28-07-09
Setiap hari, wajahnya akan dilihat. Dan setiap kali memandangnya, pasti akan terbit rasa rindu dan penuh kasih sayang. Ternyata, tiada sebarang kata pun yang mampu menterjemahkan apa yang dirasa. Namun, segalanya kini mampu dilalui dengan mudah. Perlahan-lahan semangatnya terus kuat melekat. Buat kami mengharungi kehidupan ini.
Selamanya, tidak akan ada satu pun yang mampu memisahkan ikatan di antara kami dengan dirinya yang istimewa. Dan selamanya, pasti bahagia akan selalu bersamanya.
28-07-09
Sesiapa yang pernah merasa kehilangan sudah pasti akan melalui saat getir. Apa yang bernama sedih, redha, takdir dan kenangan akan bersatu. Setiap kita pasti akan pulang kepada-Nya. Ke alam yang kekal. Dan sudah pasti kita menginginkan pulang di keadaan yang baik dan penuh dalam kasih sayang dari-Nya.
Dan yang pedih apabila kita kehilangan anak yang begitu disayangi. Samada dia masih kecil atau besar. Dia sudah pasti sempurna di mata kita. Apabila dia dibawa pergi, barangkali masa saja yang menentukan bilakah perasaan duka itu akan menjadi reda. Mungkin akan terus melekat dan berkekalan.
Semalam, satu berita cetakan oleh akhbar Kosmo bagai membuka kisah mengaibkan orang yang telah pergi. Setiap orang mempunyai sisi gelap dan kekurangan. Siapalah kita sebagai manusia yang benar-benar sempurna? Melainkan para kekasih-Nya.
Andainya kita berada di tempat keluarga, terutamanya sebagai ayah dan ibu, sudah pasti akan terasa kepedihannya. Mengapa setelah perginya seseorang itu, lalu dibongkar segala kisah gelapnya? Bukankah kita diingatkan untuk tidak memalukan orang yang telah pergi? Atau dalam masa yang sama melukakan perasaan ayah dan ibunya. Tidak cukupkah duka lara atas sebuah kehilangan tiada ganti?
Kita ini manusia. Tiada sebarang hak atau kuasa untuk menghukum seseorang. Biar siapa pun dia. Orang biasa mahupun orang yang terkenal. Kita pula nanti entah di mana letaknya di sisi Tuhan. Moga berada di landasan yang mampu menempah tempat di syurga-Nya kelak. Insya-Allah.
Sejujurnya, iklan-iklan dan filem yang pernah dihasil olehnya begitu mencuit hati. Kadangkala menjentik perasaan ini. Mengingatkan semula akan erti kasih sayang dan pengorbanan.
Selamat pulang ke pangkuan-Nya, Yasmin Ahmad. Al-Fatihah.
Dan moga ketabahan, keredhaan dan kesabaran akan terus bersama di dalam jiwa ayah dan ibunya.
26-07-09
Setiap kali berkunjung ke ruangan ini, lidah dan fikiran seakan kelu untuk berkongsi sesuatu. Barangkali, ada yang menanti adakah lagi kisah Amir Yusuf di sini. Ya, ada yang masih tersimpan. Seakan tidak tahu bagaimana harus diceritakan. Kadangkala, pernah juga terfikir, kehilangan dirinya seakan membawa bersama segala inspirasi.
Tidak, kami bukanlah insan yang hanya tahu berdukalara. Hidup ini perlu diteruskan. Masih banyak lagi yang harus diperjuangkan. Kenangan bersama Amir Yusuf adalah sesuatu yang terindah. Terlalu bernilai.
Barangkali, mungkin pembaca setia di sini tidak mengetahui, bahawa kami begitu amat menghargai pada setiap komentar dan kata-kata semangat yang diberikan. Dari mula Amir Yusuf lahir, penuh dengan bermacam kemungkinan dan menggugat rasa, hinggalah dia dibawa pergi dari dunia yang fana ini. Bahkan hingga ke saat ini, masih ada tersisa kepedihan. Namun, kata semangat dan keprihatinan yang diberikan dari kenalan dan juga pembaca masih lagi diterima. Apa yang mampu kami berikan selain ucapan terima kasih? Tiada hadiah yang dapat diberi, melainkan doa kepada Yang Esa agar segala kasih sayang yang pernah diberikan akan mendapat balasan yang bermakna di akhirat kelak.
Sungguh, kami tidak akan melupakan kepada mereka yang selalu bersama kami. Ketika semangat berterbangan. Ketika harapan bagaikan angin lalu. Ketika impian bagaikan hampir tiada. Ketika jiwa begitu kabur dalam tangisan air mata. Namun, ada yang sudi berkongsi bahu. Menghulur doa penuh ikhlas. Untuk itu, kalian, terima kasih.
Walaupun begitu, ada juga kenalan yang pernah menzahirkan sesuatu kepada diri ini. Dia sengaja mendiamkan diri dari memberikan sebarang kata atau ucapan, mahupun sekadar bertanya khabar. Dia kenalan yang dulunya boleh dianggap rapat. Tiada langsung mahu bertanya atau mengetahui keadaan kami di sini yang penuh duka. Tidak ingin bertanya tentang Amir Yusuf. Bahkan tiada ucapan takziah selepas pemergiannya. Bukan diri berharap, namun sekadar tertanya-tanya. Dan dia sudah pasti tahu, apatah lagi membaca ruangan ini.
Baru-baru ini sahaja, baru kami berbual semula. Bertanya khabar dan bercerita. Lalu terungkap segala persoalan, mengapa hanya mendiamkan diri tanpa sebarang kata. Sedangkan dia tahu, diri ini berada di dalam keadaan kepedihan.
“You don’t need my support and care. You already got that. Support from people all over the world. Everyone care for you. You don’t need mine. I might says the same things too”
Demikianlah maksud dari kata-katanya. Dari apa yang difahami oleh diri ini. Entah mengapa, kata-kata itu cukup menyentap jiwa. Kata-kata yang datangnya dari seseorang yang dulunya rapat. Salahkah kalau diri ini terasa dengan kata-kata itu?
Benar kata seorang kawan, kita seharusnya tidak berharap pada manusia yang akhirnya membuatkan kita kecewa. Serahkan pengharapan itu kepada Yang Esa. Kita pasti tidak akan kecewa. Dan untuk kenalan itu, terima kasih kerana memberikan makna sebuah ‘persahabatan’ dari sudut yang berbeza. Yang hanya bisa dimengerti oleh dirinya.
09-07-09

Catatan 27-06-09.
Pagi itu ayah terjaga dari lena dengan satu rasa yang lain dari biasa. Sememangnya tiada apa yang berbeza pada hari itu berbanding hari-hari yang lain. Cuma pagi itu adalah pagi Sabtu. Hari yang sememangnya dinanti kerana itulah hari untuk ayah dan ibu bersantai di rumah. Menghilangkan penat dan kekusutan dari tugasan kerja pada hari-hari biasa.
Namun, pada pagi itu berkumpul satu rasa yang sukar untuk diduga. Tiba-tiba saja ada rasa sebak menerjah di ruang hati dan jiwa. Ayah hela nafas perlahan-lahan agar dapat menahan dari terus dibuai perasaan ini.
Satu sms singgah ke telefon ayah. Dari teman yang jauh di Malaysia. Mengirim salam dan doa. Dia juga mengingati betapa berbezanya hari ini. Sebak menusuk dada.
Mana mungkin dapat melupakan hari ini. Tarikh ini. Lima hari selepas ulang tahun Najla. Setahun yang lalu, pada tarikh inilah Amir Yusuf dilahirkan ke dunia. Datang menyapa ayah dan ibu dengan kesyukuran. Dalam suka dan duka. Membaurkan ribuan rasa. Dan setahun yang berlalu tidak pernah sekali pun detik-detik itu dilupakan. Seakan baru semalam ia berlaku. Sesekali, terlintas juga di fikiran seandainya Amir Yusuf masih ada pada ketika ini.
Ayah dan ibu tidak pernah berkongsi cerita detik-detik kelahiran Amir Yusuf di ruangan ini. Barangkali terlalu gusar dan sibuk dengan perang emosi di jiwa kami pada ketika itu. Tidak dapat dinafikan, kehadiran Amir Yusuf bagaikan satu titik penanda di dalam kehidupan ayah dan ibu. Bagai mahu mengingatkan diri bagaimana harus bersabar, kuat dan redha pada segala ketentuan. Sungguh, ayah dan ibu begitu kosong dan hampir tidak berdaya sebaik dikhabarkan dengan bermacam komplikasi yang dihadapi oleh anakanda yang baru saja bernafas di bumi ini.

Awal pagi itu, ayah dan ibu terus menuju ke Southern General Hospital apabila tanda-tanda kelahiran sudah menjelma. Setelah puas menanti, ibu akhirnya dibawa masuk ke dalam wad untuk ujian ultrasound kerana rasa sakit itu hampir tiada meskipun cecair yang melindungi sekitar bayi di dalam rahim sudah keluar.
Sekali. Dua kali. Tiga kali ujian ultrasound itu dijalankan. Seakan mereka mahu mengesahkan apa yang mereka lihat pada paparan monitor. Ada sesuatu yang luar biasa pada kandungan. Sebelum ini, boleh dibilang dengan jari berapa kali mereka menjalankan ujian begini kepada ibu. Dan kini tiba-tiba saja ada sesuatu yang lain pula.
Itu adalah isyarat pertama kepada ayah dan ibu. Agar bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Doktor memaklumkan kepada ayah dan ibu, ada sesuatu di dalam perut bayi yang dikandung ibu. Ianya seakan sesuatu yang tersumbat di situ. Debar pada ketika itu terus disisip ke dada. Hanya doa dipohonkan agar apa yang dilihat hanyalah sebagai satu kesilapan. Moga yang baik-baik saja selepas ini.
Memandangkan keadaan bayi yang agak lain daripada biasa pada pengalaman mereka, lalu ibu harus dipindahkan ke hospital yang lain. Maka pada petang itu, ayah dan ibu bergerak menuju ke Queen’s Mother Hospital yang bersebelahan dengan Royal Sick Children Hospital, atau dikenali sebagai Yorkhill Hospital. Anehnya, pada ketika itu rasa sakit hampir tiada pada ibu. Hingga ayah tertanya-tanya, adakah benar masanya sudah tiba? Apatah lagi hari ini adalah empat minggu awal dari yang dijangkakan.
Ketika dibawa masuk ke dalam wad, ibu masih lagi tidak menunjukkan tanda untuk dibawa segera ke bilik bersalin. Bahkan tiada rasa sakit seperti kandungan yang pertama. Oleh itu, ayah tinggalkan ibu seketika untuk pulang ke rumah bagi mengambil barang keperluan serta menjenguk Najla.
Belum pun lama ayah berada di rumah, sms dari ibu tiba. Tepat jam 10 malam. Kesakitan sudah bermula. Mungkin tidak lama lagi. Dan sejurus kemudian, panggilan dari jururawat di hospital turut meminta ayah datang segera. Setelah mencium dan memeluk Najla, ayah terus bergegas ke hospital.
Jam sudah mula menunjukkan angka sebelas. Lewat kerana terpaksa meredah malam, mencari tempat meletak kenderaan dan berhadapan dengan petugas keselamatan. Akhirnya, ayah tiba ke wad bersalin di tingkat empat. Rasa debar bertandang. Saatnya bakal tiba. Moga Allah mempermudahkan segala urusan.
Ayah lihat ibu di atas katil. Ayah masih mengingati bagaimana harus berhadapan dengan situasi begini. Ketika Najla mula-mula dilahirkan. Mengikut perkiraan, mungkin ada beberapa jam lagi sebelum bayi akan keluar.
Ayah disapa oleh seorang jururawat yang berusia. Tersenyum manis dan berkata sesuatu kepada ibu sambil melirikkan matanya kepada ayah.
“Baby sudah mula mahu keluar ke sayang?”
Pengalaman ayah menyambut kakak Najla membuatkan ayah agak bersedia untuk menemani ibu pada saat-saat getir ini. Namun begitu, alangkah tergamamnya ayah apabila dimaklumkan ibu, bayi yang dikandung ibu sudah pun selamat keluar. Ayah tidak sesekali perasan akan perut ibu yang ditutupi selimut tebal. Ayah sangka sikap tenang jururawat yang bertugas pada saat-saat getir begini adalah normal. Rupanya ayah tersilap.
Ibu mula bercerita betapa singkatnya semua itu. Sebaik bukaan sudah mula terasa, Amir Yusuf sudah terus mahu keluar. Bahkan ketika dipindahkan ke wad bersalin melalui lif kecemasan saja, ianya sudah begitu ketara. Sungguh ayah tidak menyangka, putera ayah begitu cepat keluar. Tidak sampai sejam pun ibu menahan rasa sakit. Cuma ada sedikit rasa ralat menyelubungi. Ayah tidak sempat menyambut kelahiran putera ayah yang pertama.
Ternyata, detik kelahiran Amir Yusuf ke dunia bagai tidak mahu menyulitkan dan menyakitkan ibu terlalu lama. Begitu mudah sekali. Dan ianya bagai memberi lagi satu tanda bahawa Amir Yusuf adalah unik dan istimewa di awal-awal lagi.

Pertama kali ayah dibawa untuk melihat Amir Yusuf, dada penuh rasa debar. Lain dari kebiasaan. Apatah lagi sewaktu dibawa ke ruangan bayi yang penuh dengan inkubator, tiub-tiub dan bermacam lagi. Melihatkan keadaan bayi-bayi di sini menambahkan lagi rasa yang berkumpul di dada. Ini satu pandangan yang cukup baru buat ayah. Teruk sangatkah Amir Yusuf hingga ditempatkan ke bilik ini?
Akhirnya, ayah dapat melihat Amir Yusuf buat kali pertama. Begitu damai ditempatkan di dalam kotak kecil inkubator. Bagai terhenti nafas ini. Sebak mula menguasai diri. Perasaan ini bercampur baur. Lebih-lebih lagi melihatkan putera ayah yang dikelilingi dengan bermacam wayar.
Ayah mahu sentuh Amir Yusuf. Ayah mahu peluk Amir Yusuf. Ayah mahu azankan di telinga Amir Yusuf dengan kalimah suci.
Sebaik ayah membersihkan tangan, jururawat yang bertugas mula membuka penutup inkubator dan menyusun wayar serta tiub di badan Amir Yusuf. Akhirnya Amir Yusuf berada di dalam pelukan ayah.
Ayah lihat Amir Yusuf. Pada matanya. Pada hidungnya. Pada mulutnya. Pada seluruh wajahnya. Ayah sentuh jari dan kaki. Ayah usap perlahan-lahan pada seluruh tubuh dengan penuh rasa kasih. Semuanya sempurna di mata ayah. Sekian lama berada di dalam rahim ibu, akhirnya Amir Yusuf muncul di depan mata.
Dengan nada lembut dan rasa syukur, ayah melagukan azan dan iqamat di telinga Amir Yusuf. Moga kalimah pertama ini akan terus mendekatkan Amir Yusuf pada penciptanya. Yang Maha Kuasa.

Namun hati ayah masih diterpa rasa gusar. Bagaikan berbisik sesuatu yang sengaja ayah nafikan. Dan ayah tidak mahu membuat telahan sendiri. Barangkali cara doktor di sini terlalu rinci hingga perkara kecil mahu diuruskan secara rapi. Demikianlah ayah memujuk diri.
Tengah malam itu juga ayah dan ibu, Dr Barbara datang menemui kami. Kejutan sudah bermula. Satu demi satu berita disampaikan. Setiap butir bicara lembut dari mulut Dr Barbara seakan begitu menusuk setiap anggota. Jiwa, akal dan fikiran bagaikan berputar-putar. Sungguh, pada ketika itu seakan kosong perasaan ini. Betapa ayah mengharapkan semua itu hanyalah andaian semata-mata. Bukannya sesuatu yang mutlak. Ayah sengaja menafikan. Di mata ayah, terbayang masa depan. Pada ketika itu, mulut ini bagaikan terlalu payah untuk berkata-kata. Fikiran buntu untuk mencerna segalanya.
Air mata lelaki ayah tumpah akhirnya. Ayah tersendu menahan tangis. Ibu bagaikan kaku dan kelu. Dalam kepenatan. Dalam kesakitan. Dalam kepiluan. Ayah pegang tangan ibu dengan kuat. Ayah mahu memberi kekuatan kepada ibu. Namun dalam masa yang sama, kekuatan tiada di dalam diri ayah pada ketika itu. Dan sesungguhnya, di jiwa ini hanya ada Dia untuk memohon agar diri ini terus kuat, tabah dan redha menerima segalanya. Percayalah sayang, ketika itu baru ayah mengerti betapa besarnya makna ’sabar’ dan ‘tabah’ itu. Melaluinya adalah satu perkara yang cukup luar biasa.

Hari berganti hari. Menjadi seminggu. Terus sebulan. Hinggalah ke lapan bulan lebih. Sejak mula Amir Yusuf lahir, wad hospital adalah tempat bermain. Dari satu wad ke wad yang lain. Dalam masa yang sama, Amir Yusuf terus memberi kejutan kepada ayah dan ibu. Satu demi satu berita muncul bagaikan menguji sejauh mana kekuatan dan ketabahan diri ini. Amir Yusuf terus berjuang. Dan harapan sentiasa berada di sisi. Meskipun adakalanya ianya berterbangan.

Amir Yusuf, anakanda yang disayangi lagi dirindui. Bukanlah ayah ingin mengimbau akan segala kepahitan yang pernah ayah dan ibu lalui. Ayah tidak mahu menangis kesedihan. Telah ayah redha akan segala takdir yang diberikan. Tetapi, pada ketika ini, ayah ingin mengingatkan tentang erti perjuangan, kekuatan, ketabahan dan kesabaran yang pernah kita lalui bersama. Bermula dari detik Amir Yusuf lahir ke dunia memberikan gambaran yang baru ke dalam diri ayah dan ibu. Betapa manusia itu begitu kerdil di sisinya.
Percayalah sayang, Amir Yusuf begitu istimewa di sisi ayah dan ibu. Serta semua yang mengenali. Seseorang pernah menuliskan di ruangan ini, bahawa tika di dunia lagi Amir Yusuf sudah berbakti kepada ayah dan ibu melalui utusan doa semua rakan taulan, saudara, ayahanda-ayahanda, bonda-bonda, pakcik, makcik, abang dan kakak dari seluruh dunia yang mengikuti perkembangan Amir Yusuf. Moga ianya akan berpanjangan hingga ke akhirat. Dalam rahmat kasih sayang dari-Nya.
Mati tidak akan memisahkan kita. Mati masih mengikat kita. Yang terpisah hanyalah jasad di dunia yang fana ini. Demikian juga rindu dan sayang yang tiada hentinya. Ianya pasti bertali temali, biarpun nafas ini terhenti lalu dibawa ke alam sana.
Dalam kerinduan, ayah dan ibu menitipkan doa. Agar rohmu ditempatkan bersama para kekasih-Nya. Bertemankan bidadari-bidadari rupawan. Berlarian di dalam taman syurga. Dalam penuh keriangan dan ketenangan. Moga nanti, Amir Yusuf akan memimpin ayah dan ibu bersama saudaramu menjejaki syurga-Nya lalu disatukan buat selama-lamanya.
Al-Fatihah.

