Archive for August, 2009

28-08-09

Rindu Ini

Posted in amir yusuf by fajaril

“Kerinduan, tak akan menghilang,
Kau selalu kurasa, tak mampu ku menghindar…”

Katalah apa saja, sejujurnya rasa rindu ini tidak pernah akan pergi. Selalu saja menemani. Adakala ia berbalam-balam. Adakalanya ia begitu memuncak. Namun, mujur juga ada Dia untuk mendambakan dan menyampaikan segala rasa rindu ini.

Bagi mereka yang pernah mengikuti ruangan di sini, sejak bertahun yang lalu, sudah pasti akan merasa kelainan pada setiap tulisan yang dikongsikan. Jarang sekali catatan bersifat peribadi seperti dahulu. Hingga ada yang mengatakan, blog ini sudah seperti blog Amir Yusuf sahaja.

Sejujurnya, ia pasti akan mengambil masa yang begitu panjang untuk membiasakan semula dengan tulisan yang terdahulu. Apa yang pasti, blog ini seakan salah satu manifestasi kenangan dan sisipan kerinduan kami kepada Amir Yusuf. Ruang inilah yang menjadi salah satu tempat kami mendapat kekuatan. Juga sokongan dan doa dari teman-teman di luar sana. Sudah pasti ianya tidak akan dilupakan.

Kehilangan bukanlah satu perkara yang mudah. Sebulan, setahun, bahkan berpuluh tahun pasti akan membawa segala kenangan dan kerinduan. Mana mungkin ada ganti. Setiap sesuatu anugerah Tuhan adalah cukup unik dan istimewa. Demikianlah apa yang diberikan kepada kami.

Sungguh kami percaya bahawa setiap sesuatu adalah pinjaman daripada Allah. Sebagai manusia, kita ini begitu miskin memandangkan tiada satu pun yang menjadi hak mutlak. Pada degupan jantung, pandangan mata, pendengaran telinga, deria rasa dan hembusan nafas ini adalah pinjaman dari-Nya semata-mata. Begitu juga dengan kurniaan cahaya mata ke dalam hidup sesebuah keluarga.

Amir Yusuf adalah satu anugerah kepada kami. Apabila dia diambil semula daripada kami, siapalah kami untuk menafikan hak yang telah Allah berikan? Sudah pasti hanya Dia Yang Maha Mengetahui. Pasti ada kemanisan yang tidak dapat digambarkan di pemikiran manusia yang sebegitu lemah. Maka, hanya redha saja menjadi teman sejati.

Ramadan lalu penuh dengan kenangan. Ramadan lalu, kami sama-sama menemani Amir Yusuf di hospital biarpun masa yang terluang dirasakan begitu sekejap. Ramadan yang lalu, kami sama-sama bertadarus Al-Quran di sisi Amir Yusuf. Mengalunkan kalam-Nya dengan penuh harapan dan keinsafan.

Dan siapa pun tidak menduga bahawa itulah Ramadan yang pertama dan terakhir buat Amir Yusuf.

Bagaimana harus kami menzahirkan segala rasa rindu yang selalu bertandang? Ada ketikanya, mahu saja ayah pergi ke hospital dan duduk di sana untuk mengulang semula segala peristiwa. Tapi, ianya tidak akan sama. Hanya kenangan membaca Al-Quran bersama dirinya di bulan Ramadan menjadi ganti. Dan pada ketika itu, ada rasa bahagia datang bertamu. Apatah lagi, syurga sudah menjadi tempat yang pasti buat insan seistimewa dirinya.

Bukan ayah tidak tahu, ibu turut menanggung rasa rindu. Namun jarang sekali ibu menzahirkan atau meluahkan rasa rindu itu. Ayah tahu, setiap malam ibu akan tidur sambil memeluk soft monkey milik Amir Yusuf. Hinggakan Najla begitu cemburu setiap kali terlihat ibu memeluknya.

“Ibu tak sayang Najla. Ibu sayang monkey tu.”

“Ibu sayang Najla. Dan ibu sayang pada Amir Yusuf juga. Najla selalu dapat tidur dengan ibu. Amir Yusuf tak pernah dapat tidur dengan ibu atau ayah. Betul kan sayang?”

“Hmm. Najla pun sayang Amir Yusuf. Dia jumpa Allah kan ibu?”

“Ya sayang. Dia jumpa Allah.”

Najla rindu Amir Yusuf. Ibu rindu Amir Yusuf. Ayah rindu Amir Yusuf.

Setiap kali mengulangi kata rindu kepada dirinya, rasa sebak berkumpul di dada. Rindu ini bagai tiada hentinya. Rindu yang membawa kami dekat dengan-Nya.

26-08-09

Jujur

Posted in bicara by fajaril

Ketika itu, kami masih mencari kekuatan atas sebuah kehilangan. Ternyata bukan mudah untuk mewarnai semula kehidupan yang bagaikan hilang serinya. Kepulangan kami ke Malaysia beberapa bulan yang lalu, biarpun sekejap adalah untuk mencari semangat yang hilang. Dan tanpa diduga, tiba-tiba saja ada ruang buat kami untuk dipertemukan dengan seorang insan yang cukup berilmu. Semua itu tiada dirancang. Bahkan hanya Dia yang mengaturkan pertemuan kami.

Dia itu mungkin bukan siapa-siapa di mata manusia. Namun, kelebihan yang ada padanya menjadikan dia agak istimewa dari orang lain.

Terasa diri ini begitu kerdil dan tiada apa dibandingkan dengan insan yang hanya mendambakan dirinya kepada Tuhan. Rumah kecil dan tampak usang. Jauh terpencil. Bagai tidak peduli langsung akan dunia yang begitu sibuk dengan kemewahan, teknologi dan juga kuasa. Apabila berbicara tentang ilmu tasawuf, semakin terasa betapa kurangnya ilmu di dada ini.

Apabila soalan demi soalan diajukan kepada diri ini, seakan begitu sukar sekali memberi jawapan yang begitu sempurna. Setiap bicara sarat dengan pesanan dan ilmu.

Semua manusia itu sama. Datang dari tempat yang sama. Pulang pada tempat yang sama. Apa yang membezakan kita? Ketaqwaan dan amalan kita kepada-Nya.

Salah satu pesanan yang diberikan kepada kami cukup bermakna. Menusuk di kalbu.

“Kita kena jujur dengan Allah”.

Jujur. Jujur.

Dan pertemuan yang singkat itu meninggalkan kesan yang begitu mendalam. Terima kasih Abang Ki!

21-08-09

Ramadan Kali Ini

Posted in bicara by fajaril

dsc_0376

“Ku mengharapkan Ramadan kali ini penuh makna…”

Seakan ada sesuatu tersekat di kerongkong. Bagai menyekat nafas menghembus buat seketika. Entah kenapa, terasa seakan begitu sebak Ramadan kali ini. Tambah hebat, dengan rasa rindu yang tiba-tiba saja terus berkumpul. Sungguh, apabila Ramadan semakin mengintai dan menjelmakan diri, satu perasaan wujud dengan perlahan-lahan. Ada rindu yang sudah mula bertaburan.

Sememangnya, Ramadan selalu dinantikan. Bahkan, hadirnya bagai menyempurnakan setahun dengan lengkap. Alangkah indahnya Ramadan. Penuh berkat dan rahmat. Bagai melimpah cahaya dari syurga buat mereka yang mengharap keredhaan dan ketakwaan dari-Nya.

Ramadan kali ini membawa bersama kerinduan ke dalam diri ini. Segala bayangan dan kenangan begitu jelas di ruang fikiran. Ramadan yang lalu, masa siang kami banyak dihabiskan di hospital. Menemani Amir Yusuf. Membaca semula coretan lama di bulan Ramadan pada tahun yang sudah, semakin mendekatkan kami buat yang dirindu. Rindu padanya. Dan rindu pada Penciptanya.

Berbulan sudah kami lalui kehidupan ini. Betapa kami mencuba dan berusaha untuk menjadi manusia yang biasa. Ketawa dan tersenyum. Namun di hati, tidak pernah sekali menafikan adanya ruang yang hilang. Segala sedih dan pedih diganti dengan doa dan kalimah suci-Nya.

Ruangan di sini, seakan begitu sepi sekali. Sama seperti sepi di hati kami. Yang tidak mampu kami zahirkan dengan ketawa setiap masa. Ramadan yang datang ini seakan mengetuk pintu hati. Bagai menyedarkan diri. Bahawa kami pernah melalui barisan peristiwa yang penuh dengan air mata. Penuh harapan. Yang mengajar erti ketabahan, kekuatan dan kesabaran.

Moga Ramadan kali ini penuh makna dan menjadi lebih sempurna.

[+]

Buat semua yang mengikuti kisah kami di sini, terima kasih atas segalanya. Selamat menyambut Ramadan yang mulia. Syukur, kita masih berpeluang mengecapinya lagi. Mohon ampun dan maaf andai adanya salah dan silap. Moga Ramadan ini membawa seribu rahmat, keberkatan dan keampunan buat kita semua. Ya, moga Ramadan kali ini akan lebih bermakna. Insya Allah.

14-08-09

Sesekali

Posted in bicara by fajaril

Setiap kali melihatkan anak-anak kecil yang begitu mulus, comel dan mencuit hati, hati ini sering saja teringat dan rindu kepada Amir Yusuf. Pipinya akan dikucup. Wajahnya akan direnung. Jarinya akan disentuh. Penuh dengan kasih sayang. Penuh dengan rindu.

Setiap kali melawat rakan-rakan di sekitar, peluang untuk bermanja dengan anak mereka tidak akan dilepaskan. Apabila si comel bermanja dan bermesra, satu perasaan yang bahagia singgah ke dalam hati. Memeluk diri mereka buat seketika bagaikan melepaskan satu rasa rindu yang cukup menebal di dalam dada. Sukar sekali untuk menterjemahkan perasaan itu. Kehilangan. Keredhaan. Dan kerinduan.

Najla juga bagaikan terlalu gembira apabila bersemuka dengan mana-mana bayi. Dia akan pandang mereka dengan penuh kasih. Senyumnya akan menjadi lebar. Dia tidak akan pedulikan keadaan sekitar buat seketika. Seakan satu dunia tercipta di antara dirinya dan si comel kecil. Dan dia akan mula menyanyikan lagu buat si kecil dengan penuh kasih sayang. Ada lagu selawat. Ada lagu tentang kasih sayang. Ada lagu tentang ibu. Ada lagu tentang rindu. Dan sesekali rasa keharuan menerjah di hati ini. Tulusnya hati seorang kanak-kanak. Berkongsi rasa kasih tanpa sebarang sempadan.

Sesekali, melihatkan orang lain gembira dengan kehadiran orang baru, hati sama menumpang rasa gembira. Setiap kali mereka membesar, pernah juga terbayang juga di mata ini, bagaimana jika Amir Yusuf masih ada pada ketika ini? Membesar dan cuba melalui kehidupan ini seperti yang lain.

Namun, telah ditentukan bahawa Dia Maha Mengetahui mengapa Amir Yusuf pulang lebih awal. Alangkah bertuahnya Amir Yusuf yang dijaga sendiri oleh Penciptanya. Hati kami terus terpujuk. Dan rasa itu adalah sesuatu yang sukar untuk diceritakan kepada orang.

Seperti selalu, kami akan cuba berkongsi kasih dengan si comel kecil yang selalu kami temui. Cuba menagih kasih. Membelai dan bermanja. Ketawa dan gembira. Mencipta dunia yang bahagia untuk seketika. Melepaskan segala rasa rindu kami.

Dan kerinduan itu akan tetap ada. Selalu ada.

12-08-09

Ingin Tahu

Posted in bicara by fajaril

Melayani karenah Najla memerlukan kesabaran yang cukup tinggi. Bukan kerana dia membuat perangai, tetapi di waktu badan ayah dan ibu berada di tahap yang rendah. Kepenatan di siang hari dengan tugasan di universiti bagai menyedut segala tenaga. Malam hari sajalah waktu untuk berehat.

Dan selalunya, seperti biasa, Najla akan bertanya. Sifat ingin tahunya begitu membuak-buak.

“Ayah, what is rainbow?”

“What is rain?”

“What is sun?”

“What is stars?”

“What is moon?”

Bermacam-macam lagi soalan yang diutarakan. Setelah satu jawapan diberi, satu lagi bakal menyusul.

Dan, selalunya otak ayah bagaikan tepu untuk mengurai jawapan dalam bentuk yang begitu mudah. Otak ayah sudah terbiasa dengan ulasan saintifik yang penuh logik dan matematik. Oleh itu, tiba-tiba ayah merasakan satu cabaran untuk memberi jawapan buat dirinya. Bagaimana harus ayah menjelaskan kepada Najla dalam bahasa yang mudah.

Hati ayah tersenyum. Seharusnya ayah tidak harus memperkecilkan kemampuan dan keupayaan Najla.

Dan kadang-kadang dia bertanya, ke mana Amir Yusuf pergi. Sekali lagi, ayah cuba memberi pengertian dan jawapan buat dirinya. Dengan senyuman penuh makna.

Bad Behavior has blocked 436 access attempts in the last 7 days.