagi.

[+]

Malam itu, suasana menjadi begitu sunyi dan sepi. Lampu bilik sudah pun dipadamkan. Hanya cahaya lampu jalan di luar tingkap bilik yang menyelusup masuk. Samar-samar. Ayah, ibu dan Najla sudah pun bersiap sedia untuk tidur. Namun, mata sukar sekali untuk terpejam.

Sesekali kesunyian malam dipecahkan dengan bicara ayah dan ibu. Banyak yang diperkatakan. Tentang kepahitan dan kemanisan hidup yang baru berlalu. Juga tentang kenangan bersama dirinya yang sudah hilang dari pandangan dunia.

Dalam bicara kami yang seakan berbisik, Najla begitu sibuk berceloteh sama. Ingin mengambil perhatian. Seperti malam-malam yang lain, selagi ayah dan ibu masih belum terlena, selagi itulah mata Najla enggan terpejam sama. Lalu, selalu saja ayah dan ibu akan memujuk dan mengambil hati agar Najla tidur awal.

Malam itu, entah bagaimana patung yang dipegang Najla terjatuh dan terkena di bahagian dada ibu. Segera ibu mengadu kesakitan. Patung kuda laut biru itu ada sisi yang keras kerana mengandungi bateri. Tentu saja terasa kesannya.

Segera Najla berkata, “I’m sorry Ibu. I’m sorry.”

“Aduh Najla, sakitnya”, Ibu memejamkan mata untuk membiarkan rasa sakit itu beransur pergi. Dan seterusnya mendiamkan diri.

Sengaja pula, ayah ingin mencipta drama di malam begini. Agar Najla segera tidur dan tidak perlu bermain-main lagi.

“Kenapa dengan ibu, Najla? Najla buat apa pada ibu?”

“I’m sorry ibu. I’m sorry. Patung ni jatuh atas ibu”, Najla menunjukkan patung kuda laut kepada ayah. Dari sinar cahaya malam, dapat dilihat bagaimana reaksi wajah Najla. Ternyata, cukup cemas.

“Ibu, bangun ibu. Ibu?”. Dan ibu pula sengaja memejamkan mata. Samada masih menahan sakit atau berpura-pura sahaja.

“Najla, kenapa dengan ibu? Kita kena ibu pergi hospital macam ni.”

Sebaik mendengar kata ayah, Najla terus meraung.

“No! No! No! Ibu, I’m sorry ibu. I’m sorry! Please ibu.”

Tangannya segera memeluk ibu. Erat dan kuat. Seakan tidak mahu melepaskan. Diusapnya wajah ibu, dicium dan dibelai. Dia mahu sekali melihat mata ibu segera terbuka. Dengan air mata yang laju berguguran, tangan kecilnya menggoncang bahu ibu. Mulutnya tidak berhenti memanggil, ibu, ibu, ibu – sorry ibu, sorry ibu.

Najla menangis dengan bersungguh-sungguh. Tersedu-sedu jadinya. Ternyata, melihatkan ibu di dalam keadaan sebegitu membuatkan dirinya menjadi begitu berdebar. Ditambah pula dengan rasa bersalah. Tiba-tiba saja, Najla mengaitkan hospital itu dengan Amir Yusuf. Dan bagaimana kali terakhir dia melihat keadaan Amir Yusuf di dalam hospital. Dalam diam-diam, Najla membuat kesimpulan yang tersendiri tentang kehidupan dan kematian. Bayangan itu cukup menakutkannya. Akan erti sebuah kehilangan.

Dan ayah terus jadi terharu. Kali ini, Najla menangis atas suatu sebab yang sukar untuk dijelaskan oleh dirinya yang sekecil itu. Itulah tanda kasih sayang darinya yang begitu tulus. Suci dan murni.

Najla membenamkan wajahnya ke dada ibu. Dalam pelukan dan tangisan yang begitu mengharukan.

“I’m sorry ibu. Don’t go!”

Tidak sanggup pula hati ini meneruskan usikan ini. Terasa begitu bersalah kerana ianya sudah seakan melepasi batasan yang sepatutnya. Aduhai, ada rasa basah di hujung mata ini.

Ayah terus memegang bahu ibu dan berkata,

“Sudahlah yang. Bangunlah. Kasihan dia.”

Ibu terus membukakan mata. Dan dalam masa yang sama, ibu turut sama terharu akan segala tingkahlaku dan kata-kata Najla sebentar tadi. Seakan menarik segala rasa berkumpul di dada.

“Ibu ok, Najla. Ibu ok. I’m sorry too Najla.”

Najla terus memeluk ibu sekuat hati. Di bibirnya masih lagi mengucapkan kata maaf. Bagaikan begitu kesal dengan tindakan spontan yang tidak disengajakan.

“I’m sorry ibu. I’m sorry. I love you ibu.”

“It’s ok, sayang. I love you too.”

Bagaikan satu isyarat kepada kami. Kata-kata yang begitu bermakna. Tanpa sebarang maksud tersirat. Segalanya jelas. Pesanan yang begitu menambat jiwa.

Terusik sekali hati kami dengan ketulusan Najla. Jujur. Naif.

Ibu dan ayah memujuk Najla. Barulah dirinya kembali tenang. Namun, esakannya masih lagi tersisa. Dan tangannya tidak mahu melepaskan pelukan ibu. Sambil jarinya memegang jemari ayah.

Lalu, ibu berkata,

“Tulus sekali hati dan jiwa dia. Tidak dapat dibayangkan, bagaimana keadaannya kalau saya betul-”

Segera ayah memintas kata ibu.

“- cukup! Don’t say that. Ever.”

Sungguh, ayah masih lagi rasa kehilangan. Mana mungkin ayah punya kekuatan untuk mengharungi buat kali yang kedua. Membayangkannya saja sudah buat hati ini rasa takut. Namun, siapalah kita sebagai manusia untuk menahan jika masanya akan tiba buat kita untuk melangkah pergi. Cuma, diri bermohon agar diberikan lagi masa untuk kami bersama sekeluarga mencari bekalan dan keberkatan dari-Nya di dunia yang fana ini.

Lalu, pada malam itu kami bertiga sama-sama menangis.

11-06-09

Hingga Ke Syurga

Posted in peristiwa by fajaril

Hari ini merupakan hari yang cukup istimewa buat Che Su kami. Kalau boleh, mahu saja kami bertiga terbang pulang ke Kota Bharu untuk sama-sama meraikan detik yang bersejarah ini. Selepas ini, jika kami pulang ke kampung, Che Su kami bukan lagi seperti yang dulu. Che Su sudah bertukar status.

Terbayang-bayang di mata kami akan kemeriahan suasana perkahwinan yang berlangsung di rumah Abah dan Mami. Kehadiran adik beradik dan sanak saudara serta jiran tetangga pasti menambah rasa gembira. Tentu cantik pelamin yang dihias khas oleh Abang Edi, khusus untuk Che Su kami.

Andainya kami di sana, sudah tentu kami turut sama sibuk. Najla pasti teruja dan tertawan jika melihat Che Su berubah bagaikan puteri raja. Jika tidak, Najla pasti akan mengiringi Che Su sebagai salah seorang dayang kecil. Dan ayah sibuk merakamkan setiap peristiwa.

Namun apakan daya, tanggungjawab kami di sini begitu besar. Jika tidak kerana kejauhan, kami pasti turut bersama meraikan.

Dari bumi Glasgow, kami mendoakan agar segala urusan dipermudahkan dan diredhai Allah. Doa kami juga, semoga cinta Che Su dan ‘Papa’ akan dirahmati Allah sentiasa. Moga kebahagiaan yang dikecapi berkekalan hingga ke syurga. Ya Allah, berkatilah mereka. Amin.

Bad Behavior has blocked 494 access attempts in the last 7 days.