09-07-09

Bingkisan Rindu

Posted in amir yusuf by fajaril

amirborn_bws

Catatan 27-06-09.

Pagi itu ayah terjaga dari lena dengan satu rasa yang lain dari biasa. Sememangnya tiada apa yang berbeza pada hari itu berbanding hari-hari yang lain. Cuma pagi itu adalah pagi Sabtu. Hari yang sememangnya dinanti kerana itulah hari untuk ayah dan ibu bersantai di rumah. Menghilangkan penat dan kekusutan dari tugasan kerja pada hari-hari biasa.

Namun, pada pagi itu berkumpul satu rasa yang sukar untuk diduga. Tiba-tiba saja ada rasa sebak menerjah di ruang hati dan jiwa. Ayah hela nafas perlahan-lahan agar dapat menahan dari terus dibuai perasaan ini.

Satu sms singgah ke telefon ayah. Dari teman yang jauh di Malaysia. Mengirim salam dan doa. Dia juga mengingati betapa berbezanya hari ini. Sebak menusuk dada.

Mana mungkin dapat melupakan hari ini. Tarikh ini. Lima hari selepas ulang tahun Najla. Setahun yang lalu, pada tarikh inilah Amir Yusuf dilahirkan ke dunia. Datang menyapa ayah dan ibu dengan kesyukuran. Dalam suka dan duka. Membaurkan ribuan rasa. Dan setahun yang berlalu tidak pernah sekali pun detik-detik itu dilupakan. Seakan baru semalam ia berlaku. Sesekali, terlintas juga di fikiran seandainya Amir Yusuf masih ada pada ketika ini.

Ayah dan ibu tidak pernah berkongsi cerita detik-detik kelahiran Amir Yusuf di ruangan ini. Barangkali terlalu gusar dan sibuk dengan perang emosi di jiwa kami pada ketika itu. Tidak dapat dinafikan, kehadiran Amir Yusuf bagaikan satu titik penanda di dalam kehidupan ayah dan ibu. Bagai mahu mengingatkan diri bagaimana harus bersabar, kuat dan redha pada segala ketentuan. Sungguh, ayah dan ibu begitu kosong dan hampir tidak berdaya sebaik dikhabarkan dengan bermacam komplikasi yang dihadapi oleh anakanda yang baru saja bernafas di bumi ini.

amirborn2_bws

Awal pagi itu, ayah dan ibu terus menuju ke Southern General Hospital apabila tanda-tanda kelahiran sudah menjelma. Setelah puas menanti, ibu akhirnya dibawa masuk ke dalam wad untuk ujian ultrasound kerana rasa sakit itu hampir tiada meskipun cecair yang melindungi sekitar bayi di dalam rahim sudah keluar.

Sekali. Dua kali. Tiga kali ujian ultrasound itu dijalankan. Seakan mereka mahu mengesahkan apa yang mereka lihat pada paparan monitor. Ada sesuatu yang luar biasa pada kandungan. Sebelum ini, boleh dibilang dengan jari berapa kali mereka menjalankan ujian begini kepada ibu. Dan kini tiba-tiba saja ada sesuatu yang lain pula.

Itu adalah isyarat pertama kepada ayah dan ibu. Agar bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Doktor memaklumkan kepada ayah dan ibu, ada sesuatu di dalam perut bayi yang dikandung ibu. Ianya seakan sesuatu yang tersumbat di situ. Debar pada ketika itu terus disisip ke dada. Hanya doa dipohonkan agar apa yang dilihat hanyalah sebagai satu kesilapan. Moga yang baik-baik saja selepas ini.

Memandangkan keadaan bayi yang agak lain daripada biasa pada pengalaman mereka, lalu ibu harus dipindahkan ke hospital yang lain. Maka pada petang itu, ayah dan ibu bergerak menuju ke Queen’s Mother Hospital yang bersebelahan dengan Royal Sick Children Hospital, atau dikenali sebagai Yorkhill Hospital. Anehnya, pada ketika itu rasa sakit hampir tiada pada ibu. Hingga ayah tertanya-tanya, adakah benar masanya sudah tiba? Apatah lagi hari ini adalah empat minggu awal dari yang dijangkakan.

Ketika dibawa masuk ke dalam wad, ibu masih lagi tidak menunjukkan tanda untuk dibawa segera ke bilik bersalin. Bahkan tiada rasa sakit seperti kandungan yang pertama. Oleh itu, ayah tinggalkan ibu seketika untuk pulang ke rumah bagi mengambil barang keperluan serta menjenguk Najla.

Belum pun lama ayah berada di rumah, sms dari ibu tiba. Tepat jam 10 malam. Kesakitan sudah bermula. Mungkin tidak lama lagi. Dan sejurus kemudian, panggilan dari jururawat di hospital turut meminta ayah datang segera. Setelah mencium dan memeluk Najla, ayah terus bergegas ke hospital.

Jam sudah mula menunjukkan angka sebelas. Lewat kerana terpaksa meredah malam, mencari tempat meletak kenderaan dan berhadapan dengan petugas keselamatan. Akhirnya, ayah tiba ke wad bersalin di tingkat empat. Rasa debar bertandang. Saatnya bakal tiba. Moga Allah mempermudahkan segala urusan.

Ayah lihat ibu di atas katil. Ayah masih mengingati bagaimana harus berhadapan dengan situasi begini. Ketika Najla mula-mula dilahirkan. Mengikut perkiraan, mungkin ada beberapa jam lagi sebelum bayi akan keluar.

Ayah disapa oleh seorang jururawat yang berusia. Tersenyum manis dan berkata sesuatu kepada ibu sambil melirikkan matanya kepada ayah.

“Baby sudah mula mahu keluar ke sayang?”

Pengalaman ayah menyambut kakak Najla membuatkan ayah agak bersedia untuk menemani ibu pada saat-saat getir ini. Namun begitu, alangkah tergamamnya ayah apabila dimaklumkan ibu, bayi yang dikandung ibu sudah pun selamat keluar. Ayah tidak sesekali perasan akan perut ibu yang ditutupi selimut tebal. Ayah sangka sikap tenang jururawat yang bertugas pada saat-saat getir begini adalah normal. Rupanya ayah tersilap.

Ibu mula bercerita betapa singkatnya semua itu. Sebaik bukaan sudah mula terasa, Amir Yusuf sudah terus mahu keluar. Bahkan ketika dipindahkan ke wad bersalin melalui lif kecemasan saja, ianya sudah begitu ketara. Sungguh ayah tidak menyangka, putera ayah begitu cepat keluar. Tidak sampai sejam pun ibu menahan rasa sakit. Cuma ada sedikit rasa ralat menyelubungi. Ayah tidak sempat menyambut kelahiran putera ayah yang pertama.

Ternyata, detik kelahiran Amir Yusuf ke dunia bagai tidak mahu menyulitkan dan menyakitkan ibu terlalu lama. Begitu mudah sekali. Dan ianya bagai memberi lagi satu tanda bahawa Amir Yusuf adalah unik dan istimewa di awal-awal lagi.

amirborn7_bws

Pertama kali ayah dibawa untuk melihat Amir Yusuf, dada penuh rasa debar. Lain dari kebiasaan. Apatah lagi sewaktu dibawa ke ruangan bayi yang penuh dengan inkubator, tiub-tiub dan bermacam lagi. Melihatkan keadaan bayi-bayi di sini menambahkan lagi rasa yang berkumpul di dada. Ini satu pandangan yang cukup baru buat ayah. Teruk sangatkah Amir Yusuf hingga ditempatkan ke bilik ini?

Akhirnya, ayah dapat melihat Amir Yusuf buat kali pertama. Begitu damai ditempatkan di dalam kotak kecil inkubator. Bagai terhenti nafas ini. Sebak mula menguasai diri. Perasaan ini bercampur baur. Lebih-lebih lagi melihatkan putera ayah yang dikelilingi dengan bermacam wayar.

Ayah mahu sentuh Amir Yusuf. Ayah mahu peluk Amir Yusuf. Ayah mahu azankan di telinga Amir Yusuf dengan kalimah suci.

Sebaik ayah membersihkan tangan, jururawat yang bertugas mula membuka penutup inkubator dan menyusun wayar serta tiub di badan Amir Yusuf. Akhirnya Amir Yusuf berada di dalam pelukan ayah.

Ayah lihat Amir Yusuf. Pada matanya. Pada hidungnya. Pada mulutnya. Pada seluruh wajahnya. Ayah sentuh jari dan kaki. Ayah usap perlahan-lahan pada seluruh tubuh dengan penuh rasa kasih. Semuanya sempurna di mata ayah. Sekian lama berada di dalam rahim ibu, akhirnya Amir Yusuf muncul di depan mata.

Dengan nada lembut dan rasa syukur, ayah melagukan azan dan iqamat di telinga Amir Yusuf. Moga kalimah pertama ini akan terus mendekatkan Amir Yusuf pada penciptanya. Yang Maha Kuasa.

amirborn5_bws

Namun hati ayah masih diterpa rasa gusar. Bagaikan berbisik sesuatu yang sengaja ayah nafikan. Dan ayah tidak mahu membuat telahan sendiri. Barangkali cara doktor di sini terlalu rinci hingga perkara kecil mahu diuruskan secara rapi. Demikianlah ayah memujuk diri.

Tengah malam itu juga ayah dan ibu, Dr Barbara datang menemui kami. Kejutan sudah bermula. Satu demi satu berita disampaikan. Setiap butir bicara lembut dari mulut Dr Barbara seakan begitu menusuk setiap anggota. Jiwa, akal dan fikiran bagaikan berputar-putar. Sungguh, pada ketika itu seakan kosong perasaan ini. Betapa ayah mengharapkan semua itu hanyalah andaian semata-mata. Bukannya sesuatu yang mutlak. Ayah sengaja menafikan. Di mata ayah, terbayang masa depan. Pada ketika itu, mulut ini bagaikan terlalu payah untuk berkata-kata. Fikiran buntu untuk mencerna segalanya.

Air mata lelaki ayah tumpah akhirnya. Ayah tersendu menahan tangis. Ibu bagaikan kaku dan kelu. Dalam kepenatan. Dalam kesakitan. Dalam kepiluan. Ayah pegang tangan ibu dengan kuat. Ayah mahu memberi kekuatan kepada ibu. Namun dalam masa yang sama, kekuatan tiada di dalam diri ayah pada ketika itu. Dan sesungguhnya, di jiwa ini hanya ada Dia untuk memohon agar diri ini terus kuat, tabah dan redha menerima segalanya. Percayalah sayang, ketika itu baru ayah mengerti betapa besarnya makna ’sabar’ dan ‘tabah’ itu. Melaluinya adalah satu perkara yang cukup luar biasa.

amirborn4_bws

Hari berganti hari. Menjadi seminggu. Terus sebulan. Hinggalah ke lapan bulan lebih. Sejak mula Amir Yusuf lahir, wad hospital adalah tempat bermain. Dari satu wad ke wad yang lain. Dalam masa yang sama, Amir Yusuf terus memberi kejutan kepada ayah dan ibu. Satu demi satu berita muncul bagaikan menguji sejauh mana kekuatan dan ketabahan diri ini. Amir Yusuf terus berjuang. Dan harapan sentiasa berada di sisi. Meskipun adakalanya ianya berterbangan.

amirborn6_bws

Amir Yusuf, anakanda yang disayangi lagi dirindui. Bukanlah ayah ingin mengimbau akan segala kepahitan yang pernah ayah dan ibu lalui. Ayah tidak mahu menangis kesedihan. Telah ayah redha akan segala takdir yang diberikan. Tetapi, pada ketika ini, ayah ingin mengingatkan tentang erti perjuangan, kekuatan, ketabahan dan kesabaran yang pernah kita lalui bersama. Bermula dari detik Amir Yusuf lahir ke dunia memberikan gambaran yang baru ke dalam diri ayah dan ibu. Betapa manusia itu begitu kerdil di sisinya.

Percayalah sayang, Amir Yusuf begitu istimewa di sisi ayah dan ibu. Serta semua yang mengenali. Seseorang pernah menuliskan di ruangan ini, bahawa tika di dunia lagi Amir Yusuf sudah berbakti kepada ayah dan ibu melalui utusan doa semua rakan taulan, saudara, ayahanda-ayahanda, bonda-bonda, pakcik, makcik, abang dan kakak dari seluruh dunia yang mengikuti perkembangan Amir Yusuf. Moga ianya akan berpanjangan hingga ke akhirat. Dalam rahmat kasih sayang dari-Nya.

Mati tidak akan memisahkan kita. Mati masih mengikat kita. Yang terpisah hanyalah jasad di dunia yang fana ini. Demikian juga rindu dan sayang yang tiada hentinya. Ianya pasti bertali temali, biarpun nafas ini terhenti lalu dibawa ke alam sana.

Dalam kerinduan, ayah dan ibu menitipkan doa. Agar rohmu ditempatkan bersama para kekasih-Nya. Bertemankan bidadari-bidadari rupawan. Berlarian di dalam taman syurga. Dalam penuh keriangan dan ketenangan. Moga nanti, Amir Yusuf akan memimpin ayah dan ibu bersama saudaramu menjejaki syurga-Nya lalu disatukan buat selama-lamanya.

Al-Fatihah.

amirborn3_bws

amirborn8_bws

You can leave a comment, or trackback from your own site. RSS 2.0

39 comments

  1. oli says:

    al-fatihah

    09-07-09 at 4:19 am

  2. linda says:

    al-fatihah….

    semoga Amir Yusuf tenang di sana…

    tabah la fajar…

    :(

    09-07-09 at 4:39 am

  3. ummirayyan says:

    al-fatihah..semoga arwah amir yusuf tenang disana dan sikelilingi oleh bidadari2..dbuat abang fajar dan kak anis semoga terus tabah..mungkin ada penganti amir yusuf..:P

    09-07-09 at 4:40 am

  4. leany says:

    Tak dapat jua menyeka air mata ini dari mengalir deras tatkala membaca catatan ayah Amir kali ini. Amir hanya dipinjamkan seketika di dunia, walaupun begitu, dengan hanya berkenalan dan berjumpa di ruangan ini, menjadikan rasa kasih dan sayang itu kian menebal tiap hari kepada Amir. Dengan hanya menatap gambar2 Amir dan diiringi doa ke hadrat Ilahi, kerinduan kepadanya lenyap bersama bermacam2 perasaan yang menerpa dalam jiwa.

    Amir, you are an angel to us, you are our strength. Kecapilah kebahagiaan abadi bersama Yang Maha Esa di sana. You owned a special place in our hearts.

    Al-Fatihah

    09-07-09 at 4:51 am

  5. yatie chomeyl says:

    al fatihah utk arwah. tak sedar airmata menitik semasa membaca entry ini

    09-07-09 at 4:54 am

  6. zai says:

    membaca entry ini seolah dpt membygkan peristiwa di dpn mata..kehadiran amir yusuf didunia walau seketika membawa seribu satu hikmah pada saudara fajar dan keluarga..selamilah setiap ujian yang ditempuhi..moga saudara sekeluarga akan menjadi lebih tabah..

    09-07-09 at 5:19 am

  7. suealeen says:

    AlFatihah.. memang sukar untuk menghalang memori itu dari bertandang di sanubari.

    Moga Allah swt akan terus meminjamkan ketabahan dan memberi pahala sabar pada saudara sekeluarga.

    Salam sayang dari Syafiah & keluarga.

    09-07-09 at 5:58 am

  8. risanur says:

    bergenang air mata membaca luahan rase seorang ayah yang begitu tabah menghadapi segala dugaan dr Allah…moga fajar sekeluarga akan tabah menghadapi segalanya…

    09-07-09 at 6:00 am

  9. sya says:

    berdebar tatkala melihat gambar yang pertama di entry ini. telah di agak isinya..

    semoga hari2 yang mendatang terus mengingatkan kita kepada arwah amir…

    09-07-09 at 6:21 am

  10. apple says:

    hiba. kiriman sms berita kelahirannya dari fajar kepada suami setahun yang lalu segar diingatan kerana sampai ke hari ini masih tersimpan dalam inbox hp.

    Al-Fatihah untuk Amir Yusuf.

    09-07-09 at 6:34 am

  11. erynne says:

    al fatihah buatmu amir yusuf…

    09-07-09 at 6:41 am

  12. @tune says:

    sayang amir yusof..
    die tetap dihati fajar sekeluarga

    09-07-09 at 7:48 am

  13. mama_nayli says:

    rindu bertandang lagi dalam hati….
    betapa berat rindu yang ditanggung… :(
    sabarlah Ayah…sabarlah Ibu…
    moga2 kalian terus dilimpahi rahmat Allah..

    Amir Yusuf,
    Al-fatihah buatmu sayang…….
    Damailah Amir di sisi-Nya

    09-07-09 at 8:30 am

  14. Nur says:

    Tiada kebahagian bagi kita sekiranya kita tidak redha dengan ketentuan yang Allah berikan.

    Redhalah pemergiannya kerana sudah sampai masa perjanjian antara Amir Yusof dan ALLAH.

    09-07-09 at 8:38 am

  15. arine says:

    Al-fatihah..semoga arwah amir yusof tenang di sana..Semoga saudara fajar dan keluarga tabah.

    09-07-09 at 8:51 am

  16. bun says:

    rindu yg menyesak dada..meruntun rasa..nun di sana menantinya..perindu setia..Al-Fatihah

    09-07-09 at 9:03 am

  17. azura amran says:

    al fatihah
    semoga rohnya tenang di sana
    amin…

    09-07-09 at 11:02 am

  18. yfatahyah says:

    Salam saudara Fajaril & isteri,
    Sedih & pilu membaca entri ini. Al-Fatihah untuk Anakanda Amir..

    09-07-09 at 5:20 pm

  19. MrsHermann says:

    salam to amir’s family,
    hebat sungguh ujian allah swt terhadap keluarga kalian.membace en3 ayah amir,selalu membuatkan sy semakin ‘bijak’ redha dgn takdir allah swt. kdg2 sy ‘mempersoalkan’ takdir yg belum sudi mengurniakan zuriat utk sy dan suami, tanpa sy ‘mempersoalkan’ siapa sy utk ‘mempersoalkan’ takdir allah swt….

    alfateehah utk ameer….

    10-07-09 at 12:39 am

  20. chentahati says:

    InsyaAllah,

    Amir Yusof setia menunggu ayah dan ibunya di ’sana’

    Al fatihah…

    10-07-09 at 12:53 am

  21. ellanie says:

    Salam….
    Sy masih merindui anakanda amir..SENTIASA!semoga rohnya sentiasa tenang disisiNya…alfatihah…

    10-07-09 at 1:03 am

  22. xiao hong says:

    al-fatihah

    10-07-09 at 1:10 am

  23. ziela says:

    Salam..
    Al-fatihah..

    Semoga amir yusof tenang disana..disamping bidadari syurga yg pasti mengelilingi Amir Yusof…

    semoga parents Amir Yusof tabah dan kuat menghadapi dugaan ini..diriku sendiri x kuat menghadapi dugaan..apatah lagi dugaan seperti ini….aku sangat teruja dengan ketabahan kalian

    10-07-09 at 3:28 am

  24. vidz says:

    Tiada kata mampu diucapkan tatkala mengenang kembali segala dugaan yang terpaksa dilalui oleh ayah dan ibu.
    Tapi percayalah bahawa besar hikmah Allah yang akan / telah diberikan kepada kalian.
    Semoga kalian sentiasa terus tabah dan Amir Yusuf menanti kalian di pintu syurga. InsyaAllah.

    10-07-09 at 7:05 am

  25. Azura says:

    Salam utk abang fajar sekeluarga…..
    lama tak lama jg lah zura m’gikuti kisah amir yusuf, sejak dia dilahirkan lg….al-fatihah utk amir…
    cuma dikesempatan ne dpt meninggalkan jejak…
    semoga abg fajar sekeluarga dilindungi dan dirahmati oleh nya…amin

    10-07-09 at 7:18 am

  26. Ina says:

    Sebak rasa didada…

    Al-Fatihah untuk Amir Yusuf…

    10-07-09 at 3:39 pm

  27. mama_danish says:

    al-fatihah…

    tiap kali membaca n3 di ruang ini, mesti mencambahkan rasa kasih pada anak….TQ

    10-07-09 at 10:23 pm

  28. alazwar says:

    abg fajar, k.anis, dan najla…,oga tabah selalu..moga Amir Yusuf kekal di hati abg sekeluarga smpai bila…moga cinta kalian, kekal hingga ke syurga….sya turut merindui amir yusuf di sini…

    12-07-09 at 3:08 am

  29. kingbinjai says:

    dude, ko jahat. mengingatkan aku kepada arwah puteri ku. sekurang kurangnya kau sempat bermain dan mendengar suaranya. aku? dapat menatap matanya yang celik pun tidak. dia hanya berada dalam pangkuan aku dalam keadaan sudah tidak bernyawa.

    13-07-09 at 2:28 am

  30. aliff says:

    salam,
    abang fajar,

    sudah setahun, terasa semacam baru sahaja membaca saga kisah arwah anakanda amir.

    bersabarlah, al-fatihah.

    13-07-09 at 5:12 am

  31. fiza says:

    Fajar,

    Sudah lama air mata ini tidak mengalir setiap kali mengunjungi blog sdr. Namun begitu, Amir masih dikenang dan terpahat diingatan saya.

    Entri kali ini benar-benar menyentuh hati. Jiwa disentap dengan kisah-kisah Amir yang pernah dibaca dulu.

    Cukuplah kehadirannya di dunia yang sesingkat itu…. sungguh menguji iman.

    13-07-09 at 6:58 am

  32. cin says:

    takdir penentu segalaya…dgn kurniaanNya dpt dirasai hanya seketika..namun kebhgiaan memeluk..membelai amir merupakan pengalaman yg terindah..perpisahan mengajar erti kerinduan..moga fajar sekeluarga sentiasa merindui amir..walaupun ianya sudah kembali ke rahmatullah…al-fatihah..terlalu cinta n sayang pada amir.. :-)

    14-07-09 at 9:52 am

  33. Jiey^Mien says:

    Al-Fatihah..

    15-07-09 at 11:56 pm

  34. iem says:

    al-fatihah

    16-07-09 at 1:00 am

  35. CikWanKembang says:

    Asm Sdr Fajar..

    Dah lama tak jenguk blog Fajar. Saya terlalu sayu dan terusik.

    Hari ni baca lagi.. sedeyh lagi :) . Namun, saya percaya Fajar & family amat tabah menghadapi perkara ini. Al-Fatihah utk Amir Yusuf.

    16-07-09 at 6:05 am

  36. baizurah says:

    Al-fatihah untuk Amir yusuf, penghuni syurga insyaAllah.

    17-07-09 at 4:40 am

  37. mie says:

    Assalamualaikum;

    Sdr Fajar..

    Ada hikmah disebalik dugaan Allah.. di Akhirat kelak anak inilah yang bakal menarik kedua ibu bapanya ke Syurga.. I’Allah..

    22-07-09 at 4:09 am

  38. azraf says:

    salam fajar…

    sesungguhnya rasa simpati dgn apa yg berlaku utk keluarga mu..

    airmata ini akan berguguran setiap kali membaca entry mu wahai fajar..

    Amir Yusuf mmng org yg terpilih..seorang yg tabah, kuat semangatnya walaupun masih kecil..

    Aku kagum dgn semangat yg ditunjukkan termasuk keluarganya..

    Takziah buat Allahyarham Amir Yusuf serta keluarga Fajar..Al-Fatihah..

    26-07-09 at 8:59 am

  39. nurul says:

    Memang sedih hendak menerima….Hanya insan yg pernah merasainya saat2 getir itu dapat memahaminyaaa….

    28-07-09 at 9:21 am

Leave a comment