Selamanya

“With you,
it wasn’t long enough together,
but it was long enough to last forever…”

“With you,
it wasn’t long enough together,
but it was long enough to last forever…”
Hari itu merupakan hari terakhir kami berada di Malaysia. Kami berkesempatan untuk membeli sedikit barang-barang yang tertinggal untuk dibawa pulang ke UK. Awal pagi lagi kami sudah berkunjung ke Jaya Jusco di Melaka sebaik saja dibuka.
Bagi memudahkan urusan dan menjimatkan masa, ayah dan ibu berpisah untuk mencari barang yang diperlukan. Sebaik mendapatkan apa yang dihajati, kami bertemu semula. Sempat juga menikmati makanan seperti ABC pada hari yang terakhir ini.
Sebaik selesai semuanya, kami bersegera menuju ke rumah bonda. Najla pasti menanti. Barangkali sibuk bermain dengan sepupunya atau menemani datuk dan neneknya di dapur. Sekali sekala, dia dilayan bagaikan puteri.
Di dalam perjalanan pulang, radio memasangkan lagu Terlalu Istimewa nyanyian Adibah Noor. Kami berdua seakan diam menghayati pada alunan melodi dan bait-bait lirik yang cukup bermakna. Fikiran terus menerawang dan terkenangkan kepada dirinya. Kisah hidupnya dan perjuangannya. Jika bukan kerana peristiwa itu, barangkali kami belum tentu pulang bercuti ke tanahair.
Layanan perasaan ini terhenti seketika apabila ibu bersuara.
“Tadi waktu singgah di kedai yang jual tudung, ada..”
Nada suara ibu berubah tiba-tiba.
Ada apa?
“Ada lagu yang Izani letak dalam laman web gambar Amir.”
Masakan ayah boleh melupakan lagu itu. Lagu yang rakan ayah perkenalkan dan disisipkan di dalam galeri gambar majlis pengebumian Amir Yusuf. Lagu Andai Ku Tahu. Lagu yang membuatkan hati kami menangis bersama.
“Dan, di dalam kedai itu juga, air mata ini keluar.”
Ucap ibu sambil tangannya menyeka air mata yang berguguran. Hati kami begitu mudah tersentuh. Lebih-lebih lagi pada setiap inci kenangan yang tertinggal dan melekat bersama dirinya.
Ayah sendiri kehilangan kata. Diri mahu memujuk. Tapi hakikatnya ayah sendiri cuba menahan rasa agar air mata tidak tumpah bersama.
Panas sekali di luar sana. Namun, tiba-tiba saja hati kami seakan mendung dengan emosi. Mungkin juga dalam masa yang sama mengenangkan perpisahan yang bakal terjadi pada pertemuan yang sebegitu singkat ini.
Dan pada detik itu juga, rindu sudah mula menanti.
Bad Behavior has blocked 42 access attempts in the last 7 days.